Tuesday, 28 September 2021
HAPPY BIRTHDAY SAYANG!
AKHIRNYA DAH SAMPAI
Golf cart bag - Callaway |
Alhamdulillah..sampai jua akhirnya. Beg golf yang aku beli melalui shopee telah selamat sampai dengan jayanya ke rumah. Aku buat belian beg ni bagi menggantikan beg lama yang dah perlu diganti. Sebelum beli aku buat review dulu di shopee. Memandangkan di shopee ada pelbagai harga memerlukan kita perlu jangan terburu-buru buat pembelian sebaliknya semak dulu untuk membandingkan harga dan kualiti produk yang bakal kita beli. Apabila segalanya memenuhi spesifikasi dan juga kemampuan kita, maka buat pembelian dengan sebaiknya. Satu lagi bila nak beli secara online ni, dinasihatkan untuk tengok juga kepada review produk oleh pembeli-pembeli lain. Tengok sama ada komen-komen yang ditinggalkan sama ada positif atau negatif. Jika banyak yang positif, maka bolehla anda membuat pembelian. Tapi kalau banyak yang tinggalkan komen negatif, baik tak payahla beli. Cari jela kedai lain.
Beg golf aku ni aku beli apabila aku dapati spesifikasi dan harganya bersesuaian. Mula-mula takut juga nak beli secara online beg golf ni sebab tak pernah beli barangan golf secara online sebelum ni. Tapi bila aku tengok ulasan ramai pembeli yang baik-baik maka aku pun yakin untuk buat tempahan dan belian. Alhamdulillah, barang sampai harini dan memang puas hati. Barang dibungkus dan dibalut kemas dan berada dalam keadaan yang baik serta kualiti pula adalah baik dan sangat disyorkan kepada kawan-kawan yang mencari beg golf untuk membeli di kmonline shop. Itu saja perkongsian aku kali ini.
(p.s: tak sabar untuk turun ke padang golf lepas ni ;p)
Sunday, 26 September 2021
LUANGKAN MASA BERSAMA KELUARGA
lake garden Taiping, Perak |
Setelah sekian lama berkurung sahaja di rumah akibat daripada pandemik covid-19 yang melanda, pengumuman kerajaan bahawa pembukaan sektor-sektor-sektor ekonomi dan juga sosial secara berperingkat, maka aku mengambil kesempatan untuk membawa keluarga kecil kami untuk bersantai dan riadah di tempat yang dekat je dengan rumah iaitu Lake Garden Taiping atau Taman Tasik Taiping.
Bawa anak berehat dan melihat keindahan alam yang menenangkan boleh membuat minda kita terasa sangat lega dari semua keletihan dan juga memberi ketenangan. Ceritanya hujung minggu lepas aku bawa keluarga aku pergi ke lake garden Taiping. Kawasan ini banyak memori. Ingat lagi masa aku form 4, masa tu ada ujian kecergasan untuk memasuki sekolah perantisan askar masa tu yang dibuat di SMK King Edward dan selepas selesai, aku bersama kawan-kawan pergi bersiar-siar di kawasan lake garden ni dan tentunya kami masuk zoo taiping yang menjadi tarikan pelancong luar dan dalam negara hingga ke hari ini.
orang ramai mengambil kesempatan untuk beriadah di sekitar taman tasik taiping |
fia seronok sangat dapat berjalan-jalan di sini |
Setiap kali aku ke Taiping hingga ke hari ini, mesti akan meronda kawasan taman tasik ni. Bagi aku, kawasan ni menenangkan dengan pemandangan yang cantik serta menenangkan dengan keindahan alam. Dulu-dulu semasa ingin mengambil ujian memandu kereta dan motor pun di kawasan taman tasik ni lah antara route ujiannya dengan pihak JPJ.
Pelbagai aktiviti boleh dilakukan di sini, antaranya boleh melawat zoo, boleh berbasikal mengelilingi kawasan tasik ini. Selain itu juga, aktiviti beriadah dan berkelah seisi keluarga juga sesuai dan memang ramai pun yang berkelah di sini. Malah ada yang memasang khemah untuk menikmati suasana 'camping' terutama yang membawa anak kecil masing-masing ke sini. Terdapat juga aktiviti seperti berjalan kaki dan berjogging mengikut trek yang disediakan oleh pihak berkuasa tempatan sambil menghirup udara nyaman dan juga melihat keindahan tasik. Disamping itu juga akiviti di air seperti berkayuh sampan atau kayuh itik tu masih belum dibuka lagi memandangkan ianya masih belum dibenarkan untuk fasa kali ini. Mungkin selepas ini akan dibenarkan dengan SOP yang ditetapkan.
Apapun aktiviti, luangkan masa bersama keluarga. Bagi aku dan isteri yang bekerja, masa yang terbatas akan digunakan sebaiknya bersama keluarga terutama anak kami yang sedang meningkat usia. 'Quality time with family' kata orang putih. Kerana masa yang berlalu akan terus pergi meninggalkan kita. Antara perkara yang tidak boleh dibeli atau ditebus adalah masa. Jadi, nasihat pada diri aku dan juga semua, hargailah masa bersama orang yang tersayang sementara diberi kesempatan bersama di dunia ini. Luangkan masa bersama mereka walau sesibuk mana pun kita. Moga kita semua berada di dalam rahmat Allah swt hendaknya.
Wallahua'lam.
RASUAH YANG MEMBARAH
Rasuah merupakan sesuatu perbuatan yang terkutuk dan patut dijauhi. Ianya bukan sahaja dilarang oleh agama bahkan perbuatan rasuah sangat buruk dari segi moral. Saban hari boleh dikatakan jika kita membaca laporan-laporan akhbar dan pendedahan-pendedahan di media mengenai pelaku-pelaku rasuah yang telah ditangkap, dituduh dan juga dijatuhi hukuman oleh mahkamah. Namun, masih lagi ada perbuatan memberi dan juga menerima rasuah berlaku di dalam semua era hingga kini.
Apakah yang mendorong seseorang untuk mengambil dan menerima rasuah? Sudah tentu ianya adalah disebabkan sikap tamak dan nafsu yang mendorong untuk mengaut kekayaan segera sehingga menggelapkan mata. Najis rasuah bukan terletak kepada nilainya tetapi kepada perbuatannya. Bukan sahaja kepada si penerima rasuah tetapi juga kepada pemberi rasuah. Rasuah perlu ditolak daripada menjadi sebahagian daripada kehidupan kita. Rasuah sedang diperangi habis-habisan oleh badan seperti SPRM di negara kita. Namun, meletakkan semata-mata tanggungjawab memerangi rasuah kepada kerajaan sebaliknya menjadi tanggungjawab bersama kepada kita semua. Jangan buka sedikit ruang pun kepada terdorong berlakunya rasuah.
