Wednesday 14 November 2012

Buat semua followers blog ini

Assalamualaikum w.b.t buat semua rakan-rakan followers di blog ini. Terutama sekali aku nak ucapkan berbanyak terima kasih atas kesudian kalian untuk mem'follow' blog ni. walaupun angka followers blog ni taklah sampai beribu-ribu macam blog yang lain, tapi aku tetap menghargai kalian yang sudi ikuti perkembangan blog ni.

Buat semua, sekarang nih memang aku sibuk sangat-sangat sampai xsempat nak update blog di sini. tp walau macamna pun, aku tetap ikuti tulisan atau entri2 kawan-kawan yang aku follow walaupun tak tinggalkan sebarang komen. Kawan2 semua, kesibukkan kerja membataskan kerja-kerja 'pengupdate'tan entri aku disini. haha.. untuk pengetahuan kalian, memandangkan aku punyai 2 akaun blog, satu di blogspot ni dan satu lagi di wordpress.com. Kedua-duanya aku memang xberkesempatan untuk update. walaubagaimanapun, insya allah, akan aku cari masa dan ruang untuk update blog kedua-dua akaun dari semasa ke semasa. Sokongan dan dorongan melalui komen2 kawan-kawan yang membina di ruangan blogging nih dapat meniup semangat aku untuk terus menulis dan menghantar entri-entri terbaru buat tatapan semua.

aaa, satu lagi, bagi yang sememangnya mengikuti blog aku ni dari dulu, mungkin kamo tertanya-tanya penggunaan kata ganti nama antara "AKU" dan "SAYA' yang digunakan dalam entri-entri sebelum nih. Beginilah, sebenarnya penggunaan kata ganti nama dalam entri-entri aku nih aku sesuaikan dengan topik yang nak diceritakan. kalau ianya lebih bersifat kritikal aku biasanya gunakan bahasa diri "SAYA" dan kalau ianya ke arah mesra dan santai atau make close dgn semua, biasanya aku gunakan bhs diri "AKU".. contohnya macam entri ni,, aku gunakan bahasa diri aku..haha

oklah, guys,, jumpa lagi dikesempatan waktu yang lain yea..keep in touch yea! bye!

Sunday 21 October 2012

Selesai Menjawab Exam Midterm

Syukur alhamdulillah.. selesai semuanya pada hari ini. Exam pertengahan semester memang buatkan jadual hidup ni jadi tak tentu arah..Apa tidaknya, bermula dari pagi hingga ke malam jadual semakin padat. Sebelum ni aku hanya fokus pada bidang tugas di tempat kerja.. tapi bila dah bekerja sambil belakar nih,kenalah bijak membahagikan masa untuk semuanya.

Semester ni sangat mencabar bila masa semakin menghimpit sampaikan tak sempat nk study pun,,tadi pun main hentam dan tawakal jer..Apapun, aku harap semoga mereka-mereka yang mendoakan dan juga turut membantu untuk aku menghadapi peperiksaan ni, aku nak ucapkan berbanyak terima kasih, Semoga Allah merahmati anda semua. Amin,,terutama sekali buat dia yang jauh di sana.. ;)

Selepas ni, nak fokus pada assignment yang masih banyak berbaki yang belum settle-settle lagi tu..dan jugak untuk fokus pada bidang tugas terutama bagi penumpuan 2 buah projek baru 1. Tapak Semaian Padi dan 2. Pusat Belian Padi. Semoga Allah mudahkan urusanku ini Ya Allah..

Kepada pembaca dan kawan2 semua, doa2kan agar dipermudahkan segala urusan yang juga menjadi sebahagian daripada ibadat, insya Allah..

Tuesday 2 October 2012

Andainya kau mengerti maksudku itu

Jarang sekali aku menulis di mana-mana entry blog aku sama ada di blogspot atau wordpress dalam keadaan moody atau berada dalam keadaan yang beremosi. Biasanya aku akan mencari masa sesuai ketika berada dalam keadaan stabil dan ceria. Tapi kali ni, aku menulisnya dalam situasi di mana aku sendiri merasa tak selesa dan sedang bad mood.

Perbezaan pendapat adalah perkara normal. Kita tak boleh paksa mana-mana orang untuk bersependapat dengan kita walau dalam apa keadaan sekalipun. Kalaupun, orang yang dipaksa itu bersetuju dengan kita, pasti sekali persetujuan itu bukannya pendapat asli mereka. Demikian juga sebaliknya. Tetapi apakah adil juga apabila anda setiap kali berhadapan dengan masalah yang buntu, dan meminta pendapat orang lain, dan setelah diberi pandangan secara bersungguh-sungguh, tp at last, kau dah pun decide keputusan yang kau sendiri putuskan. Kesimpulannya, kita dapati bahawa semua pendapat yang diminta sebelum ni hanya membuang masa kerana sememangnya setiap perkara tu dah ada keputusan tanpa perlu mintak pandangan orang lain! Demikian juga dengan aku, bila aku rasakan yang sebenarnya jawapan atau keputusan bagi setiap perkara tuh dah ada jawapannya, janganlah kononnya mintak pandangan lagi. Ianya lebih menyakitkan hati apabila kita dapati sebenarnya jawapan atau pandangan yang dikatanya bagus,sangat membantu kononnya akhirnya ditolak ke tepi!

Sedang aku menyedari bahawa emosi aku skrg semakin kurang menentu, baik aku xperlu menyambung penulisan di sini, kerana aku sangat yakin jika diteruskan maka akan mengusik banyak pihak dan bakal dilabel sebagai aku xfaham masalah atau situasi mereka. Cukup sekadar itu, tapi sebenarnya, andainya kau mengerti maksudku ini, ianya sangat jauh berbeza dari apa yang kau baca ini. Mohon maaf kalau mengusik atau mengguris mana-mana pihak. Sesungguhnya, apa yang aku tulis di sini, hanya dari isi hati yang terbuku. wasalam.

Friday 7 September 2012

Berurusan dengan hikmah dan berhemah

Saya mulakan entri kali ini dengan merasakan sedikit kekok apabila agak sekian lama juga tidak meng’update’ sebarang entri baru di ruangan ini memandangkan kekangan waktu dan kesibukkan menjalani tugas harian disamping perkara-perkara lain yang menuntut supaya saya memberi perhatian terhadapnya.
Jadi dikesempatan yang terluang seperti ini, saya luangkan sedikit masa yang terhad amat ini untuk menulis dan berkongsi bersama anda wahai pembaca yang sudi meluangkan masa anda untuk membaca di ruangan ini. Saya ingin menulis mengenai pengalaman yang sedikit cuma apabila berpeluang berkhidmat di salah sebuah organisasi yang menghubungkan saya terus dengan masyarakat kampung yang sangat berharga dan saya percaya tak semua orang berpeluang untuk menikmati pengalaman ini dan pastinya pengalaman ini ‘mahal’ harganya jika mahu ditukar dalam bentuk nilai wang ringgit. Banyak perkara baru yang saya lalui dan temui hampir setiap hari. Namun, dalam banyak soal, ingin saya sentuh mengenai pengurusan kredit.
Sejak mengambil alih tampuk pengurusan, saya mula meneliti dengan penuh tekun satu persatu setiap pergerakkan kewangan, perniagaan, pentadbiran, aliran tunai,projek pembangunan, pembangunan usahawan,kredit & simpanan, penyusunan pemantapan ahli, program-program berbentuk sosial dan pengaktifan unit dan sebagainya. Apabila menyentuh soal kredit dan pembangunan usahawan, saya mula memberi penekanan yang meneliti. Sebaik sahaja meneliti laporan kewangan bulanan, saya menyemak kepada perkara hutang usahawan. Apabila saya dapati bahawa bayaran kutipan hutang usahawan dilihat sangat lemah dan tidak dibayar oleh sebahagian besar usahawan yang berhutang dengan organisasi. Apa yang memeranjatkan saya, angka berkenaan adalah besar nilainya iaitu setengah juta lebih!
Dan apabila mendapatkan penjelasan daripada pegawai berkenaan, mereka memberikan jawapan steorotaip bahawa memang sifat usahawan untuk tidak mahu membayar. Ada kewajarannya daripada jawapan berkenaan. Tidak dinafikan, bahawa setiap usahawan seakan-akan mahu mengelakkan daripada membayar hutang. Pada pandangan mereka, mereka tidak berhutang dengan bank yang jika mereka gagal membayarnya maka mereka akan berhadapan dengan tindakan mahkamah dan sebagainya. Kini mereka meminjam daripada sebuah organisasi lain daripada institusi perbankan. Jadi tidak perlu gusar pasal kegagalan membayar balik hutang mereka itu. Ada juga jawapan daripada pegawai bahawa ada diantara usahawa-usahawan yang meminjam ini projek mereka telahpun menemui kegagalan dan akibat dari itu maka usahawan seolah-olah menjadikan alasan supaya tidak perlu membayar hutang mereka.

Namun, ,memandangkan saya bukanlah orang yang selalu cepat berpuashati dengan jawapan berkenaan, maka saya ingin mendalami apakah sebabnya usahawan yang berhutang ini gagal membayar balik pinjaman mereka. Akhirnya, saya mendapati bahawa kelemahan di pihak organisasi adalah antara faktor penyebab kepada kegagalan untuk mengutip balik bayaran hutang. Antaranya saya dapati bahawa jadual bayaran balik telah disediakan tetapi apabila setiap kali usahawan yang sepatutnya membuat bayaran bagi setiap bulan tetapi tidak buat bayaran maka tiada seorang pun pegawai bertanggungjawab untuk cuba menghubungi atau mengingatkan usahawan mengenai bayaran yang tertungguk mereka. Tidak ada sebarang notis tuntutan hutang pun pernah dikeluarkan sebagai usaha untuk mengutip bayaran. Apatah lagi terus berhubung dengan peminjam tentulah jawapannya tidak. Pemberian hutang kepada usahawan diberi hampir setiap tahun, tetapi kutipan balik bayaran hutang tidak dilakukan. Akibatnya, hutang usahawan kini telah melebihi 1/2juta lebih dan tidak berjaya dikutip balik. Saudara, jumlah setengah juta ini banyak nilainya. Dan tujuan pemberian kredit ini dilakukan adalah murni lengkap dengan penubuhan tabungnya yang tersendiri. Tujuan pemberian kredit dan bayaran balik ini adalah untuk setiap peminjam yang berjaya diluluskan, hendaklah membuat bayaran semula dan dimasukkan bayaran berkenaan ke dalam tabung usahawan semula dengan harapan tabung ini mempunyai tabung. Dan dengan tabung ini dapatlah memberi pinjaman semula kepada para usahawan baru yang mahu meminjam seterusnya. Apa yang menyedihkan, bayaran tidak dilakukan dan tiada kutipan dilakukan dengan bersungguh-sungguh, maka akhirnya program murni ini dilihat agak kurang memberi impak kepada usahawan seluruhnya akibat daripada tindakan usahawan peminjam yang sebelum ini.

Saya mengambil alih kepimpinan sejak tahun lepas dan sehingga kini. Saya merasakan bahawa sesuatu perlu dilakukan bagi mengatasi kutipan balik bayaran hutang ini. Saya berpendapat bahawa sekiranya nilai setengah juta ringgit ini berjaya dikutip balik dan masuk ke dalam tabung ini, nescaya manfaat yang lebih besar mampu dijana dan diberi kepada para usahawan. Justeru, saya telah mengarahkan pegawai yang bertanggungjawab untuk segera menyemak semula berapa ramai keseluruhannya bilangan usahawan yang meminjam sejak organisasi ini ditubuhkan. Langkah seterusnya adalah menyemak semula dokumen berkaitan pinjaman termasuk perjanjian. Daripada perjanjian kita boleh mengambil tindakan undang-undang yang telah diperuntukkan termasuk mengheret peminjam ke Timbang Tara bagi diadili. Selebihnya, pendekatan secara hikmah iaitu berdiplomasi dan berunding serta mengambil jalan menang-menang yang mana tidak menyusahkan peminjam dan tidak pula membiarkan hutang mereka bertapuk tanpa sebarang penyelesaian.

Alhamdulillah, saya kini dapat melihat pergerakkan yang positif kepada kutipan balik bayaran pinjaman usahawan. Antara pendekatan yang digunakan ialah kepada usahawan yang susah nak buat bayaran, kita memanggil mereka ini ke pejabat dan berbincang. Setiap satu kes melalui proses perbincangan,tarbiyah dan sentuhan kalbu memakan masa melebih hampir setengah jam lebih. Dan akhirnya kepada mereka yang mampu telah membuat bayaran. Kepada yang kurang mampu, kami cuba membantu dengan membeli semula produk mereka tetapi menolak hutang mereka secara kontra. Keputusan ini disenangi oleh para usahawan. Ada yang saya jumpa sendiri menyatakan bahawa mereka sangkakan pinjaman ini tidak perlu bayar kerana sebelum ini pejabat tidak pernah membuat tuntutan. Hasil daripada ini, saya insaf dan sedarlah saya bahawa pendekatan baru dan lebih proaktif perlu dilakukan untuk usaha mengutip balik kutipan hutang selama ini.

