Showing posts with label tentang keluarga. Show all posts
Showing posts with label tentang keluarga. Show all posts

Tuesday, 4 February 2025

KEHADIRAN CAHAYA MATA KEDUA

 

'Abang' Bobby pun teruja jugak. Dah lama xada baby dalam rumah ni ;p

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah tuhan semesta alam yang telah mengurniakan nikmatnya kepada kita semua. Hari ini genap 12 hari umur anak saya yang ke-2. Dilahirkan pada 24 Januari 2025 dan nama yang diberikan kepada bayi ini Hadeef Affan. Hadeef bermaksud tajam, cerdas atau fasih berbicara. Manakala Affan pula membawa maksud suci, bersih atau berakhlak mulia. Selain itu juga, Affan merupakan bapa kepada salah seorang khalifah ar-rasyiddin. Hadeef Affan membawa maksud orang yang tajam pemikirannya dan memiliki akhlak yang suci serta terpuji. Kehadirannya dalam keluarga kami disambut dengan penuh rasa syukur dan gembira. Jarak antara anak sulung kami, fia dengan hadeef lebih kurang 10 tahun. Fia orang yang paling teruja sekali. Mana tidaknya, selama ini dia merupakan anak tunggal, namun kini telah mempunyai adik! Apapun, semoga anak ini tergolong dalam golongan orang-orang yang soleh dan berjaya di dunia dan akhirat.

Sunday, 6 October 2024

PROGRAM FAMILY GATHERING TAG 2024 @ TG BUNGAH, PULAU PINANG

 

Pada 14 – 15 September 2024 yang lalu, kami telah menyertai satu program anjuran keluarga besar Tok Ariff Generation (TAG) ‘family gathering’ bagi mengukuhkan lagi silatulrahim sesama kami iaitu anak cucu cicit tok ariff. Memandangkan sejak berlakunya covid-19 hingga tahun ini tiada program atau aktiviti keluarga dibuat sama ada family day atau gathering dilakukan. Ada di antara sepupu yang telah mendirikan rumah tangga dalam tempoh itu, tidak kurang juga ada yang telah menimang cahaya mata. Memandangkan kesibukan setiap warga TAG dengan tugasan masing-masing, agak sukar untuk mengatur dan menyusun program bagi melibatkan semua ahli keluarga.

Sepupu-sepupu semasa minum petang di tepi pantai


Walaubagaimanapun, kami tetap berusaha untuk memastikan kesemua ahli keluarga dapat sertai program atau aktiviti yang dianjurkan. Jika pun tidak, sekurang-kurangnya sebahagian besarnya dapat sertainya. Maka, kami merancang untuk mengadakan program ‘Family Gathering’ di Tanjung Bungah, Pulau Pinang. Tarikhnya adalah pada 14 hingga 15 September 2024 baru-baru ini sempena cuti umum pada 16 September 2024. Sengaja tarikh berkenaan dipilih memandangkan tarikh berkenaan dilihat agak sesuai memandangkan ianya adalah ‘long weekend’ yang memudahkan banyak pihak dapat meluangkan masa.


Bungalow tempat kami menginap. Fasilitinya lengkap dan baik

Taklimat awal mengenai tentatif program kepada semua ahli keluarga termasuk penetapan bilik masing-masing


Pada 14 September, bermula dengan perjalanan ke homestay yang telah disewa khas iaitu sebuah bungalow 2 tingkat di Tanjung Bungah, Pulau Pinang yang mempunyai kelengkapan yang memenuhi piawaian keluarga besar TAG untuk menghuni disana selama 2 hari 1 malam. Seramai 25 orang daripada 34 orang telah menyertai program kali ini termasuk kecik dan besar. Sementara selebihnya tidak dapat bersama memandangkan kekangan tugasan masing-masing. Alhamdulillah program yang dirancang berjalan lancar. Sebaik sahaja sampai di bungalow tempat kami menginap, ianya berdekatan dengan pantai dan juga masjid terapung di sana. Aktiviti pertama kami sebaik sahaja ‘check-in’, adalah berkumpul diruang tamu untuk mendengar taklimat yang disampaikan oleh aku sendiri tentang tentatif program sepanjang 2 hari 1 malam kami di Pulau Pinang.

Pantai berhampiran - anak-anak bermain air laut



dari kini : pakcik lie, mak, cuteh, paklang zain dan pakngah ya


Pada jam 5.00 petang hari yang sama kami bergerak ke pantai berhampiran untuk beriadah dan juga minum petang sebelum menjelang malam. Pada malam hari, satu sesi makan malam keluarga di Lan Ikan Bakar telah diatur dimana tempat kami menjamu selera. Tempatnya selesa dan makanannya pun boleh dikatakan baik juga. Selesai makan malam keluarga, kami bergerak kembali ke bungalow untuk menyambung aktiviti yang telah sekian lama dirancang. Disamping kemudahan di bungalow berkenaan yang dilengkapi dengan peralatan sukan seperti pool, sahiba, indoor games, kami juga telah membawa dan menyediakan aktiviti sukan melibatkan keluarga secara indoor games. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar. Selain itu, sesi ‘Kenali Daku’ turut diadakan. Sesi ini adalah melibatkan ahli-ahli keluarga yang baru telah diberi peluang dan ruang untuk memperkenalkan diri selain memberi peluang kepada ahli keluarga sedia ada untuk lebih mengenali ahli keluarga yang baharu.


