Monday 7 October 2019

Budayakan amalan suka membaca dalam kehidupan!

Slogan 'Bangsa membaca, bangsa berjaya!' hanya akan tinggal dalam catatan dan slogan sahaja jika ianya tidak dimulakan sebagai budaya dalam masyarakat. Tanpa membaca dengan banyak bahan-bahan ilmiah yang boleh menambah pengetahuan seseorang tidak mungkin membolehkan seseorang mahupun sesebuah bangsa itu berjaya. Sebagai rakyat Malaysia, sudah sampai masanya untuk perubahan minda dan budaya terhadap bahan bacaan yang ilmiah dijadikan amalan harian. Melalui cara ini pastinya akan memupuk generasi akan datang rakyat negara ini untuk lebih progresif serta mencintai ilmu.

Jika kita amati budaya masyarakat negera-negara maju, rakyat di sana antara cirinya adalah menjadikan membaca sebagai budaya mereka. Melalui pembacaan juga sesuatu perkara baru dan ilmu baru diperolehi. Lihatlah negara-negara seperti Jepun, Korea Selatan, negara-negara di sebelah barat yang maju bukan sekadar pertumbuhan ekonomi mereka pesat, namun ianya turut disertai oleh cara fikir dan sudut pandang masyarakatnya. Ketinggian intelektualisme, berintegriti tinggi, kesopanan dan sebagainya ciri-ciri ketamadunan ada disemai dan terserlah menerusi masyarakat sesebuah negara.

Sebagai contoh, negara seperti Korea Selatan pernah menjadi fenomena di mana masyarakatnya menjadi 'demam mencintai ilmu' dan dalam masa sama tidak pula meminggirkan budaya ketimuran yang dipegang sejak berkurun lamanya. Akhirnya hari ini, Korea Selatan telah jauh meninggalkan kita dari sudut pendidikan. Mereka telah muncul sebagai negara maju dengan acuan mereka sendiri. Tanpa ilmu pengetahuan, sesebuah bangsa itu akan mundur dan ketinggalan. Justeru, bangkitlah mulai hari ini untuk mengubah sikap dan minda kita untuk menjadikan amalan membaca sebagai budaya. Mulakan dengan mungkin bahan bacaan yang mudah dan ringkas terlebih dahulu sebelum beralih kepada bahan bacaan ilmiah yang berat. Kita boleh lakukan ini jika kita punyai iltizam dan mahu melakukan perubahan dan kita lakukan. Bukan menunggu hari esok sebaliknya sekarang.

Tahap kesedaran membaca khususnya kepada bahan-bahan bacaan ilmiah ini dilihat masih rendah. Bukan itu sahaja, bahkan untuk mengikuti isu-isu semasa juga semakin tidak diendahkan oleh generasi masa kini. Mereka lebih terarah kepada perkembangan sukan dan juga artis serta selebriti. Selain itu juga, mereka lebih menumpu kepada media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram, WhatsApp, dan sebagainya mengenai video dan berita yang belum sahih untuk ditularkan. Sebaliknya jika ada mengenai sesuatu maklumat yang memerlukan pembacaan mengenai rencana panjang, mereka lebih terdorong untuk 'scroll' sahaja dan tidak akan membacanya. Nah, jika begini sikapnya, mana mungkin generasi kini mampu menaakul sesuatu perkara dengan lebih kritis dan berfikir secara rasional sebelum bertindak? Ini yang berlaku di media-media sosial apabila sesuatu perkara timbul, yang datang menyerang tanpa fakta memaki hamun tanpa usul periksa dan sekadar mengetahui ditengah-tengah tanpa menafsir dengan hikmah sebelum menyatakan pandangan.

Negara ini lama-kelamaan akan menjadi lemah apabila generasi yang enggan membudayakan amalan membaca semakin dipinggirkan dalam masyarakat. Bagi mengupas sesuatu isu atau perkara memerlukan ilmu pengetahuan. Tanpanya anda mungkin tidak mampu mengupasnya. Hal ini juga merupakan penyumbang kepada kegagalan seseorang calon temuduga ketika menghadiri temuduga untuk sesuatu jawatan. Mereka tidak mengetahui perkembangan semasa. Jangankan mengenai kesan kepada perang dagang antara Amerika Syarikat dan China, silap-silap calon itu pulak yang terkejut tentang perang dagang kerana itulah kali pertama yang didengarinya. Belum lagi mengenai IR4.0, Dasar Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang baru diumumkan kerajaan untuk dasar ekonomi negara dan sebagainya. Cakna kepada perubahan dan perkembangan semasa. Usaha untuk mendapatkan sebanyak-banyak maklumat sekurang-kurangnya untuk diri sendiri menambah ilmu. 

Budaya membaca ini boleh dipupuk sejak dari kecil lagi. Ibubapa yang mempunyai anak-anak harus memulakan sebagai contoh teladan kepada mereka. Peruntukkan masa dalam sehari untuk diluangkan dengan membaca. Rencana-rencana yang bersesuaian untuk merangsang minda berkembang. Tetapkan sasaran untuk berapa bilangan buku yang minimum untuk dihabiskan bacaannya dalam 1 tahun. Lama-kelamaan ianya akan menjadi budaya dalam keluarga. Sebelum kepada konteks yang lebih besar seperti negara, ayuh kita mulakan untuk membudayakannya dalam keluarga kita. Ingatlah, jika kita gagal untuk merancang sebenarnya kita sedang merancang untuk gagal.

wallahua'lam.

No comments:

Post a Comment