Buat anda pembaca yang membaca di sini, sy berharap agar saudara/i mendoakan usaha murni ini untuk kebaikan para usahawan yang membuat pinjaman dan juga akan datang. Wallahualam.

Tuesday 28 August 2012

BERPOLITIK SECARA RASIONAL

Jujur saya katakan bahawa saya agak meminati untuk mengikuti landskap politik tanah air. Walaupun ianya agak bercelaru, tapi ianya sangat menarik juga untuk diikuti. Saya tidak berapa mengambil pusing mengenai jatuh menjatuhkan diantara satu dengan yang lain kerana begitu sedar sekali bahawa itulah asam garam berpolitik.

Tapi saya mula untuk menulis di sini apabila saya melihat bahawa trend kepada anak-anak muda seangkatan saya dan ke bawah, dilihat mereka begitu gemar mengikuti isu-isu politik tanah air dan begitu agresif sekali memuat turunkannya di dalam media sosial. Kadang-kadang tindakan orang muda yang membesar dalam ledakan teknologi, perkara ini begitu mudah untuk di akses berbanding mereka yang sidah berusia. Namun begitu, saya melihat bahawa golongan muda ini agak keterlaluan menyokong sesebuah parti politik. Bahkan, tindakan-tindakan mereka ini dilihat kurang cerdik apabila tanpa pun mengetahui fakta dan isu sebenar, terus bertindak menulis dan memaki hamun di laman sosial. Dalam erti kata mudah, BERPOLITIK MEMBABI BUTA.

Padahal, jika disoal dan ditanya, mereka ini agak tidak memahami dasar, sistem dan sebagainya tetapi mahu berlagak pandai dalam memberi komen dalam sesuatu isu yang dibangkitkan. Trend kini jika anda perasan ialah sangat menyukai seseorang 'ustaz' yang dilihat dalam ceramah-ceramahnya menghentam kerajaan dalam bentuk humour. Maka, apabila keadaan ini berlaku, maka banyaklah di mana-mana FB pun, mereka akan tag kan youtube ceramah ustaz nih, dan liked kan fb fanpage nya. Semua kata-kata ustaz ini akan diambil dan dipaparkan. Maka beratus-ratus liked akan diterima tanda menyokong. Tetapi sekiranya dalam isu yang lain, hujah ustaz ini dilihat selari dengan tindakan kerajaan, maka secara automatik pula ustaz ini akan dicemuh dan dikatakan bahawa "Xblh pakai dia ni...ustaz UMNO". pulak? cuba kita fikirkan.

Demikian juga jika dilihat bahawa jika ada pemimpin parti pembangkang yang menyertai perjuangan parti memerintah, maka secara automatik mereka ini akan dilabel Pemimpin yang DIBELI. Tapi yang hairannya bila ada pula pemimpin parti memerintah yang menyertai pembangkang, maka dikata pula bahawa inilah PEJUANG TULEN! bukankah pelik begitu?

Saudara sekalian, kita menyokong sesuatu isu bukan bermakna kita menyokong UMNO. Kita menentang sesuatu isu pula bukan bermakna kita menyokong PR. Kita sebaliknya rasional dalam sesuatu isu yang dibangkitkan. Jika benar, katakan benar. Dan jika salah kita tetap kata salah. Buat orang seperti saya yang tidak menyertai mana-mana parti politik, kita bebas memilih mana parti yang kita rasakan layak pada pemikiran kita, itu saja. Buat mahasiswa yang ghairah sangat nak berpolitik, habiskan dulu pengajian kamu, dapatkan ijazah dan banggakan ibubapa kamu, dan terserahkan pada kamu untuk terjun ke bidang politik atau tidak kemudiannya. Masa belajar jangan kamu berpolitik. Tumpukan pada pelajaran kamu selaku pelajar.

Rasional lah ketika berbicara soal politik. Jangan terlalu jumud dan terlalu mahu pendapat yang sedap ditelinga kita saja nk kita dengar, berilah ruang untuk orang lain juga beri pandangan walaupun berbeza dengan kita.

Wallahua'lam

Saturday 14 July 2012

Mengapa ramai yang kecewa dengan pasangan percintaan mereka?

Saya kembali menulis di ruangan ini setelah beberapa ketika meninggalkannya akibat daripada kesibukkan tugas seharian.

Kali ini saya ingin berkongsi bersama anda yang sudi membaca entry ini adalah mengenai percintaan. Sebelum terlupa, saya amat mengalu-alukan komen2 saudara/i mengenai pandangan anda supaya boleh dijadikan panduan kepada mereka di luar sana untuk mengharungi percintaan. Mudah-mudahan komen2 bernas anda itu boleh memberi manfaat kepada para pembaca dan mereka yang memerlukan.

Saya dihubungi oleh seorang rakan lama saya ketika sama-sama belajar dulu dan mengadukan akan hal perangai pasangannya kepada saya dan juga ingin mengetahui apakah sepatutnya dilakukan untuk menghadapi situasi seperti ini. Sebagai makluman juga, dia amat menyayangi kekasihnya ini tetapi kadang-kadang telah mencapai tahap untuk tidak sanggup lagi untuk meneruskan percintaan ini kerana sering kali hatinya disakiti dengan kata-kata yang sangat menyakitkan hati untuk disebut dan ditulis. 

Secara peribadi saya mendengar dengan tekun dan sangat bersimpati kepada nasib yang menimpanya.  Sebagai makluman juga, entah bagaimana dan kenapa sebelum ini juga terdapat beberapa lagi orang yang menghubungi saya (terdiri daripada kawan2) dan mengadukan hal pasangan masing-masing pada saya dan memohon pandangan. Pertama sekali saya ingin nyatakan dengan jelas bahawa saya tidak punya kelayakkan untuk menangani masalah semua. Namun, sebagai asas kepada seorang rakan dan juga manusia, saya punyai pandangan untuk dinyatakan dan akhirnya keputusan itu terletak ditangan masing-masing untuk menentukan.

Hasil daripada pendengaran masalah yang dikemukakan oleh setiap mereka yang meluahkan isi hati mereka yang kecewa, sedih dan sebagainya mengenai pasangan masing-masing terutama dalam mengharungi bahtera percintaan adalah beberapa perkara; antaranya ialah;
1.Mereka terlalu menyayangi pasangan mereka sepenuhnya sehinggakan merelakan apa saja dilakukan oleh pasangan masing-masing terhad apa mereka walaupun ianya amat menyakitkan
- Dalam percintaan, kasih mengasihi adalah biasa bagi pasangan. Jika tiada perasaan itu bagaimana pula mahu bercinta, bukan? Namun, apa yang patut dilakukan adalah anda juga seharusnya meletakkan kasih sayang pada diri anda terutama melampaui kekasih masing-masing. Kemudiannya, tidak sepatutnya anda merelakan segala-galanya hatta membiarkan pasangan memaki hamun anda sesedap hati atas dasar sayang padanya tanpa mempertahankan kebenaran dan   batas-batas manusia.

- Saya cukup yakin bahawa itu sesuatu yang sukar untuk dilakukan oleh pasangan yang mabuk dalam percintaan. Soalnya mengapa begitu? jawapannya adalah kerana anda mencintai seseorang itu melampaui tuntutan agama! Sebaliknya jika anda rasional dalam hubungan, anda sentiasa sedar bahawa percintaan ini adalah sesuatu yang indah dan ianya adalah profesional! Apa yang kita dapati hari ini, apabila berkasih saja, apa yang dipinta pasangan maka semuanya kita serahkan. Sampaikan tubuh badan juga kita beri kononnya menunjukkan kasih sayang pada pasangan. Bukankah ianya suatu tindakkan yang bodah?agama tidak anjurkan begitu.


2. Terlalu mengikut perasaan yang memakan diri

-Ada yang diberitahu bahawa kerana cinta, mereka hampir-hampir kehilangan nyawa. Dimasukkan ke hospital berhari-hari  akibat tekanan dari percintaan. Sebenarnya, dalam percintaan ini, ianya sama saja konsepnya dengan perkara yang kita fokus dan sukai untuk dilakukan. Mengapa anda perlu memusnahkan diri dengan menelan ubat yang berlebihan, gangguan fikiran yang melampau,tekanan darah menjadi tidak menentu dan sebagainya akibat cinta?

Sama ada sedar atau tidak, sebenarnya anda sedang terlalu mengikut perasaan. Mulai hari ini, agak mustahil untuk terus membuang perasaan itu, namun ianya boleh dilakukans ecara berperingkat-peringkat. Usah terlalu mengikut perasaan. Sekiranya anda sukar untuk mengatasinya, cuba kenang kembali saat-saat di mana anda belum pernah menemui cinta dahulu? bukankah anda menjalani kehidupan yang ceria sekali tanpa bebanan dalam minda mengenai cinta? Apakah anda sangat membuang masa dengan merosakkan diri dengan tekanan perasaan yang berterusan sedangkan dalam masa sama pasangan anda sedang ceria menjalani hari-hari dalam kehidupan mereka? Sedangkan anda adalah mempunyai peluang untuk menikmati kehidupan ini dengan bahagia, jadi mengapa memilih jalan derita?


3. Anda selalu mahu menjaga hati dan perasaan pasangan, sedangkan dipihak pasangan pula adalah sebaliknya

- Kita selalu mahu menajga hati dan perasaan pasangan kita. Kita sering menjaga ungkapan-ungkapan kita dengan berhati-hati agar tidak melukakan hati orang yang kita sayangi walaupun kadang-kadang perkara itu adalah hipokrit semata-mata. Tetapi sedarkah kita bahawa tindakan-tindakan kita itu kadang-kadang, tidak sedikit pun dihargai oleh pasangan kita, dan tentunya ini akan mengecewakan kita. Tambah memedihkan lagi apabila pasangan pula bertindak sebaliknya dengan sedikitpun tidak mahu menjaga perasaan kita bila setiap kali mengeluarkan kata-kata.

Apa yang perlu anda lakukan adalah dengan membiarkan sekian waktu untuk hilang dalam diri pasangan supaya mereka lebih menghargai dan terasa akan kehilangan anda. Kadang-kadang manusia ini sudah menajdi lumrah, tidak tahu menghargai sesuatu apabila berada dalam genggaman mereka tetapi sangat cuba untuk melakukan yang terbaik bila sesuatu itu sudah tidak lagi berada pada mereka. 


4. Banyakkan mengadu dengan Allah

-Mengadulah dengan Allah yang menciptakan sekalian mahkluk. Nescaya allah sentiasa mendengar rintihan mahkluknya dan pasti Allah tidak pernah menghampakan doa-doa hamba-hambanya,Insya Allah.

Insya Allah, tuhan akan beri petunjuk apa yang terbaik buat kita. Jika petunjuk itu supaya kita memulakan penghidupan yang baru tanpa si dia, maka tidak eprlu menunggu lama tapi bersegeralah untuk mengembalikan keceriaan dalam hidup anda jika itulah yang terbaik buat diri anda.


Saya tutup dengan 4 perkara di atas dan boleh jadi jika ada pembaca yang sudi berkongsi pandangan mereka mungkin dapat dimanfaat bersama-sama, insya Allah.






Sunday 24 June 2012

Hobi kumpul duit syiling RM 0.50

Assalamualaikum w.b.t buat semua pembaca yang dirahmati Allah sekalian, insya Allah. Pada entry kali ini, saya ingin berkongsi bersama anda mengenai satu hobi baru saya, mungkin kalau boleh saya sebut 'hobi', ngeee...

Hobi baru saya yang saya mula minat untuk dekatinya ialah mengumpul duit syiling 50 sen. Hobi ni timbul bila kini duit syiling berkenaan mula berperingkat-peringkat ditukar kepada bentuk dan saiz baru! Jadi, saya dapati saiz duit syiling baru ni dilihat kurang menarik dan kecil saiznya. Mulalah, saya mengumpul duit syiling lama sedikit demi sedikit. Semua syiling 50sen yang saya kumpul dimasukkan dalam tabung saya dan belum pun sempat saya mengiranya tentang berapakah jumlah ke semuanya. Alhamdulillah, kini, tabung berkenaan hampir penuh dan insya allah, jika dah penuh saya akan mula mengiranya sebelum memasukkan ke dalam akaun saya. Niat asalnya, saya nak masukkan ia dalam akaun ASB saya untuk simpanan.

Mungkin saya akan teruskan hobi ini hinggalah sampai satu masa yang saya mula merasa bosan dan bertemu hobi baru mungkin. Buat anda pembaca yang singgah ke sini, duit syiling ni merupakan satu aset yang bagus untuk dikumpul dan kita tak sedar yang 10sen,20sen,50sen itu banyak sehinggalah kita saksikan ia dalam tabung kita yang dah mula penuh. Masa tu, bila kita start mengira semula, baru yang kita tau bahawa banyaknya simpanan hari demi hari. Dari itu, moh le kite mengumpul duit syiling! ;p

p/s : benarlah kata pepatah, "sikit-sikit, lama-lama jadi bukit"

Saturday 23 June 2012

Sukan Dwi Tahunan : Latihan Ping Pong

Kurang lebih 2 minggu saja lagi untuk kontingen LPP Perlis berangkat ke UKM, Bangi bagi mengikuti temasya sukan dwi tahunan yang diadakan setiap 2 tahun/kali. Pelbagai acara sukan yang dipertandingkan. Dasarnya, selain dari tumpuan sukan, ianya lebih kepada mengeratkan tali silatulrahim  sesama warga kerja seluruh negara.