Majlis makan malam keluarga - dimulai dengan bacaan doa yang dipimpin oleh Din


Makan malam dengan memastikan semua ahli keluarga pakai baju family yang disediakan :p


Sebelum aktiviti indoor games dijalankan


Menerusi aktiviti dan program gathering seumpama ini, kami yakin ukhuwah dan silatulrahim dalam kalangan kami akan sentiasa terjalin. Pada hari kedua iaitu hari terakhir kami 15 September 2024. Kami mulakan dengan solat subuh berjemaah di Masjid Terapung Tanjung Bungah. Program ini hanya melibatkan kaum adam sahaja. Pada awal pagi sekitar jam 5.30 pagi kami telah bersiap-siap untuk ke masjid bagi menunaikan solat subuh berjemaah. Alhamdulillah, di kesubuhan yang hening serta hujan renyai mengiringi solat subuh kami. Selesai solat subuh berjemaah, kami bergerak terus ke warung sekitar bagi mencari sarapan pagi untuk dibawa pulang. Menu kami simple saja, roti canai, kuih muih dan nasi lemak. Tea O dan kopi O menjadi menu sarapan pagi kami.

Selesai sarapan pagi, ada sebahagian dari kami melayan movie menerusi tv yang ada di ruang tamu, sementara sebahagian lagi bermain snooker/pool, ada sebahagian yang lain pula meluangkan masa dengan bersembang dan bertanya khabar dan aktiviti-aktiviti lain. Tepat jam 10.00 pagi kami sekali lagi berkumpul di ruang tamu bagi mengadakan Majlis Penutupan Program Family Gathering TAG. Semua ahli keluarga telah mula mengambil tempat dan majlis pun bermula. Dalam majlis ini diterangkan tentang program yang telah diadakan dan juga turut menyatakan hasrat untuk mengadakan Family Day tahun ini yang bakal diadakan pada tahun hadapan bagi menyediakan cukup masa kepada semua untuk bersedia. Selain itu juga, majlis ini telah disempurnakan oleh ucapan perasmian penutup oleh Sazali bin Md Ariff iaitu bapa saudara kami yang bertindak sebagai Presiden Kelab TAG.


Sebahagian ahli keluarga TAG yang menyertai program Family Gathering kali ini. Sebagi tanda semangat cintakan tanah air ini, kami mengibarkan Jalur Gemilang sempena sambutan Hari Malaysia!


Sebaik sahaja selesai, sesi terakhir adalah mengadakan sesi bergambar kenangan bersama keluarga diadakan sebelum semua ahli keluarga bergerak pulang ke destinasi masing-masing. Memandangkan masa yang ada, aku bersama keluarga kecil kami ke Lebuh Pantai dan sekitar art street untuk mencuci mata! selain itu juga, kami turut mengambil kesempatan untuk makan tengahari – Nasi Briyani Claypot di Restoran Kapitan @ Georgetown. Masakannya memang kena selera. Sekian sajalah percutian dan program family gathering kami pada bulan lalu. Insya Allah, jika ada lagi peluang untuk bonding time bersama family tentu sekali tidak akan kami lepaskan. Kami amat menghargai setiap detik bersama yang tentunya merakam memori indah dan tidak ternilai. Hingga bertemu lagi di entry akan datang!

Sekian. Wallahu’alam.

Sunday, 31 March 2024

BERBUKA PUASA DI MAMU DAUN PISANG

 

Mamu Daun Pisang, Sg Ara, Bayan Lepas, Pulau Pinang

Salam semua, selamat menjalani ibadah puasa!

Kali ni aku just nak share aktiviti berbuka puasa kitorang di luar.

Pada 28 Mac 2024 yang lalu sempena cuti umum Nuzul Quran, aku bawa family kecil kami untuk berbuka puasa di luar. Inilah kali pertama bagi puasa tahun ni kami sekeluarga berbuka puasa di luar. Dari hari pertama hingga ke 16 ramadan, berbuka dengan family hanya di rumah saja. So, aku ambil kesempatan ni untuk bawa diorang berbuka di luar. Tapi alang-alang nak berbuka di luar tu, kita cari port viral & terbaik punya. Kami decide untuk pekena selera nana tanjong! haha. 