Kita sebenarnya mampu jadikan Malaysia sebagai salah sebuah negara bebas rasuah. Tetapi hendaklah dengan keazaman dan tindakan serta kerjasama setiap warganya yang melihat rasuah sebagai jijik. Ya, ianya bukan mustahil untuk dilakukan. Kita boleh lakukan dan realisasikan. Ingat rasuah bukan semata-mata kepada wang ringgit sahaja tetapi juga melibatkan bentuk mata benda yang lain juga. Oleh itu, jauhilah rasuah kerana ia mampu meruntuhkan dan merosakkan diri, keluarga, masyarakat dan negara ini. Bahananya amat besar.
Kita mulakan dengan diri kita dan keluarga kita untuk bebas daripada rasuah.
Tuesday, 21 September 2021
SELAMAT KEMBALI KE KAMPUS
Pengumuman oleh YB Menteri Pendidikan Tinggi baru-baru ini bahawa semua IPT akan mula dibuka semula dan keperluan pelajar untuk masuk semula ke kampus-kampus secara berperingkat mulai 3 Oktober 2021 ini telah memberi isyarat jelas mengenai sesi pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka dan fizikal akan bermula seperti biasa. Dikala itu juga bakal memberi semula 'kehidupan kampus' untuk dirasai oleh mereka yang bergelar pelajar sepertimana pelajar-pelajar terdahulu melalui fasa-fasa pengajian di IPT suatu masa dahulu sebelum pandemik COVID-19 melanda dunia.
Disamping itu juga, buat mereka yang telah menerima tawaran menyambung pengajian sama ada diperingkat Diploma mahupun Ijazah Sarjana Muda di universiti-universiti dalam pelbagai bidang, tahniah diucapkan. Tentunya ada yang ditawarkan bidang yang dipilih sebelum ini dan diminati tetapi tidak kurang juga buat mereka yang ditawarkan bidang yang mereka tidak pilih tetapi itu adalah muktamad. Bahkan ada bidang-bidang jurusan yang ditawarkan seolah-olah menggusarkan ibu bapa mengenai masa depan anak mereka. Nasihat saya, usah gusar dan bimbang. Dorong dan sokonglah anak anda di dalam menuntut ilmu pengetahuan. Jurusan yang diambil di universiti itu bukanlah sesuatu yang mengecewakan dan bersedih jika ianya tidak menepati pilihan kita. Bukan.
Sebaliknya, jurusan-jurusan yang ditawarkan itu perlu dilakukan dengan bersungguh-sungguh untuk memastikan kita berjaya mendapatkan tahap yang paling cemerlang dengan usaha yang sehabis baik dilakukan. Tugas pelajar adalah belajar dengan tekun. Tanpa ketekunan, segalanya akan dipersia-siakan dan menyesal dikemudian hari. Ada rakan di tempat kerja semalam bertanya pandangan kami berhubung jurusan yang ditawarkan kepada anaknya iaitu sains perhutanan. Adakah jurusan ini baik, ada masa depan atau tidak? Jawapan seorang lagi kawan mengenai persoalan itu yang saya kira cantik dan bersesuaian. Katanya "belajar dalam apa bidang pun boleh, janji kita perlu menguasai bidang itu dengan ketekunan dan bersungguh-sungguh, insya Allah kita akan berjaya!"
Saya terpanggil untuk mengulas tentang jawapan itu. Pada saya ianya terbukti benar. Apa bidang sekalipun jika kita berusaha, belajar dengan tekun dan bersungguh-sungguh untuk melakukan yang terbaik dan akhirnya kita akan muncul pelajar yang cemerlang dan terbaik di dalam bidang yang kita pelajari dan kelak kita akan berjaya. Contoh, jika seseorang itu mengambil jurusan pengajian bahasa arab di universiti. Pada dasarnya, seseorang pelajar yang mengambil jurusan ini akan hanya belajar tentang bahasa arab dan sastera sahaja. Tetapi jika pelajar ini tekun dan bersungguh-sungguh ianya boleh muncul terbaik dengan penguasaan yang cemerlang serta lain dari yang lain. Misalnya disamping penguasaan di dalam bahasa arab dia juga mahir di dalam menguasai bahasa inggeris. Ini akan menjadikannya lain dari yang lain. Demikian juga, dalam lain-lain jurusan. Jika seseorang pelajar itu mampu menonjolkan kelainannya di atas ketekunan dan kesungguhannya, insya allah dia akan berjaya.
Sebab itu, penguasaan yang pelbagai mula diterapkan sejak di sekolah lagi. Misalnya jika kita lihat dahulunya Maahad Tahfiz atau sekolah-sekolah agama hanya menumpu kepada soal agama semata-mata sehinggakan anak-anak yang dilahirkan dari lepasan ini hanya mengetahui membaca quran dan agama sahaja. Tidak yang lain-lain. Tetapi kemudiannya, kerajaan telah mula memasukkan elemen tuntutan agama yang sebenarnya dengan memasukkan gabungan antara ilmu agama dan tuntutan agama iaitu sains dan teknologi. Maka muncullah sekolah Ulul Albab yang menggabungkan tahfiz dan sains diajar di sekolah. Melalui kaedah itu, seseorang pelajar bukan sahaja mahir menghafal quran tetapi juga boleh melahirkan jurutera, saintis, akauntan, doktor yang profesional tetapi bertunjang agama di dalam dada mereka. Ilmu-ilmu itu bukannya ilmu barat tetapi ianya merupakan tuntutan agama untuk dipelajari.
Berbalik kepada apa jurusan sekalipun dipelajari hendaklah ditekuni sebaiknya supaya bukan sahaja untuk diri kita dan keluarga kita tetapi juga kepada negara dan agama kita. Justeru, kepada pelajar dan bakal pelajar, selamat kembali ke kampus dan menekuni ilmu dengan bersungguh-sungguh. Selamat maju jaya!
Sunday, 19 September 2021
TABIAT SUKA MEMBUANG SAMPAH MERATA-RATA BOLEH MENYUMBANG KEPADA PENCEMARAN ALAM SEKITAR
Hari
ini akhbar melaporkan mengenai timbunan sampah sarap yang kebanyakannya terdiri
daripada botol-botol dan beg plastik di kawasan persisiran pantai Keria, Sungai
Padang, Perlis. Menurut laporan berkenaan, hampir 13 metrik tan sampah dikutip
setiap minggu disepanjang persisir pantai Kuala Perlis hingga Kuala
Sanglang sejauh 13 kilometer. Sudah
tentu laporan-laporan seumpama ini bukan pertama kali dilaporkan begini. Bukan
sahaja di sana bahkan boleh dikatakan di merata tempat berlaku kejadian yang
tidak bertanggungjawab ini. Ini bermakna, secara nisbahnya setiap satu kilometer bersamaan 1 mt sampah. Saya tidak ingin menuduh tentang semua itu disumbang oleh penduduk setempat. Mungkin juga ianya dihanyutkan dari tengah laut hasil perbuatan pihak-pihak lain dan terdampar di pesisir pantai. Tetapi, dengan pendedahan ini, marilah kita mulakan dengan diri kita untuk bersama memastikan laut kita, tempat tinggal kita dan sungai-sungai kita dipelihara dan bersih serta bebas daripada sampah khususnya plastik.
