Sunday 10 October 2021

BERCUTI DI ROYAL BELUM, TASIK BANDING PERAK

 


Mengimbau kenangan ketika merehatkan minda dengan alam sekitar tahun 2017 lalu apabila bercuti ke Royal Belum, Tasik Banding Gerik Perak. Masa tu belum datang lagi covid-19 dan kehidupan kita semua adalah seperti biasa dan tidak terikat dengan segala macam bentuk SOP dan sebagainya. Kepada korang yang belum pernah lagi ke Royal Belum, tempat untuk ke sana adalah menerusi jeti awam di tasik banding. Sebelum tu korang perlu terlebih dahulu mendapatkan permit masuk ke sana daripada Perbadanan Taman Negeri Perak terlebih dahulu sebelum boleh masuk ke sana. 

Biasanya, ramai ke royal belum ni untuk aktiviti ekopelancongan seperti melihat bunga terbesar dunia iaitu bunga rafflesia, memancing, ketenangan minda dengan alam dan sebagainya. Aku ke sana menaiki houseboat yang disewa untuk masuk ke royal belum. Perjalanan dari Jeti Awam ke Royal Belum memakan masa selama 2 jam menaiki houseboat. Kapasiti bouseboat ni adalah seramai 20 orang. Kalau korang prepare untuk bawa barang basah dan keperluan untuk masak sendiri lebih jimat. Sebab memang disediakan dapur untuk memasak. Korang akan bermalam di atas houseboat berkenaan sepanjang di sana. Bagi yang memang mabuk bila tiap kali berada di atas boat atau air, kena fikir 2 kali untuk masuk atau tidak. Tetapi untuk merasai pengalaman menarik apa salahnya mencabar diri kan? 

Sebaik sahaja sampai di royal belum, houseboat kami berlabuh dan bermulalah aktiviti air seperti mandi manda di tasik, berkayak menelusuri kawasan sekitar berdekatan dengan houseboat. Sementara kaki pancing pula mula lah sibuk menaiki speed boat untuk di bawa ke lubuk-lubuk kaki pancing. Aku memang tak minat pancing, jadi aku just mandi manda dan berkayak sementara menunggu malam. Di atas houseboat pula, telah diagihkan kepada yang memang untuk memasak dan juga kerja-kerja lain. Aktiviti berkaraoke di atas houseboat semenangnya terbuka 24 jam selagi mampu. Hahaha. Tapi bila aku atas houseboat melihat di tasik yang menghijau airnya memang menyeramkan. Perasaan dan fikiran mula terfikir cerita anaconda dan juga cerita-cerita mitos naga tasik chini semua teringat wei..haha.. Tambah-tambah masa berkayak..fuh, seronok tambah berdebar sama banyak jer..nak berkayuh taknak jauh dari member-member..haha..Tapi apapun best sangat.






Pada aku apa yang menarik, adalah kita dapat benar-benar menikmati percutian tanpa gangguan sebarang panggilan telefon atau menerima whatsApp tentang kerja atau sebagainya kerana di sana tiada signal untuk telefon bimbit berkomunikasi. Jadi kita betul-betul meluangkan masa cuti itu dengan pelbagai aktiviti yang menarik. Tak banyak gambar aku simpan sebab semuanya di dalam fon lama yang dah rosak dan tak digunakan lagi. 


Keesokkannya, kami dibawa ke sebuah perkampungan orang asli dari suku kaum Jahai di sana. Sebuah perkampungan yang terpencil di sana yang dikenali sebagai Kampung Aman Damai yang dihuni oleh suku kaum ini. Tidak terlalu besar kepulauan di tempat kediaman mereka tetapi sememangnya menjadi perkampungan tumpuan oleh pelancongan di bawa ke perkampungan mereka. Pakej kami tidak termasuk untuk melihat bunga rafflesia dan juga santuari kelah. Tetapi semua pengalaman dan kenangan semasa di sana sangat indah dan kekal segar di dalam ingatan.




Wednesday 6 October 2021

KUNYIT HITAM

 Salam semua,

Mencuri-curi masa untuk menulis di entri kali ini di blog. Pagi ini sempat tengok-tengokkan tanaman kunyit hitam sendiri punya yang ditanam di dalam pasu tepi rumah. Untuk pengetahuan semua, anak pokok kunyit hitam ni aku beli awal tahun ni di pasar. Kebetulan, semasa ke pasar untuk beli barang basah ada seorang pakcik ni dia jual anak-anak pokok termasuklah kunyit hitam ini. Harganya sepokok RM 20.00/polibeg. Jadi aku belila sepokok untuk ditanam di kawasan rumah. 

Sebenarnya kunyit hitam ini memang aku telah lama cari untuk disemai dan ditanam. Memandangkan sebelum ini aku ada terdengar tentang khasiatnya dan juga kebaikan tanaman ini. Sebagai makluman semua, kunyit hitam ini atau nama saintifiknya adalah kaempferia pariflora merupakan kategori tanaman herba. Kunyit hitam ini setahu aku tidak boleh dijadikan sebagai ramuan masakan seperti kunyit biasa dalam makanan. Sebaliknya ianya digunakan untuk tujuan kesihatan. Hasil pembacaan di internet berkaitan kunyit hitam ini, ianya telah dibuat kajian oleh pihak-pihak penyelidik di dalam negara berkaitan potensi khasiatnya kepada manusia. Terdapat juga ekstrak kunyit hitam ini dijadikan dalam bentuk kapsul untuk dimakan sebagai produk kesihatan memandangkan ianya mempunyai antioksidan yang tinggi dan dipercayai boleh membantu untuk mengubati penyakit-penyakit dalam tubuh badan seperti kelancaran darah dan juga pelbagai penyakit. 

