Tuesday 31 August 2021

MENGENANG ALLAHYARHAM DATO' UMAR BIN ISMAIL, MANTAN PENGERUSI AJP PPK LENGGONG PERAK

Hari ini genap 1 tahun pemergian Allahyarham Dato' Hj. Umar bin Ismail, mantan Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah PPK Lenggong, Perak. Beliau merupakan seorang tokoh masyarakat yang amat disegani di Lenggong dan negeri Perak. Selaku orang yang luas pengalaman di dalam persada politik tanahair dan berkhidmat di dalam masyarakat sejak sekian lama membuatkan allahyarham amat dikenang akan jasa dan pengorbanannya.

Sebelumberkecimpung di dalam politik, allahyarham merupakan seorang guru sekolah. Sudah tentu pada zamannya menjadi guru amat dihormati masyarakat dan dipandang tinggi. Kemudiannya allahyarham terjun ke bidang politik dan menjadi ahli parlimen Chenderoh ketika itu sekitar tahun 1978. Jawatan terakhir di dalam politik adalah sebagai Speaker DUN Perak. 

Allahyarham sangat aktif di dalam pergerakan Pertubuhan Peladang sehingga pernah menjadi Pengerusi AJP Pertubuhan Peladang Negeri Perak dan jasanya membuka ladang jaya baru untuk dimajukan dengan tanaman kelapa sawit untuk faedah PPK dan juga ahli peladang nikmati sehingga ke hari ini. 

Allahyarham Dato' Hj Umar bin Ismail



Saya berkesempatan berkhidmat di PPK Lenggong ketika allahyarham menjadi Pengerusi AJP PPK Lenggong. Mengenali allahyarham merupakan seorang yang berpengalaman luas dan panjang fikirnya membuatkan setiap perkara yang perlu diputuskan saya biasanya akan berbincang dengan allahyarham terlebih dahulu khususnya mengenai keputusan-keputusan besar untuk diputuskan. Saya masih ingat lagi ketika hari pertama melapor diri di Lenggong, saya mengadakan kunjung hormat ke rumah allahyarham. Antara soalan-soalan yang ditanya kepada saya "Kalau mike bekerja di sini,orang rumah mike macam mana?datang sekali ke?"  Allahyarham bukan jenis yang boleh dibuat main, tetapi setiap percakapan dan tingkahlaku kita akan diperhati dan dinilai selaku orang lama. Setiap kata penuh nasihat dijadi azimat. Menegur penuh hikmah. Jarang senyum, dan bercakap terhadap perkara perlu sahaja. Setiap katanya penuh makna tersirat yang perlu direnung dan dihayati untuk menangkap makna yang ingin disampaikan. Penuh kiasan.

Bergambar kenangan bersama Allahyarham ketika perasmian stesen minyak milik PPK Lenggong. Dari kiri; Pengarah LPP Negeri, Ketua Pengarah LPP, Dato' Hj Umar dan saya



Pada saya, secara peribadi allahyarham seorang yang mementingkan soal kualiti kerja dan mempunyai pandangan jauh untuk memajukan organisasi. Bijak di dalam menggendalikan mesyuarat serta mematahkan hujah-hujah mereka yang pada pandangannya tidak sesuai tetapi tidak melukakan hati yang mengeluarkan hujah. Sangat dihormati oleh para pemimpin tempatan dan negeri walaupun telah lama tidak aktif di dalam politik. Ketajaman pemikiran walaupun sudah berusia 85 tahun dan bijaksana di dalam menasihati pengurusan sangat hebat.

Gambar kenangan. Saya, Dato' Umar dan Ketua Pengarah LPP tahun 2019



Mempunyai karisma seorang pemimpin untuk masyarakat masih terserlah. Sebagai tujuan rekod, allahyarham banyak berjasa  kepada masyarakat peladang di Lenggong khususnya dan antara jasa terakhirnya kepada warga peladang Lenggong adalah dengan terbinanya Stesen Minyak Petronas milik PPK Lenggong yang memberi faedah besar kepada ahli peladang, sumbangan ekonomi dan juga sosial kepada masyarakat. Saya amat menghormati allahyarham dan sangat bersyukur kerana berpeluang berkhidmat dengan allahyarham walaupun hanya 3 tahun 3 bulan sahaja. Antara ayat yang allahyarham ungkapkan ketika awal saya di Lenggong, "Menurut pesanan orang tua-tua di sini dulu sebut, Orang (pegawai kerajaan) yang datang ke Lenggong, jika berniat baik dan dia minum air sungai lenggong, insya Allah akan keluar dengan naik pangkat". 

Ketika majlis perpisahan saya yang bakal bertukar pada tahun 2019.



Terima kasih Dato' Hj. Umar bin Ismail atas segala khidmat bakti yang ditabur demi masyarakat dan anak watan. Semoga segala kebaikan yang dilakukan akan diganjarkan oleh Allah swt sebaiknya, insya Allah.

Al-Fatihah buat Allahyarham Dato' Hj. Umar bin Ismail yang telah pergi menemui PenciptaNYA tanggal 31 Ogos 2020. Seorang penjuang bangsa, perginya pun pada hari yang istimewa iaitu hari kemerdekaan tanahair tercinta.

(p/s: jika berkelapangan saya akan kongsikan mengenai pengalaman mewujudkan projek stesen minyak PPK Lenggong)


ZAMAN BELAJAR DULU

 Salam kemerdekaan semua,

Diharapkan semoga semua kita berada di dalam rahmat Illahi hendaknya. Pagi ini terima kiriman gambar zaman belajar peringkat diploma dulu. Kelakar jugak bila tengok balik gambar-gambar lama tu. hehe.

Bila mengimbau semula zaman belajar dulu khususnya masa di politeknik, sebenarnya aku tak amik gambar. Sebabnya, dulu masa aku belajar tu belum meluas lagi smartphone ni. Camera pun aku tak ada. Ingat lagi masa tu kamera digital. Mana mampu nak beli. So, yang ada gambar-gambar tu bila kawan-kawan yang snap. Hari ini dia share ke aku gambar masa dulu. Bapak kurusnya aku zaman tu. haha.. 

Masa ni tengah buat amali untuk subjek kejuruteraan tanah kalau tak silap

Zaman tu, mana ada facebook, Instagram dan Twitter lagi yang boleh share gambar-gambar masuk dalam tu then boleh tengok balik. Xdanya. WhatsApp pun xda lagi. Tapi time tu ada friendster dan myspace. haha.

Ini masa convocation - bersama member kelas DPT

Lepas SPM, aku menyambung pelajaran di peringkat diploma dalam jurusan Kejuruteraan Mekanikal (Pertanian) di Politeknik Kota Bharu, Kelantan selama 3 tahun. Setelah tamat belajar, kami semua bawa haluan masing-masing. 

Dalam kelas aku, ada 40 orang. Hampir kesemuanya telah berumah tangga dan ada juga yang telah kembali kerahmatullah. 

Kini, ada yang berkhidmat di sektor awam, swasta dan bekerja sendiri. Ada masa nanti aku share tentang pengalaman belajar di sana ye. 

2 keping gambar di atas dikirim oleh kawan aku pagi tadi. Haha. Dia masih simpan dan betullah kata orang, sekeping gambar mampu menceritakan dan mengimbau 1001 kenangan lalu.


Monday 30 August 2021

KENANGAN SEMASA PERCUTIAN DI PULAU PERHENTIAN

 Salam,

Pagi ni kemas-kemas barang lama di bilik, terjumpa camera digital aku yang dah lama tak digunakan. Sememangnya aku dah lama cari kat mana simpannya camera aku tu. Bila dah jumpa, mula la belek-belek balik dalam memory card camera tu tentang gambar-gambar lama yang masih tersimpan di dalamnya kan.