Kebetulan, Restoran Mamu Daun Pisang ni selalu lintas di fyp facebook aku, so kami nak cuba menikmati menu masakan dari pulau mutiara ni. Lokasi restoran ni terletak di Sg. Ara, Bayan Lepas, Pulau Pinang. Ianya berdekatan dengan kem rejimen askar melayu kalau pergi. Dari selatan boleh susur ke jambatan kedua lebih mudah akses, sementara yang datang dari utara tu boleh je susur jambatan pertama masuk ke Pulau Pinang.

Wife+anak punya menu pun agak simple

Menu aku simple je. ayam goreng dengan telur rebus +papadom (tiada dlm gambar)

Ya, memang makan atas daun pisang. Keunikan di sini, restoran ni tak pakai pinggan untuk hidangan sebaliknya diganti dengan daun pisang. Pelbagai menu disediakan, cumanya kami hanya pilih menu biasa dan simple sahaja. Orang beratur jangan cakaplah. Ramai. Bagi yang berhajat nak berbuka puasa di sini, perlu buat tempahan awal terlebih dahulu. Jika tidak, tiada tempat untuk korang. Terpaksa tunggu selepas waktu berbuka untuk dapatkan tempat. Dekorasi, kebersihan tempat serta layanan adalah baik dan memuaskan. Dari segi citarasa pula, terpulang kepada masing-masing punya penilaian. Bagi aku, makanan kat sini ok saja dan tidaklah pedas sangat. Sesuai untuk budak makan. 

Background menarik selain kekemasan serta kebersihan

So, itu saja perkongsian kali ini. Wallahu alam.

Sunday, 10 September 2023

PERCUTIAN KE BUMI KENYALANG, SARAWAK

 

Dewan Undangan Negeri Sarawak

Percutian keluarga kami ke Kuching, Sarawak pada 19 hingga 23 Julai 2023 yang lalu sungguh bermakna dan memberi kenangan indah. Sebenarnya dengan percutian ke bumi kenyalang ini melengkapkan diari percutian kami apabila secara ironinya keempat belas negeri dalam Malaysia ini telah pun kami sampai. Alhamdulillah. Percutian ini telah lama kami sekeluarga rancang. Kebetulan pula, abang aku tinggal dan berkhidmat di Kuching, maka aku dan family decide untuk travel ke sana. Sarawak aku sendiri belum pernah ke sana sebelum ini. Jadi bila buat perbincangan singkat dengan orang rumah untuk ke sana, so kami decide untuk terus booking flight pada tarikh berkenaan yang kebetulannya 19hb Julai tu jatuh pada cuti umum iaitu cuti awal muharram. Selain itu juga, aku memang plan untuk bawa anak aku fia untuk merasai pengalaman menaiki kapal terbang. Dia belum pernah naik flight lagi. So dia punya excited bukan main lagi.

Percutian kami turut disertai oleh keluarga adik aku dan juga mak yang ikut sama. Kami berlepas dari Penang Airport terus ke Kuching menaiki Firefly. Pada awalnya jadual penerbangan adalah pada pukul 7.00 pagi tetapi dibuat penjadualan semula maka flight kami ditunda pada pukul 12tghari. Cuaca di Pulau Pinang pada hari itu hujan tapi alhamdulillah di Sarawak cuaca cerah dan baik. Perjalanan mengambil masa lebih kurang 2jam 15 minit dan akhirnya kami mendarat di lapangan terbang Kuching pada pukul 2.15 petang. Ketibaan kami dijemput oleh abang dan juga adik aku (diorang berlepas dari KLIA 2) dan sampai lebih awal dari kami. Di Kuching, kami menginap di Riverfront Hotel. 

Fia 1st time naik flight



Bergambar kenangan dengan berlatarbelakangkan panorama Gunung Santubong

Sebaik sahaja selesai check-in dan hantar barang ke tempat penginapan, kami sekeluarga terus ke Gunung Santubong bagi menikmati panorama yang cantik serta makan bersama keluarga di sana selain bersantai menikmati pemandangan sun set di tepian pantai. 

Makan tengahari (sebenarnya dah jam 3 petang dah pun) di restoran

Bergambar kenangan fia dan haziq (her cousin) 

Malam tu kami hanya bersiar-siar dalam bandar Kuching sahaja. Keesokkan harinya kami bergerak ke perkampungan budaya Sarawak untuk discover sarawak native and culture. Tempat dan persembahan menarik dan berbaloi untuk kami yang dari luar Sarawak untuk dipersembahkan kebudayaan pelbagai etnik di sini selain dapat mengenali dengan lebih dekat kebudayaan selain mendedahkan pada fia tentang Sarawak. Caj masuk RM 85/orang (dewasa) dan RM 55/orang. Dah datang jauh-jauh, jangan lepaskan peluang. Masuk je. Kami tiba di perkampungan budaya ini sekitar jam 10.30 pagi. Persembahan kebudayaan 2 kali/hari pada jam 11.00 pagi dan 4.00 petang kalau tak silap. Memang rezeki kami, sampai tepat waktu apabila terus masuk untuk menyaksikan persembahan kebudayaan. Time tu memang dah penuh orang ramai pengunjung dan pelancong luar dan dalam negara datang. 