Sebenarnya
semua ini terkait dengan tabiat buruk segelintir masyarakat kita yang gemar
membuang sampah terutamanya berkaitan plastik di merata tempat tanpa ada rasa
sedikit pun bersalah. Sebaliknya tabiat ini dianggap biasa oleh kebanyakkan
kita. Tanpa kita sedari bahawa tabiat seumpama itu sedang diperhati dan
dipelajari oleh generasi mendatang iaitu anak cucu kita yang memerhati
perbuatan kita. Jika kita masih ingat beberapa bulan sebelum ini, tular sebuah
rakaman video di media sosial mengenai seorang perempuan yang dengan ‘slumber’
nya membuang sampah dari keretanya keluar ketika di jalan raya yang sedang
bersesak. Dia sangka tindakannya itu sesuatu yang betul, tetapi sebenarnya
sedang dilihat oleh anaknya dan generasi akan datang bahawa tindakan itu betul
sedangkan ianya sangat tidak beretika dan tidak bertanggungjawab.
Sedarkah
kita bahawa botol plastik mengambil masa yang lama iaitu kira-kira 450 tahun
untuk diterurai. Menurut Pertubuhan Greenpeace
yang merupakan organisasi NGO yang banyak menggerakkan kempen dan aktiviti
menyelamatkan lautan daripada sisa plastik melaporkan bahawa kira-kira 12.7
juta metrik tan sisa plastik memasuki lautan setiap tahun. Angka ini sangat
menggerunkan. 90% burung laut dikesan mempunyai kandungan plastik di dalam
perut mereka. Jelas di sini menunjukkan kepada kita tentang betapa plastik
telah mengancam hidupan dan planet ini jika ianya berterusan tidak diendah oleh
sesiapa pun. Justeru, kita perlu didik dan jadikan budaya kepada setiap kita
dan keluarga kita tentang tabiat membuang sampah khususnya plastik di merata-rata
perlu dihentikan segera.
Selain
itu juga, setiap kita juga sebenarnya mempunyai tanggungjawab terhadap alam
sekitar tempat yang kita huni ini secara bersama. Jagalah alam ini sebaiknya.
Jangan sesekali kita cemarkannya dengan tangan kita sendiri. Kita boleh lakukan
dengan langkah-langkah kecil kita tetapi pasti menyumbang dan mengesankan ke
arah kelestarian alam sekitar. Misalnya, apabila kita berpeluang untuk beriadah
dan berkelah sama ada di lata atau sungai atau air terjun ataupun di pantai dan
laut, kita disiplinkan diri kita dan keluarga kita supaya tidak membuang sampah
atau beg plastik dimerata atau lebih
teruk lagi dengan mencampakkan ke dalam sungai atau air terjun atau laut.
Biasakan untuk membuang sampah di dalam tong sampah. Jika tiada, bungkus dan
bawa balik hingga kita jumpa tempat pembungan sampah untuk dibuang. Walaupun
ianya langkah kecil tetapi saya yakin, jika setiap kita mengamalkan dan
melakukannya, maka kita dapat menyelamatkan banyak sungai-sungai, air terjun
dan lautan kita daripada pencemaran plastik dan juga sampah sarap. Di
tempat-tempat tumpuan pelancongan misalnya, jangan kita cemarkan tempat-tempat
itu dengan sisa sampah atau sebagainya. Apa yang lagi baik adalah kita kutip
sampah jika kita nampak ianya berada di sekitar kita. Bukan sahaja kawasan
berkenaan bersih malah mudah-mudahan dikurniakan ganjaran pahala atas amal
jariah kita, insya Allah. Ingatlah, dunia semakin tenat dengan perubahan iklim
atau ‘climate change’ yang berlaku. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah
memberi amaran bahawa pelepasan karbon perlu dikurangkan 45% menjelang 2030
bagi mengelakkan kesan buruk daripada cuaca yang lebih panas melanda dunia yang
akhirnya bakal memberi kesan buruk terhadap manusia.
Baru-baru ini saya mengikuti satu webinar mengenai perubahan iklim yang sangat menarik mengenai kupasannya. Jika kita lihat laporan media mendapati bagaimana kebakaran-kebakaran besar banyak melanda negara-negara di dunia seperti Australia, Turkey, Greece, Amerika Syarikat dan lain-lain lagi yang telah memusnahkan habitat dan juga hidupan hutan yang menjadikan tempat tinggal mereka. Pemanasan global menunjukkan peningkatan saban tahun. Penebangan hutan berleluasa yang menyumbang kepada kemusnahan alam sekitar. Jangan kita tambah pula dengan tabiat buruk segelintir kita yang gemar membuang sampah khususnya plastik di merata tempat tanpa ada sekelumit rasa bersalah dan berdosa.
Jika kita ingat kembali pada tahun lepas apabila seluruh dunia mengisytiharkan 'total lockdown', kita menerima khabar yang dilaporkan media tentang sungai-sungai dan lautan kembali jernih dan bersih tanpa pencemaran. Antaranya adalah sungai melaka yang kelihatan jernih dan begitu juga laporan akhbar tentang pendaratan penyu ke pantai port dickson setelah puluhan tahun tidak muncul di sana. Ini semua merupakan perkembangan positif terhadap alam sekitar. Bukanlah bermakna, untuk pulihkan alam maka kita semua perlu berkurung di rumah sebaliknya ianya memberi refleksi bahawa masyarakat perlu memainkan peranan supaya kita lebih mesra dengan alam. Marilah
kita bersama memastikan alam sekitar yang ada ini dijaga sebaiknya kerana ianya
merupakan anugerah yang tidak ternilai harganya. Ayuh kita hijaukan alam ini
dengan tanaman dan tumbuhan-tumbuhan. Jaga kebersihan sungai, air terjun dan
lautan dan bebeaskan alam ini dari sampah sarap. Mulakan dengan diri kita. Bersahabatlah
dengan alam.
Wallahua’lam.
SEKTOR PERTANIAN TERUS DIBERI PERHATIAN DALAM BELANJAWAN 2022
sumber : laporan akhbar Utusan Mingguan Malaysia |
Sektor
agromakanan negara terus mendapat perhatian dan menjadi keutamaan kerajaan di
dalam merangka dan menyediakan pelan belanjawan tahun hadapan iaitu tahun 2022.
Sebagaimana telah diketahui umum bahawa pertanian sangat berkaitrapat dengan
penghasilan dan pengeluaran bahan makanan untuk menjamin bekalanan makanan
kepada seluruh rakyat Malaysia sentiasa mencukupi dan tidak terputus bekalan.