Saya juga menyertai salah satu acara sukan yang dpertandingkan. penyertaan dalam acara sukan ping pong bersama-sama kawan-kawan lain yang sememangnya 'pakar' dalam sukan ini. Pertama kali bermain agak kekok dan susah jugak nak control bola ping pong nih. Tapi hampir setiap hari berlatih, lama-kelamaan, teknik yang betul dan pengasahan kemahiran sedang digilap. hehe.. semua ni pun hasil bantuan dan tunjuk ajar kawan-kawan lain jugak. Thanks ya!

Sebelum nih beli bed ping pong yang biasa saja. Padahal xtau pun rupanya bed ping pong pon ada banyak jenis jugak. Jadi semalam, ambik keputusan pegi dengan member ke kedai sukan then pilihkan yang taklah terlalu mahal, tapi baik sikit dari sebelum nih punya. Jenama THIBAR. hehe.. so, okla kot. Harapnya, kontingen kami boleh menanglah.. insya allah. Tapi kan, sebenarnya permainan ping pong nih bagus jugak. Boleh keluarkan peluh dan menjadikan kita aktif. Sebelum nih saya agak kurang bersukan dan kurang mengeluarkan peluh. Dengan adanya aktiviti setiap petang macam nih, alhamdulillah ianya membantu untuk menyihatkan badan jugak. Taklah asyik menambahkan lemak-lemak dibadan saja dengan tanpa bersukan. hehe.. Doakan kejayaan saya yea! lepas sukan nih pun, diharapkan saya akan meneruskan bermain pada waktu petang untuk menyihatkan badan,insya allah. Pada rakan-rakan pembaca blog ni, pilihlah satu aktiviti sukan sebagai salah satu cara untuk menyihatkan badan anda! ;p

"Jangan ditanya apa organisasi beri pada kita, sebaliknya tanya apa yang kita sumbang pada organisasi" - Mematikan suara keadilan?

Jika anda membaca frasa popular di atas, pasti anda akan mengiyakannya setelah diperdendangkan sejak sekian lama. Itulah kata keramat yang dilafazkan oleh ketua-ketua jabatan/organisasi untuk meniupkan semangat kepada para pekerjanya supaya lebih gigih memberi komitmen dan perhatian untuk memajukan sesebuah organisasi atau syarikat.

Pada beberapa tahun yang lalu, saya juga sememangnya bersetuju dengan frasa berkenaan. Saya menganggap bahawa kata-kata hikmat ini yang dimulakan oleh bekas presiden Amerika ini sangat baik untuk dicontohi kerana ia mampu menghindarkan para pekerja asyik merungut dan mempersoalkan tentang perkara-perkara yang sering dituntut pekerja sedangkan kewajipan selaku pekerja kepada majikannya tidak pula ditekankan. Itu dulu.






Lama kelamaan, setelah beberapa tahun terlibat dalam sektor pekerjaan ini, saya mula terfikir akan sejauhmana ungkapan ini diterjemahkan dalam alam realiti pekerjaan hari ini. Saya mungkin bukan seorang profesor yang banyak kajiannya yang dapat mengemukakan fakta dan data secara saintifik dan konkrit. Mahupun bukan juga seorang pemimpin mana-mana pertubuhan yang kata-katanya didengari ataupun juga bukanlah seorang yang berpengaruh untuk memastikan kata-kata dan pandangan saya mengenai perkara ini yang pada saya sekadar frasa untuk sedap didengar sahaja.  Bahkan ianya hanyalah kata-kata yang mampu untuk disebut dan diungkapkan dalam keadaan ilmiah tetapi belum sesuai untuk diterjemahkan dalam alam realiti.  Saya beri pandangan ini berdasarkan pemerhatian saya cuma hasil daripada apa yang dilihat dan pengalaman rakan-rakan lain yang telah melaluinya.

Apa yang didapati, setiap kali pekerja membangkitkan perkara-perkara yang berkaitan dengan kelemahan dan tuntutan kepada majikan, maka golongan pekerja akan dilabel sebagai sering menekan dan membuat tuntutan yang melampau kepada majikan. Walaupun, tuntutan itu berkaitan dengan kebajikan dan hak para pekerja. Tidak dinafikan bahawa kadang-kadang, tuntutan pekerja juga ada yang tidak relevan tetapi bukannya semua. Saya ingin mengaitkan dengan frasa di atas, bahawa majikan,organisasi sering menyebut mengenai frasa di atas dalam ucapan-ucapan dalam sesuatu majlis yang menghimpunkan warga pekerja sesebuah organisasi. Mengajak supaya para pekerja bekerja dalam satu pasukan dan bersama-sama membangunkan organisasi. Persoalannya, apakah pula tugas dan peranan majikan? Kita sering didoktrin bahawa tidak boleh bertanya apakah yang diberi organisasi kepada kita, tetapi perlu menanyakan diri sendiri tentang apakah pula sumbangan kita kepada irganisasi. Bukankah frasa ini sedang mengasuh dan mengajar kita bahawa tindakan organisasi sentiasa tidak boleh dipersoal walaupun punyai kelemahan dan kekurangan? Kita diajar supaya tidak boleh membangkitkan perkara yang menyentuh soal organisasi. Kita dilatih supaya tidak boleh persoal atau bertanya tentang sumbangan oleh organisasi, sebalik kitalah perlu berkorban kepada organisasi.

Buat yang telah lama berkhidmat, apakah kamu pulang lambat, bersengkang mata 3-4pagi, kamu perlu sediakan masa untuk datang ke pejabat pada hari-hari cuti untuk melaksanakan tugas, kamu masih tidak menyumbang? Dimana 'bos' kamu pada waktu itu? Apakah dengan permohonan cuti kamu yang telah lama kamu plan untuk bercuti bersama keluarga setelah lama xmeluangkan masa bersama mereka tetapi dibatalkan last minute dan kamu diminta untuk bekerja pada wkatu itu tanpa kompromi dan menyatakan "sila utamakan kepentingan organisasi dari family", maka kamu masih belum menyumbang apa-apa pada organisasi kamu?

Kemudian setelah kamu berkhidmat sekian lama jumlah tahun dan waktunya, maka tibalah masa untuk kamu berpencen dan meninggalkan organisasi kamu yang sudah sebati dengan kamu. Kamu dapati bahawa organisasi kamu seolah melakukan kamu seperti sampah dan tak dipedulikan kamu lagi. Jangan katakan yang lain, surat ucapan penghargaan atas khidmat bakti pun xda. Ini saya sedang menyatakan situasi untuk renungan bersama.

Berdasarkan kepada situasi berkenaan, mari kita bandingkan frasa di atas tadi, sedang kamu diasuh mengikut kata-kata di atas, dan kamu mungkin sudah biasa dengannya dan menjadi panduan kamu untuk terus berbakti, tapi bila tiba masanya kamu untuk bersara, maka organisasi tidak pedulikan kamu. Apakah selama ini kamu kurang berbakti/beri sumbangan pada organisasi? Dalam soal ini, bolehkah pula kita bertanya apakah pula sumbangan organisasi kepada pekerja yang banyak berjasa membangunkan organisasi? Dan jika persoalan ini pon kita tidak dibenarkan bersuara, apakah maknanya ungkapan ini? Berat sebelah? Ataukah organisasi sedang mahu mematikan suara keadilan kepada kedua-dua pihak maka dengan mudah memperkenalkan ungkapan ini supaya menutup pendemokrasian dalam kerja?

Saudara, pupuklah semangat untuk mengasihi pekerja dan asuhkan budaya hormati ketua dan didiklah jiwa untuk kasihi organisasi. Walk the talk! Jangan hanya pandai memaniskan ucapan dengan kamu petik kata-kata tokoh-tokoh dunia dan masukkan ia dalam ucapan kamu supaya kamu dilihat sangat hebat dan indahnya ucapan, tapi pelaksanaannya tidak seperti apa yang digambarkan.

Wednesday 20 June 2012

Selamat Bersara En. Hamid,

Alhamdulillah, maha suci  Allah yang menciptakan langit dan bumi dan tuhan sekalian alam. Diharapkan anda wahai pembaca yang sudi meluangkan masa di blog ini sihat belaka hendaknya yea!

Disini saya ingin menulis berkaitan dengan salah seorang staff di pejabat saya - En. Abdul Hamid yang bakal bersara pada 01 Julai 2012 ini. Kurang lebih hanya seminggu saja lagi untuk beliau berada di pejabat sebelum melangkah masuk ke alam persaraan. Selama lebih 37 tahun berkhidmat di organisasi salah sebuah agensi kerajaan akhirnya beliau mengambil keputusan untuk bersara pilihan iaitu pada ketika umurnya 55 tahun.

Bagi meraikan staff yang banyak berjasa ini, saya dan rakan-rakan junior yang lain mahu meraikan beliau dalam satu majlis yang dirancang esok, khas untuk mengenang jasa beliau sepanjang di sini dan dalam perkhidmatan. Tak ada apa yang boleh kami, selaku junior2 nak raikan dan hargai melainkan kami tunjukkan rasa kasih sayang serta perhargaan kami ini pada keesokkan hari nya. Kami harap semoga En. Hamid akan lebih bahagia dan semoga menjalani kehidupan selaku orang yang telah bersara dengan sihat selalu hendaknya.

Bagi kami, selaku junior jika mahu dibandingkan dengan pengalaman yang ditimba oleh En. Hamid, tak terbanding rasanya jauh lagi jika nak diambil dari sudut melaksanakan tugas dan tanggungjawab harian. Dikesempatan ini, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih buat En Hamid atas bakti dan curahan tenaga dan idea disepanjang tugas beliau di sini dan pohon kemaafan jika terdapat salah dan silap disepanjang beliau menjalankan tugas bersama saya. Buat En. Hamid, selamat bersara dan selamat maju jaya! Kami berdoa En. Hamid sentiasa sihat sentiasa,

*satu lagi permata yang sukar dicari ganti seperti beliau buat masa kini dan sukar sekali untuk mengukir semangat bekerja bersungguh-sungguh seperti yang ditunjukkan beliau.,

Tuesday 19 June 2012

Dialog Nasional Pendidikan Negara

Menyentuh soal pendidikan atau dunia pendidikan ini, saya begitu terarah untuk mendekati dunia ini dan juga untuk turut menjadi sebahagian kepada penyumbang bagi merancakkan atau memajukan sektor pendidikan negara bersama-sama dengan yang lain-lain termasuk para akedemia, ilmuan dan sebagainya.





Selaras dengan tindakan kerajaan dengan membuka atau memberi platform buat rakyat Malaysia untuk menyumbang pandangan/idea untuk kebaikan generasi akan datang, maka dianjurkan satu kajian semula ke atas pendidikan negara. Dahulunya, jika kerajaan ingin menggubal sesuatu dasar berkaitan pendidikan, tidak perlu mendapatkan pandangan ramai. Cukup hanya mereka yang tertentu sahaja. Walau bagaimanapun, masa telah merubah segalanya. Kini pendekatan dengan melibatkan orang awam sebagai sebahagian daripada medium atau kaedah untuk melaksanakan sesuatu dasar diambil bagi memastikan idea-idea atau perkara yang bakal dilaksanakan kelak adalah sesuai dan mantap dengan mengikuti denyut nadi rakyat. Oleh itu, sebagai langkah bagi menerima maklumbalas awam, maka dianjurnya sesi dialog nasional pendidikan negara. Apa yang saya ingin sentuh disini adalah saya juga merupakan salahseorang peserta yang terlibat sama dalam sesi ini yang dianjurkan di USM, Pulau Pinang pada 17 Jun 2012 yang lalu.




Walaupun dianjurkan di Pulau Pinang, saya dapat melihat bagaimana rasa tanggungjawab ke atas masa depan 'permata negara' - PELAJAR sangat dititikberatkan oleh kebanyakkan rakyat malaysia yang datangnya dari pelbagai lapisan usia, bangsa, agama dan lokasi. Kedatangan mereka bukannya mendapat sebarang bayaran, bahkan perlu membelanjakan wang sendiri untuk datang iaitu termasuk membiayai kos pengangkutan,tol dan sebagainya. Tapi, atas rasa tanggungjawab itu mungkin mereka sanggup datang beratus kilometer agaknya untuk ke sesi ini. Syabas saya ucapkan kepada mereka!

Saya mulakan dengan beberapa respons yang diterima daripada para peserta yang hadir bagi sesi di Pulau Pinang. Rata-rata termasuk saya yang turut mengambil bahagian dengan tegas menyuarakan mengenai kualiti guru, fasiliti dan juga mengenai aspirasi yang diharapkan oleh rakyat malaysia untuk melahirkan permata negara pada masa depan.

