Thursday 31 October 2024

PERTANDINGAN MENULIS ESEI BAHASA MELAYU ANJURAN BERSAMA KPKM & DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA

 

Sempena bulan kemerdekaan negara yang lalu, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) telah menganjurkan satu pertandingan dengan kerjasama daripada pihak Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) iaitu menulis esei dalam bahasa melayu yang bertemakan ‘Bahasa Jiwa Bangsa’. Pertandingan ini terbuka kepada seluruh kakitangan dalam kementerian, jabatan dan agensi di bawah KPKM.

Aku tergerak untuk menyertai pertandingan ini. Tujuan penyertaan ini adalah untuk mengasah semula pemikiran selain mahu melibatkan diri dalam penulisan. Sebenarnya, terakhir kali menulis artikel adalah kira-kira dah hampir 10 tahun ditinggalkan. Dulu, aku sering menyumbangkan artikel di Majalah Transformasi Pertanian, keluaran LPP yang akan diterbitkan setiap bulan. Namun, kemudiannya, penerbitan majalah berkenaan tidak lagi dkeluarkan hingga kini. Bila dah lama ditinggalkan, banyak kosa kata serta struktur ayat yang dah berkarat. Aku kagum melihat penulisan-penulisan di media sosial khususnya di Facebook yang mengupas tentang sesuatu isu. Bukan pada isunya, sebaliknya melihat akan tertib dan ayat yang tersusun selain penggunaan bahasa yang tepat serta kosa kata yang kaya dengan makna dan indah.

Berbalik kepada pertandingan di atas, sejujurnya aku tidak menaruh sebarang harapan untuk muncul sebagai pemenang. Hal ini kerana, aku sedar penyertaan dalam pertandingan peringkat kementerian adalah secara terbuka bukan sahaja LPP bahkan pasti akan disertai oleh seluruh jabatan dan agensi dalam kementerian. Tentunya bukan mudah. Aku pula hanya inginkan pengalaman memandangkan ianya turut bakal diadili oleh DBP. Oleh kerana DBP menjadi penganjur bersama, dengan penyertaan ini ianya akan dapat menguji sejauhmana tahap penulisan yang bakal dinilai oleh badan yang profesional tentangnya. Disamping itu juga, melalui penyertaan ini sekurang-kurangnya akan dapat sijil penyertaan.

Namun, rezeki tidak pernah salah alamat. Baru-baru ini, keputusan pertandingan telah dikeluarkan. Betapa terkejutnya aku kerana telah dipilih sebagai salah seorang daripada pemenang kepada pertandingan kali ini. Syukur alhamdulillah. Walaupun, sekadar mendapat tempat ke-6, dengan hadiah saguhati namun ianya cukup bermakna buat aku secara peribadi. Keputusan pertandingan menulis esei ini dimenangi  seperti berikut;

        tempat pertama         : Jabatan Pertanian Malaysia (DOA)

        tempat kedua            : Jabatan Pertanian Malaysia (DOA)

        tempat ketiga            : Jabatan Pertanian Malaysia (DOA)

        3 PEMENANG SAGUHATI

        tempat keempat        : Lembaga Kemajuan Pertanian Muda

                                          (MADA)

        tempat kelima           : Jabatan Perikanan Malaysia (DOF)

        tempat keenam         : Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP)




Tahniah kepada semua pemenang! Semua pemenang akan mendapat hadiah berupa wang tunai beserta sijil penyertaan. Menerusi kemenangan ini, ianya secara tidak langsung akan menyuntik semangat untuk aku terus memperbaiki penulisan terutama dari segi gaya bahasa, kreativiti, teknik penulisan dan sebagainya pada masa depan. Jika ada lagi kesempatan, ruang dan peluang pada masa akan datang, Insya Allah aku akan sertai lagi. Bukan untuk mengejar hadiah yang ditawarkan menjadi keutamaan, sebaliknya ingin menimba pengalaman serta memenuhi hasrat dan minat dalam bidang penulisan yang ingin terus diterokai.

Sekadar itu sahaja perkongsian kali ini, bertemu lagi pada entri yang akan datang insya Allah.