Memandangkan
sektor pertanian merupakan sektor yang penting dan relevan sepanjang
zaman,justeru, tidak mungkin mana-mana negara di dunia walaupun taraf negara
termaju dunia ingin mengkesampingkan atau meninggalkan sektor pertanian
khususnya agromakanan. Makanan merupakan perkara yang sangat penting kepada manusia
sejak berzaman lamanya dan untuk kehidupan. Tanpa makanan, sesebuah negara
boleh menjadi huru-hara dan kacau bilau. Sebab itulah jaminan terhadap bekalan
makanan perlu dipastikan sentiasa mencukupi serta penghasilan keluaran makanan
dalam negara seharusnya dilipatgandakan. Impak pandemik covid-19 yang mula
melanda dunia sejak penghujung tahun 2019 dan hingga kini Malaysia masih
bergelut memeranginya telah membuka mata dunia akan kepentingan agromakanan
yang mencukupi disamping usaha kerajaan untuk memastikan vaksin atau penemuan
ramuan terbaik untuk melawan virus berkenaan.
sumber : laporan akhbar The Star |
Menyedari
hakikat berkenaan, kerajaan Malaysia dilihat mengambil langkah tepat dengan
memperkasa sektor pertanian melalui peruntukan yang memberangsangkan di dalam
pengumuman-pengumuman sebelum ini di bawah pakej-pakej rangsangan ekonomi bagi
merancakkan dan dalam masa sama memodenkan pertanian supaya dapat menghasilkan
makan secukupnya untuk keperluan negara. Hari ini pula, akhbar-akhbar tempatan
melaporkan bahawa Menteri Kewangan menyatakan komitmen kerajaan untuk memberi
fokus keutamaan kepada sektor pertanian di dalam belanjawan tahun 2022 nanti.
Susulan daripada kenyataan berkenaan telah membayangkan bahawa kerajaan
bersedia dan dalam usaha merangka belanjawan dan menyediakan peruntukan yang
besar kepada sektor pertanian untuk terus diperkasakan sebaiknya untuk tahun
hadapan dan berikutnya sekaligus di dalam membentangkan Rancangan Malaysia
ke-12 iaitu 2021 hingga 2025 nanti. Jika kita imbau sedikit masa lalu, ketika
berlakunya krisis apabila negara-negara pengeluar utama beras dunia seperti
Thailand dan Vietnam dilanda bencana sehingga mengakibatkan negara berkenaan
tidak dapat mengeksport beras ke negara kita, maka kerajaan pada tahun 2008
telah mengumumkan langkah segera di bawah Dasar Jaminan Bekalan Makanan Negara
(DJBMN) untuk negara menghasilkan pengeluaran beras untuk menampung keperluan
dalam negara tidak terputus.
Semoga
sektor agromakanan negara akan terus diperkasa dan mengharungi modenisasi di
dalam era revolusi industri 4.0 (IR4.0) hari ini dan akan datang. Selaras dengan itu juga, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) bakal melancarkan Dasar Agromakanan 2.0 (DAN 2.0) 2021 hingga 2030 yang bakal memeta dan menggariskan halatuju serta tumpuan negara berkaitan agromakanan. Apa yang
paling mustahak selain menjamin pengeluaran bahan makanan dalam negara, tetapi
juga diharapkan dapat memberi impak kepada para peladang, penternak dan nelayan termasuk
mengenai aspek peningkatan taraf sosio-ekonomi golongan ini terus dibela.
Wallahua'lam.
Thursday, 16 September 2021
MELANCONG KE KRABI, THAILAND
Pulau di Krabi, Thailand |
Salam semua,
Kali ini aku ingin berkongsi pengalaman melancong ke Krabi, Thailand sewaktu masa dahulu. Memandangkan sekarang ini, pintu sempadan negara masih ditutup, makanya aku sekadar berkongsi travel ke negara orang dengan 'throwback' sahaja.
Cantik tak pantai di pulau ni?jernih je airnya |
baju t-shirt ni memang dah plan untuk beli dan terus dipakai |
Ok, Kali ini aku ingin semadikan catatan album kenangan melancong aku sekitar penghujung tahun 2014 iaitu hanya ke negara jiran iaitu di Krabi, Thailand. Sebenarnya, ketika itu aku dan rakan-rakan lain plan untuk melancong ke Krabi oleh kerana di sana dikatakan mempunyai tempat yang cantik dan menjadi tumpuan pelancong. Oleh kerana aku memang tak pernah sampai ke Krabi, jadi semestinya lah aku teringin sangat untuk sampai ke sana. Kami pergi ke sana dengan menaiki van yang disewa beserta pemandu pelancong sekali. Untuk pergi secara 'bag-packer' memang takla kot.
Trip kami programnya adalah selama 3 hari dan 2 malam sahaja. Kami pergi hanya 10 orang atau satu van sahaja. Perjalanan bermula ketika dari Perlis mengikut pintu masuk di Padang Besar. Perjalanan masa itu mengambil masa juga dan kami terus ke Pantai Aonang atau Aonang beach dan menginap di kawasan berdekatan. Di Krabi, bagi sesiapa yang belum pernah sampai sangat mudah untuk memperoleh makanan halal memandangkan populasi muslim di sana sekitar 50% dan banyak kedai makanan yang halal boleh didapati.
Ni masa diorang kayuh sampan menuju masuk ke dalam gua di depan tu |
Dalam gua sebelum sebelum kami kena baring dalam sampan |
Inilah dalam gua yang starlight tight tu.. macam kristal |
Keadaan di dalam gua.. |
Di dalam perjalanan sebelum sampai di Krabi, kami singgah di satu tempat (aku pun dah tak ingat apa nama tempatnya) tetapi di situ kami dibawa menaiki sampan yang dikayuh oleh pendayung sampan untuk dibawa masuk ke dalam sebuah gua air. Apa yang menarik di dalamnya kita boleh melihat starlight tight dan starlight might (maafkan aku jika ejaannya tidak betul) selain mereka yang suka masuk ke gua memang sesuai. Tetapi kemudiannya kami diarah untuk berbaring di dalam sampan kerana sampan akan melalui satu ruang yang sangat sempit sehinggakan kita tidak boleh langsung untuk bangun!! Batu-batu gua muat-muat paras hampir menyentuh hidung kita sahaja ketika berbaring. Gelap pulak tu masa lalu kawasan tu. Memang mendebarkan. Aku time tu first time masuk dan lalui pengalaman macam tu memang panik habis dan hanya berdoa banyak-banyak. Bapak punya risau wei. haha. Sebalik sahaja keluar dari gua, memang tergelak habis semua orang dan pengalaman memang menyeronokkan walaupun awalnya menyeramkan. haha
Kemudiannya kami terus ke aonang beach dan menginap di sana. Malam itu, kami ditawarkan oleh pemandu pelancong jika ingin menikmati makan malam di atas rumah rakit di sebuah kampung berdekatan. tetapi ianya tidak termasuk pakej. Jika setuju, dia akan bawa ke sana serta dia perlu buat tempahan awal waktu petang kerana biasanya tempat itu akan penuh dengan pengunjung yang majoritinya adalah pelancong. Kami bersetuju. Caj satu kepala untuk makan malam tu adalah RM30/orang (kalau convert duit Malaysia). Kami menelusuri sungai dengan menaiki boat menuju ke perkampungan itu untuk sampai di rumah-rumah rakit milik penduduk kampung berkenaan yang diusahakan. Disini aku melihat bagaimana industri pelancongan Thailand sangat hebat. Mereka merencanakan sektor pelancongan menerusi perancakan ekonomi desa, dimana orang-orang kampung memperoleh manfaat daripada limpahan ekonomi kedatangan pelancong selain mempromosikan budaya penduduk tempatan menerusi tradisinya dan juga makanan.