Salah satunya adalah mengenai gambar-gambar masa bercuti ke pulau perhentian, Terengganu sekitar tahun 2015. Kira-kira 6 tahun yang lalu. Bila tengok balik gambar-gambar tu, ianya menggamit memori di sana. Walaupun tak banyak gambar yang diambil menggunakan camera tu sebab banyak snap pakai handphone. Tapi terdapat gambar-gambar yang tiada dalam handphone tapi masih tersimpan di dalam camera aku. Handphone yang aku guna untuk ambil gambar pun dah lama rosak. haha.


Ketika boat menghampiri pulau perhentian



Ok, berbalik kepada cerita kenangan bercuti di Pulau Perhentian. Sebenarnya trip ni adalah trip bersama rakan-rakan di pejabat. Kami plan, untuk bercuti ke pulau ini atas beberapa sebab. Antaranya:

1. Semua kami tak pernah pergi ke pulau perhentian

2. Pulau Perhentian antara 10 pulau tercantik di dunia

3. Merehatkan minda setelah bekerja.

Oleh sebab-sebab di atas, kami plan untuk bercuti di pulau. Sebenarnya kos untuk ke pulau tu lebih kurang RM 350/orang (tak termasuk kos makan dan minum serta perbelanjaan di sana ya). Kami pergi naik van sewa sampai di jeti dekat besut sebelum menaiki bot ke sana. Memang perasaan masa tu teruja sangat sebab yela, tempat tak pernah sampai kan.. 

Bot ni lebih kurang bot pancung, laju weh abang ni bawak membelah lautan dari tanah besar nak ke pulau

Tapi bila hampir sampai ke pulau perhentian, pemandangannya memang cantik. Tapi makan kat sana memang standard tempat pelancongan lah. Mahal. Maklumla, tempat pelancongan tumpuan. Mat saleh pun ramai yang datang. Sejujurnya, ianya agak kurang sesuai untuk membawa anak kecil ke sini. Sebabnya aktiviti di pulau ni sesuai untuk orang bujang atau pergi tanpa membawa anak kecil la kot. Sebab banyak aktiviti air, contoh macam scuba diving, snorkelling, mandi, dan sebagainya. Yang menariknya kat pulau ni, capaian untuk dapatkan signal telco khususnya maxis agak rendah kadang-kadang terus hilang. Jadi boleh tumpu untuk betul-betul tenangkan minda..haha Sekarang ni aku tak pastilah, mungkin dah dapat.

Trip kami lepas snorkelling melihat hidupan laut dan island hoping kawasan sekitar, sambil selam tengok penyu, kami juga berpeluang pergi ke satu tempat di kawasan berhampiran pulau untuk melihat pemandangan yang indah.

sesekali nampak macam di luar negara pulak siap ada kincir angin

Nampak tak tangga tu, kami kemudiannya dibawa ke sana..dan panjat tangga untuk sampai di puncak

Kincir angin


Mula-mula nak memanjatnya tu dengan tak pakai selipar, memangla azab jugak.. sebabnya kawasan plat besi panas plak time tu walau dah petang.. ada kawasan yang dah reput pun ye juga. Tapi bila fikir balik alang-alang dah sampai, rugi kalau tak cuba. Jadi kami nekad untuk panjat sampai ke puncak.

Laluan untuk sampai ke puncak..

Setelah beberapa ketika mendaki untuk ke puncak, akhirnya alhamdulillah, sampai jugak. Dan pemandangannya masya Allah cantiknya..Kita boleh lihat dari atas ke laut dengan pemandangan seperti ini

pemandangan dari atas puncak




Percutian ke pulau perhentian ni singkat sahaja dalam 3 hari 2 malam. Sebelum pulang, kami sempat singgah di beberapa lokasi di tanah besar untuk membeli keropok losong dan lekor untuk dibawa pulang beserta cenderamata tanda kenang-kenangan.

Ni gambar aku masa di pulau, hehe



Kami menginap di Samudera Beach Chalet. Mujur sempat snap beberapa keping gambar dan masih tersimpan di dalam camera. Dapat jugak mengimbau kenangan ketika bercuti di sana suatu masa dahulu.

Sekian, saja. Jumpa lagi di next entry ya!


Sunday 29 August 2021

PERLAWANAN MANCHESTER CITY vs ARSENAL : 5 - 0

Semalam perlawanan premier league antara Manchester City menentang Arsenal. Keputusan akhir Arsenal kalah 0-5 kepada Manchester City. Sadis. Sebelum ni lawan dengan team xternama pun kalah. Boleh kata tiap minggu kalah ni.haha.. Sampai ada viral di socmed, video penyokong gunners di stadium yang menyanyi ramai-ramai tentang kekalahan tiap minggu sesuatu yang biasa. hmmm. Kena kutuk dengan member-member yang sokong ManU, Chelsea jangan cakapla..haha.. tapi rileks jela. Kalah tu biasa.

Sememangnya selaku penyokong setia the gunners, aku kecewa. Tapi yela, untuk berubah pasukan tidak sekali. Kekal setia. Tapi mengharapkan agar suatu keajaiban berlaku pada team gunners ni untuk bangkit gemilang seperti era Thierry Henry dulu di mana Arsenal gah dipersada liga. Aku mula minat dan menyokong Arsenal sejak era Henry lagi. Tapi entah mengapa, pasukan ni asyik menanggung kekalahan demi kekalahan. Sudah lama tak pernah menang piala. Team ni kelihatan macam banyak latih dan lahir pemain hebat tapi akhirnya diorang banyak berhijrah ke pasukan lain. Yang tinggal adalah pasukan yang masih menunggu untuk bergelar juara! Kadang-kadang, terfikir juga akan ada kebangkitan pasukan untuk bergelar juara. Tak mustahil. Liverpool dah buktikan season lepas. Aku yakin, Arsenal juga boleh bangkit nanti. Hanya menunggu masa dan ketika untuk ke puncak liga dan bergelar juara! 



Saturday 28 August 2021

BOBBY

Assalamualaikum guys,



Kali ini aku pilih untuk kongsikan dengan semua mengenai kucing kami - Bobby.

Bobby nama seekor kucing jantan wife punya. Kitorang adopt dia dah 7 tahun. Masa mula-mula adopt, sebab wife aku memang seorang pencinta kucing. Satu hari emak aku amik si bobby ni dari jiran sebelah rumah yang memang pencinta kucing. Bobby masa tu bersama 3 lagi adik beradik dia yang lain yang memang tuannya bagi-bagi pada orang yang mintak. Diringkaskan cerita, Bobby kami ambil masa umurnya lebih kurang 2 bulan. Tiada nama. Aku yang decide letak nama dia Bobby. 

Ada cerita disebalik kami decide untuk adopt si Bobby ni sebenarnya..haha.. Masa tu kami baru kahwin dalam 7 bulan macam tu. Aku pulak masa tu berjauhan dengan wife masa tu. Aku masih di Perlis dia pula dah bertukar ke Perak. So kami weekend husband-wife lah. Jadi dengan adanya anak kucing, orang rumah aku bolehlah bag perhatian pada dia. Alhamdulillah nak dijadikan rezeki, lepas kami adopt si Bobby ni dalam beberapa minggu, orang rumah pregnant! Bobby ni tak macam kucing-kucing yang lain. Dia tak manja, garang dan siapla habis dicakarnya.haha. Dia tak suka dipegang. 

