Friday 4 February 2022

SEKATAN PRODUK SYARIKAT DARI MALAYSIA OLEH AMERIKA SYARIKAT AKIBAT BURUH PAKSA ATAU TOHMAHAN SEMATA-MATA?

 

Tindakan sekatan ke atas produk-produk keluaran beberapa syarikat dari Malaysia oleh Jabatan Kastam dan Pelindungan Sempadan (CBP) beberapa tahun kebelakangan ini susulan terdapat dakwaan bahawa produk yang dihasilkan oleh syarikat-syarikat yang beroperasi di Malaysia terlibat dengan aktiviti buruh paksa amat mengejutkan.

Beberapa tahun lalu, CBP Amerika Syarikat pernah mengenakan sekatan di bawah Perintah Tahanan Pelepasan (WRO) kerana terdapat laporan yang diterima bahawa terdapat unsur aktiviti buruh paksa untuk penghasilan produk yang bakal dipasarkan di pasaran US. Misalnya pada tahun 2019, syarikat pengeluar sarung tangan getah pakai buang WRP Asia Pacific yang beroperasi di Selangor telah dikenakan WRO oleh pihak CBP Amerika Syarikat. Selain itu juga, Top Glove corporation yang juga pengeluar sarung tangan getah juga pernah dikenakan sekatan sama pada tahun 2020 dan 2021. Namun, kedua-dua syarikat telah dilepaskan semula setelah langkah-langkah dan tindakan telah diambil oleh pihak pengurusan masing-masing bagi mengatasi perkara berkenaan.

Terbaru, beberapa syarilat lagi turut dikenakan WRO iaitu Sime Darby Plantation beserta anak syarikatnya, Supermax corporation bhd, Mazter Glove Manufacturing dan Supermax Glove. Disamping itu juga, syarikat pengeluar sarung tangan getah YTY Group turut menerima nasib sama apabila dikatakan terlibat dengan aktiviti buruh paksa dalam proses pengeluaran produk masing-masing. Pentadbiran Amerika Syarikat menekankan tentang pemerangan terhadap sebarang elemen atau unsur pemerdagangan manusia dan juga buruh paksa daripada luar untuk memasuki pasaran di sana. Akta Tarif 1930, Amerika Syarikat melarang pengimportan barang yang dibuat sepenuhnya atau sebahagiannya menggunakan buruh paksa, buruh terikat (kuli kontrak) atau buruh tahanan dari mana-mana bahagian dunia ke Amerika Syarikat.

Justeru, tindakan sekatan ke atas produk minyak sawit oleh Sime Darby atas tuduhan bahawa syarikat perladangan terbesar di Malaysia itu terlibat dengan buruh paksa adalah sesuatu yang mengecewakan. Kini, syarikat berkenaan sedang berusaha untuk membuktikan bahawa tiada sebarang unsur atau elemen buruh paksa dilakukan oleh syarikat berkenaan. Inisiatif syarikat berkenaan juga turut melantik perunding bebas untuk mengemukakan laporan berhubung perkara yang didakwa sedang dalam tindakan untuk mengeluarkan laporan tersebut. Dalam masa sama juga, pihak kerajaan turut memandang serius berhubung dakwaan berkenaan dan secara tidak langsung turut menjejaskan imej negara dipersada antarabangsa sekiranya ianya terbukti benar.

Isu buruh paksa ini merupakan isu sejagat yang diperjuangkan diperingkat antarabangsa. Badan tertinggi dunia seperti Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) misalnya telah menggariskan 11 petunjuk penting tentang sama ada wujud atau tidak unsur atau elemen buruh paksa di era moden ini. 11 petunjuk berkenaan adalah seperti berikut;

        (i) Pengainayaan

        (ii) Sekatan pergerakan

        (iii) Penahanan gaji

        (iv) Penipuan

        (v) Pengasingan

        (vi) Keganasan fizikal dan seksual

        (vii) Intimidasi dan ancaman

        (viii) Penyimpanan dokumen pengenalan diri

        (ix) Pehambaan hutang

        (x) Keadaan tempat kerja dan tempat tinggal yang teruk

        (xi) Kerja lebih masa yang berlebihan

Jika mana-mana syarikat yang ingin mengeksport barangan masing-masing ke Amerika terdapat salah satu petunjuk yang digariskan ILO ini, maka sekatan ke atas produk keluaran sesebuah syarikat itu bakal dikenakan sehinggalah syarikat terbabit meraktifikasi atau membuktikan bahawa tiada elemen buruh paksa dilakukan oleh syarikat dengan memenuhi dan mematuhi petunjuk ILO ini untuk sekatan berkenaan diangkat semula. Anggaran daripada ILO tahun 2017 yang lalu, menyatakan angka buruh paksa seluruh dunia adalah sekitar 25 juta orang.

