Monday 7 October 2019

Budayakan amalan suka membaca dalam kehidupan!

Slogan 'Bangsa membaca, bangsa berjaya!' hanya akan tinggal dalam catatan dan slogan sahaja jika ianya tidak dimulakan sebagai budaya dalam masyarakat. Tanpa membaca dengan banyak bahan-bahan ilmiah yang boleh menambah pengetahuan seseorang tidak mungkin membolehkan seseorang mahupun sesebuah bangsa itu berjaya. Sebagai rakyat Malaysia, sudah sampai masanya untuk perubahan minda dan budaya terhadap bahan bacaan yang ilmiah dijadikan amalan harian. Melalui cara ini pastinya akan memupuk generasi akan datang rakyat negara ini untuk lebih progresif serta mencintai ilmu.

Jika kita amati budaya masyarakat negera-negara maju, rakyat di sana antara cirinya adalah menjadikan membaca sebagai budaya mereka. Melalui pembacaan juga sesuatu perkara baru dan ilmu baru diperolehi. Lihatlah negara-negara seperti Jepun, Korea Selatan, negara-negara di sebelah barat yang maju bukan sekadar pertumbuhan ekonomi mereka pesat, namun ianya turut disertai oleh cara fikir dan sudut pandang masyarakatnya. Ketinggian intelektualisme, berintegriti tinggi, kesopanan dan sebagainya ciri-ciri ketamadunan ada disemai dan terserlah menerusi masyarakat sesebuah negara.

Sebagai contoh, negara seperti Korea Selatan pernah menjadi fenomena di mana masyarakatnya menjadi 'demam mencintai ilmu' dan dalam masa sama tidak pula meminggirkan budaya ketimuran yang dipegang sejak berkurun lamanya. Akhirnya hari ini, Korea Selatan telah jauh meninggalkan kita dari sudut pendidikan. Mereka telah muncul sebagai negara maju dengan acuan mereka sendiri. Tanpa ilmu pengetahuan, sesebuah bangsa itu akan mundur dan ketinggalan. Justeru, bangkitlah mulai hari ini untuk mengubah sikap dan minda kita untuk menjadikan amalan membaca sebagai budaya. Mulakan dengan mungkin bahan bacaan yang mudah dan ringkas terlebih dahulu sebelum beralih kepada bahan bacaan ilmiah yang berat. Kita boleh lakukan ini jika kita punyai iltizam dan mahu melakukan perubahan dan kita lakukan. Bukan menunggu hari esok sebaliknya sekarang.

Tahap kesedaran membaca khususnya kepada bahan-bahan bacaan ilmiah ini dilihat masih rendah. Bukan itu sahaja, bahkan untuk mengikuti isu-isu semasa juga semakin tidak diendahkan oleh generasi masa kini. Mereka lebih terarah kepada perkembangan sukan dan juga artis serta selebriti. Selain itu juga, mereka lebih menumpu kepada media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram, WhatsApp, dan sebagainya mengenai video dan berita yang belum sahih untuk ditularkan. Sebaliknya jika ada mengenai sesuatu maklumat yang memerlukan pembacaan mengenai rencana panjang, mereka lebih terdorong untuk 'scroll' sahaja dan tidak akan membacanya. Nah, jika begini sikapnya, mana mungkin generasi kini mampu menaakul sesuatu perkara dengan lebih kritis dan berfikir secara rasional sebelum bertindak? Ini yang berlaku di media-media sosial apabila sesuatu perkara timbul, yang datang menyerang tanpa fakta memaki hamun tanpa usul periksa dan sekadar mengetahui ditengah-tengah tanpa menafsir dengan hikmah sebelum menyatakan pandangan.

Negara ini lama-kelamaan akan menjadi lemah apabila generasi yang enggan membudayakan amalan membaca semakin dipinggirkan dalam masyarakat. Bagi mengupas sesuatu isu atau perkara memerlukan ilmu pengetahuan. Tanpanya anda mungkin tidak mampu mengupasnya. Hal ini juga merupakan penyumbang kepada kegagalan seseorang calon temuduga ketika menghadiri temuduga untuk sesuatu jawatan. Mereka tidak mengetahui perkembangan semasa. Jangankan mengenai kesan kepada perang dagang antara Amerika Syarikat dan China, silap-silap calon itu pulak yang terkejut tentang perang dagang kerana itulah kali pertama yang didengarinya. Belum lagi mengenai IR4.0, Dasar Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang baru diumumkan kerajaan untuk dasar ekonomi negara dan sebagainya. Cakna kepada perubahan dan perkembangan semasa. Usaha untuk mendapatkan sebanyak-banyak maklumat sekurang-kurangnya untuk diri sendiri menambah ilmu. 

Budaya membaca ini boleh dipupuk sejak dari kecil lagi. Ibubapa yang mempunyai anak-anak harus memulakan sebagai contoh teladan kepada mereka. Peruntukkan masa dalam sehari untuk diluangkan dengan membaca. Rencana-rencana yang bersesuaian untuk merangsang minda berkembang. Tetapkan sasaran untuk berapa bilangan buku yang minimum untuk dihabiskan bacaannya dalam 1 tahun. Lama-kelamaan ianya akan menjadi budaya dalam keluarga. Sebelum kepada konteks yang lebih besar seperti negara, ayuh kita mulakan untuk membudayakannya dalam keluarga kita. Ingatlah, jika kita gagal untuk merancang sebenarnya kita sedang merancang untuk gagal.

wallahua'lam.