Yang tengah tu adik aku dan anak dia-farzana dan yang hujung tu my beloved mom


Di sini aku ambil peluang untuk dedahkan pada anak aku fia bila melawat dari satu rumah ke satu rumah tradisional etnik Sarawak. Sekurang-kurangnya dia dapat pengalaman dan ilmu baru dalam hidup dia.

bergambar kenangan di perkampungan kebudayaan sarawak

Abang aku tak dapat join skali memandangkan sibuk dengan persiapan dan persediaan sambutan hari Sarawak yang jatuh pada 21 Julai 2023. So kami-kami jela yang mengisi masa kami di sana. Kebetulan pula, anak dia haziq demam. 

The White Barouk, Kuching ni di bawah tempat penginapan kami je, so aku lepak sini time malam

Waktu malam, kami bersiar-siar di pinggiran sungai sarawak ni yang orang ramai penuh di kawasan ni hinggalah ke jambatan Darul Hana. warung dan kedai makan selain persembahan band yang menyanyi lagu-lagu bagi menghiburkan pengunjung.

Apa barangan yang dibeli dan dicari

Sebenarnya sebelum aku ke Sarawak ini aku memasang impian untuk mencari dan mendapatkan barangan untuk dibeli dan dibawa pulang sebagai tanda kenangan;

1. Kek Sarawak - Semestinya lah bila sampai di sini benda yang patut dibeli adalah kek sarawak. Yang tu kami beli dan borong untuk di bawa pulang.

2. Souvenir - Keychain dan fridge magnet, memang asal jumpa je beli. Untuk dibawa pulang kepada sanak saudara dan rakan taulan tanda ingatan.

Barangan yang ada dalam list, tapi just simpan dalam hati

1. Tikar Sarawak - dah jumpa, tapi harganya pula harga kayangan😂. Tapi yelah kan nak menganyamnya tu bukannya senang. Dh over budget so, terpaksalah aku tengok jela.

2. Congkak perahu - puas mencari tak jumpa. Last sekali jumpa jugak. Bila dah berkenan, penjual pula tak sediakan perkhidmatan untuk bungkus dan bila bagitau nak bawa balik ke semenanjung, dia kata risiko patah. Memandangkan kotak semua xada, so xjadi lah beli. (satu hari jika aku ke sana, insya Allah aku akan beli jugak)

3. Parang Ilang - Akhirnya aku jumpa parang ilang ni di perkampungan kebudayaan sarawak. Ada dijual, harganya pula boleh tahan. Tapi bila adik aku suruh aku fikir 2-3 kali tentang 'membazir' so aku xjadi beli. hahaha.

Makanan yang dicuba di Sarawak

Setiap pagi kami breakfast di lokasi berbeza dan makan tengahari serta makan malam juga di tempat yang berbeza. Minum dan makan pagi kami ada mencuba di Rumah Kopi,dalam bandar kuching. Memang menarik. Antara makanan yang aku makan di Kuching ini, of course lah Mee Kolok. Selain itu, aku juga try order nasi goreng terubuk masin ni. Memang sedap!

Nasi goreng ikan terubuk. Memandangkan ianya merupakan signature dish dekat sini (nama kedai aku dah lupa..haha)

Fort Margherita, Kuching

Di atas Fort Margherita, Kuching

Percutian kami turut melawat ke tempat-tempat bersejarah seperti di Fort Margherita, Kuching. Bangunan ini terletak di seberang sungai yang dijadikan kubu suatu masa dahu semasa zaman awal pemerintahan raja brooke. Sejarah pemerintahan keluarga brooke atau rajah putih di Sarawak serta tinggalan artifak serta manuskrip lama turut dipamerkan di sini.

Makan malam di Pullman Hotel, Kuching

Bergambar di tugu kucing di tengah bandar Kuching ini satu kemestian sebagai tanda kami telah menjejakkan kaki di bumi kenyalang

Sebelum kami berlepas pulang keesokkan harinya, hari ini kami hanya bersiar-siar di kawasan bandar Kuching sahaja termasuk ke Muzium Borneo, Kuching. Muzium ini sangat disyorkan kepada sesiapa yang berkunjung ke sini. Memang menarik. Kebetulan kami masuk ke sana percuma memandangkan sambutan hari sarawak maka tempat ini dibuka secara percuma kepada orang ramai.