Kitorang pun selalu kena cakar. Dulu masa dia kecik-kecik, memang manja sangat. Kalau tidur nak sekali naik atas katil. Sekarang ni takde lagi dah. Ingat lagi masa orang rumah bawak balik anak kami dari hospital lepas bersalin, Bobby ni jadi weird sangat. Dia tengok je baby tu yang wife aku pegang. Tapi wife aku selalu cakap dengan dia, "Bobby ni adik ni.." Sejak tu, kat mana baby tu ada, Bobby akan ada. Dari kecik sampai sekarang ni. Dulu masa anak kami masih baby, kalau nangis tengah malam, masih budak tu xberenti..Bobby akan naik atas katil dan mula gigit kaki kami. Agaknya nak kejutkan la kot. Hahaha.. Satu lagi aku notice, walaupun Bobby garang dan tak suka dipegang, tapi bila anak aku fia (masa tu baby lagi) pegang dan buat dia, dia macam pasrah.. cuba kalau kitorang, siapla..haha. Tapi mungkin naluri kucing dia tahu tu budak yang tak tahu apa lagi kot.




Sekarang, bila fia dah besar ni, kalau fia nangis...xnak berenti.. dia akan datang dekat dulu. Kalau masih xberenti lagi, dia akan gigit fia. Haha. Dah terbalik pendekatan dia jaga adik dia.. Dan-dan fia berenti nangis. Pada kami, kami ada abang long - Bobby (anak bulu) dan seorang anak sendiri - fia. Orang rumah aku memang paling sayang Bobby tahap gaban aku rasa. Dulu masa kitotang pergi kenduri rumah sedara di felda bukit tongkat, Johor.. Tidur di homestay, sekali ada yang xperasan pegi bukak pintu. Ape lagi, Bobby lari keluar waktu malam. Lepastu wife aku perasan yang pintu terbuka dan Bobby dah xde. Apa lagi, dia punya panik..Dengan aku sekali pakat cari. Memang tak jumpa. Dahla tempat asing dan gelap malam pulak tu. Tapi last sekali alhamdulillah jumpa jugak. Jauh dia pergi dari rumah tu. Nasib jumpa. kalau tidak tak tahula macam mana orang aku. 

Satu lagi, Bobby ni seekor peminat buah durian. Dia memang hantu durian. kalau ade durian dia sanggup tunggu sampai buka untuk dia nak makan. Buah-buah lain yang dia minat buah rock melon dan mangga (harumanis). Memang suka betul. Tapi bukannya boleh banyak, nanti cirit or muntah. 



Banyak kenangan dengan Bobby. Sekarang dia dah 7 tahun manusia. Dan harini dia patutnya kena vaksin (bukan untuk covid-19), tapi yela, dah time PKP ni, terpaksala xboleh bawak jumpa vet. Insya Allah, nanti dah boleh kita bawak pegi vaksin ye. Tu jela nak share, bye!



TUN AHMAD SARJI ABDUL HAMID; SATU KEHILANGAN BESAR KEPADA LPP MALAYSIA

 


Negara dikejutkan awal pagi ini seorang tokoh negara yang banyak berjasa kepada tanahair Tun (Dr) Ahmad Sarji bin Abdul Hamid telah kembali kerahmatullah. Satu kehilangan besar bukan sahaja kepada negara secara amnya tetapi juga kepada Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) khususnya. Umum mengetahui bahawa allahyarham merupakan Ketua Setiausaha Negara (KSN) ke 9, Malaysia dan pernah menjawat pelbagai jawatan di dalam kerajaan dan juga swasta.

Allahyarham merupakan Ketua Pengarah LPP Malaysia yang pertama ketika mula dilantik pada awal menubuhan LPP pada tahun 1973 oleh YAB Tun Abdul Razak Hussien, Perdana Menteri Malaysia ketika itu. Tentunya jasa dan pengorbanan allahyarham terhadap agensi kerajaan khususnya LPP sangat besar dan dengan berita pemergian allahyarham merupakan satu kehilangan besar buat seluruh warga LPP. Pelbagai program dan rancangan telah diperkenalkan olehnya sepanjang menerajui LPP bagi memacu agensi ini di dalam memastikan pembangunan dan kemajuan Pertubuhan Peladang dan membela masyarakat peladang keseluruhannya. 

Semoga roh allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman serta diganjarkan kebaikan pahala oleh Allah swt di atas segala jasa dan bakti allahyarham sepanjang menerajui agensi keramat seperti LPP hendaknya, insya Allah.

Al-fatihah.

Friday 27 August 2021

TANAMAN LABU MANIS

 

Tanaman labu manis di rumah

Labu manis merupakan daripada keluarga Cucurbita Moshata dan labu manis ini dikategorikan sebagai tanaman sayuran berbuah. Menurut statistik daripada Jabatan Pertanian menunjukkan jumlah keluasan tanaman labu manis di Malaysia pada tahun 2019 adalah seluas 2097 hektar dengan pengeluaran hasil yang direkodkan adalah sebanyak 27,003 metrik tan. Jika kita amati dari segi data pula, purata pengambilan sayur-sayuran dalam kalangan rakyat Malaysia pada tahun 2019 adalah sebanyak 85.28kg/orang/tahun. Data ini diambil daripada laporan statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Pertanian Malaysia. 

Tanaman labu manis merupaka salah satu tanaman yang muda tumbuh dan penjagaannya tidaklah serumit tanaman-tanaman lain yang memerlukan penjagaan rapi dan sangat sensitif. Tetapi tidak kepada tanaman labu manis. Oleh kerana tanaman ini tidak rumit dari segi penjagaannya, aku buat keputusan untuk tanam di kawasan rumah. Cuma tanaman ini akan menjalar. Dianggarkan satu pokok boleh mengeluarkan 6 biji labu. Pokok labu mengambil masa kira-kira 80-100 hari tanaman untuk mengeluarkan hasilnya. Labu manis yang dihasilkan pula boleh bertahan lama dan tidak rosak jika tidak dipotong tangkainya. 

Tujuan asal penanaman labu manis di rumah ni sebab aku juga excited untuk tengok dan harvest hasil tangan sendiri. Masa lihat pokok membesar dengan sihat memang sangat mengujakan. Lebih excited apabila tanaman ini mula mengeluarkan buah dan membesar. Aku tanam bukan untuk jual, tapi sekadar kepuasan dan suka-suka. 

Ini antara buah labu manis yang hampir boleh dituai

Tapi untuk tanaman labu ini ada 2 kaedah untuk mendebungakan supaya ianya berbuah. Satunya secara biologi dan dan alami bawaan serangga. Bagi penghasilan buah, ianya memerlukan pendebungaan antara bunga jantan dan bunga betina. Jika melalui alami, iaitu bawaan serangga seperti lebah yang hinggap di bunga jantan dan kemudiaan ke bunga betina. Satu kaedah lagi, dengan kita sendiri yang mendebungakan antara bunga jantan dan bunga betina. 

Sebaiknya sahaja buah cukup matang untuk dituai, tuaian buah dilakukan dan sebaiknya dipotong 5cm dari tangkai. Tujuannya adalah untuk mengekalkan ketahanan buah untuk disimpan supaya tidak rosak. Selesai aku tuai, aku timbang untuk tahu berapa berat buah yang ditanam sendiri. Memang berat buahnya 3 kg lebih. 

berat sebenarnya ni

Timbang guna penimbang tepung cake org rumah..

Untuk memanjangkan hasil tanaman ini, kami decide untuk buat koci labu dan disedekahkan kepada jiran-jiran bagi merasai koci labu home made dan buah sendiri.


satu lagi labu yang dituai

Sebenarnya tanaman labu ini, aku buat sebagai projek PKP. Daripada terkurung dan buat apa, sekurang-kurangnya biarlah berbudi kepada tanah. Jadilah projek tanaman labu.