Wallahu’alam.

Sunday 6 October 2024

TRIP OFFICE KE SABAH 06 - 08 SEPTEMBER 2024

 

berlatarbelakangkan puncak gunung kinabalu

Sabah antara negeri yang bagi aku kaya dengan aset pelancongan dan cantik untuk dilawati. Selain daripada pelbagai tempat yang boleh dikunjungi, ianya juga mempunyai kebudayaan serta dialek yang sedikit berbeza jika dibandingkan dengan semenanjung. Pada 06 September yang lalu, office aku ada trip ke Sabah. Walaupun trip ni hanya 3 hari 2 malam sahaja, tapi bagi aku ianya cukup bermakna. Oleh kerana trip singkat ini, kami memilih untuk berada disekitar Kota Kinabalu, Kundasang, Ranau dan kembali semula ke Kota Kinabalu sahaja. Sebenarnya, lawatan ini adalah sebagai penghargaan kepada semua kakitangan yang telah bertungkus lumus bagi menjayakan semua program dan aktiviti yang telah kami sama-sama laksana.



Perjalanan kami bermula pada malam 5hb dan flight kami pada awal pagi 06hb September jam 7.15 pagi dari kl terus ke kota kinabalu. Penerbangan mengambil masa 2 jam 30 minit untuk sampai dan syukur alhamdulillah kami berjaya mendarat dengan selamat di KKIA. Ketibaan kami disambut oleh agen pelancongan yang dilantik iaitu brother Jenggotman. Beliaulah yang akan menemani kami sepanjang kami berada di Sabah. Lokasi pertama kami adalah melawat salah satu projek usahawan di bawah seliaan ppk inanam yang mengusahakan kerepek ubi dan pisang. Selepas selesai lawatan, kami seterusnya menuju terus ke salah satu restoran di kawasan berhampiran untuk menikmati hidangan makan tengahari. Restoran ini kebetulannya merupakan restoran yang mengusahakan masakan tengahari dari kelantan, dan pelbagai lauk pauk disediakan.

Di Rumah Terbalik, Tamparuli


Kemudiannya, kami meneruskan perjalanan ke Rumah Terbalik. Tiada banyak perubahan di sana, kecuali ada infra dan kemudahan-kemudahan dan naiktaraf dilakukan di kawasan ini. Sebenarnya, untuk rekod aku datang ke Sabah termasuk trip kali ini sudah 4 kali secara peribadi. Kami seterusnya mahu menuju ke Kundasang dan dalam perjalanan itu kami sempat singgah di Jambatan Gantung Tamparuli bagi menghirup udara segar dan melihat keindahan alam sambil melayan permainan alat muzik tradisional yang dipersembahkan oleh anak-anak muda kampung berkenaan. Menarik.



Kami berkesempatan melintasi sungai dengan menggunakan jambatan gantung tamparuli. Sebaik sahaja selesai, kami bergerak menuju ke pekan kundasang dan kami akan bermalam di sana. Kami singgah di pekan nabalu bagi menunaikan solat jamak asar dan zohor selain berjalan sambil mencuci mata dan jika berkenaan boleh beli cenderahati buat kenangan ke atas barangan kraf yang dijual di sana. Orang kata kalau datang ke Sabah jangan lepaskan peluang untuk mencuba buah tarap atau terap. Rezeki kami di pekan nabalu ada dijual buah berkenaan. Kami mencubanya dan rasanya sedap. Masam manis macam sedikit rasa cempedak dan nangka. Satu lagi kami mencuba juga buah durian dalit. Ada 2 jenis dalit. Ada colour isinya merah dan satu lagi isi kuning. Bagi isi merah, seakan tiada rasa. Bagi colour kuning rasa durian dapat dinikmati. Bagi orang Sabah, dalit merah itu biasanya akan dimasak untuk dimasukan dalam masakan.