Level paling atas sekali (tingkat 5 kalau tak silap) dalam Muzium Borneo

Setelah 5 hari 4 malam kami di Sarawak, masanya untuk berangkat pulang. Flight kami jam 9.40 pagi. Berlepas dari Kuching terus Pulau Pinang. Travel ke Sarawak memang menyeronokkan dan pastinya ia mewarnai pengalaman di dalam hidup kami sekeluarga dan pastinya merakam memori-memori indah sepanjang di sana.

Hingga berjumpa lagi dilain waktu

Percutian bersama keluarga mcam ni pada aku sangat penting. Disamping healing ke apa, pada aku inilah masanya untuk kita meluang masa yang berkualiti bersama keluarga dan insan-insan yang kita sayang. Pastinya ia akan merakam kenangan indah dalam hidup ini. Insya Allah, jika dikurniakan rezeki masa depan, aku plan untuk melancong ke tempat lain pula termasuk ke luar negara.

Jumpa lagi, bye!


Monday, 10 October 2022

Nasi Kandar Imigresen & Masjid Kapitan Kling, Penang

 



Salam semua! Setelah beberapa ketika lamanya aku tak update blog ni dek kerana kekangan masa akibat tuntutan kerja, hari ini aku kembali menulis di sini.

Kali ini aku just nak kongsi berkenaan minggu lepas punya cerita kami di Penang. Hari sabtu lepas aku, isteri dan anak ke Pulau Pinang dengan misi mencari nasi kandar. Nasi kandar kali ini aku cuba iaitu Nasi Kandar Imigresen dekat dengan Chulia Street. Lokasi warung nasi kandar ni juga berdekatan dengan Masjid Kapitan Kling tau. Warung ini dibuka sejak 9 pagi hinggalah ke pukul 7 malam. Kebetulan kitorang sampai dalam jam 6.45 petang. Memang dah lewat dah, diorang pun tengah mengemas barang untuk tutup kedai. Ada la tak sampai 10 orang customer macam aku jugak yang beratur untuk nikmati nasi kandar di sini.

Sebenarnya, beberapa bulan lalu aku dan family pernah cuba nak singgah kat sini waktu tengah hari, tapi macam biasalah, punya penuh orang beratur dan penuh tempat parking jadi penyudahnya kami tak jadi singgah ke sini. Tetapi kali ni, kami datang lagi untuk mencuba dan alhamdulillah rezeki kami dapat mencubanya di sini. 

Nasi separuh dan seketul ayam goreng untuk anak aku

Seketul ayam goreng dan telur rebus aku punya menu


Agak menarik dan sedap makan kat sini. Berhampiran dengan warung ni ada satu lagi kedai Nasi Kandar iaitu Nasi Kandar Beratur. Tapi kedai ni mula dibuka bermula jam 10 malam. Tak dapatlah kami mencubanya di sana. Maybe lain kali. Apa yang menarik ketika makan di nasi kandar yang aku pasti tak ramai dikalangan kita menghayati atau menikmati 'persembahan percuma secara langsung' ketika mamak tu sedang menghidangkan makanan atau menceduk menu pilihan kita ke dalam pinggan. Ini merupakan satu seni persembahan yang menarik jika kita menghayatinya.

Bergambar dulu, itu aktiviti wajib 

Disini aku sisipkan video pendek ketika mamak nasi kandar sedang menyediakan menu pilihan kepada pelanggan. (Tapi oleh kerana kami sampai lewat, menunya juga hanya sedikit tinggal tak seberapa. Cuba bayangkan kalau menunya masih berlambak, lagi menariklah persembahan 'teater percuma' yang dapat kita saksikan)

Persembahan 'teater percuma' dapat disaksikan pengunjung

Masjid Kapitan Kling

Selesai kami nikmati nasi kandar, kami seterusnya singgah ke Masjid Kapitan Kling untuk selesaikan solat maghrib. Keindahan rekabentuknya dan ketenangan ketika melihat dan berada dalam masjid ini dapat dirasai. Di dalam perkarangan masjid ada satu papan tanda menyatakan tentang sejarah masjid ini yang telah dibina sejak berabad lamanya. 

Pintu masuk Masjid Kapitan Kling

Sebaik sahaja selesai, kami mula bergerak pulang. Sejujurnya, Pulau Pinang merupakan antara tempat yang aku suka berkunjung yang tidak pernah merasa jemu. Pulau Pinang bukan sahaja suasananya, bahkan sangat popular dengan syurga makanan di sini serta tempat-tempat menarik yang boleh dikunjungi.

Jumpa lagi di entry akan datang ya! bye.

Sunday, 26 September 2021

LUANGKAN MASA BERSAMA KELUARGA

 

lake garden Taiping, Perak

Setelah sekian lama berkurung sahaja di rumah akibat daripada pandemik covid-19 yang melanda, pengumuman kerajaan bahawa pembukaan sektor-sektor-sektor ekonomi dan juga sosial secara berperingkat, maka aku mengambil kesempatan untuk membawa keluarga kecil kami untuk bersantai dan riadah di tempat yang dekat je dengan rumah iaitu Lake Garden Taiping atau Taman Tasik Taiping. 