Ketika dalam bot menuju ke rumah rakit bagi menikmati makan malam |
Sebaik sahaja sampai, memang terbukti penuh orang disepanjang dan setiap rumah-rumah rakit yang ada. Meja tempahan kami memang telah tersedia. Menu makan malam itu sudah tentu tomyam, ikan siakap, sotong, ketam dan beberapa lagi yang turut dihidang bagi pelancong menikmati makan malam mereka sambil menyaksikan suasana malam di atas rumah rakit itu dengan bertemankan nyalaan lampu-lampu dari mentol sekitar 60 watt setiap satu. Cantik dan makanannya pun sedap dan menepati selera.
Selesai makan, kami kembali semula ke hotel. Keesokkan harinya kami sudah dimaklumkan untuk turun awal dari hotel kerana aktiviti laut akan bermula seawal pagi. Jadi kami mengikut jadual yang ditetapkan. Keesokkannya kami bergerak kepantai dan menaiki bot seolah-olah boat nelayan tapi cantik untuk ke sebuah pulau. (pulau ni pun aku dah lupa namanya..) tapi memang tumpuan pelancong. Sampai di pulau itu, memang airnya sangat jernih dan mempersona. Terdapat beting pasir yang kita boleh berdiri dan menelusurinya. Ramainya orang tak ingat. mandi manda dan menyelam. Sepanjang kami di pulau itu dari atas bot lagi telah dipesan supaya tidak membuang apa-apa sampah di sana. Setiap beg plastik atau botol minuman hendaklah dibawa balik semula ke atas bot untuk dibuang apabila sampai di daratan nanti. Wah, peraturan yang ditetapkan memang terbaik sehinggakan keindahan pulau berkenaan terpelihara walaupun aktiviti pelancongan diadakan di pulau itu.
Satu lagi, di pantai aonang ni ada jual baju-baju dan sebagainya untuk cenderamata dibawa balik tanda kenang-kenangan. Murah-murah dan berpatutan. Terdapat juga tailor shop di sana. Bagi kami yang lelaki akan ditawarkan jika berminat untuk menempah baju blazer lengkap dan dijamin siap keesokkan harinya. Tapi masa itu aku menolaknya. Ternyata selepas pulang ke Malaysia memang menyesal yang amat kerana tak tempah dan buat. Sebabnya blazer di sana sangat murah dibandingkan dengan tailor di Malaysia. Kualitinya pula memang terjamin. Rakan-rakan di Malaysia cakap kalau pergi ke Thailand atau Vietnam, jangan ragu-ragu untuk tempah blazer. Aku pulak masa tu tiada pengalaman dan takut-takut. aduhh menyesalnya. Masa tu seingat aku dia tawarkan harga sekitar RM250/suit sahaja dengan pilihan kain berkualiti. Tapi aku tolak sebab rasa macam takot kena tipu. Kalau di Malaysia, siaplah dalam sekurang-kurangnya RM700/suit. Sudahlah masa tu tukaran duit Malaysia dengan Thailand masih murah. Sekarang khabarnya duit thai baht lagi tinggi.
Inilah rant untuk menaiki gajah.. |
Itu antara perkara yang aku menyesal tak tempah bila berpeluang berada di sana. Selain itu, kami dibawa ke santuari gajah. Kami dibawa menaiki gajah untuk mengelilingi kawasan track yang ditetapkan. Ini satu lagi perkara yang aku mungkin kesal sebab aku join naik gajah. Sebabnya, aktiviti seumpama mendera haiwan perlu kita boikot dan tidak perlu sokong. Jika pelancong terus-terusan pergi dan naiki gajah, maka gajah-gajah ini sebenarnya seolah-olah menjadi hamba kepada pengusahanya kerana mereka menajdikan ianya sebagai sumber pendapatan. Seksaan kepada gajah yang tidak mahu mengikut arahan akan dilakukan.
Sesiapa yang sampai di Krabi, tak sah kalau tak bergambar kenangan di mercu tanda ketam ni |
Sebelum bergerak balik meninggalkan Krabi, kami bergambar kenangan di tempat ketam besar sebagai tanda ikonik di Krabi dan kami bergerak ke Hatyai dan bermalam di sana sebelum balik ke Malaysia.Sempat ke floating market di hatyai dan membeli belah di sana dan berlepas pulang ke Malaysia kemudiannya. Aktiviti yang padat dan walaupu penat tetapi menyeronokkan. Melancong ke negara orang ini membuka mata dan minda kita serta boleh mempelajari sesuatu hasil dari tempat yang kita kunjungi. Benarlah kata pepatah bahawa 'jauh perjalanan luas pemandangan'. Apapun travel ke krabi memang menarik dan menyeronokkan. Semua ini hanya tinggal kenangan yang masih segar di dalam ingatan.
Sekian, sahaja perkongsian diari pelancongan aku kali ini.
Bye,
SELAMAT MENYAMBUT HARI MALAYSIA!
gambar ini diambil ketika di Cappadocia 2 tahun lalu |
16 September merupakan antara tarikh-tarikh penting buat negara dan anak watan negara ini. Tarikh dimana pembentukan Malaysia yang dicapai antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Kemakmuran dan kedamaian hidup bersama sebagai rakyat dan warga di tanah air tercinta ini telah menjangkau usia 58 tahun ini sudah tentu dapat memaknai dan menghayati semangat kecintaan kepada negara. Negara yang dihuni oleh 3 kaum terbesar iaitu Melayu, Cina dan India serta suku-suku kaum bumiputera di Sabah dan Sarawak telah menjadikan negara ini sebuah negara yang harmoni dan boleh hidup bersama dengan aman sehingga ke hari ini walaupun berbeza agama, adat dan budaya yang pelbagai. Citra Malaysia ini yang membuatkan kecemburuan pihak-pihak luar melihat keamanan yang tercipta disebalik perbezaan nyata.
