Showing posts with label perbincangan. Show all posts
Showing posts with label perbincangan. Show all posts

Tuesday, 21 September 2021

SELAMAT KEMBALI KE KAMPUS

Pengumuman oleh YB Menteri Pendidikan Tinggi baru-baru ini bahawa semua IPT akan mula dibuka semula dan keperluan pelajar untuk masuk semula ke kampus-kampus secara berperingkat mulai 3 Oktober 2021 ini telah memberi isyarat jelas mengenai sesi pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka dan fizikal akan bermula seperti biasa. Dikala itu juga bakal memberi semula 'kehidupan kampus' untuk dirasai oleh mereka yang bergelar pelajar sepertimana pelajar-pelajar terdahulu melalui fasa-fasa pengajian di IPT suatu masa dahulu sebelum pandemik COVID-19 melanda dunia.

Disamping itu juga, buat mereka yang telah menerima tawaran menyambung pengajian sama ada diperingkat Diploma mahupun Ijazah Sarjana Muda di universiti-universiti dalam pelbagai bidang, tahniah diucapkan. Tentunya ada yang ditawarkan bidang yang dipilih sebelum ini dan diminati tetapi tidak kurang juga buat mereka yang ditawarkan bidang yang mereka tidak pilih tetapi itu adalah muktamad. Bahkan ada bidang-bidang jurusan yang ditawarkan seolah-olah menggusarkan ibu bapa mengenai masa depan anak mereka. Nasihat saya, usah gusar dan bimbang. Dorong dan sokonglah anak anda di dalam menuntut ilmu pengetahuan. Jurusan yang diambil di universiti itu bukanlah sesuatu yang mengecewakan dan bersedih jika ianya tidak menepati pilihan kita. Bukan.

Sebaliknya, jurusan-jurusan yang ditawarkan itu perlu dilakukan dengan bersungguh-sungguh untuk memastikan kita berjaya mendapatkan tahap yang paling cemerlang dengan usaha yang sehabis baik dilakukan. Tugas pelajar adalah belajar dengan tekun. Tanpa ketekunan, segalanya akan dipersia-siakan dan menyesal dikemudian hari. Ada rakan di tempat kerja semalam bertanya pandangan kami berhubung jurusan yang ditawarkan kepada anaknya iaitu sains perhutanan. Adakah jurusan ini baik, ada masa depan atau tidak? Jawapan seorang lagi kawan mengenai persoalan itu yang saya kira cantik dan bersesuaian. Katanya "belajar dalam apa bidang pun boleh, janji kita perlu menguasai bidang itu dengan ketekunan dan bersungguh-sungguh, insya Allah kita akan berjaya!"

Saya terpanggil untuk mengulas tentang jawapan itu. Pada saya ianya terbukti benar. Apa bidang sekalipun jika kita berusaha, belajar dengan tekun dan bersungguh-sungguh untuk melakukan yang terbaik dan akhirnya kita akan muncul pelajar yang cemerlang dan terbaik di dalam bidang yang kita pelajari dan kelak kita akan berjaya. Contoh, jika seseorang itu mengambil jurusan pengajian bahasa arab di universiti. Pada dasarnya, seseorang pelajar yang mengambil jurusan ini akan hanya belajar tentang bahasa arab dan sastera sahaja. Tetapi jika pelajar ini tekun dan bersungguh-sungguh ianya boleh muncul terbaik dengan penguasaan yang cemerlang serta lain dari yang lain. Misalnya disamping penguasaan di dalam bahasa arab dia juga mahir di dalam menguasai bahasa inggeris. Ini akan menjadikannya lain dari yang lain. Demikian juga, dalam lain-lain jurusan. Jika seseorang pelajar itu mampu menonjolkan kelainannya di atas ketekunan dan kesungguhannya, insya allah dia akan berjaya. 