Bawa anak berehat dan melihat keindahan alam yang menenangkan boleh membuat minda kita terasa sangat lega dari semua keletihan dan juga memberi ketenangan. Ceritanya hujung minggu lepas aku bawa keluarga aku pergi ke lake garden Taiping. Kawasan ini banyak memori. Ingat lagi masa aku form 4, masa tu ada ujian kecergasan untuk memasuki sekolah perantisan askar masa tu yang dibuat di SMK King Edward dan selepas selesai, aku bersama kawan-kawan pergi bersiar-siar di kawasan lake garden ni dan tentunya kami masuk zoo taiping yang menjadi tarikan pelancong luar dan dalam negara hingga ke hari ini.

orang ramai mengambil kesempatan untuk beriadah di sekitar taman tasik taiping

fia seronok sangat dapat berjalan-jalan di sini


Setiap kali aku ke Taiping hingga ke hari ini, mesti akan meronda kawasan taman tasik ni. Bagi aku, kawasan ni menenangkan dengan pemandangan yang cantik serta menenangkan dengan keindahan alam. Dulu-dulu semasa ingin mengambil ujian memandu kereta dan motor pun di kawasan taman tasik ni lah antara route ujiannya dengan pihak JPJ. 

Pelbagai aktiviti boleh dilakukan di sini, antaranya boleh melawat zoo, boleh berbasikal mengelilingi kawasan tasik ini. Selain itu juga, aktiviti beriadah dan berkelah seisi keluarga juga sesuai dan memang ramai pun yang berkelah di sini. Malah ada yang memasang khemah untuk menikmati suasana 'camping' terutama yang membawa anak kecil masing-masing ke sini. Terdapat juga aktiviti seperti berjalan kaki dan berjogging mengikut trek yang disediakan oleh pihak berkuasa tempatan sambil menghirup udara nyaman dan juga melihat keindahan tasik. Disamping itu juga akiviti di air seperti berkayuh sampan atau kayuh itik tu masih belum dibuka lagi memandangkan ianya masih belum dibenarkan untuk fasa kali ini. Mungkin selepas ini akan dibenarkan dengan SOP yang ditetapkan.

Apapun aktiviti, luangkan masa bersama keluarga. Bagi aku dan isteri yang bekerja, masa yang terbatas akan digunakan sebaiknya bersama keluarga terutama anak kami yang sedang meningkat usia. 'Quality time with family' kata orang putih. Kerana masa yang berlalu akan terus pergi meninggalkan kita. Antara perkara yang tidak boleh dibeli atau ditebus adalah masa. Jadi, nasihat pada diri aku dan juga semua, hargailah masa bersama orang yang tersayang sementara diberi kesempatan bersama di dunia ini. Luangkan masa bersama mereka walau sesibuk mana pun kita. Moga kita semua berada di dalam rahmat Allah swt hendaknya. 

Wallahua'lam.


Friday, 13 August 2021

MINAT RANCANGAN BERKAITAN TRAVEL DI TV

 Assalamualaikum semua,

Saja nak share  sejak-sejak pintu sempadan negara ditutup akibat pandemik COVID-19, terasa rindu pulak nak travel ke luar negara. Dah hampir 2 tahun tak ke mana. Bukan sahaja ke luar negara, bahkan melancong dalam negara pun risau. Yela, wabak yang tak nampak ni kan. 

Hanya melihat kembali gambar-gambar lama yang ke sana-ke sini saja lah pengubat rindu dan menggamit memori. Tapi kan, aku pun tak tau kenapa, sejak akhir-akhir ini aku suka sangat tengok rancangan di tv berkaitan travel ni. Sebenarnya rancangan-rancangan tu dah lama tapi tetap suka tengok. Nasibla astro ni buat rancangan dan ulang-ulang. Contoh yang aku rajin tengok sekarang macam Jejak Jepun Jihan dan Curi-Curi Cuti. 

Padahal dulu tak rajin pun nak melayan program macam tu. hehehe.. Tapi sekarang memang aku layan. Terpesona tengok panorama dan tempat-tempat diorang pergi tu. Menarik sangat. Enjoy la pulak melayan.haha

Bila agaknya pintu sempanan negara bakal dibuka ye? Terasa apabila suatu hari nanti dunia sudah bebas daripada cengkaman covid-19 nanti, insya Allah kalau ada rezeki lebih nak bawa anak isteri travel ke luar negara. 

k, see you guys! bye.