Kualiti Guru sebagai penyampai ilmu
  Kementerian seharusnya sedar bahawa pelajar/murid sekolah nerupakan permata negara yang akan mewarisi negara ini pada masa depan. Justeru, bekalan mengenai ilmu akademik dan nilai moral hendaklah seimbang diantara keduanya. 
Selaras dengan itu, untuk melahirkan permata, maka tentu sekali guru-guru yang bertindak sebagai pendidik dan penyampai ilmu juga perlu dilihat semula dari segi kualitinya. Apakah dengan tindakan kerajaan mengambil graduan ijazah menjadi guru melalui KPLI dan GSTT merupakan satu langkah tepat? Sedangkan, apakah kerajaan sedar bahawa graduan-graduan ini pada asalnya tidak pun mempunyai cita-cita sebagai guru? dan hanya apabila mereka-mereka ini  tidak boleh bersaing di pasaran terbuka dan diterima oleh pasaran kerja, maka jalan mudah dan menjamin masa depan adalah dengan memohon untuk menjadi guru dibawah kementerian pelajaran. Cuba kita tanya diri masing-masing, apakah kualiti yang kita harapkan untuk mendidik dan melatih anak bangsa? Berapa ramai diantara guru-guru hari ini yang punyai jiwa pendidik dan berapa ramai pula yang menjadi guru semata-mata untuk MAKAN GAJI?

Sepatutnya, kemasukkan untuk menjadi guru seharusnya dilihat dan dikaji semula.

Sikap Guru itu sendiri
 Kita telah sedia maklum bahawa semasa temuduga untuk kemasukan menjadi guru, antara soalan yang popular ditanya oleh panel temuduga adalah "sekiranya kamu ditempatkan di pedalaman, sabah atau sarawak apakah kamu bersedia untuk ke sana?" Jawapan yang sangat popular pula kita pasti dengar adalah "sudah tentu! tugas dan peranan guru sememangnya menuntut supaya guru bersedia berkhidmat dimana juga, kerana tugas itu mulia"

Persoalannya, apakah ianya benar datang dari hati? Mengapakah setelah ditempatkan di sesuatu tempat, maka timbul persoalan yang guru mohon pindah dan sebagainya? mana janji kamu sewaktu masa pertama kali ditemuduga dulu? Jangan kamu letakkan alasan sebagai berkahwin, perlu menjaga keluarga dan sebagainya untuk kamu berpindah! Tambah menyedihkan lagi apabila masalah ini adalah berkaitan diri kamu, tetapi kamu telah jadikan ia sebagai masalah kerajaan dan kementerian! Kononnya, jika guru mendapati masalah prestasi menurun, maka disalahkan kerajaan dan kementerian yang tidak melayan permohonan perpindahan mereka. Boleh pulak ditanyakan kepada kementerian bahawa jika hati guru sudah tidak ada di situ, maka bagaimana untuk menyampaikan khidmat terbaik untuk anak bangsa? bukankah anak didik yangmenjadi mangsa?

Inilah persoalan yang kadang-kadang selalu bermain di fikiran. Dimana pula janji-janji kamu sebelum ini, yang kononnya boleh berjauhan dengan keluarga, suami,isteri dan sebagainya? hari ini saja, Timbalan Perdana Menteri dengan terbuka mengakui di Parlimen bahawa kementerian/kerajaan gagal menangani isu kekurangan guru! alasannya kerana permohonan pertukaran masih belum boleh diatasi sepenuhnya. Jika saya diberi kesempatan untuk menangani masalah ini, pasti saya akan utarakan mengenai option kepada para guru. Jika terlalu banyak sangat alasan sehinggakan menjejaskan tumpuan mereka melaksanakan tugas dan tanggungjawab, maka guru-guru bermasalah ini perlu diberi peluang untuk memilih jalan keluar dari profesion perguruan dan memilih kerjaya lain selain guru. Keadaan ini lebih sempurna daripada kementerian sakit kepala melayan karenah yang tak pernah habis-habis berkaitan warga didik ini.




Majlis Tindakan Pendidikan Negara

Antara cadangan peserta dialog ialah menyarankan kepada kerajaan supaya soal pendidikan sepatutnya tidak dipolitikkan oleh mana-mana pihak sekalipun. Cadangan supaya satu majlis ditubuhkan khusus untuk pendidikan sahaja sepertimana yang dilakukan ke atas ekonomi negara dengan menubuhkan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) sebelum ini. Penubuhan ini wajar dilaksanakan segera bagi menyelesaikan permasalahan dan pelaksanaan dasar oleh kerajaan berkaitan pendidikan negara.



Akhir sekali, harapan seluruh peserta dialog yang dihadiri panelnya Tan Sri Alimuddin Md Dom, Mantan Ketua Pengarah Jabatan Pelajaran Malaysia dan Prof. Sivamurugan Pandian, Timbalan Dekan dari USM adalah semua perkara yang dibangkitkan diambil perhatian oleh kerajaan dan kementerian khususnya dan bukannya hanya membuat secara 'selective" sahaja dan selebihnya dibuang dalam tong sampah! disamping itu juga, pandangan, kritikan dan idea yang dilontarkan dalam majlis ini patut diberi penekanan dan tidak hanya menjadikan majlis ini sekadar platform yang sekadar "wayang" sahaja untuk menunjukkan kementerian sangat prihatin kepada pandangan awam sebaliknya sekadar untuk mengambil hati rakyat semata-mata.

Demi memastikan anak didik atau permata negara ini dipelihara dan dicorakkan sebaiknya, maka menajdi harapand an tanggungjawab semua rakyat malaysia untuk sama-sama berganding bahu bagi membantu kerajaan untuk sama-sama menjayakan misi nasional ini, insya Allah.

Wednesday 13 June 2012

Lambaian Kaabah, rinduku pada baitullah..

Bismillahirahmanirrahhim.. assalamualaikum w.b.t buat anda yang sudi membaca entry ini adanya. Doa saya buat anda semoga sentiasa berada dalam rahmat Illahi dan bersama dengan kasih sayang yang dipinjamkan olehNYA untuk dikongsi dengan orang-orang yang dikasihi. Bersyukurlah kepada tuhan yang menciptakan langit dan bumi (ALLAH), mudah-mudahan dengan memperbanyakkan kesyukuran itu, Allah akan tambahkan nikmatNYA kepada kita semua insya Allah.

Saya ingin berkongsi rasa bersama anda sekalian dimana satu daripada rukun islam ialah mengerjakan ibadah haji pada yang mampu. Ucapan pertama yang ingin dinyatakan di sini adalah Alhamdulillah... akhirnya impian untuk mengerjakan ibadah haji buat diri saya telah memasuki fasa awal dimana saya telah pun berjaya mendaftar sebagai calon jemaah haji Malaysia yang insya Allah jika mengikut perancangannya, dan jika diberikan keizinan waktu dan sihat tubuh badan, saya akan mengerjakan ibadah haji pada tahun 2050 masihi. Allahurobbi. Walaupun jangka masa itu agak lama, tapi doa saya yang tidak pernah luput adalah supaya saya dapat mengerjakan ibadah ini dan dapat sendiri melihat kebesaran Allah di tanah suci kelak. Jika diawalkan, subhanallah tentulah saya lebih bersyukur dan tidak sesekali untuk melepaskan peluang berkenaan.

Sejak kecil, lambaian kaabah ini menjadi bualan dan juga sebuatan oleh kedua ibubapa saya supaya sentiasa berazam dalam diri akan suatu hari nanti untuk menjejakkan kaki ke tanah suci bagi mengerjakan ibadah haji. Tiupan semangat dan keadaan ini juga telah mendorong saya untuk juga mahu mendaftar sebagai salah seorang calon jemaah haji. Wahai pembaca sekalian, tidak semua yang sihat tubuh badan dan cukup kewangannya boleh pergi mengerjakan haji. Cuba kita tengok disekeliling kita bahawa betapa ramai orang punyai kestabilan kewangan dan sihat tubuh badan tapi belum tergerak untuk mengerjakan haji. Justeru itu, marilah kita beramai-ramai memasanga niat dan azam untuk suatu hari nanti diberi keizinan oleh Allah s.w.t untuk mengerjakan ibadah haji.





Saya juga ingin menyeru dan mengajak diri saya dan anda wahai pembaca yang dikasihi, supaya kita lebih untuk mengutamakan perintaah Allah, ajaran agama melampaui segalanya. Adalah sedih dan malang sekali apabila ada perintah yang dikeluarkan supaya jemaah haji yang telah layak untuk mengerjakan ibadah yang bertahun lamanya dinanti, tapi cuba diminta supaya tidak pergi demi kepentingan politik dan parti. Apakah parti dan politik melampaui agama? Allahurobbi.. Marilah kita bermuhasabah diri kita dengan sebenar-benarnya, mudah-mudahan Allah lorongkan kita ke jalan yang diredhai Illahi, Insya Allah.

*rinduku pada baitullah...

Saturday 9 June 2012

Pelikla,,

Assalamualaikum dan diharapkan kepada pembaca yang sudi membaca di blog ini akan sentiasa dirahmati illahi hendaknya.

Kali ini saya ingin menulis entri yang pendek saja iaitu mengenai rasa pelik saya bila melihat ada sesetengah kita yang sibuk nak update pasal anak dia. Ya mungkin saya tidak begitu ambil kisah sangat jika yang peng'update' itu adalah dikalangan kaum hawa, tapi bila ianya melibatkan kaum adam, saya mula rasa pelik dan bila terlalu banyak sangat di 'update' pasal anak, mulalah saya naik menyampah!

Saya mungkin bersetuju dengan pandangan yang mengatakan bahawa mungkin si ayah ingin berkongsi kegembiraan dengan semua. Tapi kalau setiap perbuatan atau apa saja mengenai anak anda nak di tuliskan, dan siap dialog dengan anak pulak???????cakar muka lah, menangis lah,nak g shopping lah, dah mula sombong ngan ayah dia lah, haish...jangan excited lebih sangat, bersederhanalah dalam banyak keadaan.. mungkin juga ada yang berpandangan bahawa itu adalah blog dia, maka biarlah dia nak update pasal apa sekali pun. Ya, saya juga bersetuju dengan itu, tapi apakah juga dengan itu kita juga tidak punya hak untuk melontarkan pandangan dan kritikan kita?

Apakah anda bersetuju jika hampir semua perkara, tingkahlaku anak diceritakan di sini atau cukuplah sekadarnya?


Wednesday 6 June 2012

Selamat Menyambut Ulang Tahun Kelahiran Mak

Subhanallah! esok merupakan hari ulang tahun buat mak saya yang sangat-sangat saya kasihi di dunia dan akhirat. Alangkah gembiranya hati ini kalau dapat sambut ulang tahun kelahiran di sisi mak,, Boleh jadi, mak akan lebih rasa dihargai bila anak-anak mak menyambut hari lahir mak disamping mak kan? Sayangnya mak, kami jauh diperantauan dan kebetulan hari esok,7 jun jatuh pada hari kerja dan bukannya hari cuti.

Tambahan pulak, tuntutan tugas yang sangat menghimpit buatkan anak mak ni rasa sangat sedih bila tak dapat menyambut dan meraikan mak pada hari esok. Apapun, kejutan tetap akan berlaku untuk hari esok! hihi,, semoga mak akan lebih gembira dan ceria sebaik saja kejutan itu tiba untuk hari esok yea.

Mak,, walaupun jauh dan tahun ni xdapat menyambut dan meraikan mak sempena ulang tahun kelahiran mak, tapi mungkin mak perlu tau yang anak mak ni sangat sayang pada mak. Doa pada mak, semoga mak sentiasa sihat,panjang umur dan Allah sentiasa merahmati mak dan mengasihi mak berpanjangan. Semoga umur mak sentiasa diberkati Allah dan harapnya mak sentiasa ceria dan bahagia...

Sebenarnya, xada perkataan dan tulisan yang mampu ditulis dan diungkapkan disini untuk menggambarkan kasihsayang anakmu ini padamu,,hanya Allah saja yang tahu macamna kasih dan sayangnya daku padamu,mak. Semoga Allah panjangkan usia mak dengan penuh keberkatan dan dilimpahkan kurniaan yang membahagiakan dunia dan akhirat. Insya Allah., buat mak yang banyak berjasa pada kami, Selamat Hari Ulang Tahun Kelahiran Mak,,







Dah banyak berubah,dah jauh beza,,

Assalamualaikum w.b.t buat anda wahai pembaca yang setia menyinggah dan membaca di blog ini. Semoga diharapkan anda sentiasa berada dalam limpah dan rahmat serta kasih illahi hendaknya. Agak lama juga saya tidak update entry di ruangan blog sy ini. Boleh jadi saya bukanlah penulis tegar untuk meng'update' blog ini seperti bloger2 yang lain yang boleh dikatakan dalam 1 hari tuh, 4-5 entry baru di update.

Tinggalkan seketika mengenai intipati awal kalam bicara di atas. Saya ingin berkongsi bersama anda mengenai satu perkara yang tidak berapa penting mungkin tetapi ianya begitu signifikan buat diri saya. Pada 31Mei 2012 yang lalu, saya bersama seorang teman ke Terengganu dan singgah bermalam di Kota Bharu. Suasana dan keadaan di Kelantan sudah jauh berbeza daripada 6 tahun yang lalu. 6 tahun yang lalu dimana, saya dan rakan-rakan berada di Kelantan untuk menuntut ilmu. Jauh berbeza dan jauh berubah.