Namun, disebalik perbezaan itu sebenarnya ada satu ramuan warisan yang perlu diperlihara dan dijaga setiap masa supaya Malaysia kekal berwibawa dan megah ke angkasa - saling menghormati dan bertolak ansur. Ya, bertolak ansur sesama kita. Jika kita amati di negara ini, kalau kita tidak amalkan bertolak ansur sudah tentu negara ini telah lama hancur dan kemajuan tidak mungkin akan tercipta. Misalnya, orang-orang cina amat gemar memakan daging babi yang tidak boleh dimakan oleh orang melayu. Sebaliknya orang melayu sangat gemar kepada daging lembu yang tidak boleh dimakan oleh orang india. Secara asasnya, sudah tentulah kaum-kaum ini tidak boleh bersama. Tetapi di Malaysia, semua kaum boleh hidup secara harmoni kerana saling hormat menghormati dan bertolak ansur.
Tetapi siapakah yang bakal menghancurkan semua ini? Sudah tentu sumbangan terbesarnya adalah orang-orang politik. Walaupun bukanlah semua, tetapi cukup segelintir mereka untuk menghancurkan perpaduan dan kesejahteraan yang dibina sejak sekian lama. Menanam rasa kebencian yang mendalam terhadap sesuatu kaum atau wilayah untuk memupuk semangat menolak antara satu dengan yang lain. Ini turut disokong oleh puak pelampau atau ekstremisme. Misalnya kita dapati bahawa orang-orang politik cuba membangkitkan isu-isu sensitif berkaitan pembentukan Malaysia dengan membangkitkan soal MA63. Pada asasnya tujuan mereka adalah untuk meraih keuntungan politik semata-mata tetapi mereka lupa bahawa ianya bakal memberi kesan kepada perpaduan di dalam kemajmukan rakyat di negara ini keseluruhannya. Kita boleh lihat kesannya, di media sosial keluarlah page atau fb yang menulis mengenai anti-malaya dan sebagainya yang akhirnya boleh menggugat kestabilan di negara ini. Ingat, orang di luar sana hanya menanti masa untuk sorakkan kita apabila negara ini jatuh kelak. Sudah tentu kita selaku warga yang bertanggungjawab perlu memastikan kestabilan di dalam negara ini terus terpelihara tanpa digugat oleh mana-mana pihak.
Lihatlah bagaimana peristiwa pencerobohan oleh tentera sulu di Lahad Datu sekitar tahun 2013 lalu? Bagaimana pihak-pihak yang cuba mengambil kesempatan untuk mengancam kedaulatan tanah air ini. Oleh kerana perpaduan dan kebersamaan kita di dalam menjaga kedaulatan pertiwi, dapat kita tanganinya dengan baik sekali. Alhamdulillah. Jika kita imbau jauh sedikit kebelakang, bagaimana pengalaman Malaysia menangani acaman komunis suatu ketika dahulu. Pemimpin-pemimpin yang berjiwa besar dan bijaksana telah berjaya mengalahkan puak gerila komunis dari tanah air ini. Telah banyak lagi peristiwa dan pengalaman yang dilalui oleh negara kita dapat ditangani dengan berjaya. Pra-syaratnya adalah perpaduan sesama kita. Benarlah kata-kata orang tua-tua dahulu kala 'Bersatu teguh bercerai roboh'.
Malaysia tidak kurang juga dengan kisah-kisah kejayaan yang membanggakan kita semua. Misalnya bagaimana Malaysia telah muncul sebagai negara yang berjaya menempa nama dipersada dunia atas pelbagai kejayaan. Baik di dalam pencapaian kemajuan dikalangan negara-negara islam di dunia, pemimpin kita antara pemimpin yang dihormati dunia sebelum ini, ramai pakar-pakar atau anak Malaysia yang mengharumkan nama negara di luar negara dalam pelbagai bidang. Sumbangan Malaysia apabila jam besar di Mekah merupakan hasil tangan arkitek Malaysia yang digunakan hingga kini di sana. Selain itu juga, pencapaian-pencapaian cemerlang di dalam sukan diperingkat antarabangsa seperti baru-baru ini bagaimana Datuk Azizulhasni Awang yang berjaya meraih pingat perak di sukan olimpik dan begitu juga pencapai cemerlang atlet paralimpik kita yang berjaya memungut pingat-pingat emas buat Malaysia. Anak Malaysia yang dahulu jika anda masih ingat Amalina yang berjaya mendapat 17A di dalam SPM kini telah berkhidmat di London sebagai doktor pakar bedah dan ia sekaligus membawa nama Malaysia di sana. Kesimpulannya, lakukanlah apa perkara sekali pun asal sahaja ianya dapat mengharumkan dan membanggakan Malaysia, maka kita lakukan di dalam konteks bidang kita.
Bersempena 16 September 2021 ini, marilah kita bersama membulatkan tekad supaya sama-sama kita meraikan Hari Malaysia ini dengan penghayatan sebenar untuk memastikan negara ini tidak dicalar maruahnya di atas apa-apa perkara atau perbuatan buruk kita. Sebagai contoh, kita amat kesal dengan tindakan segelintir netizen Malaysia yang bertindak keterlaluan ketika keputusan pihak pengadil yang membatalkan kemenangan ziyad semasa sukan lontar peluru di paralimpik tokyo lalu dengan menyerang dan menghentam keterlaluan kepada atlet dari Ukraine. Tindakan ini bukan untuk dibanggakan sebaliknya memalukan nama negara. Kita sepatutnya boleh mengkritik tetapi tidaklah keterlaluan sehingga menghina dan mengherdik orang lain tambah-tambah lagi kepada orang yang kurang upaya. ianya biadap dan tidak melambangkan ciri ketimuran rakyat negara ini yang sangat dikenali dengan kesopanan dan kesusilaan. Sikap dan tingkahlaku kita hendaklah seiring dengan apa yang potretkan dalam bentuk kata-kata. Kita tidak mahu negara ini terkenal di mata dunia dengan pelbagai kisah dan perkara yang negatif dan memalukan. Sebaliknya kita mahukan kisah-kisah kejayaan yang membanggakan dapat dipertonjolkan. Kita perlu lakukan mengikut acuan kita sendiri.
Semoga Malaysia akan terus cemerlang dan gemilang dengan pelbagai bidang yang kita lakukan dan dihormati oleh rakan dan disegani oleh lawan. Ayuh kita bersama memastikan Malaysia bumi bertuah ini dan nikmat keamanan yang dikecapi ini terus menerus selamanya, insya Allah.
Tuesday, 14 September 2021
TALI LEHER ALUMNI UPM
Tie Alumni UPM |
Salam semua,
Alhamdulillah, setelah sekian lama cari untuk mendapatkannya, akhirnya harini dah dimiliki. Inilah dia tali leher atau tie alumni Universiti Putra Malaysia (UPM). Aku sebenarnya pernah tercari-cari tie ni di website upm, tapi yang dijual hanyalah tie upm sahaja, bukan alumni.
So, kenapa aku beli tie ni? Jawapannya kerana aku merupakan bekas pelajar dari UPM. Sebagai tanda aku pernah menimba ilmu di sana suatu ketika dahulu, jadi sebagai kenangan aku beli lah tie ni sebagai ingatan. Sebenarnya kalau korang buat search di google pun memang tak jumpa dekat mana tie alumni upm ni dijual. Aku baru-baru ni, contact Pusat Alumni UPM dan tanya di sana. Memang diorang ada jual tie alumni. So, kepada mana-mana bekas pelajar upm yang ingin membeli tie ni, boleh berhubung dengan Pusat Alumni UPM.