Pokok kunyit hitam di rumah


Namun, tujuan aku kongsikan di blog aku ini bukan tentang khasiat kajian penyelidik dan sebagainya. Itu aku tinggalkan kepada penyelidik tentangnya. Aku cuma mahu berkongsi tentang tanaman kunyit hitam yang aku beli dan pindahkannya di dalam pasu di rumah. Beberapa bulan sebelum ini, aku dapati anak pokok kunyit hitam aku kekuningan daunnya dan menunjukkan ianya seakan-akan mati kerana kelihatan mereput. Aku sangka, memang anak pokok kunyit hitam aku memang dah mati. Sejak itu aku mula cari anak benih kunyit hitam untuk digantikan memandangkan aku pun memang ada sepokok tu je yang ditunggu untuk dibiakkan. Tapi tidak kesampaian. Tetapi dalam 2 bulan kebelakangan ini, aku dapati ada tunas keluar dari tanah dalam pasu aku tu. Ternyata anak pokok kunyit hitam!! Aku sangka dah mati rupanya ada lagi rezeki aku yang umbisinya mengeluarkan anak pokok. Alhamdulillah. 

Ada anak yang sedang keluar

Daun ada lubang,, tapi dah sembur cecair serai wangi untuk halau serangga/makhluk perosak


Hari-hari aku tengok perkembangan anak pokok kunyit hitam aku. Nampak pokoknya sihat kali ini dan kini dalam proses tumbesaran. Insya Allah, jika membesar dengan baik aku akan pindahkan pokok kunyit hitam ini ke tanah dekat kawasan rumah mak aku untuk dibiakkan. Moga membesar dan sihat ye,

#sedangmencaripokokketumayam

Saturday 2 October 2021

UJIAN PSIKOLOGI DIKALANGAN PENJAWAT AWAM

 


Salam semua, selamat datang Oktober!

Pagi ini sekadar perkongsian sahaja mengenai satu inisiatif kerajaan Malaysia untuk mengukur tahap kesejahteraan psikologi dalam kalangan penjawat awam Malaysia. Sama ada kita sedar atau tidak, pandemik COVID-19 bukan sahaja meranapkan ekonomi sesebuah negara, merubah cara masyarakat dunia menjalani kehidupan serta aktiviti sosial tetapi ianya juga turut memberi kesan terhadap psikologi seseorang. Pernyataan ini disokong dengan data apabila rekod bunuh diri juga menunjukkan peningkatan diperingkat dunia mahupun negara ini. Lebih 200 orang rakyat Malaysia dilaporkan media telah membunuh diri akibat daripada tekanan susulan pandemik yang melanda. Kemurungan, kelesuan, sakit mental dan sebagainya telah mendorong akan seseorang bertindak balas yang akhirnya akan memberi kesan kepada diri, keluarga dan juga menganggu ekosistem kesejahteraan masyarakat di negara ini.

Selaras dengan itu, inisiatif Jabatan Perkhidmatan Awam(JPA) telah melakukan kajiselidik ke atas penjawat awam untuk melihat tahap kesejahteraan psikologi mereka supaya tindakan susulan dapat diambil bagi memastikan perkara ini dapat dibendung dan diatasi sebaiknya. Oleh itu, baru-baru ini JPA telah menyediakan ujian untuk mengukur Indeks Kesejahteraan Psikologi Malaysia dalam kalangan penjawat awam. Semua penjawat awam disarankan untuk mengambil ujian berkenaan untuk melihat sejauhmana aspek emosi, kepuasan hidup, kefungsian psikologi, kesejahteraan sosial dan keterlibatan pekerja seseorang individu itu berada. 

Aku juga mengambil ujian ini untuk melihat keputusannya. Soalan-soalan yang dikemukakan  memerlukan kita menetapkan skala jawapan setiap soalan. Maka, jawablah dengan sejujurnya dan seikhlasnya. Keputusan akan dipaparkan sebaik sahaja kita selesai menjawab dan mengisi maklumat asas yang disediakan. Keputusan aku adalah ditahap sederhana. Alhamdulillah, belum stress teruk lagi sehingga memudarat diri.haha..Ini merupakan keputusan ujian aku kat bawah ini;

Ditahap sederhana..bishe-bishe jer..haha

Dengan memperoleh skor keseluruhan adalah 6.8. Untuk makluman korang, keputusan ini boleh diemailkan kepada email masing-masing atas permintaan kita. Cuma perlu masukkan alamat email kita sahaja dan sekelip mata keputusan ini akan dihantar ke email kita. Moga kita semua dikurniakan kesihatan fizikal dan mental yang baik, insya allah.

Wallahua'lam