Sebagai contoh, kami check in di tengah-tengah Kota Bharu, saya dapati dahulunya roundabout di tengah-tengah bandar kota bharu digunakan untuk masuk ke jalan-jalan pilihan, tapi kini ianya telah jadi jalan sehala. Di KB MALL misalnya, masih lagi saya teringat bahawa traffic light yang berada berdekatan disitu, begitu jauh jaraknya dengan seberang jalan, tapi kini, dengan adanya satu flyover di atasnya melihatkan traffic light itu sudah semakin mengecil diantara jarak ke seberang jalan. Mungkin anda di luar sana sudah menganggap biasa bagi yang kerap ke kelantan atau baru sahaja pulang dari sana, tapi bagi saya ianya sangat nostalgik apabila kali terakhir menjejakkan kaki ke kelantan adalah pada tahun 2007 iaitu semasa majlis konvokesyen! Ketika  mula-mula menjejakkan kaki di kelantan tahun 2003, seakan mahu saja cabut lari dan tak mahu duduk kelantan kerana suasana yang tak menyenangkan hati bila melihat keadaan yang sangat naif dan boleh dikatakan 'tiada apa' langsung.

Stesen Bas Jalan Hamzah - Dulunya terletak di belakang KB Mall. Disitulah tempat kami anak perantauan akan berkumpul untuk menaiki bas ekspress untuk pulang ke kampung halaman bila tiap kali cuti semester dan cuti perayaan. Tapi kini, tapak stesen bas berkenaan telah pun tiada dan dilihat tersergam indah bangunan hotel Tune AirAsia. Difahamkan stesen berkenaan telahpun berpindah ke tapak baru.

Politeknik Kota Bharu, Kok Lanas  - Dulunya ketika saya mula menjejakkan kaki, bangunannya yang buruk dan sangat tidak menyelesakan. Namun, ditahun terakhir sempat juga saya merasa guna bangunan baru. Tapi kali ini bila kami singgah untuk lihat tempat dimana kami pernah menuntut ilmu suatu ketika dahulu, ianya telah jauh berbeza. Pagar,bangunan dan kemudahan juga telah berubah sama sekali. Saya masih ingat lagi bila hendak mengeluarkan wang simpanan, kami perlu ke pekan ketereh atau machang, kerana di sana mempunyai bank. Tapi kini, pelajar-pelajar disana, boleh saja mengeluarkan wang masing-masing di Politeknik berkenaan saja kerana kemudahan ATM telah disediakan. Amboii,,untungnya la hai,,









UiTM Machang - Tempat yang juga signifikan pada saya sepanjang di kelantan. Tempat dimana kawan saya belajar di sini. Kini, dihadapan universiti ini juga sudah jauh berbeza. Jalan yang menghubungkan dengan universiti ini juga kini sudah jauh sibuk berbanding zaman saya dahulu. Perubahan masa dan keadaan agaknya.

Ermm satu lagi, sebelum terlupa, simpang jalan utama ke politeknik dulunya hanya simpang tiga dan usang. Tapi kini, dipekan kok lanas, simpang berkenaan dah jadi simpang 4! makkaaiii..canggih-canggih.. kedai-kedai makan masa saya dan kawan-kawan melepak waktu malam tengok AF dulu pun dah xda lagi, banyak digantikan dengan gerai baru. Ada pasar raya lagi. Kami cari jugak kedai roti canai kuah sardin yang jadi pot kami melepak waktu lewat malam sekityar jam 12 or 2-3pagi musim menyiapkan assignment pun dah xda lagi,,semuanya berlandskap baru! fuhh,, dahsyat2..

Oklah para pembaca yang sudi membaca hingga habis entry ini sekalian, terima kasih diucapkan.

Nota: Tuntutlah ilmu sebanyaknya. Kerana menuntut ilmu juga adalah jihad ke jalan Allah. Menuntut ilmu juga amalan mulia dan terpuji. Beza antara orang tidak berilmu dengan yang berilmu. Allahurobbi.

Sunday 27 May 2012

Hari Peladang,Penternak & Nelayan 2012

Assalamualaikum dan semoga diharapkan agar anda pembaca setia blog ini sentiasa sihat dan bahagia selalu hendaknya. Entri kali ini menyentuh sedikit mengenai satu perayaan yang meraikan kelompok petani,peladang,penternak dan juga nelayan tanah air setiap tahun.

Barangkali sambutan perayaan hari ini tidaklah se-gah sepertimana perayaan untuk meraikan Sambutan Hari Guru mungkin dan tidak begitu signifikan kepada semua orang sepertimana Hari Pekerja, namun ianya cukup diraikan dan memberi makna kepada golongan petani,penternak dan nelayan. Hari dimana pengiktirafan kepada jasa mereka dalam membangunkan tanpa jemu dalam keterlibatan sektor pertanian sejak dahulu hingga kini. Hasil jerih payah mereka untuk mengeluarkan hasil makanan terutamanya padi dan makanan lain seperti sayuran,daging,ikan dan sebagainya untuk memastikan kecukupan makanan rakyat Malaysia sentiasa terjamin walaupun kekangan terhadap sektor pertanian kini semakin mencabar dan juga melibatkan kerajaan terpaksa meng'import' barangan keperluan dari negara luar.

Negeri Perlis telah memilih tarikh 24/05/12 hingga 27/05/12 sebagai sambutan perayaan Hari Peladang,Penternak dan Nelayan ini diperingkat negeri. Namun, sambutan ini akan diteruskan hingga ke peringkat kebangsaan dan sambutan Malaysia Agriculture,Horticulture and Aquaculture (MAHA) yang akan berlangsung setiap 2 tahun di tapak MAEPS Serdang, Selangor. Banyak produk pertanian yang akan dipamerkan dan turut dijual di sana yang membabitkan penglibatan seluruh negara oleh para peladang dan mereka yang terlibat dalam sektor pertanian. Kemeriahan ini juga pastinya akan turut dikunjungi oleh orang kenamaan dan yang datangnya dari pelbagai lapisan masyarakat.

Hasil pengalaman dan pemerhatian mengenai hari seumpama ini biasanya produk yang dibawa akan laris terjual. Contohnya, jualan jagung madu akan laris jualannya apabila produk berkenaan di bawa ke sana. Namun, agak pelik apabila produk berkenaan dijual dipasaran tempatan dan tidak memasuki sebarang ekspo seumpama ini. Sedangkan produk yang sama juga cuma berbeza lokasi dan keadaan. satunya jagung dijual di kampung dan satu lagi jagung yang di bawa dari kampung dan dijual di ekspo seumpama ini. Kadang-kadang harganya lebih mahal dari jualan biasa. Namun, permintaan melalui ekspo dan sebagainya lebih menggalakkan daripada jualan di tepi jalan atau dikampung-kampung mahupun di pasar malam. Mungkinkah juga orang mengejar brand? maksud saya, orang akan rasa lebih bangga apabila dapat beli jagung misalnya dari MAHA berbanding jagung dikampung mahupun dipasar malam walaupun harganya lebih mahal dari jualan biasa. Mungkin juga.

Apapun, saya berharap agar sambutan seumpama ini lebih memberi makna lagi dengan pengisian-pengisian yang menarik dan juga dapat dijadikan tumpuan kerajaan dalam membangunkan sektor ini dengan lebih mampan dan juga bukan sahaja membangunkan masyarakat tani, tetapi juga para pegawai yang terlibat dalam sektor pertanian ini yang jasa mereka juga tidak boleh dinafikan terutama dalam membangunkan,membimbing dan melatih para peladang dengan sewajarnya melalui ganjaran setimpal. Apa yang penting, mereka ini sedang mendidik manusia untuk menjadi manusia yang berpengetahuan dan terlatih dalam amalan harian mereka. Guru kepada orang dewasa yang terlibat dalam sektor pertanian khususnya.

Buat semua masyarakat tani, Selamat menyambut Hari Peladang,Penternak dan Nelayan 2012!


Thursday 17 May 2012

Peluang dan Situasi & Bara

Saya seakan terfikir panjang dan merenung tajam kepada 2 buah ungkapan oleh 2 orang rakan ketika masing-masing melontarkannya. 1."Antara peluang dan situasi, kadang-kadang ada peluang tapi situasi boleh merosakkan peluang. Dan ada ketikanya, seseorang perlu mengambil peluang pada satu-satu situasi". 2. "Jangan jadi seperti bunga api yang membakar dengan begitu cepat. Memang cantik bila mengeluarkan percikan bunga api diudara yang bewarna-warni, tapi kecantikan itu tak bertahan lama. Bila habis saja kemilauan percikan itu, maka terus terpadam dan tidak meninggalkan sebarang cahaya dan bara. Sebaliknya jadilah bara, tahan lama walaupun tak cantik, tapi banyak gunanya-boleh nyalakan api semula".

Begitulah 2 buah ungkapan yang dilontarkan di meja kedai kopi 2 malam yang lepas dan membuatkan saya terfikir panjang dan memuhasabah diri ini kepada kehidupan di dunia ini yang penuh dengan cabaran dan ujian yang semakin tidak pasti. Pertamanya, soal peluang dan situasi. Saya sering memandang dan berfikiran untuk memastikan supaya kata-kata atau ungkapan itu menjadi panduan untuk kehidupan saya selaku anak muda. Peluang biasanya datang kepada kita hanya sekali, dan jika kita tidak memanfaatkannya dengan sebaiknya maka peluang itu akan berlalu. Namun, apabila ada peluang, kemungkinan situasi semasa ketika itu tidak mengizinkan. Maka pastinya peluang akan dirosakkan dan terus berlalu dek kerana situasi yang menekan. Banyak contoh yang boleh diambil, antaranya, bagi sesuatu perniagaan yang berpotensi untuk diceburi tetapi situasi persekitaran sesebuah negara yang kacau bilau membuatkan situasi telah merosakkan peluang yang ada. begitu jugalah dalam banyak contoh yang lain.

Bagi persoalan kedua, mengenai bunga api dan bara. Ianya agak dekat juga dengan kehidupan manusia dan tidak terkecuali seperti saya. Saya melihatnya akan sifat bunga api yang menyala dan memercikkan bunga api yang bewarna warni yang sangat cantik di udara, tapi tempohnya tidak lama dan bersifat sementara. begitulah halnya jika dibandingkan dengan kerja kita. Saya tidak berhasrat bagi memberi sebarang contoh disini, atas sebab-sebab yang saya kira agak kurang wajar untuk dilakukan sebaliknya aya penuh yakin dan percaya bahawa anda di luar sana boleh mengunakan akal fikiran sendiri bagi menafsirkan sifat bunga api dan bara ini sebagai pedoman masing-masing.

Selain itu, saya juga mengalu-alukan pandangan dan komen anda melalui sudut pandang anda sendiri berhubung 2 ungkapan berkenaan supaya ianya dapat dilihat dari dimensi yang pelbagai dan sebagai percambahan fikiran dan ilmiah.

Monday 14 May 2012

Selamat Hari Ibu buat Mak... maaf terlambat

Setiap kalinya tiba hari ibu pastinya ia akan menyentuh jiwa saya. Walaupun ianya tidaklah digahkan segah hari-hari perayaan atau sambutan yang lain, namun ia tetap memberi makna yang sangat mendalam buat saya.

Buat mak, tahun nih sangat sibuk dengan persiapan dan persediaan untuk menghadapi peperiksaan akhir semester. kebetulan pula, tarikh hari ibu jatuh pada hari peperiksaan. Alangkah seronoknya jika dapat bersama mak kala itu kan,. Walaupun ucapan ini agak terlambat, tapi dengan penuh yakin bahawa ucapan ini bukannya hanya tertumpu pada hari-hari tertentu sahaja, bahkan boleh diucapkan pada bila-bila masa cuma diraikan pada satu hari yang dikhaskan.

Menyentuh mengenai sambutan hari guru, teringat dan tersentuh saya mengenai rakan di twitter saya yang menulis di sana mengenai terkenangkan akan arwah ibunya pada setiap kali orang lain menyambut hari ibu. tatkala orang lain meluahkan rasa terhadap ibu maisng-masing melalui twitter,Fb, sms, telefon dan bersama insan tersayang -IBU, namun kawan saya ini tidak dapat meraikannya memandangkan ibunya telah pergi dulu mengadap illahi. Tulisan dan tangisan dan kesedihannya pasti saya juga dapat merasai apabila saya juga telah kehilangan orang yang saya kasihi iaitu Ayah saya yang telah lama meninggalkan kami.. Pasti perasaan sama juga saya dan dia dikongsi.

Saya mengharapkan supaya, ibu saya yang lebih mesra saya panggilnya dengan panggilan mak,, supaya sihat sentiasa, ceria dan sentiasa berada dalam redha Illahi. Semoga cita-cita mak dan kita semua untuk menunaikan ibadah haji sekeluarga akan tercapai melalui keizinan Allah yang mengatur dan bijak menyusun corak kehidupan hamba-hambanya ini, insya Allah...