Tie ini (bagi lelaki) bolehlah dipakai semasa kerja yang pakaiannya memerlukan pakaian pejabat atau menghadiri mesyuarat. Kebanyakan universiti di Malaysia dan seluruh dunia menjadikan tie alumni sebagai 'signature product' universiti masing-masing dan menjadi 'promosi percuma' buat universiti. Misalnya jika kita lihat universiti-universiti ternama di dunia seperti Oxford, Harvard atau Cambridge, mereka mempunyai tie alumni mereka tersendiri yang membawa identiti sesebuah universiti itu. Begitu juga di Malaysia, sepertinya UKM, UPM, UiTM dan sebagainya turut mempunyai tie alumni nya yang tersendiri.
Bukanlah bermakna untuk memakainya untuk menunjuk-nunjuk, tetapi ianya untuk tunjukkan bahawa kita bangga menjadi bekas pelajar di sesebuah universiti itu dan menunjukkan kita menyokong dengan universiti tempat kita pernah belajar dahulu. Jauh sekali untuk riak dan sebagainya.bukan.
Bagi sesebuah organisasi juga turut membuat tie tersendiri bagi membawa identiti organisasi berkenaan dan tie perlu dipakai pada hari-hari tertentu. Misalnya ketika perhimpunan bulanan, atau mesyuarat pengurusan dan sebagainya. Lihat Jabatan Perdana Menteri (JPM) mempunyai tienya tersendiri berwarna merah dan begitu juga bagi kerajaan-kerajaan negeri yang mana mempunyai tie kerajaan negeri masing-masing. Misalnya, tie kerajaan negeri Perak berwarna kuning emas berbelang hitam, tie kerajaan sarawak juga tersendiri. Kebiasaannya tie ini akan dipakai oleh YAB Menteri Besar atau Ketua Menteri dan exco serta Setiausaha Kerajaan Negeri dan juga ketua-ketua jabatan diperingkat negeri. Ianya sesuatu yang esklusif dan ikonik. Menjadi tanggungjawab pemakainya untuk membawa imej jabatan atau organisasi itu seolah-olah pemakainya merupakan 'duta kecil' kepada sesebuah organisasi itu.
Demikian juga dengan para alumni universiti yang memakai tie masing-masing. Sekian sahaja perkongsian ringkas petang ini.
Wallahua'lam.
SELAMA BAKAL ADA MR D.I.Y
MR D.I.Y di Selama bakal di buka |
Salam semua,
Satu berita baik buat seluruh penduduk di Selama, Perak. MR D.I.Y bakal dibuka di sini tidak lama lagi. Walaupun dikebanyakan tempat MR D.I.Y ni telah lama wujud, tapi di Selama yang merupakan sebuah pekan kecil yang permai ni sesuatu yang baru. Baguslah DIY dah nak dibuka di sini. Sekurang-kurangnya ia memberi manfaat kepada penduduk setempat untuk mendapatkan barangan dengan harga yang murah dan berdekatan dengan rumah kediaman berbanding sebelum-sebelum ini, penduduk terpaksa ke bandar Taiping untuk ke DIY yang jaraknya lebih kurang 45km dari Selama.
Oleh itu, dengan pembukaan DIY ini bukan sahaja memberi kemudahan untuk mendapatkan barangan keperluan tetapi juga ianya mampu membuka peluang pekerjaan kepada anak tempatan dikala kesan terhadap ekonomi oleh pandemik covid-19 sebelum ini yang melanda negara dan dunia.
ORCA : PENGOPERASIAN DI ICELAND
Kilang Orca oleh Climeworks (sumber gambar : Dezeen.com) |
Monday, 13 September 2021
TRIP TO TURKEY
Salam semua,
Jika
diimbau kenangan kira-kira 2 tahun lepas, hari ini bermulanya perjalanan aku
melancong ke Turkey. Melancong ke sana kira-kira 10 hari dan 8 malam.
Sebenarnya kepada mereka yang pernah sampai ke sana, mesti tahu akan suasana
dan keindahan di negara berkenaan selain bumi yang pernah merakam sejarah silam
mengenai penaklukan kota Constantinople oleh Sultan Muhammad Al-Fateh yang
pernah disebut oleh Nabi Muhammad s.a.w. Sementara yang belum pernah sampai ke
sana, mungkin boleh saja membaca atau boleh dapatkan maklumat yang banyak di
internet dan di media.
Aku
hanya ingin berkongsi pengalaman dan memori aku sepanjang di sana. Perjalanan
dari KLIA ke Ankara Esenboga, Turkey mengambil masa kira-kira 12 jam perjalanan
dengan jarak lebih kurang 8,000km. Trip aku bukanlah direct flight. Sebaliknya
flight kami transit di Al-Khomeini International Airport Tehran, Iran sebelum
meneruskan perjalanan ke Ankara. Sebaik sahaja tiba di Tehran, Iran suasana ketika
itu kira-kira pukul 3 atau 4 pagi waktu tempatan. Kami perlu berada di sana untuk
tempoh 3-4 jam sebelum mengambil flight ke Ankara. Cuaca baik tetapi sangat
sejuk. Sementara menunggu, kami hanya berada di dalam airport sahaja.
Kelihatannya orang-orang di sana kurang mesra. Ketika masuk ke aras bawah untuk
ke surau bagi menunaikan solat subuh, terdapat beberapa orang Iran yang juga
berada di surau berkenaan bagi menunaikan solat. Seperti yang diketahui umum
bahawa di sana mereka menganut fahaman syiah dan solat mereka juga agak sedikit
berlainan dengan ajaran sunni. Mereka meletakkan batu di tempat mereka sujud.
Kami berlepas dari Tehran ke Ankara kira-kira jam 8 pagi waktu tempatan dan
memakan masa kira-kira 2 jam untuk mendarat.
Sebaik
sahaja mendarat di Ankara, kami dibawa untuk menikmati makanan sebelum berlepas
ke Muzium Mustafa Kemal Attarturk yang merupakan tempat lawatan pertama kami di
Turkey.
Museum Mustaffa Kemal Attarturk |
Kemudiannya,
kami bergerak ke Cappadocia dan bermalam di sana. Perjalanan di sana, kami
menaiki coaster kerana trip group kami hanya 12 orang sahaja. Perjalanan yang
jauh untuk sampai dan memenatkan. Disapanjang perjalanan kami menikmati
pemandangan yang berbukit bukau dan sempat berhenti dibeberapa persinggahan.
Antara tempat persinggahan itu adalah tasik garam kedua terbesar di Turkey (aku
dah lupa namanya..haha). Tasik ini ketika merupakan tempat tumpuan pelancongan.
