Tuesday 18 January 2022

ISU VIRAL : KEMUNCULAN PAK BELANG BERKELIARAN DI GUA MUSANG, DAN REMAJA DIMANDI ALA JENAZAH

Baru-baru ini tular video dan media massa melaporkan mengenai kejadian beberapa ekor harimau dirakam berkeliaran di kawasan berhampiran kampung orang asli, Gua Musang Kelantan. Seekor pak belang telah ditembak mati oleh Jabatan Perhilitan sementara dilaporkan kira-kira 11 ekor dikatakan masih bebas di kawasan berhampiran. 

Agak menyedihkan apabila pak belang yang sebelum ini dilaporkan sedang diancam dengan kepupusan apabila hanya kira-kira kurang dari 200 ekor yang masih hidup di Malaysia tetapi kejadian-kejadian seperti menembak mati dan dijumpai berkeliaran di kawasan perkampungan manusia. Soalnya, pada aku sepatutnya diselesaikan dengan mencari punca masalah. Punca masalahnya adalah hutan habitat haiwan ini dan yang lain tinggal telah dimusnahkan akibat daripada kerakusan manusia menebang balak. Jadi haiwan-haiwan ini sudah hilang tempat tinggal asal mereka. Jangan salahkan mereka mengancam manusia, sebaliknya manusia yang mula mengancam mereka. Akibatnya haiwan-haiwan liar ini pula yang perlu menanggung akibat termasuk dibunuh! Manusia sangat kejam dan telah mengkhianati amanah untuk menjaga alam ini sebaiknya. Penebangan hutan patut dihentikan serta merta. Jika tidak, usaha pihak-pihak tertentu sebelum ini untuk memastikan pak belang dipelihara dan menggembang biak di hutan Malaysia bakal jadi sekadar impian.


Isu 2: Remaja dimandikan ala jenazah kerana mencuri tabung masjid

Telah beberapa hari ini menjadi topik perbualan hangat dalam kalangan netizen di media sosial. Sebahagiannya mengatakan tindakan imam masjid memandikan remaja berkenaan seperti jenazah sesuatu yang dangkal dan  membuatkan lebih ramai orang menjauhkan diri dengan masjid dan institusi agama. Mereka mengecam dengan penuh tragis sehinggakan imam berkenaan dilaporkan meletakkan jawatan. Sementara sebahagian yang lain pula berpandangan bahawa tindakan itu sebagai suatu pengajaran berbanding dilempangnya remaja berkenaan atau dipukul seperti kes-kes lain yang teruk dibelasah oleh pencuri yang ditangkap di tempat-tempat lain.

Apapun, pada aku tindakan mencuri adalah sesuatu yang salah. Salah dari segi agama dan salah dari segi moral. Tindakan memandikan remaja itu cerita lain. Yang sepatutnya perlu ditangani secara hikmah. Apa yang jauh dari situ, tiada sesiapa pun yang mempertikaikan tentang tindakan mereka yang merakam lalu menularkannya. Tindakan pelaku yang merakam dan menularkan perkara ini suatu yang perlu ditangani. Apakah faedahnya melainkan untuk content serta rating di media sosialnya. Kepada netizen di luar sana, jangan mudah menghukum. Kita tidak berada ditempat kejadian, takut-takut terjadi fitnah. Bukan niat aku nak back-up sesiapa dalam konteks ini, sebaliknya aku semakin bimbang dan risau tentang sikap sesetengah kita yang gemar sangat viral perkara yang belum tentu kedudukannya. malah orang yang baca atau tonton pula cepat sangat mula buat hukuman sendiri. Korang masih ingat tak sebelum ni, ada video yang ditularkan berkaitan seorang pemandu trailer melanggar kereta dan ditularkan gambar dan video pemandunya dikatakan mabuk. Sebenarnya, pemandu berkenaan sedang terkena serangan jantung dan sedang menahan kesakitan. Apa yang dilakukan? Tanpa usul periksa, terus viral dan dituduh mabuk..Yang viral satu hal, yang komen hentam pakcik tu pula satu hal. Moga allah tempatkan arwah pemandu trailer tu dikalangan orang-orang beriman.

Kesimpulannya, di era serba canggih dan teknologi ini, maklumat dihujung jari. Tapi waspada tentang fitnah kerananya membawa kita terjerumus ke neraka. Kita sangka, salah satu dosa besar adalah fitnah tidak melibatkan kita kerana kita sangka kita tak pernah fitnah sesiapa. Tapi kita lupa dengan menularkan/viral cerita belum pasti kesahihannya atau video tertentu yang mengaibkan boleh menggolongkan kita menghampiri fitnah. Lebih-lebih lagi hampir semua orang mempunyai aplikasi whatsApp dan banyak group di dalamnya yang kita sertai. Jaga-jaga. 

Moga Allah pelihara kita semua dari melakukan dosa, insya Allah. Salam tahun baru guys!