Buat anda yang di luar sana, yang masih punyai ibu dan punyai waktu untuk menghargai dan mengasihi mereka, maka bersegeralah berbuat demikian sementara mereka masih ada...Sesungguhnya kasih ibu membawa ke syurga dan redha Ibu maka redha lah sekalianya buat kita, Insya Allah,.,

Abis dah tuk sem nih,,

Hurrayyyy!!!!!,,, gambaran keseronokan sebaik saja selesai jawab soalan last paper tadi. hihi.. Selama nih yang duk sakit kepala dan jadual waktu persendirian jadi tak menentu dah pun sampai ke akhirnya. Alhamdulillah. tapi, wait... bukan tamat selamanya,,, just untuk sem nih saja. Untuk sem baru akan datang tuh, kita akan cerita lain..

Walaupun, semester nih agak kelamkabut, beberapa perkara yang perlu diberi perhatian dan ditambah baik untuk sem akan datang dalam sesi pembelajaranku ini ialah perlu menguruskan masa dengan sebaik mungkin dengan memastikan bahawa segala tugasan yang diberikan dapat disiapkan awal dari tarikh akhir penghantaran tugasan. Tak nak jadi macam sem nih,, dengan tanggapan bahawa "tak apa,, masa masih panjang lagi" telah membuatkan saya kadang-kadang hampir terperangkap dengan desakan waktu yang akhirnya menyebabkan pengurusan diri dan masa jadi berterabur. Tugasan sepatutnya boleh disiapkan dengan susunan sempurna tapi dah jadi berterabur kerana mengejar masa atau tarikh akhir yang sememangnya telah hampir.

Azam untuk sem akan datang ni, semua tugasan yang dberikan perlu disiapkan secepat mungkin dan tidak bertangguh. Persiapan untuk hadapi peperiksaan perlu diperkemaskan secepat dan seawal mungkin. Biarkan pembacaan atau ulangkaji pelajaran dilakukan dengan berulang-ulang. Pengajaran bagi sem nih, apabila banyak subjek yang saya xsempat cover semua topic dan akhirnya menjadikan saya sem nih, bukan lagi mengulangkaji tapi sebaliknya berusaha untuk menghabiskan bacaan dan membuat spot pada topik2 yang dirasakan akan ditanya dalam peperiksaan nanti. Akibatnya, banyak soalan yang ditanya tidak dapat dijawab dengan sempurna oleh saya sendiri. Kenyataan itu memang diakui akan kelemahan saya sendiri.

Buat dunia pendidikan,, saya amat merindui kamu.. insya allah saya akan pastikan sesi pembelajaran ini akan tamat dengan jayanya. Amin. Mudah-mudahan anda yang turut membaca entry ini akan turut mendoakan yang terbaik buat saya! Bye,,, ;)

Tuesday 8 May 2012

07.05.12 :Genap 20 Tahun Pemergian Abang Sulung Saya

Alangkah baiknya jika masa itu boleh diundurkan semula. Boleh jadi jika keizinan itu diberi, pasti akan saya gunakan sebaiknya untuk memastikan segala upaya untuk membolehkan sebarang penawar baik mengubati penyakit yang dihidapi oleh arwah abang tersayang suatu masa dahulu. Tapi, semua itu sudah berlalu. Beliau pergi meninggalkan kami buat selama-lamanya. Allahurobbi..

Sedihnya perasaan itu buat seluruh keluarga sangat tidak terhingga, sehinggakan tidak tergambar dengan kata-kata, melainkan mengenangkan kami masih berpegang pada ajaran agama yang mengajar erti terima ketentuan dengan pasrah dan reda.

Mohd Isma Hafiz bin Ishak seorang abang sulung kepada kami 5 beradik yang telah kembali kerahmatullah pada 07 mei 1992 akibat penyakit denggi berdarah. Ketika itu umurnya baru berusia 10 tahun. Kehilangan ini membuat seluruh keluarga kami pilu mengiringi pemergiannya. Tak sangka begitu cepat abang meninggalkan kami. Belum sempat cita-cita dan angan-angan yang sama-sama diungkapkan bersama dicapai tapi abang telah pergi dulu menghadap Illahi. Tinggallah kami yang belum pasti bilakah pula untuk kami menyusuli jejak berkenaan ke alam yang kekal di sana.

Ketahuilah bahawa, walaupun telah 20 tahun berlalu, belum pernah sekali pun saya mahupun keluarga kami melupai abang dan pastinya kami sentiasa terkenangkan abang. Boleh jadi, inilah yang dipanggil kasih sayang..

Mudah-mudahan, rohnya ditempatkan dikalangan para solehin dan semoga dicucuri rahmat hendaknya. Amin,

*mood ketika ini, sangat merindui abang... memohon keizinan Allah s.w.t agar suatu ketika nanti agar dieprtemukan kita sekeluarga di sana di bawah lembayung dan rahmat Allah Maha Pencipta dan Pengasih lagi Maha Penyayang, amin.

Thursday 3 May 2012

PANDANGAN MENGENAI BERSIH 3.0

28 April 2012 yang lalu, satu perhimpunan besar-besaran telah berlaku di ibu negara yang melibatkan puluhan ribu dan mengikut sesetengah orang pula menyatakan ratusan ribu peserta bersih yang menyertai perhimpunan raksaksa itu yang mahu menyatakan dan mahukan pilihanraya yang bersih,adil dan bebas.

Niat dan hasrat asal dilihat cantik dan sangat bersih lagi murni. Saya tidak berhajat untuk mengulas mengenai hasrat dan niat serta keadaan di perhimpunan berkenaan. Sudah pasti kini dan sebelumnya ramai orang telah menghantar komen dan ulasan serta menulis blog mengenai bersih. Ada yang menyokong dan tidak kurang juga yang menentangnya. Walau apapun, ianya bersandarkan kepada hujah masing-maisng yang melihat dan menilai dari sudut pandang masing-masing.

Apa yang ingin diperkatakan disini adalah mengenai apakah rasionalnya penganjuran bersih dan apakah pula kewajaran tindakan pihak kerajaan untuk bertindak balas dalam menangani soal ini?

Sekadar pandangan saya;

Pada saya, tindakan asal bersih adalah mahu menyatakan rasa tidak puas hati mereka mengenai sistem pilihanraya yang berlaku dalam negara ini yang pada pandangan mereka bahawa apa yang berlaku sekarang ini adalah masih tidak menepati apa yang mereka mahukan dan inginkan. Jadi, tindakan-tindakan untuk menyatakan rasa ketidakpuasan hati ini sepatutnya dilakukan melalui saluran yang betul dan tidak berlangsung dijalan-jalan. Tetapi jika itulah pilihan yang ada, sedia berlapang dada dan lakukanlah dengan aman dan sempurna. Tunjukkan ketinggian tamadun sesebuah negara bangsa yang anda sendiri sedang perjuangkan yang kononnya menentang kekejaman dan kezaliman serta penindasan yang difikirkan sebelum ini bukan?


Kerajaan Dalam Menangani Kelompok Peserta yang memprotes

pendapat saya, dalam soal kerajaan mahu menangani perkara seumpama ini pada masa depan, seharusnya ditangani secara berhemah dan penuh hikmah. Dari pemerhatian mendapati banyak tersebar mengenai kekejaman dan tindakan-tindakan pihak berkuasa melakukan tindakan terhadap peserta perhimpunan. Adalah wajar sebenarnya ianya dilakukan dengan melancarkan satu kaedah menangani melalui kaedah secara senyap dan berdisiplin. Antaranya, sepatutnya pihak polis terutamanya tidak perlu untuk meyekat jalan2 dan memasang barbwire untuk menyekat kemaraan peserta. Pihak kerajaan seharusnya membiarkan peserta yang mahu berhimpun secara aman berhimpun. Polis boleh menjalankan tugas rutin dan seolah-olah tidak ada apa yang perlu diberi tumpuan di sana. Dari pemerhatian dalam kebanyakan siri perhimpunan, peserta perhimpunan mahukan diri mereka diberi perhatian dan perlu mencari sesuatu untuk diprovokasi. Mereka sangat perlukan adegan2 yang boleh menunjukkan kepada dunia dan rakyat seolah2 mereka sedang dikasari dan memerlukan simpati rakyat dan masyarakat dunia. Justeru keperluan untuk mengajak dan mendorong polis untuk bertindak adalah saat-saat yang ditunggu2. Cuba bayangkan, jika polis tidak melakukan sekatan dan menyekat jalan raya dan memasang barbwire serta water canon dan tear gas? Melainkan hanya membiarkan yang berada di tempat berkenaan hanya peserta perhimpunan semata-mata? Pasti aktiviti memprovokasi tidak timbul dan peserta2 perhimpunan ini akan bersurai dengan sendirinya apabila tidak ada pihak yang sepatutnya mereka seret ke dalam babak2 perhimpunan itu,.

Seterusnya, peranan media juga adalah perlu diberi penekanan. Bagi media elektronik dan cetak, seharusnya tidak perlu meletakkan tajuk sebarang perhimpunan seperti bersih ini sebagai topik utama dan diberi fokus yang teramat sangat. Jika pihak media terus menerus menayangkan dan memutarkan berita mengenainya saban hari, maka ianya secara tidak langsung telah 'mempromosi'kan aktiviti ini kepada umum dan mendorong orang ramai untuk menyertainya. Sudah menjadi lumrah manusia bahawa tiap-tiap perkara yang tidak dibenarkan, maka itulah yang selalunya mahu dilakukan. Sama juga dengan perkara ini, jika saban hari menayangkan bahawa bersih ini akan diadakan,akan diadakan, haram dan sebagainya, maka orang ramai akan tertarik untuk menyertainya dan fikir mereka "jom kita pegi, nak tengok berapa ramai orang kat sana".. jika 100 ribu berfikiran begini, akibat daripada promosi media, bukankah ia akan menambah dan menyulitkan lagi keadaan?
Cuba kita ambil contoh, dulu pasukan bawah 23 tahun malaysia tidak siapa yang kenal bahkan sebilangan besar rakyat malaysia seakan hampir terlupa akan pasukan malaysia sebaliknya memberi tumpuan kepada liga perdana inggeris. Tetapi apa yang berlaku apabila media berterusan menayangkan berita2 mengenai pasukan bawah 23 tahun malaysia dan telah menjuarai piala suzuki AFF dulu? fenomenanya jauh melonjak dan begitu hebat sekali apabila berduyun2 orang seolah2 merekalah penyokong setia pasukan malaysia dengan membeli baju jersey harimau malaya! Itulah impaknya daripada media.Begitulah halnya dengan perhimpunan seumpama ini. Tak perlu beri liputan yang terlampau meluas. Cuba bayangkan lagi, jika petugas media tidak berada di tempat berkenaan dan tidak membuat liputan, aksi dan tindakan peserta mungkin hambar. Tetapi apabila media ada termasuk media asing, maka mereka sangat gemar mencetus kekecohan dan mahukan aksi kejarmengejar antara mereka dengan polis berlaku supaya dirakam media dan disiarkan!

Selain itu dan terakhir, tindakan menyekat jalan raya oleh polis seharusnya diubah dengan mencuba dengan kaedah tidak menyekat jalan raya dan biarkan trafik berjalan seperti biasa. Keadaan sekatan jalan raya oleh pihak polis menyebabkan pengguna jalan raya akan bertindak dan marah kepada polis dan kerajaan. Seolah-olah tindakan sekatan ini telah menganggu lalu lintas. Marah itu beralih kepada pihak polis daripad sepatutnya mereka marah pada peserta perhimpunan yang membanjiri jalan2 utama. Cuba diubah, tiada sekatan, saya percaya pengguna jalan raya akan mempersalahkan penganjur dan peserta perhimpunan kerana tindakan turun ke jalan2 utama telah menganggu aliran trafik dan dilihat menyusahkan orang awam yang lain. Masalahnya sekarang apabila tindakan sekatan dilakukan pihak berkuasa, kemarahan itu telah berpindah kepada pihak berkuasa dan kerajaan kononnya telah menyebabkan gangguan lalu lintas!

Kesimpulannya, akta perhimpunan aman telah diluluskan. Maka mana-mana penganjur boleh berhimpun dengan syarat memastikan perhimpunan berkenaan berlangsung dengan aman. Sementara itu pula, pihak kerajaan seharusnya bertindak dengan lebih proaktif dan hikmah ketika berdepan dengan tuntutan sebahagian rakyat dan mencuba kepada kaedah-kaedah yang membolehkan perundingan 2 hala berlangsung. Ego dan sikap mahu tunjukkan siapa lebih hebat masing menebal dalam jiwa setiap politician. Seharusnya jika apa yang mereka laungkan untuk masing2 membela kebajikan rakyat, sepatutnya kesediaan mereka untuk melihat sesuatu isu itu dalam konteks ilmiah dan membina dan bukannya memasukkan semuanya dalam kantong politik sempit mereka!


BEN ASHAARI: Bloglist bulan MEI 2012 dibuka kembali !

BEN ASHAARI: Bloglist bulan MEI 2012 dibuka kembali !

join,,
http://akmalishak.blogspot.com

keperluan untuk berada dalam bloglist ben ashaari adalah bagi berhubung dan mempromosikan lagi blog saya buat yang masih belum menjengah ke blog ini dan hasratnya adalah bagi memperoleh sebanyak komen tentang sesuatu entri yang dimasukkan bagi penambahbaikan penulisan serta input2 berkaitan sesuatu topik yang dibincangkan.

pandangan mengenai blog ben ashaari:

Pandangan ikhlas saya mengenai blog ini,saya dapati blog ini taklah  ada apa2 yang menarik dari segi penulisan dan juga design nya. tapi saya masih tak faham mengapa begitu banyak followers di blog ini. Mungkin penulis punya aura tersendiri itu satu kelebihan. Pada saya, selamat maju jaya!