Koci labu orang rumah buatkan. Comel-comel dan sangat sedap! sumpah.

Sekarang, aku tanam pokok pisang tanduk di belakang rumah mak aku 2 pokok. Dalam peringkat pembesaran dan berharap pokok-pokok yang ditanam tu dapat mengeluarkan hasilnya nanti, Insya Allah.

Berbalik kepada tanaman labu, selepas selesai harverst labu, sekarang ni dah tak ada lagi pokok labu tu, dah mereput dan mati. Pertanian ini suatu ibadah. Lakukan dengan hati yang terbuka dan merupakan 'ladang pahala' buat kita jika dilakukan dengan niat yang betul. Semoga para peladang di luar sana dikurniakan kebaikan dan rahmat Allah swt didalam usaha mereka menghasilkan bahan makanan kepada seluruh masyarakat, insya Allah.

Wednesday 25 August 2021

KESEDARAN DAN PENDIDIKAN MENGENAI ALAM SEKITAR

 Assalamualaikum wbt semua,

Semalam aku berpeluang untuk hadir di dalam wacana ilmu berkaitan alam sekitar secara webinar anjuran CASIS UTM. Alhamdulillah banyak ilmu dan perkongsian yang dikongsi oleh para ahli panel yang pakar di dalam alam sekitar khususnya di negara kita. Terpanggil untuk share tentang kesedaran (awareness) tentang alam sekitar serta perlunya pendidikan tentang perkara ini dalam kalangan masyarakat kita supaya tanggungjawab menjaga dan memulihara alam sekitar ini merupakan tanggungjawab bersama dan bukannya diletak di atas bahu jabatan atau agensi atau NGO tertentu sahaja. 

Sumber: Slides pembentangan daripada ahli panel - KP Jabatan Alam Sekitar

Antara ahli panel terlibat adalah Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar Malaysia, Pensyarah UIAM dan NGO - SAM. Antara yang dipaparkan adalah mengenai status kualiti sungai-sungai di Malaysia pada tahun 2019. Terdapat 50 batang sungai yang berada di kelas III dan IV iaitu sungai yang tercemar di Malaysia. Perasaan sedih melihat statistik yang ditunjukkan tentang bagaimana sungai-sungai yang sepatutnya menjadi nadi kehidupan tercemar hasil perbuatan tangan manusia sendiri.

Apa yang aku ingin menarik perhatian semua, adalah ingin mengajak semua rakan pembaca semua untuk ayuh kita mulakan dengan diri dan dari rumah kita. Kita pastikan bersama agar sampah sarap di rumah kita kita bersihkan dan buang ditempat sepatutnya. Kadang-kadang melakukan perkara kecil mampu mengubah kepada perubahan yang lebih besar. Misalnya, memastikan botol-botol atau beg plastik tidak dibuang ke dalam sungai atau saliran. Cuba sedaya upaya untuk tidak menggunakan beg plastik dalam satu hari. Jika berjaya cuba untuk tempoh seminggu dan seterusnya. Lakukan apa sahaja yang termampu di dalam kawalan kita untuk menjaga alam ini. Mungkin selepas ini jika kita ke pasar, kita boleh bawa beg sendiri dan barang-barang yang kita beli kita boleh masukkan di dalam beg itu tanpa perlu banyak beg plastik. Mungkin kaedah ini nampak drastik untuk terus tidak guna beg plastik bukan? Ok boleh mulakan dengan 'mengurangkan' penggunaan beg plastik. Perlahan-lahan sehingga 0 penggunaan beg plastik. Difahamkan untuk satu-satu material plastik memerlukan 450 tahun untuk terurai. Kita mampu mengubahnya dengan memulakan dengan diri dan dari rumah kita. Walaupun usaha ini nampak kecil tapi boleh berjaya jika kita mula terapkan dan budayakan kepada anak cucu kita. Pilih barang yang lebih mesra alam untuk digunakan.

Jika tempat kediaman kita berhampiran dengan anak sungai, cuba berpakat bersama komuniti kampung untuk melakukan satu briged untuk menjaga anak sungai itu daripada tercemar dan bebas daripada segala sampah atau plastik dibuang ke dalam sungai berkenaan. Kembalikan kejernihan airnya untuk kebaikan kita yang menghuni berdekatan dengannya.  Perbanyakkan menanam pokok untuk salah satu usaha menghijaukan bumi ini.

Bersahabatlah dengan alam, insya Allah kita boleh menyelamatkan planet ini dan mewariskannya kepada generasi akan datang!

wallahua'lam.

Tuesday 24 August 2021

SELAMAT MENYAMBUT BULAN KEMERDEKAAN MALAYSIA!

 

Ayuh, kita kibarkan bendera Malaysia dengan megah

Bulan Ogos setiap tahun merupakan bulan penuh bermakna buat warga di tanah air tercinta ini dimana bulan seluruh rakyatnya meraikan dan merayakan sambutan bulan kemerdekaan. Bulan kemerdekaan bukan sahaja sekadar memenuhi kalendar tahunan negara untuk merayakan sejarah tanah air, sebaliknya ianya perlu disusuli dengan penuh penghayatan serta disulami dengan jiwa merdeka!

Malaysia sudah mencapai kemerdekaan selama 64 tahun. Namun, tempoh ini masih singkat jika dibandingkan dengan tempoh penjajahan ke atas tanah air tercinta ini. Setiap warga seharusnya merasa kepunyaan dan cintakan watan dengan sepenuh jiwa dan raga tanpa ada sekelumit rasa ragu dan gusar. Persoalannya, bagaimana ini memupuk dan menyemai perasaan ini? Jawapannya, ia perlu dimulakan sejak di awal usia lagi penerapan tentang cintakan negara dan sanggup berkorban demi negara ini. Mulakan dari rumah. Pupuk dan asuh anak-anak kita tentang erti sebenarkemerdekaan. Perasaan cintakan tanah air bukan hanya bermusim. Malah ianya perlu setiap masa. Jadi, untuk itu menggantung bendera jalur gemilang bukan pada waktu atau bulan kemerdekaan sahaja, tetapi setiap masa dan di mana-mana. Sama ada di premis, di rumah, di kereta, di motosikal, di pejabat-pejabat kerajaan dan swasta dan di seluruh negara.

Ingat, menggantung bendera bukan sekadar menggantungnya untuk simbolik semata-mata, tetapi perlu dengan perasaan dan budaya. Barulah menggantung bendera itu merupakan suatu kebanggaan dan bukannya kerana paksaan atau hanya dibayar atau arahan baru ingin menggantungnya. Salah. Sebaliknya, kita perlu semai dijiwa setiap kita akan kasih dan sayang pada negara ini yang diterjemahkan dengan kebanggaan menggantung bendera jalur gemilang di rumah kita. Pengalaman ke beberapa buah negara mendapati mereka seolah tiada musim untuk memasang bendera negara masing-masing. Mereka seolah berbangga dengan bendera negara mereka. Di Vietnam misalnya, kita boleh lihat bagaimana bendera negara ada di mana-mana sama ada pada motorsikal, di hotel, di restoran, di premis perniagaan, di rumah-rumah dan sebagainya. Demikian juga jika kita ke Indonesia, ke Thailand, Turki dan banyak negara-negara lain yang rakyatnya bersama atas semangat cintakan negara yang diterjemah melalui pemasangan bendera negara.

