Friday 14 January 2011

Mewujudkan suasana harmoni di tempat kerja

Dalam menjalankan kerja seharian, aspek yang penting dalam menentukan maju mundurnya sesebuah organisasi itu adalah melalui pencapaian dan penilaian pelanggan terhadap organisasi berkenaan.  Penilaian ini pula bole dibuat melalui pelbagai kaedah dan penetapan yang difikirkan sesuai dengan kehendak pelanggan yang berurusan.  Sementara pegawai yang menjalankan tugasan pula, perlu cekap dan berkualiti untuk menghadapi pelanggan yang datangnya dengan pelbagai karenah dan masalah.  Sudah tentunya apabila berbicara mengenai perkara penyampaian perkhidmatan yang berkesan, kualiti adalah menjadi keutamaan!

Bagi mencapai mutu kerja yang baik, banyak perkara perlu disemak dan dibuat penambahbaikan.  Salah satu yang akan dikupas adalah berkaitan dengan persekitaran tempat kerja.  Walaupun, bagi sesetengah pendapat mengatakan aspek persekitaran tempat kerja adalah tidak begitu penting, namun jika dilihat semula ianya sangat mempengaruhi pegawai dan anggota untuk menjalankan kerja seharian.  Sudah menjadi lumrah, setiap manusia inginkan suasana yang tenang dan tidak sentiasa berada dalam keadaan yang mendesak dan tertekan.  Namun, dalam keadaan-keadaan tertentu, tekanan dan bebanan kerja perlu dihadapi. Perkara ini tidak dapat dielakkan. 

Sementara itu pula, hubungan antara majikan dan pekerja juga perlu dilihat kembali dalam memastikan semangat / motivasi 'anak buah' tidak terus luntur dan menjadi beban kepada organisasi apabila tugasan yang diberi tidak dapat disiapkan dan mengundang masalah kepada pihak pengurusan dan juga paling teruk adalah apabila keyakinan pelanggan terhadap organisasi tercemar dek kerana sikap segelintir anggota yang bermasalah seperti ini.  Pada saya, semua manusia mempunyai kehebatan masing-masing.  Cumanya, bagaimana bakat atau kehebatan itu dapat digilap dan diserlahkan.  Untuk menyalahkan 100% kepada pekerja bermasalah ini juga adalah tidak tepat.  Tetapi juga harus juga dilihat kepada bagaimana pekerja/anggota ini dipimpin oleh 'bos' nya. 

Pendekatan yang kritis dan berhemah serta penuh hikmah perlu diambil oleh seorang ketua jabatan untuk memastikan anggota bawahan nya sentiasa memberi khidmat yang terbaik kepada pelanggan yang akhirnya menaikkan imej organisasi.  Ketua yang bertindak selaku seorang doktor untuk merawat pesakit dan ada kalanya bertindak sebagai seorang kaunselor atau motivator kepada anggota bawahannya adalah sangat-sangat dinamik dan perlu ada dalam menangani kemelut ini.  Selaku seorang ketua jabatan, tugasnya bukan sahaja hanya tahu menunding jari dan menyalahkan kepada pekerja bawahan apabila sesuatu itu gagal disempurnakan, tetapi sebaliknya ketua perlu bertanggungjawab dan rasional.  Hal ini adalah kerana kegagalan bersama.

Ketua akan dianggap sebagai ketua yang gagal memimpin anggota bawahannya.  Sesungguhnya, tidak semua orang kita boleh gunakan pendekatan yang sama.  Hal ini adalah kerana, setiap jiwa mempunyai keistimewaannya yang tersendiri.

Apabila berkesempatan untuk berada diperingkat bawahan, dan melalui beberapa pengalaman untuk berhadapan dengan suasana di tempat kerja secara realiti dan tidak hanya menela'ah melalui buku-buku penulis terkemuka, ianya adalah lebih mematangkan kita dan mengajar kita erti kehidupan sebenar.  Melalui itu juga, setiap tindakan atau keputusan yang bakal diambil juga, memerlukan pertimbangan daripada pelbagai aspek dan juga penafsiran yang mendalam selaku seorang ketua yang berwibawa!

1 comment:

  1. Memang terbaik tentang mewujudkan suasana harmoni di tempat kerja

    ReplyDelete