Tuesday 1 May 2012

Aktiviti Di Kampung

Assalamualaikum dan selamat pagi semua dan Selamat Hari Pekerja!

Pagi ini saya cuma nak menaip beberapa baris ayat sahaja yang berkaitan aktiviti di kampung sempena cuti sejak hari sabtu yang lalu hingga ke hari ini. ;)

Cuti sememangnya menyenangkan dan nyaman apabila berada di kampung dan menghabiskan masa bersama keluarga. Cuti kali ini saya pulang ke kampung bagi menjenggah ibu tercinta yang berada di kampung halaman. Kata orang, selalu2 lah balik kampung dan luangkan masa bersama ibu atau bapa anda selagi mereka masih hidup di muka bumi ini. Kalau mereka dah tiada nanti baru nk menyesal, dah xberguna. Jangan pulak masa tuh baru nak sibuk tuk tebuskan kesalahan lalu dengan pulang untuk mak mentua saja. :)

Kebanyakkan masa yangdihabiskan ialah dengan menolong kerja-kerja ke kebun yang dah lama saya tak ke sana dan juga menyiapkan reban ayam hutan,,, ;) kebetulan anak ayam hutan yang ditangkap di hutan kini dah besar dah sikit, so kenalah buatkan reban tuk dia.. skarang reban dah pun siap, selamat masuk ke rumah yang baru!

Alamak, esok dah nak masuk keja la pulak..hurmm,, sekejap sj cuti nih,,uhuhu..
*Okay, hari jumaat malam akan ke kelantan, mengikuti trip ke negeri serambi mekah,,jom!

Monday 23 April 2012

Pemansuhan PTPTN : Pandangan Saya

Sejak isu pemansuhan PTPTN diutarakan, ramai pihak yang tampil memberi respons. Ada yang bersetuju dan tak kurang juga yang menyatakan tidak bersetuju dengan tindakan tersebut. Sehinggakan bagi menunjukkan rasa tidak puas hati segelintir golongan yang menentang PTPTN ini, ada yang sanggup untuk berkhemah di Dataran Merdeka bagi menunjukkan kepada kerajaan bahawa sememangnya mereka tidak berpuas hati dan masing-masing bercakap soal hak mereka.

Saya meneliti dari dada-dada akhbar, blog, penjelasan pembangkang dan bagaimana parti politik pembangkang mahu menghapuskan PTPTN dan sumber-sumbernya. Saya juga dengan teliti mendengar penjelasan dari parti kerajaan dan badan-badan bertanggungjawab yang mahu mempertahankan PTPTN.

Jika menurut ketua pembangkang, pemansuhan PTPTN akan meredakan bebanan yang terpaksa ditanggung oleh anak muda / belia sebelum mereka bekerja ada asas dan alasan yang kukuh. Selain itu juga, dengan menampilkan bagaimana sumber hasil dari petronas untuk digunakan bagi menyediakan kemudahan pendidikan tinggi secara percuma juga dilihat suatu perkara yang boleh diterima pakai. Saya cukup sedar, selaku pelajar sememangnya bebanan hutang sebelum bekerja amat memeritkan terutama bagi golongan miskin dan sederhana. Izinkan saya juga bersama-sama dengan para penyuara yang membangkitkan soal pemansuhan PTPTN ini untuk turut sama berkongsi pandangan bersama anda yang sedia membaca entri ini dan adalah dialu-alukan untuk memberi komen dan pandangan peribadi anda. Suka saya nasihatkan kepada saudara/i, supaya pandangan yang diberikan itu tidaklah berbaur politik dan emosi yang melampau. Apapun, saya hargai komen-komen anda nanti.

Disini saya akan beri pandangan peribadi saya berhubung soal ini.
1. PEMANSUHAN PTPTN, SOKONG ATAU TIDAK?

Saya menyokong untuk dihapuskan jika saya memikirkan untuk diri saya yang kini juga sebagai peminjam PTPTN, sokong 100%. sekurang-kurangnya hutang saya selama ini akan dihapuskan dan tak perlu lagi saya membayarnya. Tetapi jika kita unjurkan ia pada masa panjang dan ke depan, kita akan dapati bahawa sekiranya PTPTN dihapuskan, persoalan saya kepada semua, apakah anda yakin bahawa semua adik-adik yang kini dibangku sekolah akan masuk ke universiti awam semuanya? Apakah pendidikan swasta juga akan diberi percuma? Jika kita yakin bahawa generasi akan datang akan masuk ke IPTA semuanya, saya kira tidak sangat bermasalah kerana hal ini akan ditanggung sepenuhnya kerajaan ketika itu kerana pendidikan tinggi percuma. Tetapi jika ada diantara mereka itu gagal mendapatkan keputusan cemerlang, maka tempat untuk melanjutkan pelajaran tinggi adalah di swasta. Swasta tidak memperdulikan pendidikan percuma. Semua itu berorientasikan keuntungan dan memerlukan wang untuk belajar. Jika anak-anak kampung yang pendapatan keluarga hanya bertani, pemandu teksi,bas,lori dan buruh, apakah golongan ini akan punyai cukup wang untuk membuat bayaran yuran dan sebagainya di sektor swasta? Itu baru seorang anak yang melanjutkan pelajaran ke universiti. Jika 3-4 orang?

2. APAKAH SYOR PATUT DILAKUKAN KERAJAAN?

Syor yang dilakukan bukanlah pemansuhan PTPTN. Saya suka jika pihak kerajaan memansuhkan sebarang 'interest' terhadap baki pinjaman PTPTN yang ada kini. Hal ini dilihat boleh memberi bebanan kepada pelajar. Saya juga mengesyorkan kepada kerajaan supaya memberi kemudahan kepada pelajar yang berjaya mencatatkan keputusan cemerlang sehingga tamat pengajian maka pinjaman berkenaan dialihkan kepada biasiswa. Sementara bagi peminjam yang tidak mencatatkan keputusan cemerlang pula, bayaran separuh dikenakan kepada peminjam sementara sebahagian lagi adalah hasil inisiatif kerajaan untuk menanggungnya selaku kerajaan yang bertanggungjawab. Sekurang-kurangnya, saya berpendapat bahawa bebanan kepada anak muda dapat dikurangkan. Selain itu, kutipan bayaran balik hutang tidak dikenakan seleas 6 bulan tamat pengajian sepertimana yang dilakukan sekarang, tetapi setelah pelajar mendapat pekerjaan. Bagaimana mungkin pelajar akan mampu bayar jika masih belum memperoleh pekerjaan.

RUMUSAN DAN KESIMPULAN

Saya dapati bahawa kepada golongan mahasiswa yang mengikuti demonstrasi penghapusan PTPTN kini tidak sewajarnya berbuat demikian. Saya dapati juga, mengapa perlu ditentang? sedangkan PTPTN tidak pernah memaksa mana-mana individu untuk meminjam dengannya. Ianya terbuka kepada sesiapa yang berminat untuk meminjam. Jadi setelah anda membuat pinjaman, dan menandatangani perjanjian yang anda sendiri membaca dan menelitinya akan syarat dan terma, jadi mengapa kini anda perlu bangkit seolah-olah anda sedang dizalimi dan dianayai? Bukankah jika anda sedar akan implikasinya, maka dari awal-awal lagi anda sudah tidak terima akan PTPTN ini? Ataukah anda sebenarnya berminat untuk menjadi seorang ahli politik berbanding mahasiswa tulen?
Saya lebih senang jika perkara-perkara yang disebutkan dikaji dan dilaksanakan berbanding penghapusan. Ya, mungkin penghapusan ini dipersetujui tetapi jika mahu dilaksanakan apakah kerajaan juga bersedia untuk menampung perbelanjaan kepada pendidikan sektor swasta juga dan ini juga sebagai keadilan dan hak rakyat malaysia bukan?

Sunday 22 April 2012

Kenapa mesti letak gambar anak?

Salams kerahmatan buat anda pembaca yang sudi meluang masa untuk membaca entry di sini setiap kali saya menulisnya di sini.

Kali ini saya mencuba untuk menulis berhubung trend sekarang terutama para rakan-rakan dan boleh dikatakan majoriti jugak yang suka meletakkan gambar anak mereka yang abru lahir di profile pic masing-masing di FB. Ya, saya jugak cuba untuk memahami perasaan untuk berkongsi rasa kegembiraan mendapat orang baru dalam hidup yang mahu dikongsikan bersama rakan-rakan anda di fb, tetapi apabila setiap perlakuan anak anda mahu diceritakan dan ditulis disana, membuatkan saya merasa mual dan naik menyampah pulak. Seolah-olah mahu menunjukkan bahawa mereka saja yang mempunyai anak dan mengapa pula mahu meng'update' semua perkara berkenaan baby itu?

Saya boleh juga menerima dan berkongsi kegembiraan mereka apabila buat pertama kalinya meletakkan gambar baby yang mahu ditunjukkan kepada semua. Tapi tak perlu rasanya sampai semua perkara sampaikan baby demam, mahu ke klinik, shopping dan sebagainya nak dimasukkan dalam tu. Profile pic sendiri pun, boleh ditukarkan kepada gambar baby. Bukankah bagus mereka-mereka ini membuka saja akaun FB untuk anak kecil itu dan update semua perkara berhubung baby kat situ kalau benar sangat pun mahu memberitahu dunia yang anak anda mahu berak,mahu minum susu, pegi clinic,balik kampung, pakai baju merah dan sebagainya.

Saya yakin juga buat pembaca yang mungkin tak bersetuju dengan pandangan ini akan mengatakan bahawa itu adalah FB mereka dan biarlah mereka menulis apa saja. Benar. Tapi ini juga pandangan saya yang melihat keletah yang memualkan dan menunjukkan bahawa mereka itu sudah tidak punya apa-apa mahu ditulis sehinggakan mengubah untuk menulis segalanya berkenaan anak mereka. ;) Ada juga yang saya perhatikan, siap meletakkan ayat dialog dengan anak mereka. Apakah ini laman sosial? Kebanyakkan daripada pemerhatian saya mendapati, kebanyakkan mereka-mereka yang meletak gambar-gambar baby dan cerita-cerita pasal anak mereka adalah dalam kelompok yang abru menjadi ibu dan ayah (anak sulung). Tetapi bila dah masuk 2 dan 3, penulisan di wall FB dah mula bertukar. Tiada lagi update sepanjang hari ataus etiap hari berhubung baby. Mungkin kerana dah mula merasa muak dan jelak agaknya. ;) Justeru, pandangan saya, marilah kita mengekalkan identiti sebenar dalam FB dan bercerita berkenaan apa yang difikirkan sesuai tentang apa saja termasuk anak, tetapi biarlah ianya sekadar besederhana dan tidak berlebih-lebihan.


Saturday 21 April 2012

Shooting, shooting!!

Assalamualaikum buat semua, semoga anda berada dalam rahmat Illahi hendaknya.. Saya ingin menulis sikit saja untuk malam nih, iaitu berkenaan dengan beraksi di depan kamera. hihi..

Sebelum nih, bila tengok artis-artis yang berlakon dalam tv dan sebagainya nampak macam mudah, tapi bila sendiri yang lakukan masya allah punyahlah payah. Shooting nih pun bukannya nak masuk dalam mana-mana lakonan drama, tapi just untuk siapkan assignment yang memerlukan rakaman dibuat mengenai presentation. Tu pun punyalah seksa. sampaikan nak bercakap pun kadang-kadang tak terkeluar dari mulut. fuhh,, memang bukand arah pelakon agaknya. hihi. Apapon, semua itu dah pun selesai tengahari tadi bersama rakan-rakan dalam kumpulan. Start buat rakaman sejak pukul 10 pagi dan selesai jam 12 tengahari. Awalnya ingatkan sekejap saja, tapi mengambil masa jugak rupanye,, padahal nak buat rakaman hanya untuk 20 minit saja..urmm,, Alhamdulillah selesai semua dan dah pun submit. sekarang mahu fokus pada yang lain pula. ;p

Friday 13 April 2012

Saat Sibuk & Kritikal

Assalamualaikum wbt buat anda di luar sana yang sudi menjenggah ke blog ini dan membaca entri ini. Mudah-mudahan anda sentiasa berada dalam kandungan rahmatNYA, insya Allah.

Dikesempatan waktu yang seketika cuma., saya ingin berkongsi bersama anda mengenai waktu-waktu genting dan kritikal kini yang terpaksa dilalui oleh saya sebagai seorang pelajar dan juga pekerja. Masa semakin suntuk. Waktu untuk menghantar assignment-assignment yang berlonggok sudah semakin hampir ke tarikh penamatnya. Dalam waktu yang sama tambahan assignment juga membuatkan keadaan bertambah kelam-kabut. Tambahan pula, tugas harian juga semakin mencabar. Banyak perkara-perkara penting perlu dilaksanakan dalam masa terdekat membuatkan saya tak menang tangan untuk melaksanakannya.