Setibanya kami di pekan kundasang. Kami menikmati makan malam di sana. Suasana dan suhunya sejuk dan segar. Kami kemudiannya diingatkan agar membeli sedikit makanan untuk kudap-kudap memandangkan di kawasan tanah tinggi dan sejuk seperti kundasang ni perut akan cepat terasa lapar. Difahamkan tempat penginapan kami merupakan tempat yang paling tinggi di kawasan ini iaitu berhampiran kawasan Desa Dairy Farm. Ketinggian gunung kinabalu sekitar 4,095kaki dari aras laut, sementara tempat penginapan kami pula sekitar 2000 kaki. Alhamdulillah juga, tempat penginapan kami ini direzekikan adalah paling hampir dengan gunung kinabalu dan dapat panorama sun rise serta kinabalu jika cuaca mengizinkan. 

Kinabalu menjelmakan wajahnya. Gambar diambil dari tempat penginapan kami

Desa Dairy Farm, Kundasang Sabah




Keesokkan paginya selepas kami bersarapan pagi, kami ke desa dairy farm. Antara tempat tumpuan pelancong. Ramai orang ke sini. Cuaca baik pagi ini, dapatlah kami melihat puncak gunung kinabalu dari jarak dekat. Selepas itu kami ke Ranau, di sungai moroli untuk fish massage dan seterusnya ke Sabah Tea. Kemudiannya kami bergerak ke pekan Ranau untuk menikmati makan tengahari sebelum bergerak ke Kota Kinabalu. Sebaik tiba di Kota Kinabalu, kami ke Masjid Ar-Rahman, bergambar kenangan di hadapan bangunan Yayasan Sabah yang menjadi bangunan ikonik negeri di bawah bayu ini dan kemudiannya terus ke medan selera ikan bakar berhampiran pasar sinsuran. Makanan kat sini memang best. Rumpai laut atau latok memang menu wajib try bagi sesiapa yang datang ke Sabah. Makan malam sambil menikmati sunset memang mengasyikkan. Sebaik saja check-in hotel, jam 8.30 malam kami keluar ke pasar malam api-api. Orang ramai memenuhi ruang. Termasuk juga sambil menyaksikan buskers yang membuat persembahan.

Bangunan Yayasan Sabah - bangunan ikonik negeri Sabah


Menikmati sunset 


Hari terakhir dimulakan dengan bersarapan pagi di hotel dan destinasi pertama kami adalah membeli belah di sekitar kota kinabalu iaitu di pasar filipina, pasar besar KK (bagi yang ingin membeli makanan laut untuk dibawa pulang), Jamilah jewels. Selepas makan tengahari di sembulan, kami menuju ke destinasi berikutnya iaitu di Kingdom of chocolate, yang mempunyai ladang koko dan diproses untuk dijadikan chocolate. Mendapat permintaan yang tinggi dari dalam mahupun di luar negara. Bagi aku, industri tanaman koko merupakan antara komoditi yang dijalankan di negara kita suatu masa dahulu. malah bukan itu sahaja, negara ini juga sebelum merupakan antara negara pengeluar koko. Agensi turut ditubuhkan untuk mengawalselia industri koko iaitu Lembaga Koko Malaysia. Tetapi kini, tanaman koko sudah terlalu sedikit diusahakan di negara ini sedangkan kita semua tahu permintaan terhadap chocolate amat tinggi dipasaran dunia. Sesuatu perlu dilakukan terutama dengan pihak terlibat memikirkan bagaimana untuk memajukan semula tanaman koko agar Malaysia kembali mengungguli industri ini. Sebelum berangkat pulang, kami ke pantai tanjung aru menikmati bayu laut china selatan.


di Kingdom of chocolate



Flight kami untuk berlepas dari Kota Kinabalu ke KLIA dijadualkan pada jam 9.20mlm. Kami tiba di KLIA pada jam 12tgh malam. Terus bergerak pulang. Percutian singkat tapi padat dengan aktiviti serta merakam kenangan untuk dikenang selamanya. Insya Allah jika ada rezeki pada masa depan, kami merancang untuk ke tempat lain pula.

Sekian, wallahu'alam.