Perkara ini kita boleh belajar. Lihat rumah kita dan jiran tetangga kita. Berapa bilangan rumah dalam kawasan kediaman kita yang sudah memasang bendera Malaysia di hadapan rumah? Mungkin masih ada berperasaan malu tidak bertempat. Bimbang jika memasangnya akan dikatakan ‘terlebih semangat’. Perasaan ini harus dibuang jauh-jauh. Ada juga yang mengambil pendekatan ‘tunggu dan lihat’. Tengok orang lain pasang baru sibuk hendak pasang. Ini pun tabiat perlu dikikis. Mulakan sekarang. Mulakan dengan diri kita. Apa yang lebih membimbangkan jika tiada langsung rasa untuk menghayati erti kemerdekaan di dalam sanubari mereka. Pada mereka mungkin kemerdekaan ini hanya mengenang pejuang masa lalu menuntut kemerdekaan semata-mata.

Tanggungjawab kita hari ini, adalah untuk memastikan kestabilan dan kemerdekaan ini terus kekal selamanya. Ingat, tiada jaminan bahawa negara yang telah merdeka maka akan kekal merdeka selamanya. Jadi, kita selaku warga yang mempunyai tanggungjawab besar adalah untuk melakukan perkara-perkara yang boleh mengharumkan nama negara kita. Kitalah warga yang bakal mengisi erti kemerdekaan ini sebaiknya setelah pejuang terdahulu bermandi keringat dan darah mempertahankan tanah air ini. Tekuni bidang yang kita masuk supaya kita muncul yang terbaik. Jadikan bangsa dan negara ini mengungguli dalam apa bidang yang diceburi. Inilah yang boleh menunjukkan bahawa kita sayang keapda negara ini. Terjemahkan erti kemerdekaan dalam bentuk tindakan yang terbaik kita boleh lakukan.

Jangan bermain api perkauman yang boleh meruntuhkan asas kewujudan negara ini. Saling memupuk perasaan bersatu padu sesama kita. Ini negara kita, kita perlu buat demi negara. Penerokaan ke dalam bidang sains dan teknologi, ilmu pengetahuan serta melakukan lebih banyak inovasi untuk diketengahkan dijangka mampu menjadikan negara ini sebagai rujukan terbaik. Budayakan rakyat di negara ini dengan budaya membaca sebagai salah satu usaha menuju negara maju. Negara bertuah ini merupakan negara yang unik dari segi kepelbagaian kaum dan etnik yang menghuni di dalamnya dan stabil serta makmur telah menjadi cerminan Malaysia di mata dunia. Kita perlu membawa wajah Malaysia yang bersatu padu, aman dan makmur supaya ke mana sahaja kita pergi akan dihormati oleh negara-negara lain. Jangan kita bercakaran sesama kita hanya kerana berebut untuk potong ‘queue’ atau masing-masing jadi samseng jalanan tidak mahu mengalah dan melayan sifat panas baran kita. Hentikan. Semua perkara negatif ini dan banyak lagi tidak akan membawa kita ke mana kecuali terus mundur dan ketinggalan.

Saya berdoa semoga Malaysia akan dilimpahi rahmat dan kemakmuran serta kedamaian yang sejati serta muncul salah sebuah negara yang maju dan dalam masa sama mengekalkan budaya dan adat ketimuran yang menebal serta mempunyai nilai-nilai murni yang tinggi. Kekalkan saling hormat menghormati dan tolak ansur antara kaum suatu resipi kejayaan harmoni di negara ini. Ayuh kita kibarkan bendera Malaysia dengan penuh kemegahan bermula di rumah kita!


Selamat menyambut bulan Kemerdekaan Malaysia ke 64!




APA BEZA SEWAAN DAN PAJAKAN?

 

Ramai di luar sana masih keliru antara frasa sewa dengan pajak. Ada yang menganggap bahawa kedua-dua itu adalah sama sahaja. Sebenarnya, tahukah anda bahawa kedua-duanya itu adalah hampir sama tetapi tidak serupa. Kebanyakkan kita jika ingin mengusahakan tanah ada yang ingin menyewa untuk mengusahakan tanaman dan sebagainya. Tetapi ada juga kata nak pajak tanah untuk tempoh-tempoh tertentu.

Sebagai pencerahan asas, kedua-dua kaedah ini ada termaktub di dalam Akta Kanun Tanah Negara atau ‘Land Code’. Berikut disenaraikan perbezaan kedua-dua perkara ini;

Pajakan

1. Dengan merujuk kepada Seksyen 221, Kanun Tanah Negara

2. Sesuatu pajakan itu dikira kategori pajakan apabila tempoh masanya adalah melebihi dari 3 tahun dan tidak boleh kurang. Selain itu tempoh masanya juga mestilah tidak melebihi 99 tahun maksimum.

3. Sesuatu pajakan itu wajib didaftarkan di Pejabat Tanah menggunakan Borang 15A. Harus diingatkan bahawa sekiranya sesuatu pajakan itu dilakukan dengan menandatangani perjanjian tetapi tidak didaftarkan di pejabat tanah seperti di dalam borang 15A, maka pajakan itu tidak sah serta ianya tidak dilindungi oleh undang-undang.

Sewaan

1. Sewaan pula adalah sepertimana termaktub di dalam Seksyen 223, Kanun Tanah Negara.

2. Sesuatu sewaan itu adalah dibuat untuk suatu tempoh 3 tahun dan ke bawah sahaja.

3. Sewaan pula tidak memerlukan untuk pemajak mendaftar di pejabat tanah. Memadai dengan menandatangani suatu perjanjian sewaan sahaja.

 

Rumusan

Sesuatu kaedah sama ada sewaan atau pajakan itu boleh ditentukan dengan melihat tempoh masa sesuatu perkara itu hendak dilakukan. Jika melebihi 3 tahun, itu dipanggil pajakan bukannya sewaan. Tetapi jika ianya hanya 3 tahun atau kurang, maka ianya adalah sewaan. So, jangan keliru lagi ya.

Aku buat perkongsian ringkas ini adalah untuk memberi sedikit pencerahan kepada kita semua hasil daripada pembacaan dan rujukan. Kepada rakan-rakan, jika mahu keterangan lebih lanjut, boleh merujuk kepada mereka yang lebih pakar di dalam bidang perundangan.

Wallahua’lam.

AKU DAN GOLF

 

Tee Off

Apabila menyebut tentang sukan golf, ramai di luar sana berpandangan bahawa "wah..sukan orang kaya ni", ada yang mengatakan ini sukan untuk golongan elit. Sukan VVIP dan sebagainya. Tak kurang juga yang mengaitkan golf dengan konotasi negatif seperti "orang yang main golf ni, main judi..sebab diorang akan main beating". Selain itu, siapa yang main golf, akan tinggal solat, GOLF - Golongan orang lemah fikiran sebab bola dipukul lepastu pukul lagi sampai masuk lubang tak kira pagi tengahari dan petang berjemur panas dan hujan. Pelbagai lagi yang diperkatakan orang di luar sana. 