Sebab itu, penguasaan yang pelbagai mula diterapkan sejak di sekolah lagi. Misalnya jika kita lihat dahulunya Maahad Tahfiz atau sekolah-sekolah agama hanya menumpu kepada soal agama semata-mata sehinggakan anak-anak yang dilahirkan dari lepasan ini hanya mengetahui membaca quran dan agama sahaja. Tidak yang lain-lain. Tetapi kemudiannya, kerajaan telah mula memasukkan elemen tuntutan agama yang sebenarnya dengan memasukkan gabungan antara ilmu agama dan tuntutan agama iaitu sains dan teknologi. Maka muncullah sekolah Ulul Albab yang menggabungkan tahfiz dan sains diajar di sekolah. Melalui kaedah itu, seseorang pelajar bukan sahaja mahir menghafal quran tetapi juga boleh melahirkan jurutera, saintis, akauntan, doktor yang profesional tetapi bertunjang agama di dalam dada mereka. Ilmu-ilmu itu bukannya ilmu barat tetapi ianya merupakan tuntutan agama untuk dipelajari. 

Berbalik kepada apa jurusan sekalipun dipelajari hendaklah ditekuni sebaiknya supaya bukan sahaja untuk diri kita dan keluarga kita tetapi juga kepada negara dan agama kita. Justeru, kepada pelajar dan bakal pelajar, selamat kembali ke kampus dan menekuni ilmu dengan bersungguh-sungguh. Selamat maju jaya!


Friday, 9 July 2021

PILIHAN JURUSAN LEPASAN SPM: ADAKAH BIDANG PERTANIAN TIADA MASA DEPAN?

 PENDAHULUAN

Kira-kira dua bulan yang lalu, keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) telah diumumkan dan keputusannya telah diketahui seluruh negara bagi para pelajar yang telah menduduki peperiksaan berkenaan tahun 2020 yang terpaksa menduduki peperiksaan SPM pada awal tahun ini. Tahniah diucapkan kepada mereka yang memperolehi keputusan cemerlang. Sementara kepada mereka yang kurang cemerlang, tidak mengapa.. Jangan mudah berputus asa. 

Sudah tentu keputusan yang diumumkan itu bukan sahaja diraikan oleh mereka yang mendapat keputusan berkenaan, bahkan turut dikongsi rasa bersama-sama dengan orang yang tersayang seperti keluarga dan sahabat handai.

Seperti biasa, selepas keputusan diumumkan maka para pelajar akan mula sibuk untuk membuat permohonan untuk memasuki institusi pengajian tinggi sama ada awam mahupun swasta. Permohonan pula adalah semuanya berdasarkan kepada keputusan yang diperoleh diperingkat SPM. Namun, kepada yang kurang baik keputusannya, sudah tentulah peluang untuk mendapatkan tempat diperingkat tinggi agak tipis tambahan pula jika bidang yang dipilih pula merupakan bidang atau jurusan yang popular serta menetapkan syarat-syarat khusus untuk mengikuti pengajian berkenaan. Sebagai contohnya, bidang-bidang seperti kejuruteraan, akauntan, IT, perniagaan, pentadbiran, Farmasi, Pendidikan dan sebagainya. 

BIDANG PERTANIAN KURANG POPULAR?

Jika dibuat sampel secara rawak terhadap pelajar lepasan SPM, adakah mereka akan memohon jurusan atau pengajian dalam bidang pertanian diperingkat IPT, sudah pasti jumlahnya adalah sedikit berbanding bidang-bidang lain bukan? Malah saya pasti bahawa para pelajar lepasan SPM menganggap bahawa bidang pertanian tidak senada dengan jiwa muda mereka. Mereka membayangkan bahawa bidang pertanian membawa suatun konotasi negatif apabila merasakan bidang pertanian perlu bergelumang dengan selut dan bernas terik di bawah pancaran matahari serta miskin.