Tuesday 6 August 2019

Persediaan dan cabaran menghadapi sesi temuduga pegawai di sektor awam


Mendapat sesuatu pekerjaan merupakan saat yang paling menggembirakan buat mereka yang masih lagi sehingga kini bergelut untuk mendapatkan pekerjaan. Apatah lagi jawatan yang dijawat itu pula adalah setaraf dengan kelulusan yang dimiliki oleh calon. Kebiasaannya kita dapati bahawa rakan-rakan kita yang sudah mendapat pekerjaan yang setaraf dengan kelulusan mereka membuatkan seolah-olah mudahnya mereka dapat pekerjaan itu. Mengapa aku tidak? Di sini aku ingin kongsikan sedikit mengenai persediaan dan juga cabaran bagi menghadapi sesi temuduga khususnya di sektor awam.

Cabaran menjawat jawatan pegawai di sektor awam

Tidak dinafikan, untuk seseorang itu mendapat pekerjaan sangat sengit pada zaman kini memandangkan jumlah permohonan dan calon layak adalah terlalu banyak sedangkan peluang tempat adalah terhad. Bagi mereka yang berminat untuk memasuki sektor awam lagi lah semakin ketat dan juga sengit. Hari ini kaedah pemilihan seseorang calon untuk menjawat jawatan pegawai di sektor awam semakin sukar. Pemilihan semakin ketat memandangkan perkhidmatan awam hari ini memerlukan mereka yang 'cemerlang' dan terbaik dikalangan yang terbaik. Antara cabaran lain bagi calon-calon untuk menjawat jawatan pegawai adalah seperti berikut;


  1. Calon cemerlang terlalu ramai (dari segi kelulusan akademik, pencapaian, pengalaman dsbnya)
  2. Tempat di sektor awam adalah terhad
  3. calon perlu melalui beberapa fasa pemilihan/saringan sebelum menjawat jawatan Pegawai di sektor awam
  4. Soalan-soalan yang dikemukakan panel temuduga bersifat global & 'creative and critical thinking'
*Pegawai yang dimaksudkan di sini adalah jawatan di gred 41 dan ke atas.

Calon cemerlang terlalu ramai dan tempat adalah terhad


- seperti sedia maklum bahawa dunia hari ini terlalu ramai calon yang layak dari segi akademik, pengalaman dan pencapaian. Justeru, calon perlu bersaing untuk merebut jawatan yang disediakan. Misalnya, sesebuah jabatan diperingkat daerah akan ditempatkan seorang pegawai bergred 41 untuk memimpin di daerah berkenaan. Contoh; Pegawai Pembangunan Masyarakat S41, Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah xx.

Fasa pemilihan / saringan 

- Pemilihan untuk melantik pegawai kerajaan dipelbagai jabatan dan agensi perlu melalui berberapa fasa saringan sebelum seseorang untuk ditawarkan surat lantikan. Programme Assessment Centre (PAC). Kepada yang pernah lalui PAC tentunya tahu. Berikut beberapa fasa saringan yang perlu dilalui seseorang calon iaitu; (a) Saringan kelayakan akademik, (b) peperiksaan online, (c) ujian kecergasan, kumpulan perbincangan, public speaking (d) ujian psikometrik (e) sesi temuduga. 

Untuk melepasi setiap satunya, yang dah berpengalaman tahu lah macam mana peritnya. Kepada yang pertama kali, ini antaranya yang perlu dilalui oleh seseorang calon.

Soalan panel temuduga bersifat global, creative & critical thinking

Bila korang berjaya melepasi semua fasa itu, maka akan sampai ke peringkat temuduga. Pada sesi temuduga ini lah akan peringkat akhir bagi menguji calon-calon sama ada berjaya atau tidak. Dan part ni lah pada sesiapa yang bila keluar result kalau tidak berjaya pasti frust menonggeng! Sebabnya tinggal satu step je lagi. Tetapi, bila sampai peringkat temuduga bukannya mudah untuk dilepasi. Soalan-soalan yang dikemukakan juga sangat tough. Antara soalan yang ditanya adalah bersifat global, penyelesaian masalah dan juga critical & creative thinking selain general knowledge untuk menilai penguasaan serta sejauh mana persediaan calon itu. Contoh soalan yang pernah ditanya bagi mengisi jawatan Pegawai Pembangunan Masyarakat S41, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB);


  1. Apakah bidang tugas PPM S41?
  2. Sebutkan nama penuh YDPA
  3. Berikan contoh negara-negara luar yang berjaya yang boleh dijadikan contoh sebagai model membangunkan luar bandar untuk diaplikasi di Malaysia?
  4. Apakah inisiatif atau idea atau cadangan kamu untuk memastikan penembusan jalur lebar dapat ditembusi ke kawasan pedalaman memandangkan syarikat-syarikat telco pon enggan memasang pencawang di kawasan pedalaman kerana kos sangat tinggi?
  5. IR 4.0 , isu perang dagang antara Amerika-China, kesan pubG kepada masyarakat, 
  6. Bagaimana mahu menarik minat masyarakat luar bandar untuk datang ke program kementerian tanpa perlu menjadikan selebriti sebagai tarikan?
  7. Bagaimana kamu boleh cadang untuk selesaikan masalah masyarakat orang asli yang paginya masuk islam, petangnya keluar agama? bagaimana nak pastikan mereka kekal dalam islam?
Itu antara sedikit soalan-soalan yang pernah ditanyakan kepada calon-calon temuduga untuk menjawab dengan penuh hikmah.

Kesimpulannya, calon-calon yang berminat untuk menyertai sektor perkhidmatan awam, perlu bersedia dari segi pengetahuan yang luas, mengasah kemahiran berbahasa inggeris memandangkan kerajaan hari ini memerlukan para pegawai yang mahir berbahasa inggeris. Semoga korang berjaya!