Friday 30 March 2012

Nasib Daun Karipulai...

Sebelum saya meneruskan kandungan entri ini, mungkin pada anda membaca tajuk entri saya ada yang tidak tahu apa itu karipulai.. Sebenarnya itu istilah yang diguna di tempat saya mengenai sejenis daun yang dimasukkan dalam gulai/kari bagi menambahkan aroma kari berkenaan. Mungkin ada yang lebih tahu jika disebut daun kari. Bagi frasa yang lebih tepat lagi di tempat saya ialah dengan ejaan "karapole"

Saya ingin mengajak pembaca sekalian mengenai sebuah kisah pendek ini supaya saudara/i dapat merenung seketika dan melihat akan sejauh mana perkara ini dalam kehidupan harian kita. 

Kita sentiasa sedia maklum bahawa jika ingin menghasilkan masakan kari yang sedap memerlukan ramuan dan rencah serta rempah yang cukup bagi melazatkan ketika makan nanti. Bagi tujuan itu, bau atau aroma masakan perlu diwujudkan terlebih dahulu bagi membangkit rasa lapar dan mengizinkan otak kita untuk segera mengarahkan dan menggerakkan tubuh untuk merasa masakan yang dimasak. Saudara/i, terutama bagi wanita khususnya, jika ingin memasak gulai/kari kepala ikan misalnya kita akan mencukupkan kelengkapan memasak. Cuba bayangkan apa akan jadi pada kari kepala ikan kita jika semua telah cukup cuma daun karipulai itu saja yang tidak ada?  Kita akan berusaha sedaya upaya untuk mencari segenap pelosok kampung dan kejiranan kita kalau-kalau ada yang menanam pokok berkenaan kerana ingin mengambil daun berkenaan untuk menlengkapkan kesempurnaan masakan kari kepala ikan tadi. Jika tidak ada, apakah gulai/kari itu sedap untuk dimakan? apakah namanya masih kari? ya mungkin kari tapi kari yang hilang aromanya dan sekaligus hilang selera penggemarnya bukan? Padahal, daun karipulai tadi kita hanya perlukan sedikit saja dalam masakan. Padahal daun karipulai tadi bukannya boleh dimakan pon sepertimana kita memakan isi ikan dan kepala ikan atau menghirupnya seperti kuah gulai kn? Padahal, daun karipulai tuh kecil sahaja saiznya berbanding kepala ikan yang menjadi subjek utama bukan? tetapi persoalannya, mengapa perlunya daun karipulai yang kecil ini?apa perlunya daun karipulai yang tidak boleh dimakan atau dihirup daunnya? Sepatutnya, kalau namanya kari kepala ikan, bukankah kepala ikan tuh sudah memadai tanpa daun karipulai?

Berpandukan kepada persoalan-persoalan tadi, jelas menunjukkan bahawa bertapa pentingnya daun karipulai dalam penghasilan sesuatu masakan kari. Walaupun kecil, namun ianya juga menyumbang kepada kesedapan dan kelazatan kari berkenaan sedangkan ianya tidak boleh dimakan seperti isi ikan mahupun dihirup daunnya seperti kuah gulai/kari. Tetapi, persoalan besar di sini ialah MENGAPA PENTINGNYA DAUN KARIPULAI TADI KETIKA PERINGKAT PENYEDIAAN MASAKAN, TETAPI PADA WAKTU MAKAN, ORANG MEMBUANG ATAU MELETAKNYA KE TEPI PINGGAN SEOALAH MENYISIHKAN ATAU JASANYA TIDAK LAGI DIKENANG? Di sini juga jelas menunjukkan bertapa pentingnya 'teamwork' dalam sesebuah organisasi dan sebagainya. Dalam organisasi, semua ahli/kakitangan adalah penting dan semua mereka adalah penyumbang kepada kejayaan sesebuah organisasi. Justeru, semua pihak perlu dihargai atas peranan masing-masing dan tidak harus ada pihak yang dipinggirkan atau disisihkan! Malang jika sesebuah organisasi cuba untuk melakukan kepada kakitangannya seperti nasib daun karipulai ini. Sebagai contoh, bagi sesebuah organisasi perniagaan, ada didalamnya pengurus perniagaan, CEO, eksekutif hinggalah kepada tukang sapu sampah! Apakah jika bos syarikat ini hanya akan memberi perhatian kepada eksekutifnya sahaja tetapi meminggirkan tukang sapu sampah ini kerana kononnya tukang sapu sampah ini tidak merancang untuk kejayaan syarikat? Jika begitu, maka analogi nasib daun karipulai berulang lagi. CEO mungkin tak sedar bahawa walaupun peranannya selaku tukang sapu sampah saja, tapi cuba bayangkan apa yang akan berlaku jika tukang sapu sampah ini tidak ada dalam tempoh 1minggu? bagaimana keadaan kebersihan syarikat?..

Oleh itu, hargailah orang dan pasukan kita. Yakinlah bahawa setiap diantara mereka merupakan penyumbang kepada kejayaan sesebuah organisasi. Jangan jadikan mereka sepertimana nasib daun karipulai... Perlu ketika ingin menaikkan aroma dan selera, tetapi membuangnya ketika waktu makan! Renung-renungkan dan selamat beramal.. ;p 

No comments:

Post a Comment