PROGRAM FAMILY GATHERING TAG 2024 @ TG BUNGAH, PULAU PINANG

 

Pada 14 – 15 September 2024 yang lalu, kami telah menyertai satu program anjuran keluarga besar Tok Ariff Generation (TAG) ‘family gathering’ bagi mengukuhkan lagi silatulrahim sesama kami iaitu anak cucu cicit tok ariff. Memandangkan sejak berlakunya covid-19 hingga tahun ini tiada program atau aktiviti keluarga dibuat sama ada family day atau gathering dilakukan. Ada di antara sepupu yang telah mendirikan rumah tangga dalam tempoh itu, tidak kurang juga ada yang telah menimang cahaya mata. Memandangkan kesibukan setiap warga TAG dengan tugasan masing-masing, agak sukar untuk mengatur dan menyusun program bagi melibatkan semua ahli keluarga.

Sepupu-sepupu semasa minum petang di tepi pantai


Walaubagaimanapun, kami tetap berusaha untuk memastikan kesemua ahli keluarga dapat sertai program atau aktiviti yang dianjurkan. Jika pun tidak, sekurang-kurangnya sebahagian besarnya dapat sertainya. Maka, kami merancang untuk mengadakan program ‘Family Gathering’ di Tanjung Bungah, Pulau Pinang. Tarikhnya adalah pada 14 hingga 15 September 2024 baru-baru ini sempena cuti umum pada 16 September 2024. Sengaja tarikh berkenaan dipilih memandangkan tarikh berkenaan dilihat agak sesuai memandangkan ianya adalah ‘long weekend’ yang memudahkan banyak pihak dapat meluangkan masa.


Bungalow tempat kami menginap. Fasilitinya lengkap dan baik

Taklimat awal mengenai tentatif program kepada semua ahli keluarga termasuk penetapan bilik masing-masing


Pada 14 September, bermula dengan perjalanan ke homestay yang telah disewa khas iaitu sebuah bungalow 2 tingkat di Tanjung Bungah, Pulau Pinang yang mempunyai kelengkapan yang memenuhi piawaian keluarga besar TAG untuk menghuni disana selama 2 hari 1 malam. Seramai 25 orang daripada 34 orang telah menyertai program kali ini termasuk kecik dan besar. Sementara selebihnya tidak dapat bersama memandangkan kekangan tugasan masing-masing. Alhamdulillah program yang dirancang berjalan lancar. Sebaik sahaja sampai di bungalow tempat kami menginap, ianya berdekatan dengan pantai dan juga masjid terapung di sana. Aktiviti pertama kami sebaik sahaja ‘check-in’, adalah berkumpul diruang tamu untuk mendengar taklimat yang disampaikan oleh aku sendiri tentang tentatif program sepanjang 2 hari 1 malam kami di Pulau Pinang.

Pantai berhampiran - anak-anak bermain air laut



dari kini : pakcik lie, mak, cuteh, paklang zain dan pakngah ya


Pada jam 5.00 petang hari yang sama kami bergerak ke pantai berhampiran untuk beriadah dan juga minum petang sebelum menjelang malam. Pada malam hari, satu sesi makan malam keluarga di Lan Ikan Bakar telah diatur dimana tempat kami menjamu selera. Tempatnya selesa dan makanannya pun boleh dikatakan baik juga. Selesai makan malam keluarga, kami bergerak kembali ke bungalow untuk menyambung aktiviti yang telah sekian lama dirancang. Disamping kemudahan di bungalow berkenaan yang dilengkapi dengan peralatan sukan seperti pool, sahiba, indoor games, kami juga telah membawa dan menyediakan aktiviti sukan melibatkan keluarga secara indoor games. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar. Selain itu, sesi ‘Kenali Daku’ turut diadakan. Sesi ini adalah melibatkan ahli-ahli keluarga yang baru telah diberi peluang dan ruang untuk memperkenalkan diri selain memberi peluang kepada ahli keluarga sedia ada untuk lebih mengenali ahli keluarga yang baharu.


