Saturday 18 December 2021

WARNA-WARNI KEHIDUPAN,

Kembara di dalam benua kehidupan dunia ini seringkali dilanda dengan suka duka yang tidak bertepi oleh setiap orang di dunia ini. Setiap kita tentunya mempunyai pengalaman yang dilalui disepanjang kehidupan hingga kini. Menerusi pengalaman suka dan duka itulah yang membentuk kita pada hari ini, bukan? Sama ada kita sedar atau tidak setiap perkara di dalam hidup ini yang telah kita lalui itu menjadi 'guru' paling berguna untuk kita bawa mengharungi cabaran dan dugaan dalam perjalanan hidup ini.

Bagi aku, kitaran kehidupan ini semakin lama semakin 'sunyi' apabila sebahagian antara mereka yang pernah hadir dalam hidup ini telah hilang, tiada lagi bahkan ada yang telah pergi buat selamanya dari alam fana ini. Umpamanya, kawan-kawan ketika dibangku sekolah rendah dan menengah dahulu kebanyakannya telah membawa haluan masing-masing di dalam kerjaya yang berbeza dan juga berkeluarga. Jika dahulunya, apabila selepas SPM, ramai kawan-kawan yang akan memenuhi halaman rumah aku. Banyak perkara dan aktiviti yang kami lakukan ketika zaman remaja. Melepak dan bergurau senda setiap malam kini tiada lagi apabila meningkat usia dan masing-masing telah berpindah dan menetap di tempat yang lain bersama keluarga mereka. Dunia mereka dan aku hanya banyak berkisar tentang membangunkan keluarga masing-masing. Mungkin bersua hanya di media sosial sahaja. Ada kawan baik aku sebelum ini juga sudah lama tidak bertemu dan bersembang kerana kekangan waktu dan faktor jarak. Dia kini berada nun di selatan tanah air sementara aku masih di Perak. Sebenarnya walau jauh di mata, tetapi sangat dekat di hati. 

Sahabat ini macam bintang, walau jauh nun diangkasa tapi tetap ada. Bukan seperti bayang yang hanya datang ketika terang tapi menghilang diwaktu gelap. Tambah sunyi lagi apabila ada dikalangan ibu bapa kawan-kawan aku yang juga telah meninggal dunia atau berpindah dari rumah mereka untuk menetap di KL maka kawan-kawan sebelum ini tidak lagi pulang ke kampung walaupun ada waktu cuti. Seperkara lagi apabila saat kesedihan dalam hidup apabila perginya arwah abang sulung aku ketika umurnya 10 tahun dan aku berumur 7 tahun masa tu. Setahun kemudian, arwah tok aku pula pergi menemui Illahi. Allahuakbar, sedihnya bukan kepalang. Ketika aku mula mendapat kerja dalam sektor awam, arwah ayah pula kembali kerahmatullah. Jika ikutkan hati memanglah sedih yang teramat, tetapi selaku seorang muslim, mati itu pasti dan perlu banyakkan bersabar. Semua ini mengajar aku tentang ketabahan mengharungi cabaran. Hakikat ini perlu diterima oleh kebanyakan kita. Bagi aku, ini merupakan suatu permulaan untuk mempelajari tentang erti kehidupan ini iaitu untuk belajar melepaskan sesuatu yang kita sayangi. Apa tidaknya, apabila kita meningkat usia, kudrat yang ada semakin lemah dan perlu dilepaskan bukannya untuk digenggam. Demikian juga dengan dunia ini yang bakal ditinggalkan untuk selamanya sebelum melangkah ke negeri akhirat yang kekal di sana.

Dulu ketika aku belum faham tentang semua ini, aku selalu merasa gusar dan susah hati bahkan kadang-kadang memberontak di dalam jiwa tentang kesunyian yang dilalui. Seolah-olah aku telah kehilangan 'dunia' aku sebelum ini. Aku sentiasa merasakan bahawa semua yang disekeliling aku dulu akan kekal selamanya. Tapi aku lupa bahawa semua itu hanya sementara cuma. Begitulah kehidupan kita di dunia ini yang penuh dengan warna warni. Ada kalanya kita gembira, menangis, suka, duka, sedih, ketawa, hiba dan sebagainya merupakan resam kehidupan.