Bagi bidang tugas kerja pula, masa untuk pejabat ini menguruskan aktiviti mesyuarat agung tahunan telah hampir tiba dengan jadual cadangan adalah pada 26 April 2012. Sehubungan itu, banyaklah perkara-perkara yang perlu dilaksanakan dan diselesaikan bagi persiapan untuk menghadapi mesyuarat agung. Apatah lagi mesyuarat kali ini adalah merupakan tahun pemilihan. Sudah tentu para perwakilan dan calon-calon bertanding akan mempamerkan kebolehan dan kesungguhan masing-masing untuk memenangi hati perwakilan. Selain itu, dari aspek pembangunan projek-projek ekonomi pula, susunan strategi dan kritis terhadap bidang-bidang tumpuan yang boleh menjana pendapatan kepada pejabat ini perlu disusun sebaiknya dalam memastikan sasaran yang disasarkan akan tercapai sepertimana yang dihasratkan. Dalam pada itu, sudah tentu masalah-masalah dan halangan pasti wujud ketika mana sesuatu perkara baik hendak dilakukan. Perkara ini bolehlah saya simpulkan sebagai lumrah kehidupan yang mana akan ada halangan dan kritikan serta tentangan jika sesuatu perkara yang hendak dibangunkan itu bermanfaat. Walau bagaimanapun, saya akan menghadapinya dengan tenang dan sentiasa memohon kekuatan daripada Allah s.w.t dalam setiap doa saya agar kekuatan itu dipinjamkan kepada saya bagi meneruskan usaha murni ini dan mudah-mudahan ianya diberkati hendaknya.

Sepanjang tempoh setahun menggemudi bahtera pentadbiran ini, banyak perkara yang saya pelajari dan saya cukup yakin bahawa semua ini didatangkan dengan hikmah disebalik kejadian. Saya bermohon kehadrat Illahi agar janganlah diuji saya akan sesuatu yang saya sendiri tidak mampu menanggungnya. Semoga dengan harapan dan doa yang ikhlas dari anda dan juga usaha yang gigih berterusan untuk memartabatkan perjuangan ini dan apa yang penting, ianya disukai oleh Allah swt dan mengahrapkan rahmatNYA sentiasa ada bersama saya, insya Allah.

Wednesday 11 April 2012

Antara Kebolehan vs Keperibadian

KEBOLEHAN dan KEPERIBADIAN.  Kedua-dua perkataan ini seakan memacu minda saya laju ke arah mencari dan cuba untuk mengupas melalui pandangan saya terhadap dua perkataan ini dalam konteks mencapai kejayaan dalam apa-apa bidang yang diceburi dan juga cuba sedikit untuk mengajak anda di luar sana yang membaca entri ini untuk melontarkan buah pandangan dan fikiran supaya mungkin tajuk ini diperbincangkan dari aspek ilmiah.

Bagi memulakan kupasan ini, saya mulakan ia dengan satu persoalan iaitu Di antara KEBOLEHAN dan KEPERIBADIAN, yang mana satukah yang boleh membawa kita ke puncak kejayaan? Dalam persoalan yang lain pula, apakah saudara/i bersetuju bahawa dengan hanya kebolehan sahaja tanpa keperibadian itu, seseorang itu akan berjaya? atau sebaliknya? Atau apakah kesannya jika salah satu ini dipilih?

Saya diberi maklum bahawa dengan mempunyai keperibadian yang tinggi, ianya mampu melonjakkan diri untuk berada di puncak kejayaan. Dalam satu sesi yang lain pula, saya difahamkan bahawa kebolehan adalah sesuatu yang penting yang perlu ada untuk memandu diri untuk berada di puncak kejayaan! PERSOALANNYA, YANG MANA  (KEPERIBADIAN ATAU KEBOLEHAN) INI BERSIFAT LONG-TERM DAN YANG MANA PULA BERSIFAT SHORT-TERM?

Saya mohon supaya anda dapat membantu untuk menghuraikannya dan melontar idea untuk persoalan-persoalan ini supaya saya mendapat input dan akan saya simpulkan pada entri akan datang setelah saya juga membuat sedikit kajian dan perbandingan senario semasa, insya Allah.

Monday 9 April 2012

08 April : Birthday Saya

Alhamdulillah... setinggi kalimah dipanjatkan kesyukuran kehadrat Illahi atas nikmatnya dapat saya menikmati hidup ini hingga ke usia sekarang. Tarikh 08 April setiap tahun sangat bermakna buat saya. Lebih-lebih lagi ianya merupakan ulang tahun kelahiran saya. Syukur ini dipanjangkan kepada Allah kerana tiada nikmat yang tinggi melainkan nikmat islam buat saya. Alhamdulillah hingga kini saya masih seorang muslim. Mudah-mudahan nikmat ini kekallah hingga ke akhir hayat saya.

Saudara,
Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan bebanyak terima kasih buat kawan-kawan dan semua yang sudi mengucapkan "happy birthday" buat saya semalam dan hari ini. Kiriman ucapan dan mendoakan saya juga banyak diterima melalui pelbagai medium. Sama ada melalui FB, sms,telefon, kiriman kad ucapan, dan sebagainya. Terima kasih buat semua.

Sebenarnya, saya menyambutnya ketika saya berada di Kuala Lumpur semalam. Sambutan tepat pada pukul 0001 tarikh 08 april disambut dengan kawan saya yang juga kebetulan tarikh lahirnya adalah juga pada 08 April. Kami saling mengucapkan selamat menyambut ulang tahun kelahiran masing-masing dan sebagai tanda penghargaan dan meraikan, kami makan makanan jawa "Pecal Lele" di kg. pandan, Kuala Lumpur. Sapa pernah makan makanan ini? ;p

Sambutan Birthday saya kali ini tentunya bermakna apabila saya menerima sesuatu daripada si dia. .. Seutas jam tangan! yey,, i like..Terima kasih atas hadiah yang dikirimkan.

Namun, dalam keceriaan dan kegembiraan menyambut ulang tahun kelahiran, hati ini menjadi sebak dan sedih apabila menerima satu kiriman SMS daripada ibu tersayang,. Mak beritahu yang dia sebenarnya nak buatkan suprise tuk saya dengan menyiapkan kek hari jadi saya yang menjangkakan saya akan pulang ke kampung. Tapi, ketika  itu saya di kuala lumpur untuk urusan penting. Aduhh,, sangat sedih,, apa pun, buat mak.......... minggu nih, saya akan pulang jumpa mak - insan yang paling saya sayang di dunia ni.....akan saya jumpa mak dan nanti kita makan kek ye mak... Terima kasih buat mak yang melahirkan saya dan membesar serta mendidik saya sehingga sebagai mana sekarang nih mak... Ya Allah ya Tuhan ku, kau panjanglah usia ibu ku, dan sihatkanlah kesihatannya ya Allah.. dan sesungguhnya kasihku padanya amat dalam dan janganlah kau jadikan antara kami sedikit kedukaan. Sesungguhnya, kami adalah insan yang lemah, janganlah kau uji kami dengan ujian yang tidak mungkin tertanggung kepada kami ya Allah...Amin, ya rabbalalamin...

Thursday 5 April 2012

Subhanallah,,

Terfikir saya sebaik saja mendengar ceramah agama di youtube yang disampaikan oleh Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man malam semalam. Antara yang disebut oleh alfadhil ustaz ialah beliau menyentuh soal kehidupan didunia dan alam akhirat dan kubur.

Memetik kata-kata Saidina Ali r.a yang mengibaratkan kehidupan manusia di muka bumi ini umpama seseorang yang sedang bermimpi. Kemudian, selepas mati maka umpama manusia itu baru terjaga dari tidur yang dibuai mimpi. Allahurobbi.. Ertinya, cuba kita bayangkan yang kita sedang bermimpi. Kita bermimpi menjadi seorang kaya misalnya, memandu BMW, duduk dalam rumah mewah, berpakaian lawa dan mahal atau bermacam-macam mimpi. Tetapi apabila kita tersedar dari tidur, apakah semua yang kita mimpi tadi masih ada atau sebenarnya tidak ada?? Kita pun, akan cakap, "owhh aku mimpi tadi.." tak pun, "alahh,, kenapalah mimpi,, kenapa xbetul-betul jer senang,,,hurmmm". itulah ungkapan-ungkapan yang mungkin diluahkan. 

Demikianlah halnya dengan kehidupan didunia. Sebenarnya, seolah-olah kita sedang bermimpi dan kemudiannya kita semua akan menuju alam akhirat yang pastinya kekal dan tiba! Bagi mereka yang telah pergi dulu dari kita, sebaik saja didalam kubur, maka terjagalah si mati dan sedarlah dia bahawa dia telah kembali kerahmatullah. Tahulah dia bahawa alam kubur itu benar,mati itu benar dan pertanyaan di alam kubur itu juga benar. Di dunia ini, jika kita menikmati kenikmatan sekarang ini adalah bersifat sementara dan tidak kekal. Contohnya kereta,harta, anak-anak,isteri,keluarga dan sebagainya. Tetapi apabila kita mati, semua itu akan pergi dan hilang. Tidak satupun yang akan bersama-sama kita di alam kubur nanti walau sayang macam mana sekali pun. Cuma amalan, sedekah jariah dan doa dari anak yang soleh,,,,Samalh perumpamaan seperti mimpi. Apabila tersedar semua itu hilang dan tak mungkin akan tersambung kembali mimpi tersebut walaupun kita sambung tidur semula. demikianlah halnya dengan kehidupan di dunia. Apabila mati, tak mungkin akan hidup semula dan kembali ke muka bumi dan alam dunia seperti dulu.. Subhanallah..

Justeru, dikesempatan ini, saya ingin mengajak kawan-kawan yang sudi baca entri ini agar marilah kita memperbanyakkan amalan kita untuk bekal diakhirat nanti..;( kerana kita tak pasti bilakah kita akan terjaga dari mimpi ini.. Subhanallah.. Semoga allah letakkan kita dalam golongan orang-orang yang dikasihiNYA , Insya Allah..  

Monday 2 April 2012

Kawan Lama

Assalamualaikum dan semoga anda sekalian berada dalam kerahmatan Allah s.w.t. Entri kali ini saya ingin berkongsi dengan anda semua mengenai kawan lama iaitu kawan-kawan masa sekolah rendah dulu.

Bertahun lamanya kami bersekolah di sekolah yang sama ketika di sekolah rendah, akhirnya ada dikalangan kami yang telah berpindah sekolah, rumah dan sebagainya. Ada di antara kawan-kawan saya tu yang telah berpindah ke negeri-negeri lain dan menetap di tempat lain. Tapi ada juga yang masih berada di kampung dan tidak ke mana-mana. Untuk itu, kami boleh berhubung dan bertegur sapa. Buat kawan-kawan yang telah berhijrah, agak sukar buat kami untuk berinteraksi dan berhubung. Tambahan pula, waktu tu masih lagi kanak-kanak dan kecanggihan teknologi pun masih berkurangan. Sehinggalah munculnya Friendster! ada juga diantara kawan-kawan tu yang boleh berhubung semula melalui Friendster. 

Kemudiannya, munculnya FB ini ramai juga yang telah bertemu kembali. Bertemu pun hanya sekadar dalam talian maya saja lah. Tapi, melalui tu jugak, boleh lah jugak kami saling mengetahui status dan apa yang dilakukan bagi pihak masing-masing.

Buat kawan yang memang langsung xjumpa, memanglah terus lost contact. Apapun, pada hari sabtu yang lepas, salah seorang kawan saya menjemput kami untuk hadir ke majlis kenduri kawennya. Semeangnya nostalgia apabila hadir ke kenduri kawen kawan masa sekolah rendah. Hihi... Banyak kenangan dan peristiwa yang boleh diimbau bila ke sana, tambah-tambah lagi kawan-kawan yang seangkatan pn ada sama. Buat nazirah, selamat pengantin baru.

Masa sibuk menunggu kawan-kawan lain datang, kami sempat bersembang dan bertanya khabar mengenai kawan-kawan yang memang terus hilang. Ahmad Syahir- merupakan kawan sekolah rendah saya yang berpindah sejak dari tahun 4. Akhirnya, dimaklumkan oleh salah sorang kawan kami yang dia kini di Kuala Kangsar. Akhirnya, pada malam ahad yang lalu, saya di 'add' oleh ahmad syahir di FB. Pada mulanya sebaik saja approved, saya di sapa melalui chatting, " knai aku lagi x?" .. aku jawab, xcam tapi nama macam member skolah rendah aku dulu. Dia dengan terus sebut itulah dia.. haha.. Keciknya dunia. 17 tahun xjumpa, ilang dan tiba-tiba boleh jumpa dalam FB. haha.. sekali saling bertukar-tukar no fon, then dia telefon just nak cakap " salam,, ape kabor?,,,, 17 tahun xcakap n telefon, hari ni baru dapat cakap ngn ko..lame gile"..

Apapun, saya gembira kerana dapat bertemu semula kawan lama walaupun di ruangan FB. Berharap, pada kawan2 lama boleh berjumpa dalam satu majlis untuk nk imbas semula kenangan lama waktu sama-sama di bangku sekolah dulu...rinduuu..