Sekatan terhadap WRP Asia Pacific sebelum ini misalnya dilakukan apabila terdapat aduan diterima serta dilaporkan oleh media tentang unsur-unsur buruh paksa berkenaan sehinggakan pihak CBP, US mendapati ianya merupakan suatu bukti yang munasabah untuk mengenakan sekatan berkenaan dan pada tahun 2020 syarikat berkenaan tidak lagi dikenakan tindakan sekatan berkenaan. Sementara Sime Darby pula bermula daripada dakwaan yang dibuat oleh kumpulan anti-pemerdagangan manusia, Liberty Shared (LS) yang berpangkalan di Hong Kong pada April 2020. Apapun, tindakan untuk mengatasinya sedang diambil oleh syarikat dan kerajaan bagi menanganinya. Seharusnya syarikat-syarikat yang dikenakan sekatan itu perlu diberi peluang untuk memberi penjelasan dan membuktikan bahawa mereka tidak terlibat dengan perkara berkenaan dan mungkin sekadar tohmahan semata-mata. Perkara ini hendaklah diteliti dengan sebaiknya sebelum sesuatu tindakan atau keputusan dibuat mengenainya. Jika benar, maka tiada kompromi boleh diberikan terhadap perkara ini. Tetapi jika sebaliknya, ianya akan menjejaskan imej syarikat dan negara juga. Sebab itu ianya harus ditangani dengan berhati-hati.

Malaysia merupakan antara negara yang memerangi pemerdagangan manusia (human trafficking) dan juga sebarang aktiviti buruh paksa dalam pasaran buruh moden masa kini. Sebagai tanda komitmen dan kesungguhan Malaysia dalam membasmi buruh paksa di negara ini apabila kerajaan menerusi Kementerian Sumber Manusia telah melancarkan Pelan Tindakan Nasional berhubung Buruh Paksa (NAPFL) 2021-2025 pada November 2021 yang lalu. 4 matlamat strategik di bawah pelan tindakan berkenaan yang antara lain memberi penekanan terhadap aspek (i)kesedaran, (ii) penguatkuasaan, (iii) migrasi buruh dan (iv) akses kepada remedi dan pelindungan untuk mangsa. Selain itu juga, kesediaan Malaysia untuk meraktifikasi protokol 29, Konvensyen Buruh Paksa 1930 apabila kabinet telah bersetuju mengenainya pada November tahun lalu membuktikan komitmen Malaysia betapa seriusnya untuk membasmi kegiatan ini daripada berlaku di negara ini.

Dari sudut lain pula, menerusi sekatan-sekatan yang dikenakan oleh CBP ini telah menjadikan mana-mana syarikat sama ada kecil, sederhana mahupun besar sentiasa berjaga-jaga dan berusaha untuk meningkatkan lagi perkhidmatan dan tahap kebajikan terhadap kakitangan masing-masing dalam mengejar keuntungan kepada syarikat. Pada era serba canggih ini, maklumat dihujung jari dan mudah diperolehi. Setiap kita terdedah kepada dunia melalui teknologi. Justeru, sikap dan pendekatan yang diambil hendaklah penuh himah dan berhati-hati. Wang bukan segala-galanya. Aset paling berharga buat syarikat ataupun organisasi adalah modal insan. Setiap syarikat atau organisasi perlu memandang serius terhadap perkara ini dan isu-isu sejagat agar tidak terpalit dan dibelenggu dengan sebarang pelanggaran protokol-protokol digariskan badan antarabangsa amnya.

Semoga Malaysia bakal muncul sebagai antara negara yang menjadi rujukan dan bebas daripada sebarang unsur buruh paksa atau terpalit dengan kontroversi diperingkat antarabangsa yang boleh menjejaskan imej negara di mata dunia. Menerusi komitmen dan pelan tindakan yang baru dilancarkan telah meletakkan Malaysia dilandasan betul ke arah keharmonian dan kesejahteraan buruh di negara ini secara keseluruhannya serta bakal muncul negara maju yang setanding dan berprestij di mata dunia suatu hari nanti, Insya Allah.