Justeru, sementara dikurnia Allah kepada aku dan kita semua menumpang di bumiNYA ini, ayuh perbanyakkan untuk melakukan dan menyebar kebaikan untuk bekal kita di sana nanti. Gembirakan kedua orang tua kita dan orang tersayang selagi mana mereka masih ada sebelum menyesal dikemudian hari. Moga kita semua mendapat rahmat Allah swt dan kasih sayangNYA insya Allah.

SARAWAK MEMILIH

Hari ini para pengundi di Sarawak telah melaksanakan tanggungjawab mereka untuk memilih pemimpin masing-masing dari parti-parti yang bertanding untuk memimpin negeri bumi kenyalang bagi tempoh 5 tahun mendatang. Pilihan raya Negeri yang diadakan ini merupakan pilihan raya yang penting buat rakyat dan pengundi negeri Sarawak memandangkan rakyat di sana bakal menentukan sendiri masa depan dan hala tuju negeri berkenaan sebaik sahaja keputusan pilihan raya diumumkan hari ini.

Parti pemerintah sebelum ini adalah parti Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang diketuai oleh Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg selaku Ketua Menteri Sarawak yang menggantikan Allahyarham Tan Sri Adenan Satem yang telah kembali kerahmatullah pada tahun 2017 yang lalu. Pilihan raya kali ini juga menyaksikan parti-parti lain yang turut bertanding dan menawarkan perkhidmatan masing-masing seperti PKR, DAP, AMANAH, PSB dan tidak ketinggalan iaitu calon-calon Bebas.

Sarawak merupakan negeri yang besar dan mempunyai potensi yang cukup besar khususnya untuk memacu ekonomi dan juga pembangunan di bumi kenyalang berkenaan. Ditambah pula negeri Sarawak merupakan negeri yang mempunyai pelbagai suku kaum dan bangsa yang menghuni bumi bertuah berkenaan. Namun, negeri berkenaan buat masa ini kelihatan masih ketinggalan dari segi kemajuan dan juga aspek pembangunan fizikal. Disebalik perkara berkenaan ada kebaikannya khususnya bukan bermakna negeri Sarawak perlu dibangunkan dengan banyaknya bangunan pencakar langit. Bukan. Tetapi, dengan kayanya sumber asli dan juga sumber alam yang menghijau boleh melonjakkan negeri Sarawak sebagai salah satu negeri hijau yang baik untuk eko-pelancongan dan juga menekankan tentang ciri kebudayaan yang tinggi berkaitan masyarakat yang berbilang suku kaum yang unik.

Pesan kepada parti yang bakal diumumkan sebagai pemenang untuk memerintah negeri Sarawak kelak, laksanakanlah tanggungjawab dan amanah berkenaan sebaiknya. Jangan khianati mandat dan kepercayaan rakyat Sarawak. Berkhidmatlah dengan jujur dan penuh dedikasi untuk kebaikan dan kemajuan negeri Sarawak sebaiknya.

Wallahua'lam

Sunday 5 December 2021

ISU KENAIKAN HARGA BARANG KEPERLUAN BAHAN MAKANAN; PERANAN KOMUNITI SETEMPAT

 

Negara ketika ini bukan sahaja sedang berperang melawan wabak COVID-19 tetapi juga terpaksa berdepan dengan isu kenaikan harga barangan keperluan bahan makanan terutamanya sayuran, telur ayam dan harga ayam proses di pasaran yang dilihat menekan pelbagai lapisan masyarakat di negara ini. Tekanan kenaikan harga bahan makanan ini lebih mengesankan kepada mereka yang berada dalam kumpulan B40 dan tempiasnya juga turut dirasai oleh golongan M40 yang mana kedua-dua lapisan ini mewakili masyarakat terbanyak dalam negara!