Majlis makan malam keluarga - dimulai dengan bacaan doa yang dipimpin oleh Din


Makan malam dengan memastikan semua ahli keluarga pakai baju family yang disediakan :p


Sebelum aktiviti indoor games dijalankan


Menerusi aktiviti dan program gathering seumpama ini, kami yakin ukhuwah dan silatulrahim dalam kalangan kami akan sentiasa terjalin. Pada hari kedua iaitu hari terakhir kami 15 September 2024. Kami mulakan dengan solat subuh berjemaah di Masjid Terapung Tanjung Bungah. Program ini hanya melibatkan kaum adam sahaja. Pada awal pagi sekitar jam 5.30 pagi kami telah bersiap-siap untuk ke masjid bagi menunaikan solat subuh berjemaah. Alhamdulillah, di kesubuhan yang hening serta hujan renyai mengiringi solat subuh kami. Selesai solat subuh berjemaah, kami bergerak terus ke warung sekitar bagi mencari sarapan pagi untuk dibawa pulang. Menu kami simple saja, roti canai, kuih muih dan nasi lemak. Tea O dan kopi O menjadi menu sarapan pagi kami.

Selesai sarapan pagi, ada sebahagian dari kami melayan movie menerusi tv yang ada di ruang tamu, sementara sebahagian lagi bermain snooker/pool, ada sebahagian yang lain pula meluangkan masa dengan bersembang dan bertanya khabar dan aktiviti-aktiviti lain. Tepat jam 10.00 pagi kami sekali lagi berkumpul di ruang tamu bagi mengadakan Majlis Penutupan Program Family Gathering TAG. Semua ahli keluarga telah mula mengambil tempat dan majlis pun bermula. Dalam majlis ini diterangkan tentang program yang telah diadakan dan juga turut menyatakan hasrat untuk mengadakan Family Day tahun ini yang bakal diadakan pada tahun hadapan bagi menyediakan cukup masa kepada semua untuk bersedia. Selain itu juga, majlis ini telah disempurnakan oleh ucapan perasmian penutup oleh Sazali bin Md Ariff iaitu bapa saudara kami yang bertindak sebagai Presiden Kelab TAG.


Sebahagian ahli keluarga TAG yang menyertai program Family Gathering kali ini. Sebagi tanda semangat cintakan tanah air ini, kami mengibarkan Jalur Gemilang sempena sambutan Hari Malaysia!


Sebaik sahaja selesai, sesi terakhir adalah mengadakan sesi bergambar kenangan bersama keluarga diadakan sebelum semua ahli keluarga bergerak pulang ke destinasi masing-masing. Memandangkan masa yang ada, aku bersama keluarga kecil kami ke Lebuh Pantai dan sekitar art street untuk mencuci mata! selain itu juga, kami turut mengambil kesempatan untuk makan tengahari – Nasi Briyani Claypot di Restoran Kapitan @ Georgetown. Masakannya memang kena selera. Sekian sajalah percutian dan program family gathering kami pada bulan lalu. Insya Allah, jika ada lagi peluang untuk bonding time bersama family tentu sekali tidak akan kami lepaskan. Kami amat menghargai setiap detik bersama yang tentunya merakam memori indah dan tidak ternilai. Hingga bertemu lagi di entry akan datang!

Sekian. Wallahu’alam.

Sunday 31 March 2024

FOOD HUNTER @ TAIPING


Salam semua,

Di bulan ramadan ni disamping kita selaku umat islam sedang menjalani ibadah puasa serta berusaha melipatgandakan amalan-amalan mulia yang lain, aku ambil kesempatan ni sementelah tengah cuti pulak tu untuk update blog aku yang hampir nak bersawang dah ni. 

Sesiapa yang pernah berkunjung ke Taiping, Perak pasti akan berkunjung ke lake garden, dan makan yong tau fu di belakang balai bomba yang telah popular sejak sekian lama. Selain itu, untuk pekena cendol di bandar warisan ini tentunya Ansari Famous dan Cendol Bismilah menjadi pilihan. Sebenarnya banyak lagi tempat-tempat makan yang menarik untuk korang terokai apabila sampai di taiping. Selain tempat-tempat yang aku nyatakan di atas, ada satu tempat yang perlu korang cuba apabila sampai di taiping nanti. Port makan tu adalah di the Harmony Kitchen and Villa Taiping. 

pemandangan ni aku amik dari dalam, tempat makan

Waktu operasinya setiap hari dan mula beroperasi pada 12.30 tengah hari hingga 10.30 malam. Lokasinya terletak di atas bukit berhampiran Muzium Taiping, Mahkamah Syariah. Korang boleh cuba di sini dengan menikmati menu-menu yang menarik. Tambahan pula, rasanya juga tidak mengecewakan.