Sebenarnya aku dulu pun sebelum mula main golf, berpandangan sama. Aku selalu merasakan orang-orang yang main golf ni orang yang banyak duit dan vvip sahaja dan sukan ni esklusif kepada golongan tertentu sahaja. Tetapi setelah aku mula cuba dalam sukan ini, ianya jauh berbeza dari apa yang aku sangkakan. Banyak kebaikannya. Golf sebenarnya juga merupakan salah satu cabang permainan sukan. Aku masih ingat lagi semasa bekerja di Sime Darby dulu, pertama kali pegang kayu golf apabila senior manager aku ajak 'turun padang' selepas waktu kerja. Aku masa tu, satu apa pun tak tahu pasal golf. Dia tunjukkan cara dan ajar serba sedikit. Dia pesan, kena mula belajar dan minat dalam golf kerana banyak kelebihannya. Kemudiannya, apabila aku masuk sektor awam, pengarah negeri masa itu memang ahli kelab golf malah dia juga captain kelab golf. Dia mula mendorong aku dan yang lain-lain untuk mengenali golf. Dia sedia melatih kami setiap petang di driving range dan adakalanya masuk ke padang golf selepas waktu kerja dan juga hari cuti. Tapi masa tu aku tengah sibuk belajar, takla focus 100% bagi komitmen tentang golf. Rakan-rakan yang lain, yang memang fokus, diorang dah pandai main. Sementara aku masih terkial-kial.

Bila aku bertukar, aku jumpa seorang rakan pejabat yang memang pemain golf pun. Dia mula membangkit semula semangat untuk aku main golf semula. Aku mula beli set golf sebagai tanda komitmen untuk fokus dalam permainan ini. 

Kenapa aku main golf?

Setiap orang ada sebab dan cerita mengapa dan bagaimana diorang terjun dalam permainan golf. Begitu juga aku. Aku sebenarnya main golf sebab untuk keluarkan peluh dan bersosial. Untuk makluman, tidak ada sukan yang aku betul-betul mahir dan minat sebelum ini. Semua sukan aku pernah main kecuali bola. Bola aku memang tak minat dan pernah main suka-suka masa kecil-kecil dulu saja. Selain itu, aku main badminton, ping pong, catur, tennis, berbasikal dan bola tampar. Akhirnya, aku rasa belum sesuai. Sehinggalah aku jumpa sukan golf. Sepertimana yang aku cerita di atas tadi macam mana aku jumpa golf. haha. Aku mula untuk main golf sebabnya sekarang equipmentnya dan sukan ni bukan lagi sukan yang mahal peralatanya dah. Sekarang dah banyak boleh dapat dan harganya pun dah murah. Korang tau tak, golf adalah sukan permainan yang sesuai untuk semua lapisan masyarakat, tak kira lelaki perempuan dan berapa usianya sekalipun? Itulah golf.




Berbalik kenapa aku main golf antara sebabnya untuk pastikan aku sentiasa mengeluarkan peluh untuk kesihatan dan juga tujuan lain untuk bersosial. Dengan bermain kita boleh jumpa ramai orang dari pelbagai bidang dan tempat. Selain itu juga, golf merupakan satu sukan yang mempunyai etika yang unik. Bermain golf bukan sekadar bermain, tetapi perlu mempunyai etika. Antaranya jujur. Jujur pada diri sendiri. Jika kita menipu di dalam pengiraan points, maka kita bukan menipu rakan atau lawan kita, tetapi kita sedang menipu diri kita sendiri. Disamping itu juga, golf melatih untuk seseorang itu berdisiplin. Lihatlah pemakaian pakaian sukan golf. Sentiasa tuck-in, dan kemas. Apa yang lebih penting, sukan golf mengajar dan mendidik tentang ketelitian, mengurus tekanan mental, fizikal dan juga melatih untuk membuat keputusan. Semuanya ada di dalam golf.

Sesiapa yang bermain golf mereka tahu perkara ini. Golf juga akan menunjukkan siapa diri kita yang sebenar. Untuk melihat siapa seseorang itu, lihatlah ketika bermain dengannya semasa di padang golf. Bagi yang panas baran sebelum ini yang kita tak pernah tahu, akan terjelma di padang khususnya apabila pukulannya tidak menjadi. Tingkah lakunya turut menunjukkan siapa dirinya. Sebab itu aku mula suka pada golf. Bukan sahaja mengeluarkan peluh secara fizikal tetapi melatih dan mendidik dalaman diri kita untuk lebih baik dan dapat diperbaiki. Tidak gopoh untuk membuat keputusan dan tindakan.  Selain tu juga, setiap padang golf memang cantik-cantik pemandangannya. Serious. haha

Ada lake di padang golf,



Bagi yang mengatakan sukan golf akan menyebabkan seseorang itu tinggal solatnya sebab sibuk dipadang. Untuk pengetahuan, di padang golf, banyak disediakan kemudahan tempat solat, bilik air dan sebagainya. Memandangkan golf tiada masa ditetapkan untuk seseorang itu perlu menamatkan permainan, maka bila masuk waktu berentilah solat sekejap. Dan memang ramai pun yang akan tunaikan solat. Kalau korang masuk padang golf korang boleh nampak situasi ni. Bagi mereka yang tak solat memangla ada. Tapi janganlah ikut mereka. Di luar golf pun belambak yang tak jaga solat. Justeru, jangan kaitkan sukan dengan soal solat. Selain itu juga, 'beating'. Ya, memang ada. Tetapi ini soal pilihan kita. Aku sendiri tak pernah beating ketika bermain. Bergantung pada diri dan nawaitu kita. Aku ingat semasa kursus induksi golf ketika mendaftar menjadi ahli kelab golf, captain kami berpesan 3 perkara. Jaga solat, jangan berjudi dan jangan tinggal keluarga. Dan ini yang aku pegang dan alhamdulillah sukan ini sangat baik.

Hari ini kalau kita pergi ke driving range, kita akan dapati ramai anak-anak sekolah yang masih kecil telah mula berjinak-jinak dengan sukan golf. Mereka dilatih oleh coach yang berpengalaman. Budak-budak mudah dilentur. Golf juga melatih untuk kita belajar fokus. Baik untuk pembesaran anak-anak jika didedahkan seawal usia. Banyaklah lagi kebaikan golf jika digali.

Kesimpulan

Dalam hidup ini, merupakan pilihan. Kita bebas memilih apa sukan sekalipun untuk kita bermain. Jadi, nasihat aku ceburilah apa sukan sekalipun agar kita sentiasa sihatkan tubuh badan kita dan sesuai dengan minat kita. Semua jenis sukan mempunyai kelebihan dan kebaikannya. Aku bercerita tentang kebaikan golf sebab aku bermain golf. Bukan bermakna menafikan sukan-sukan lain. Jangan salah sangka ya. Disamping itu juga terdapat kelemahan golf, tetapi mengapa sentiasa mencari tentang negatif sesuatu, sebaliknya suburkanlah tentang positifnya,kan lebih baik?

Wallahua'lam.

Sunday 22 August 2021

SASARAN BACA 21 BUAH BUKU DI TAHUN 2021

 

sebahagian koleksi buku yang dibaca sepanjang tahun 2020

Assalamualaikum semua, 

Tabiat membaca dalam kalangan rakyat Malaysia perlu dijadikan amalan dan budaya. Bagi negara-negara maju, bukan sahaja negara mereka mempunyai fasiliti kelas pertama tetapi minda rakyat dan masyarakatnya juga berminda kelas pertama. Selain itu, tabiat dan budaya membaca semacam sudah sebati di dalam kehidupan harian mereka. Tanpa disuruh dan dipaksa, membaca menjadi kemestian. 

Tahukah kita semua bahawa sasaran untuk mencapai negara membaca adalah rakyatnya secara purata membaca sekurang-kurangnya 30 buah buku setahun. Namun, dapatan kajian menunjukkan tahap tabiat pembacaan buku secara puratanya adalah sekitar 15 buah buku dalam satu tahun. Walaupun dapatan menunjukkan demikian, tetapi ianya juga suatu peningkatan daripada sebelum-sebelumnya apabila sekitar tahun 90-an dan 2000, purata membaca dikalangan rakyat Malaysia lebih rendah daripada itu. Ini bermakna, ianya masih jauh untuk dicapai tetapi tidaklah mustahil. 