Beberapa inisiatif dan keputusan kerajaan dilihat untuk membantu menangani kenaikan harga barangan asas berkaitan makanan keperluan rakyat ini yang dijangka akan berlarutan sehingga ke tahun baru cina pada Februari tahun hadapan telah mula dilakukan sebagai permulaan. Antaranya seperti memperkenalkan Skim Kawalan Harga yang dipercepatkan memandangkan perayaan Krismas bakal menjelang beberapa minggu dari sekarang dan begitu juga dengan sambutan tahun baru cina pada bulan Februari 2022. Selain itu juga, pelaksanaan Jualan Murah Keluarga Malaysia (JMKM) yang mula dilancarkan yang menawarkan harga lebih murah berbanding pasaran ke atas pelbagai barangan keperluan yang dilaksanakan 2 kali sebulan. Selain itu juga, langkah-langkah lain seperti menyediakan subsidi ke atas kos baja dan racun untuk pesawah yang dilihat penyumbang kepada peningkatan kos pengeluaran dan dalam masa sama keputusan kerajaan untuk mengimport ayam dari luar negara bagi mengimbangi keperluan dalam negara dan dalam masa sama dapat menstabilkan harga dalam pasaran.

Jika ditekuni mengenai isu kenaikan harga barang bukanlah sesuatu yang baru dialami bahkan ianya sudah berlarutan sejak sekian lama. Keresahan sebilangan besar masyarakat adalah mengenai kenaikan harga barang keperluan harian yang mampu memberi tekanan terhadap kehidupan yang mana secara tidak langsung akan turut menaikkan kos sara hidup isi rumah. Kesan kenaikan ini bukan sahaja bersifat sementara tetapi mampu memberi kesan jangka panjang jika tidak ditangani dengan segera dan tepat. Dalam pada sebahagian besar rakyat terkesan di luar sana dengan dampak covid-19, banyak mereka yang dahulunya berada di dalam golongan M40 telah tergelincir kepada B40, manakala mereka yang sedia berada di dalam golongan B40 pula telah jatuh dengan lebih parah lagi akibat covid-19 khususnya soal ekonomi mereka, baru ingin bernafas kembali tetapi telah ditekan pula dengan himpitan kenaikan harga barangan keperluan yang menyentuh soal makanan harian yang semakin mengesankan.

Saya tidak berhasrat untuk mengulas atau menyentuh mengenai dasar-dasar intervensi kerajaan serta keputusan-keputusan yang telah dan akan diputuskan oleh pihak kerajaan di dalam menangani perkara ini. Hal ini kerana, sebagai sebuah kerajaan, maka saya yakin kerajaan akan bertindak selaras dengan apa yang sepatutnya mereka lakukan. Sebaliknya saya ingin mengulas di sini berkaitan dengan peranan yang boleh dimainkan oleh komuniti setempat sebagai sumbangan terhadap penyelesaian kepada permasalahan ini dengan cara kita. Saya yakin bahawa peranan komuniti terutamanya amat penting khususnya di dalam mengimbangi soal kesejahteraan masyarakat madani seperti di Malaysia ini terutama di dalam berganding bahu untuk menangkis kenaikan harga barang khususnya berkaitan agromakanan yang kini meningkat naik. Dalam pada pihak kerajaan sedang berusaha untuk mengatasinya diperingkat intervensi dan juga langkah-langkah penguatkuasaan serta penyelesaian secara makro, saya ingin juga mengajak komuniti untuk turut serta dalam penyelesaian ini mungkin secara mikro supaya keluarga kita, jiran tetangga kita dan komuniti setempat dapat menyumbang kepada menangani isu kenaikan harga barangan ini melalui cara kita sendiri. Cara kita ini bermakna bukanlah melalui pelbagai teori-teori oleh pakar-pakar ekonomi misalnya, sebaliknya kita lakukan dengan cara yang lebih praktikal dan ‘common sense’ yang saya yakin mampu sedikit sebanyak menampung dan membantu menjimatkan belanja dapur harian di rumah kita, insya Allah.