Ni nasi goreng (aku pun dah lupa namanya. Tapi antara signature menu)

Tempatnya agak ekslusif dan sesuai untuk korang yang tak suka kepada riuh rendah warung atau juga sesuai bagi organisasi untuk meraikan majlis, diorang boleh uruskan dari segi penyediaan tempat dan makanan. Tempatnya pun selesa. Dari segi harga pula boleh tahan!

Kitorang pernah buat program santai kat sini, dengan menu seperti di dalam video kat bawah



Selain itu, kalau korang nak breakfast mengimbau kenangan zaman 60-an, tentunya korang boleh cuba di Kroncong. Ianya terletak berhampiran kem tentera taiping. Menu dan dekorasi kedai juga mengikut tema zaman 50 & 60an. Menunya juga sedap dan menarik belaka. Rugi kalau korang tak cuba. Dibuka pada waktu pagi dan berakhir pada tengahari.

Kitorang order; ubi kayu, bihun sup ayam, nasi lemak sama kopi.




Sekian saja perkongsian untuk kali ini. Kalau datang taiping, jangan lupa terokai port-port makan kat sini yang tentunya menyajikan hidangan menarik dan terbaik.

Wallahua'lam.

BERBUKA PUASA DI MAMU DAUN PISANG

 

Mamu Daun Pisang, Sg Ara, Bayan Lepas, Pulau Pinang

Salam semua, selamat menjalani ibadah puasa!

Kali ni aku just nak share aktiviti berbuka puasa kitorang di luar.

Pada 28 Mac 2024 yang lalu sempena cuti umum Nuzul Quran, aku bawa family kecil kami untuk berbuka puasa di luar. Inilah kali pertama bagi puasa tahun ni kami sekeluarga berbuka puasa di luar. Dari hari pertama hingga ke 16 ramadan, berbuka dengan family hanya di rumah saja. So, aku ambil kesempatan ni untuk bawa diorang berbuka di luar. Tapi alang-alang nak berbuka di luar tu, kita cari port viral & terbaik punya. Kami decide untuk pekena selera nana tanjong! haha. 

Kebetulan, Restoran Mamu Daun Pisang ni selalu lintas di fyp facebook aku, so kami nak cuba menikmati menu masakan dari pulau mutiara ni. Lokasi restoran ni terletak di Sg. Ara, Bayan Lepas, Pulau Pinang. Ianya berdekatan dengan kem rejimen askar melayu kalau pergi. Dari selatan boleh susur ke jambatan kedua lebih mudah akses, sementara yang datang dari utara tu boleh je susur jambatan pertama masuk ke Pulau Pinang.

Wife+anak punya menu pun agak simple

Menu aku simple je. ayam goreng dengan telur rebus +papadom (tiada dlm gambar)

Ya, memang makan atas daun pisang. Keunikan di sini, restoran ni tak pakai pinggan untuk hidangan sebaliknya diganti dengan daun pisang. Pelbagai menu disediakan, cumanya kami hanya pilih menu biasa dan simple sahaja. Orang beratur jangan cakaplah. Ramai. Bagi yang berhajat nak berbuka puasa di sini, perlu buat tempahan awal terlebih dahulu. Jika tidak, tiada tempat untuk korang. Terpaksa tunggu selepas waktu berbuka untuk dapatkan tempat. Dekorasi, kebersihan tempat serta layanan adalah baik dan memuaskan. Dari segi citarasa pula, terpulang kepada masing-masing punya penilaian. Bagi aku, makanan kat sini ok saja dan tidaklah pedas sangat. Sesuai untuk budak makan. 

Background menarik selain kekemasan serta kebersihan

So, itu saja perkongsian kali ini. Wallahu alam.