Di dalam agama islam, ayat pertama diturunkan adalah menyuruh umatnya MEMBACA! Jadi jika fahami perkara ini, membaca bukan lagi sekadar hobi, tetapi ianya kewajipan kepada kita semua selaku muslim. Ayuh kita setkan supaya budaya dan tabiat membaca ini diterapkan pada diri kita dan keluarga terdekat kita. Kita perlu mulakan dari sekarang. Kita perlu mulakan dengan diri kita, keluarga kemudian barulah kepada masyarakat. Aku sendiri akui, bahawa aku juga belum lagi sampai ke tahap membaca 30 buah buku setahun. Aku pun baru saja cuba disiplinkan diri untuk membaca buku. Tahun lepas, masa PKP selesai baca dalam 15 buah buku pelbagai judul yang aku minat. Pada tahun ini, aku cuba sasarkan sekurang-kurangnya aku dapat baca dan habiskan untuk 21 buah buku. Kenapa 21? Sebenarnya tidak ada yang istimewa pun, cuma aku ambil seiring dengan tahun ini iaitu 2021. Moga aku berjaya capai sasaran yang aku sendiri tetapkan pada diri menjelang akhir tahun ini, Insya Allah. Sebagai makluman, sehingga hari ini aku telah selesai membaca 10 buah buku. Masih jauh lagi nak capai sasaran. Harapnya berjaya.

Dikesempatan ini, aku juga ingin mengajak rakan-rakan atau pembaca yang singgah ke blog aku ini untuk ayuh kita sama-sama membudayakan tabiat membaca tak kira apa pekerjaan, pangkat, keturunan, lapisan masyarakat dan sebagainya. Banyak faedah kita akan perolehi melalui pembacaan. Ingat, bangsa membaca bangsa berjaya! 

Wallahua'lam

Saturday 21 August 2021

TAHNIAH YAB DS ISMAIL SABRI, PERDANA MENTERI MALAYSIA KE-9

 

Ketika YB DS Ismail Sabri melawat karnival usahawan di Lenggong sewaktu menjawat jawatan Menteri di Kementerian Luar Bandar & Wilayah tahun 2017

Sekalung tahniah diucapkan kepada YAB Dato' Seri Ismail Sabri di atas pelantikan sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-9. YAB Dato' Seri merupakan seorang yang berpengalaman di dalam pentadbiran negara dengan menjawat beberapa jawatan menteri di dalam kabinet sebelum ini sehingga ke jawatan terakhir sebagai Timbalan Perdana Menteri. Antara kementerian yang pernah disandang ialah KBS, KPDNKK, Kementerian Pertanian & Industri Asas Tani (MOA), Kementerian Luar Bandar dan Wilayah, Kementerian Pertahanan, TPM dan kini menjawat jawatan sebagai Perdana Menteri.

Gambar di atas adalah ketika YAB Perdana Menteri menjadi Menteri KPLBW sekitar tahun 2017 yang datang ke Lenggong bagi merasmikan program karnival usahawan pada ketika itu. Selain gambar di atas, aku juga pernah menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) yang disampaikan oleh beliau ketika menyandang jawatan Menteri MOA pada tahun 2015. Sewaktu beliau menjawat jawatan Menteri di MOA, beberapa inisiatif yang dilakukan beliau dan antaranya adalah memperkenalkan dasar Jihad Memerangi Orang Tengah (JMOT) bagi memastikan nasib para peladang, penternak dan nelayan terbela. 

Justeru, menerusi pelantikan beliau sebagai PM ke 9 kali ini didoakan semoga YAB Perdana Menteri dapat menjalankan amanah dan tanggungjawab sebaik mungkin untuk negara tercinta ini. Selamat berkhidmat YAB DS Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-9!

Friday 20 August 2021

TANAMAN LIMAU NIPIS: MENEROKA INDUSTRI PENUH POTENSI

 Pendahuluan

 

Tanaman limau nipis

Limau nipis merupakan kategori tanaman sayuran berbuah dalam sektor agromakanan. Sementara kesesuaian tanah untuk tanaman ini pula tidaklah terlalu rumit memandangkan tanaman ini boleh dikatakan sesuai dengan iklim kawasan tropika dalam kebanyakan jenis tanah di Malaysia. Sebanyak 10 spesis yang ditanam di Malaysia yang antara lain termasuklah limau langkat, bali, lemon, kasturi dan sebagainya. Sementara varieti yang lebih berasid pula seperti limau nipis dan purut.

Selain daripada dimakan secara segar, limau juga boleh menghasilkan jus serta untuk kegunaan lain. Misalnya, limau nipis boleh dijadikan acar buah dalam masakan, halwa, digunakan juga sebagai bahan untuk dijadikan produk minyak wangi atau minyak pati. Disamping itu juga, bagi perubatan tradisional pula limau merupakan antara bahan yang digunakan untuk tujuan perubatan. Ekstrak limau nipis juga digunakan untuk penghasilan produk kesihatan dan kecantikan. Jika dibandingkan dengan komoditi tanaman lain, limau nipis tidak bermusim. Ianya mengeluarkan hasil sepanjang tahun dan puncak pengeluarannya pula adalah antara bulan Oktober hingga November  dan Mac hingga April setiap tahun.

Lenggong merupakan salah satu kawasan yang rata-rata peladang di sini mengusahakan tanaman limau nipis untuk dijadikan sebagai sumber pendapatan. Memandangkan permintaan tinggi dari luar, pengusaha tanaman limau nipis di kawasan ini telah mengambil inisiatif untuk menambah keluasan tanaman termasuk di kawasan halaman rumah dan juga kebun masing-masing.

 

Penglibatan PPK Lenggong dalam tanaman limau nipis

 

kenangan semasa melawat tanaman waktu berkhidmat di Lenggong dulu


Menyedari akan potensi besar komoditi ini, maka PPK Lenggong telah mengambil inisiatif terlibat secara serius untuk menjadikan PPK sebagai antara pengeluar limau nipis secara komersial pada masa akan datang. Sehubungan itu, kajian mendalam dilakukan oleh pengurusan PPK Lenggong. Hal ini termasuk melawat kawasan tanaman limau nipis yang telah diusahakan oleh ahli-ahli peladang, aspek penawaran dan permintaan dan juga pemasaran. Memandangkan potensi serta kelebihan yang ada di kawasan ini, satu permohonan untuk mendapatkan peruntukan projek pembangunan telah dikemukakan kepada Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) untuk dipertimbangkan kelulusannya.

 

Ternyata usaha yang dilakukan berhasil dan mendapat sokongan penuh daripada LPP dengan meluluskan peruntukan secara geran sebanyak RM 58,100.00 kepada PPK Lenggong untuk membangunkan projek tanaman limau nipis pada tahun 2018. Projek pengeluaran makanan ini telah diusahakan di atas tanah milik PPK sendiri seluas 3 ekar dan dijalankan secara korporat. Skop yang diluluskan di bawah peruntukan ini meliputi kerja-kerja pembersihan kawasan, pembekalan benih tanaman, pembekalan input dan peralatan ladang, pemasangan sistem pengairan, pemasangan pagar elektrik serta pembinaan stor input di tapak projek. Berikut merupakan maklumat asas projek;

 

Perkara

Keterangan

Nama projek

Tanaman Limau Nipis

Lokasi

Selat Pagar, Lenggong

Keluasan

3 ekar

Kaedah pelaksanaan

Korporat

Anggaran hasil

64.8 mt/tahun

Anggaran pendapatan

RM 129,600/tahun

 

Projek ini dijangka akan mengeluarkan hasilnya kira-kira 3 hingga 4 tahun dari sekarang. Tanaman sebanyak 405 pokok keseluruhannya, ditanam dengan jarak 18’ x 18’ antara pokok dianggarkan akan mengeluarkan hasilnya sebanyak 2,700 kg/ekar. Berdasarkan unjuran purata harga jualan di ladang beberapa tahun kebelakangan ini, menunjukkan harga berlegar sekitar RM 2.00 hingga RM 2.50/kg. Sementara pendapatan yang bakal diraih hasil daripada projek ini pula adalah  dianggarkan berjumlah  RM 129,600/tahun.  Hal ini  membuktikan bahawa komoditi ini berdaya maju untuk dibangunkan.

