Monday 25 December 2023

KOLEKSI BUKU-BUKU TAHUN 2023 DARI PERPUSTAKAAN RUMAH

 

Antara koleksi buku-buku yang dibaca tahun 2023


Sama ada sedar atau tidak kita sudah semakin menghampiri penghujung tahun 2023. Tahun ini bakal melabuhkan tirainya dalam beberapa hari lagi sebelum fajar 2024 mula menyingsing. Sepanjang tahun 2023 ini tentunya kita mempunyai pengalaman suka dan duka yang dilalui bakal terpahat kekal di dalam ingatan. Tentu sekali bagi kebanyakan orang yang mula menanam azam pada awal tahun ini, mula menilai kembali apakah azam berkenaan sudah tercapai atau belum.

Bagi aku, pada awal tahun telah memfokuskan supaya sekurang-kurangnya dapat membaca sebanyak 23 buah buku bagi tahun ini. Kini alhamdulillah, aku telah membaca 25 buah buku bagi tahun 2023. Hasil daripada kajian yang telah dilakukan oleh Perpustakaan Negara Malaysia menunjukkan bahawa budaya membaca dalam kalangan rakyat negara ini telah menunjukkan peningkatan iaitu hanya 2 buah buku/tahun bagi tahun 2005 meningkat pada tahun 2014 sebanyak 15 buku/tahun dan telah meningkat lagi bagi tahun 2022 iaitu sebanyak 24 buku/tahun. Penemuan kajian yang menunjukkan hasil positif ini membuktikan bahawa negara dan penduduknya sedang ke arah yang lebih baik terutama dalam membudayakan ilmu menerusi pembacaan.


Kajian yang dilakukan oleh Perpustakaan Negara Malaysia

Baru-baru ini aku bersama keluarga sempat singgah ke Riwayat Buku di Jalan Tun H.S Lee, Kuala Lumpur bagi melihat dan mencari buku-buku yang boleh menambah koleksi buku di "perpustakaan" rumah aku selain dapat menambah ilmu pengetahuan. Terdapat 2 buah buku yang dibeli semasa berkunjung ke sana iaitu (i) Al-Attas Psychology yang ditulis oleh Prof Dr. Muhammad Zainiy Uthman dan (ii) Mukadimah karangan Ibnu Khaldun. 


Mukadimah merupakan salah sebuah karya yang ditulis oleh Ibnu Khaldun kira-kira 600 tahun lalu dan diterjemah dalam bahasa inggeris malah kini ianya diterjemah di dalam bahasa melayu. Mukadimah mengikut karya asal mempunyai 3 jilid sebelum Ibnu Khaldun menulis kitab besarnya kemudian.





Ketika di Riwayat Buku, Jln.Tun H.S Lee, Kuala Lumpur

Antara buku yang menarik dan mencambah daya fikir adalah hasil karya daripada Syed Muhammad Naqiub Al-Attas iaitu "Islam: the covenants fulfilled". Buku ini hanya 98 muka surat tetapi penuh sarat dengan kupasan menarik berkaitan islam, para anbia dan khususnya kita selaku manusia yang dilantik menjadi khalifah di muka bumi ini. Disarankan juga kepada pembaca yang membaca buku ini untuk turut mengikuti syarah buku ini yang dikupas dan dibincangkan oleh Prof Dr. Muhammad Zainiy bin Uthman bagi meningkatkan kefahaman tentang huraiannya. 

Karya daripada Syed Muhammad Naqiub Al-Attas

Karya yang menarik ini menjadikan al-quran sebagai rujukan utama di dalam membahaskan wacana besar ini. Sangat disyorkan kepada kalian untuk membacanya.

Sekian sahaja perkongsian kali ini. Doakan agar fokus untuk aku dapat habiskan bacaan sekurang-kurangnya 24 buah buku pada tahun 2024 nanti menjadi kenyataan. Hingga ketemu lagi dilain waktu ya. 

Wallahu'alam.

(p.s: tak sabar untuk menanti pesta buku antarabangsa kuala lumpur 2024)