Komuniti sebenarnya boleh memainkan peranan besar dalam menyumbang kepada menangani masalah ini. Komuniti bukan sahaja sekadar pengguna, sebaliknya golongan ini mampu menjadi penentu kepada turun dan naiknya harga barang. Justeru, saya mencadangkan supaya setiap komuniti segera melaksanakan kebun-kebun komuniti setempat. Pelaksanaan ini boleh direalisasikan dengan penglibatan semua pihak di dalam sesebuah komuniti itu. Misalnya di sebuah taman perumahan, boleh membentuk satu gerakan komuniti dengan mengusakan kawasan lapang di sekitar taman untuk kebun sayuran dan sebagainya. Hasil pengeluaran kebun itu nanti boleh diagihkan kepada seluruh penduduk taman berkenaan. Melalui kaedah ini, kos untuk membeli sayuran dapat dijimatkan dengan penghasilan sayuran sendiri yang sudah tentu terjamin dari segi kualiti dan juga bebas daripada racun kimia yang berlebihan. Seterusnya, setiap rumah juga boleh melaksanakan konsep #tanamapayangdimakan #makanapayangditanam dengan memanfaatkan ruang dan kawasan rumah kita untuk bercucuk tanam. Dalam saat getir seumpama inilah, saya fikir setiap kita perlu bercucuk tanam untuk sekurang-kurangnya makan sendiri dan boleh disedekahkan kepada jiran tetangga kita jika ada lebih. Dengan cara ini, saya yakin bahawa tiada keperluan untuk kita mengeluarkan belanja untuk membeli sayuran yang sudah ada di kawasan rumah kita sendiri. Secara tidak langsung, kos dapat dijimatkan. Misalnya, boleh saja untuk menanam cili besar, cili padi, kangkung, sawi, kobis, dan sebagainya untuk menampung keperluan harian dapur sendiri. Demikian juga mereka yang tinggal di flat dan pangsapuri juga boleh menanamnya dalam pasu atau polybag mengikut ruang yang ada.

Ingat, penawaran wujud apabila adanya permintaan. Harga sesuatu barang akan berkadar langsung terhadap perkara ini. Jika permintaan rendah mustahil untuk sesuatu barangan itu mencanak naik. Justeru, jika kebanyakan kita menanam dan menuai sendiri hasil yang kita tanam untuk dimakan tanpa perlu berbelanja, maka harga di pasaran akan turun dan kembali stabil. Pengajaran yang boleh kita pelajari daripada isu kenaikan harga barangan keperluan khususnya makanan ini, adalah untuk kembali mengusahakan tanah-tanah terbiar yang berada di kawasan sekitar kita untuk dimanfaatkan dengan penanaman agromakanan atau mengusahakan ternakan seperti ayam kampung, arnab, itik dan sebagainya yang bersesuaian. Antara faktor penyumbang kepada kenaikan harga ini juga dikaitkan dengan kekurangan tenaga kerja yang dikatakan dahulunya oleh warga asing dan disebabkan mereka telah kembali ke tanah air masing-masing serta pengawalan sempadan yang ketat tidak membolehkan pekerja asing kembali ke sini untuk memenuhi keperluan tenaga kerja di sektor pertanian. Hal ini juga sepatutnya membuka mata generasi muda tempatan untuk memenuhi kelompongan yang ditinggalkan pekerja asing ini sebagai salah satu fardhu kifayah. Selain itu juga, faktor melambungnya harga apabila pengeluaran dikatakan tidak dapat menampung permintaan secukupnya apabila pelbagai sektor ekonomi telah mula dibuka mulai bulan Oktober iaitu perhotelan dan pusat peranginan yang mula menerima pelancong. Dari sudut yang lain, sebenarnya ianya bagus untuk perkembangan ekonomi dalam negara tetapi sebagainya pengguna amat terasa akan bahangnya lebih-lebih lagi bagi mereka yang berkeluarga besar. Justeru, saya amat yakin penglibatan daripada komuniti setempat dengan memainkan peranan untuk terlibat di dalam penghasilan bahan makanan menerusi inisiatif komuniti yang dilakukan dapat membantu komuniti itu sendiri untuk mengekang kenaikan mencanak harga barang keperluan.