Di sana kita boleh berada di tasik berkenaan kerana airnya surut dan boleh
melihat pasir-pasirnya yang diambil untuk dijadikan tujuan perubatan dan
kosmetik. Malah dijual dalam bentuk sabun dan pencuci muka di galeri
cenderamata.
Hot Air Ballons @ Pamukkale |
Di
Cappadocia, kami menginap di hotel Burcu Kaya. Kelihatan antik dan nyaman
sekali. Suhu rendah yang menyejukkan. Kami menikmati makan malam di hotel
berkenaan. Sangkakan boleh makan nasi, ternyata meleset sekali. Di sana mereka
kebanyakkan makan roti. Kalau pun ada nasi memang tak sama dengan nasi di
Malaysia. Nasinya lembik. Keesokkan harinya, kami bergerak ke ‘Seni seviyorum’
atau pigeon valley. Melihat kawasan yang penuh dengan burung merpati. Walaupun
di bawah matahari, tetapi berangin dan suhu rendah memang menyamankan.
Seterusnya
kami bergerak ke Konya. Di sana, persinggahan di Mevlana Mosque melihat akan
kesenian dan usaha dakwah tokoh islam silam di Konya dan kami meneruskan
perjalanan ke Pamukkale. Perjalanan dari Cappadocia ke Pamukkale memakan masa
selama 6 jam. Di Pamukkale kami akan menaiki hot air ballon. Sebenarnya bayaran
untuk menaiki hot air ballon berbeza antara Cappadocia dan Pamukkale. Di Cappadocia
bayarannya antara USD200-250 sementara di Pamukkale USD160-180. Jadi korang mempunyai
pilihan. Jika mempunyai budget lebih bolehlah cuba di Cappadocia. Pemandangannya
pun menarik. Tetapi tidak kurang juga pemandangan indah di Pamukkale. Walau
apapun, ianya bergantung kepada cuaca. Jika laporan cuaca mendapati hujan atau
tiupan angin kencang, maka pengalaman menaiki hot air ballon akan terlepas. Bergantung
atas nasibla. Selepas itu, kami ke Cotton Castle berdekatan dengan kawasan hot
air ballon.
Pemandangan dari kamar melihat laut yang memisahkan Turkey dan Greece |
Tempat
seterusnya adalah ke Kusadasi. Di sana, kami di bawa ke tempat penginapan di
sebuah hotel yang berada betul-betul dipinggir laut. Menariknya di sini adalah
pemandangan laut yang sangat cantik. Laut ini adalah laut yang memisahkan
antara Turkey dan Greece. Keesokkan harinya, kami ke Ephesus iaitu sebuah kota warisan
lama yang digazetkan di bawah UNESCO. Di Ephesus, ianya merupakan sebuah kota
yang pernah diperintah ketika kerajaan Byzantine dan beragama kristian. Kota
ini antara kota lengkap dengan sistem pertahanan, perpustakaan, penempatan,
gereja, dan sebagainya. Memang menarik.
Kemudiannya kami singgah di di pekan Ephesus untuk membeli cenderamata termasuk
juga dijual mengenai minyak olive dan juga manisan.
Perpustakaan di Ephesus |
Kami
kemudiannya bergerak ke Bursa. Perjalanan ke Bursa memakan masa 6 jam. Di
Bursa, suasana malamnya meriah. Rakan kami sempat untuk menikmati street food
seperti tiram mentah yang diperah limau. Harganya hanya 1 lira sahaja.
Keesokannya, kami bergerak ke Istanbul yang dahulunya dikenali sebagai kota
constantinople mengambil masa selama 2 jam untuk sampai. Banyaklah
tempat-tempat menarik di Istanbul. Dahulunya bila aku tengok filem romantik
komedi Istanbul Aku Datang lakonan Beto dan Lisa Surihani, terus jatuh cinta
dan menanam impian untuk satu hari akan sampai ke Istanbul. Akhirnya, tercapai
jua. Memang menarik dan cantik sekali pemandangan di sana. Menara Galata nya,
menelusuri selat bosphorus dengan cruise, Spice Bazaar, Grand Bazaar, Topkappi,
Hagia Sophia dan sebagainya.
Di atas Cruise menelusuri selat bosphorus |
Selain
daripada tempat-tempat menarik, aku juga ingin berkongsi mengenai makanan di
sana. Makanan seperti Simmit. Rupanya macam kuih gelang. Tapi gelang
besar..haha..sedap. Tambah-tambah kalau pekena simmit nuttela memang sedap.
Kemudiannya manisan atau turkish delight seperti baklava yang pelbagai. Oleh
kerana aku memang kurang untuk makan manisan jadi takla borong sakan sangat
baklava tu berbanding rakan-rakan lain yang borong sakan khususnya wanita. Selain
itu juga, aku perasaan di sana memang diorang banyak consume tomato. Memang
macam benda wajib dalam makanan kat sana. Sos pun sos tomato. Sayuran memang
setiap kali hidangan wajib ada. Roti memang tak dapat dipisahkan. Nasi yang ada
pun macam xrupa nasi. Semasa di Topkappi, kami di bawa ke restaurant yang
dihidangkan menu keduanya adalah kueyteow goreng. Terasa rindu Malaysia masa
tu..haha.. Sekali terjumpa pulak pelajar Malaysia di kawasan gerai-gerai
cenderamata kat sana, memang terasa Malaysia sangat. haha
Dolmabache |
Spice bazaar, Istanbul |
Aku letak gambar lampu ni sebab asalnya nak beli, tapi bertangguh-tangguh langsung tak beli. Balik Malaysia, mula rasa menyesal.. |
Belakang aku tu kalau nampak - Menara Galata |
Baklava boleh dipilih di Grand Bazaar dan sekitar Istanbul pun boleh beli. |
Kalau
nak tulis semua kat sini, rasanya takkan habis. Tetapi pengalaman di sana
memang sangat menarik dan terasa nak pergi lagi kalau ada rezeki. Memang
menyeronokkan. Hari terakhir sebelum berlepas pulang kami sempat melihat
keindahan istanbul. Memang cantik dan menarik. Sebelum aku lupa, penduduk
Turkey 82 juta orang. Penerbangan dari Gockhen International Airport, Istanbul
ke KLIA dan transit di Tehran selama 6 jam sebelum ke Kuala Lumpur. Apapun,
sebelum mengakhiri perkongsian ini Cuma untuk berpesan jika melancong ke
Turkey, perlukan stamina yang kuat kerana perjalanan dari satu tempat ke satu
tempat jauh-jauh dan apabila sampai ke sesuatu tempat perlukan kita untuk
berjalan. Selain itu, jika yang nak bawa anak, disyorkan umur anak tu biarlah
besar sikit dalam 5-6 tahun ke atas. Jangan bawa terlalu kecil sangat masa
baby. Sebab nanti takut baby meragam.
Bergambar kenangan sebelum berlepas pulang |
Okla
guys, sekadar berkongsi pengalaman melancong ke Turkey. Jumpa lagi, bye.