Monday, 2 August 2021

ANNIVERSARY KAMI YANG KE-7

 

moga bahagia hingga ke syurga

1 Ogos 2014, merupakan tarikh keramat di mana aku dan dia buat keputusan besar dalam hidup kami untuk mendirikan rumah tangga dan berkongsi kehidupan bersama. Tarikh itu merupakan tarikh kami diangkat nikah dan sah bergelar suami isteri. Alhamdulillah, dah 7 tahun usia perkahwinan kami dan dikurniakan seorang anak. Sepanjang tempoh itu juga, pelbagai suka duka dilalui dan diharungi bersama. Terima kasih sayang atas segala pengorbanan dan penuh sabar melayan karenah dan perangai saya sepanjang mula berkenalan, bertunang dan akhirnya menjadi suami isteri.

Didoakan semoga kita kekal bahagia dan dirahmati Allah swt hingga ke syurga. 

Wednesday, 1 June 2016

Kenduri Aqiqah, Tahlil arwah & kesyukuran serta menyambut ramadhan

Assalamualaikum dan selamat petang!

Syukur kehadrat Allah swt kerana segala perancangan untuk melangsung majlis kenduri aqiqah, tahlil dan kesyukuran serta menyambut ramadhan telah selasai diadakan pada 29 Mei 2016 di kediaman keluarga kami, Selama Perak. Alhamdulillah, majlis berjalan lancar walaupun pada awal paginya hujan turun dan mendung turut sikit sebanyak mencemaskan perasaan kami sekeluarga namun akhirnya cuaca kembali cerah dan menyebabkan kehadiran tetamu ke majlis ini adalah sepertimana yang dirancang.

Bermula dari hari sabtu lagi, kesibukkan bermula apabila kaum keluarga yang sampai ke rumah untuk membuat persiapan majlis. Pagi sabtu, sembelihan arnab dimulakan. Sebanyak 20 ekor telah disembelih dengan pisau sembelihan yangdi'order' khas dari kota belud sabah. Dah sembelih kena lapah dan kerja-kerja proses seterusnya telah memakan masa hingga ke jam 3 petang apabila ianya bermula pada jam 11 pagi. Mujurlah Pakngah aku sampai, boleh bantu untuk percepatkan proses arnab. Jam 4 petang pula, aku bergegas bersama pakcik ke tempat sembelihan kambing untuk tujuan aqiqah pula di Selama, Kedah. Alhamdulillah proses disana berjalan lancar. Besar jugak kambingnya dan cukup umur. Kambing seberat 34 kilogram dengan harga RM 24/kg.

Ucapan terima kasih dipanjangkan juga kepada semua yang membantu dalam menjayakan majlis ringkas ini. Mudah-mudahan semuanya akan mendapat rahmat serta keberkatan daripada Allah s.w.t. Wallahu allam.

Sunday, 14 February 2016

Kepada peminat arnab!

Assalamualaikum to all,

kepada korang yang berminat untuk membela arnab, ini berita baik untuk korang. Disini aku nak inform yang adik aku nak jual arnab-arnab dia kepada sesiapa yang berminat. Walaupun dia punya arnab dan dah publish pun kat FB dia dan kawan-kawan dia, aku amik inisiatif untuk turut masukkan dalam blog aku kepada korang semua. Sebab dia nak jual kerana terlalu banyak sangat. Maklumlah arnab ni bila dah membiak cepat pulak dan banyak. Sekali beranak je kurang-kurang pun 4 ekor. So kepada yang berminat, bolehla tinggalkan maklumat anda diruangan komen atau terus hubungi adik aku untuk beli arnab-arnab tu.

Kandang arnab

Arnab dewasa

Tu arnab yang masih kecil
kepada yang berminat boleh tinggalkan komen anda di sini.

Saturday, 24 August 2013

Insurans Perlindungan

Seperti biasa aku mulakan dengan salam dan selawat kepada nabi s.a.w dan memanjatkan rasa syukur kepada Maha Pencipta yang masih memanjangkan umurku hingga saat ini dan mesih meneguhkan hati dan imanku kepada agama Islam. Mudah2an nanti jika diizinkan Allah, akan ku mati dalam agama suci ini, insya Allah.

Bukan senang aku nak update blog-blog aku sekarang nih. Maklumlah, sejak kebelakangan nih, memang banyak sungguh keja yang terpaksa dibuat. Kalau tengak pada rakan blogger lain, diorang memang boleh dikatakan blogger yang aktif dengan entri-entri terbaru diorang. Aku nih boleh dikatakan blogger yang hanya update bila punya kesempatan macam sekarang nih. (sebelum masuk bilik air mandi dan persiapan solat maghrib),,hihi..

Kawan-kawan, di sini aku nak update sikit pasal insurans perlindungan. Ya, aku sedar yang tajuk ni bukanlah suatu benda baru, memang dah agak season dah pun,, hihi.. tapi aku nak tulis jugak. Cerita pasal insurans perlindungan diri. Tanggal 14.08.13 lalu, aku nekad untuk ambik insurans perlindungan diri. Kesedaran ini muncul sebab lihat ramai kawan-kawan dan saudara-saudara aku yang banyak jatuh sakit atau kemalangan tapi xpunya cukup kewangan untuk biayai kos perubatan. Akibatnya, mereka terpaksa dapatkan rawatan di hospital kerajaan yang dilihat agak kurang memuaskan dari segi treatment.