Secara kesimpulannya, saya berharap agar isu kenaikan harga barang keperluan ini dapat ditangani segera dan kembali stabil untuk memastikan kelangsungan hidup buat sebahagian besar masyarakat di negara ini yang sangat terkesan buat masa ini menerusi penangan covid-19 sebelum ini dapat diredakan dengan inisitaif-inisatif yang berkesan oleh pihak kerajaan dan dalam masa pembabitan aktif komuniti itu sendiri dalam membantu menangani permasalahan yang dihadapi buat masa ini. Penyelesaian bukan sekadar bersifat jangka pendek semata-mata tetapi memerlukan penyelesaian jangka panjang yang mensejahterakan kehidupan rakyat yang berbilang dan pelbagai latar belakang. Bukan bermakna, apabila menyentuh peranan komuniti ini maka kita hendak menafikan peranan kerajaan. Bukan. Sebaliknya aspek dan peranan komuniti yang juga rakyat negara ini yang juga pengguna boleh memainkan peranan kita untuk turut serta dalam menyumbang kepada pergelutan ini. Setidak-tidaknya, bukan sahaja kita dapat bercucuk tanam, sebaliknya mengeratkan ukhuwah sesama kita jiran tetangga. Mungkin juga sumbangan kecil ini tidak mampu mengubah landskap isu negara, tetapi sekurang-kurangnya inisiatif komuniti setempat dapat menyelamatkan banyak keluarga yang sedang menderita di sekeliling kita.  Sikap lebih cakna ini juga dianjurkan agama supaya peribahasa 'hati nyamuk sama dicicah, hati gajah sama dilapah' diterjemah melalui tindakan kita dalam komuniti setempat supaya lebih berkesan dan menghargai diri dan jiran. Mudah-mudahan usaha kecil kita diganjarkan pahala dan kebaikan oleh Allah swt, Insya Allah.

Saturday 4 December 2021

DATANGLAH KE BAGAN DATUK

 

Assalamualaikum semua,

Kali ini aku Cuma nak share kepada semua tentang antara tempat-tampat menarik di Bagan Datuk jika anda ke sana. Barangkali, mungkin Bagan Datuk bukanlah tempat tarikan pelancongan sepertimana tempat-tempat lain seperti bandar hilir di Melaka ataupun Tanjong Bungah di Pulau Pinang kan? Mahupun bukan juga di Brinchang, Cameron Highlands bukan? Tetapi, mungkin ramai di luar sana tidak mengetahui tentang terdapat beberapa tempat menarik untuk dikunjungi jika anda masih tercari-cari tempat atau lokasi bersesuaian untuk melancong lebih-lebih lagi untuk menenangkan fikiran dan merehatkan minda dari kesibukan kota.


Ikonik kapal dipinggir sungai Perak


Secara umumnya, bagan datuk merupakan kawasan luar bandar yang bebas daro hiruk pikuk kota. Berlatarbelakangkan tanaman kelapa yang tinggi melampai yang sentiasa melambai-lambai kehadiran pengunjung. Aku pertama kali sampai di pekan bagan datuk ni minggu lepas. Agak menarik juga. Beberapa tempat yang aku pergi antaranya pekannya yang tenang dan kecil sahaja. Selain itu aku ke ladang bunga matahari yang dijadikan sebagai tarikan pelancongan ‘agrotourism’. Selain itu juga, menurut orang di sini, jika mahu menikmati keindahan di Pulau Sembilan juga boleh menaiki bot dari sini. Tetapi sekarang, khabarnya dah tak buat lagi pakej tu.



Ok, berbalik kepada tempat sunflower walk ni aku first time sampai dan tiket masuknya boleh tahan juga iaitu RM 13/orang bagi dewasa dan RM 5/orang bagi kanak-kanak bawah 7 tahun. Agak kreatif juga pemilik tempat ni dengan pelbagai dekorasi dan juga arrangement di dalamnya untuk para pengunjung merakam kenangan apabila berkunjung ke sini. Ada satu tempat tu, dikenali sebagai ‘Ladder to heaven’ menjadi antara tarikan pelancong ke sini. Ok guys, aku share sikit gambar-gambar di sana ye.. check-it out!





Ladder to heaven