Selain itu, menerusi pelaksanaan projek ini juga, secara tidak langsung ianya akan memberi sumber pendapatan baharu kepada PPK sendiri disamping meletakkan PPK sebagai pengeluar agromakanan kepada negara. Projek tanaman limau nipis ini merupakan projek jangka panjang kerana berdasarkan agronomi tanaman ini boleh mengeluarkan hasil sehingga menjangkau usia 10 hingga 12 tahun. Sudah tentu, projek ini bakal memberi pulangan lumayan kepada PPK dalam tempoh berkenaan.

Objektif pelaksanaan projek

            Antara objektif pelaksanaan projek tanaman limau nipis ini adalah seperti berikut;

(i)    Menjadikan projek tanaman limau nipis ini sebagai antara penyumbang kepada Dasar Agromakanan Negara khususnya dalam komoditi pengeluaran sayuran berbuah,

(ii)  PPK Lenggong menjadi peneraju kepada tanaman limau nipis sebagai projek contoh kepada mana-mana petani, institusi yang berminat untuk mengusahakan tanaman limau nipis pada masa depan,

(iii) Menyokong kepada pemerkasaan PPHP PPK Lenggong bagi aspek pemasaran hasil

(iv) Membangunkan tanah milik PPK dengan projek pertanian dan konsisten dalam penghasilan bahan makanan

(v)  Menjana sumber pendapatan baharu kepada PPK Lenggong dan manfaat kepada ahli peladang

 

Mekanisme pelaksanaan projek

 

Cantuman secara tut



Bagi memastikan projek yang diwujudkan ini berjaya dalam pelaksanaannya, PPK telah menyediakan perancangan rapi supaya projek korporat ini dapat mencapai objektifnya. Justeru, 2 buah jawatankuasa telah diwujudkan  iaitu Jawatankuasa Teknikal Projek dan juga Jawatankuasa Pengurusan Projek. Jawatankuasa Teknikal Projek dipengerusikan oleh PPD Wilayah Perak Tengah dan dianggotai oleh Biro Projek Pembangunan, LPP, FAMA, MARDI, Jabatan Pertanian dan Pengurus Besar sebagai Setiausaha. Kedua-dua jawatankuasa ini mempunyai peranannya yang tersendiri dalam usaha membantu melicinkan pelaksanaan projek di lapangan. Sebagai contoh, Jawatankuasa Teknikal Projek berfungsi sebagai memberi khidmat nasihat berkaitan aspek teknikal, menyediakan garis panduan atau SOP kepada pengurusan projek untuk melaksanakan tugasan di lapangan dan juga memantau serta mengadakan lawatan berkala di tapak projek. Sementara Jawatankuasa Pengurusan Projek yang dipengerusikan oleh Pengurus Besar pula berperanan antara lain ialah melaksanakan segala keputusan yang diputuskan oleh Jawatankuasa Teknikal Projek, membantu mengawal selia kewangan projek, memastikan projek berjalan sepertimana yang dirancang, prestasi projek, pemasaran dan sebagainya.  Jawatankuasa ini dianggotai oleh Pengurus Akaun, Bahagian Projek Pembangunan PPK, Perniagaantani dan Briged Kerja di ladang.

           Sementara dari segi pemasaran pula, hasil-hasil pengeluaran limau nipis ini akan dipasarkan melalui Pusat Penggumpulan Hasil Pertanian (PPHP) PPK Lenggong sendiri. Hubungan rantaian nilai bagi pengeluaran hasil dari projek tanaman limau nipis ini dapat dilihat dari proses awal pengeluaran dari ladang akan dibawa dan dikumpulkan di PPHP. Selain dibersihkan dan digred, aktiviti jualan kepada pemborong, peruncit serta jualan terus oleh PPK sendiri turut dilakukan di sini.

Sebagai usaha untuk memastikan kelestarian projek serta menjamin projek kekal berdaya tahan, tabung projek juga bakal diwujudkan dengan mematuhi kaedah yang telah ditetapkan oleh pihak LPP sendiri untuk digunakan semula sebagai modal pusingan, penyelenggaraan, dan sebagainya tanpa perlu bergantung kepada peruntukan daripada jabatan dan agensi selama-lamanya. Menurut Pengurus Besar PPK Lenggong, En Mohd Hafizatul Akmal bahawa projek yang dibangunkan ini merupakan penglibatan PPK buat pertama kali ke dalam industri ini dan telah mula ditanam pada bulan Julai yang lalu. “Jika projek ini berjaya, kami mempunyai hasrat dan perancangan besar pada masa hadapan untuk menggembangkannya ke atas tanah-tanah milik ahli pula melalui konsep pembangunan tanah terbiar yang akan diusahakan oleh PPK sendiri”, ujarnya lagi.

 

Impak projek

Gambar pada awal tanaman tahun 2018

Justeru, menerusi anggaran pendapatan hasil daripada pelaksanaan projek ini, secara amnya peruntukan yang disalurkan oleh LPP sebanyak RM 58,100 untuk projek ini dijangka sangat memberi impak besar serta menatijahkan ianya boleh dilaksanakan serta memberi pulangan yang baik disamping projek ini mempunyai prospek yang cerah untuk dilaksanakan. Selain itu juga, secara tidak langsung projek ini akan memberi faedah dan manfaat kepada PPK dan juga ahli-ahli peladang dari segi ekonomi dan juga sosial terutama ianya menjadi pelengkap kepada rantaian nilai serta membantu memperkasakan lagi PPHP sedia ada.

Penutup

            Sebagai kesimpulannya, projek tanaman limau nipis yang dibangunkan oleh PPK Lenggong ini merupakan suatu tanaman yang berpotensi besar untuk dimajukan kerana ianya mampu menjana pendapatan baharu kepada PPK sendiri. Selain itu juga, secara tidak langsung menerusi pelaksanaan projek ini ianya akan mewujudkan satu lagi projek pengeluaran makanan di Lenggong selari dengan peranan yang  dimainkan oleh PPK terutama dalam sektor agromakanan di kawasan ini. Sesungguhnya, pelaksanaan ini bukan semata-mata dilihat dari sudut ekonomi sahaja bahkan projek ini harus dilihat dari sudut tanggungjawab besar PPK dalam memastikan kecukupan makanan untuk seluruh rakyat di negara ini terjamin selain membantu pihak kerajaan dalam mengimbangi perdagangan bahan makanan ke dalam negara ini. Semoga projek yang telah diluluskan ini akan mencapai kejayaannya untuk mengukir nama serta menjadi antara penyumbang kepada pengeluaran makanan kepada negara ini. Selain itu juga, menerusi projek yang dijalankan ini secara tidak langsung merupakan suatu manifestasi kepada Pelan Korporat LPP ke 6 (2016-2020) yang telah menggariskan di bawah Teras Strategi 1 iaitu Mendaulatkan Pengeluaran Agromakanan dapat diterjemahkan diperingkat lapangan terlaksana dengan jayanya.