Jadi, hasil keputusan ini, aku amik untuk diri aku bukan dengan niat untuk dapat sejumlah wang jika aku ditimpa musibah, tapi untuk persediaan jika aku ditimpa musibah. Perbetulkan niat untuk ambik insurans. Ramai yang masuk insurans rasakan diri mereka dah pun selamat dari segala-galanya. Salah tu. Ini semua ketentuan Allah swt. Ramai jugak yang masuk insurans nih kerana dah pun target untuk dapatkan sejumlah wang yang banyak bila sakit atau sebagainya. Jika anda telah amik insurans dengan niat yang macamni, jangan mengeluh suatu hari nanti kenapa penyakit datang silih berganti pada anda!! Bukankah niat akan menterjemahkan tindakan?, jadi tanya diri soal iman masing-masing. Sebab itu, aku bila nekad amik insurans, bukan kerana berharap untuk dapatkan duit atau keuntungan, tapi niat untuk dapat ringankan kos rawatan jika ditakdirkan suatu hari nanti aku jatuh sakit atau sebagainya. Jika tidak, aku pohon supaya Allah peliharalah kesihatanku agar dapat terus menjadi hambanya yang bersyukur dan beriman kepadaNYA insya Allah.

Oh ya,, mungkin ada yang bertanya syarikat insurans mana yang aku pilih? hehe,, aku masuk Great Eastern Takaful. Untuk makluman, masa Great Eastern Takaful nih melaksanakan sistem konvensional, aku dah pun masuk waktu tu. Seingat aku masa aku keja swasta lagi, sekitar tahun 2007 macam tu. Tapi, aku berenti setahun kemudian sebab rasakan yang insurans tak penting waktu tu. ya lah, kan masih muda remaja lagi,,hehe.. tapi sekarang, alhamdulillah, bila dah beralih pada takaful, lagipun pengalaman kawan-kawan dan saudara-mara, menginsafkan aku. Aku sedar tak punya banyak wang untuk mendapatkan rawatan di hospital-hospital pakar swasta yang menelan kos puluh-puluh ribu misalnya, jadi aku pilih untuk sertainya. Lagipun, dengan takaful nih dijalankan secara islam dan dikeluarkan zakat pula, lebih meyakinkan aku kepadanya.

Buat kawan-kawan yang masih belum masuk mana-mana insurans, buatlah pilihan tepat dan yang penting, mengikut syariat islam. Insya Allah.

Tuesday, 8 May 2012

07.05.12 :Genap 20 Tahun Pemergian Abang Sulung Saya

Alangkah baiknya jika masa itu boleh diundurkan semula. Boleh jadi jika keizinan itu diberi, pasti akan saya gunakan sebaiknya untuk memastikan segala upaya untuk membolehkan sebarang penawar baik mengubati penyakit yang dihidapi oleh arwah abang tersayang suatu masa dahulu. Tapi, semua itu sudah berlalu. Beliau pergi meninggalkan kami buat selama-lamanya. Allahurobbi..

Sedihnya perasaan itu buat seluruh keluarga sangat tidak terhingga, sehinggakan tidak tergambar dengan kata-kata, melainkan mengenangkan kami masih berpegang pada ajaran agama yang mengajar erti terima ketentuan dengan pasrah dan reda.

Mohd Isma Hafiz bin Ishak seorang abang sulung kepada kami 5 beradik yang telah kembali kerahmatullah pada 07 mei 1992 akibat penyakit denggi berdarah. Ketika itu umurnya baru berusia 10 tahun. Kehilangan ini membuat seluruh keluarga kami pilu mengiringi pemergiannya. Tak sangka begitu cepat abang meninggalkan kami. Belum sempat cita-cita dan angan-angan yang sama-sama diungkapkan bersama dicapai tapi abang telah pergi dulu menghadap Illahi. Tinggallah kami yang belum pasti bilakah pula untuk kami menyusuli jejak berkenaan ke alam yang kekal di sana.

Ketahuilah bahawa, walaupun telah 20 tahun berlalu, belum pernah sekali pun saya mahupun keluarga kami melupai abang dan pastinya kami sentiasa terkenangkan abang. Boleh jadi, inilah yang dipanggil kasih sayang..

Mudah-mudahan, rohnya ditempatkan dikalangan para solehin dan semoga dicucuri rahmat hendaknya. Amin,

*mood ketika ini, sangat merindui abang... memohon keizinan Allah s.w.t agar suatu ketika nanti agar dieprtemukan kita sekeluarga di sana di bawah lembayung dan rahmat Allah Maha Pencipta dan Pengasih lagi Maha Penyayang, amin.