Hal ini diburukkan lagi apabila stigma masyarakat yang tidak mendedahkan kepada anak-anak mereka akan kepentingan dan prospek bidang pertanian sejak dari awal lagi. Sebaliknya, masyarakat lebih memberi konotasi negatif seperti yang dinyatakan di atas tadi. Sebagai contoh, kita akan selalu terdengar kata-kata orang yang lebih tua daripada kita atau rakan sekampung yang tinggal di kampung apabila kita bertanya khabar sesekali apabila jarang pulang ke kampung dengan soalan "apa khabar, kerja apa sekarang?" mereka biasanya akan menjawab dengan nada yang agak merendahkan kerjaya mereka seperti "macamni laa kami kerja kampung saja.." atau "alah, kerja di kebun saja".

Malah bagi ibu bapa kita juga akan berikan contoh-contoh kepada anak-anaknya untuk tekun belajar dengan ungkapan "kalau kamu malas belajar, nanti bila kamu besar kamu pegang batang cangkul saja laa". Bahkan, jika memberi contoh kepada mereka yang malas belajar nanti tiada masa depan, duduk kampung tanam jagung akhirnya meresap ke dalam minda anak-anak ini yang akhirnya menjauhi bidang pertanian dan menyangka mereka yang menceburi ke dalam bidang pertanian merupaka individu yang gagal, miskin dan tiada masa depan. Sebenarnya, bidang pertanian adalah sangat luas dan tanggapan mereka menceburi bidang pertanian dengan mengambil jurusan atau bidang pertanian semasa di universiti akan menjadi 'Petani' atau 'Peladang' sebagai tanggapan yang kurang tepat dan cetek.

SEJAUHMANA BIDANG PERTANIAN TIADA MASA DEPAN?

Jika kita amati dan sanggup berfikir sejenak dengan akal fikiran kita bahawa sejak zaman sebelum merdeka sehingga kini, bidang pertanian merupakan bidang yang sentiasa relevan sepanjang zaman! Manusia tanpa makanan akan mati kebuluran. Ketika dunia berdepan dengan pandemik COVID-19 yang sedang melanda, sektor agromakanan dilihat sangat penting kepada sesebuah negara untuk memastikan kecukupan makanan kepada penduduk dikala tindakan kerajaan di serata dunia mengumumkan 'lockdown'. Kalau kita lihat negara kita misalnya, semasa pengumuman PKP 1.0 tahun lalu sehingga kini, walaupun kebanyakan sektor terpaksa ditutup namun, sektor pertanian dan agromakanan terus diberi keutamaan untuk beroperasi sebagai 'essential service'. Selain itu juga, kita dapati kebanyakkan bidang dan sektor terjejas dengan sangat teruk akibat dampak covid ini seperti sektor pelancongan, sektor peruncitan, sektor-sektor seperti PKS, kilang-kilang, dan sebagainya malah ramai yang dibuang kerja namun, kita dapati bidang yang tidak terjejas akibat covid ini adalah PERTANIAN! harga kelapa sawit mencanak naik sejak penghujung tahun lalu sehingga ke bulan Jun dan masih kekal bertahan. Pengeluaran sayuran, buahan, ternakan, ternak-air, unggas dan sebagainya terus berjalan tanpa sekatan.

Justeru, dapatlah kita ketahui bahawa bidang yang terjamin adalah bidang pertanian. Jadi, mengapa bidang ini masih dianggap sebagai tiada masa depan? Jika sebelum ini, ramai yang berfikir bahawa bidang ini tiada masa depan, aku fikir kita perlu mula berfikir semula tentangnya setelah melihat malapetaka yang melanda hari ini saat ribuan malah ratusan ribu hilang pekerjaan tetapi bidang ini kekal bertahan.

Aku teringat masa keputusan SPM aku keluar dulu, bidang yang banyak diisi dan dimohon masa tu (isi borang manual babe time tu) yang aku apply ialah Pertanian sama ada di Universiti dan Politeknik. Sejujurnya, pilihan bidang mak bapak aku yang dorong dan arah untuk pilih pertanian. Alhamdulillah, aku ditawarkan pengajian Diploma Kejuruteraan Mekanikal (Pertanian) di Politeknik Kota Bharu masa tu. Tapi bila pergi bersama kawan-kawan ke rumah cikgu-cikgu berjalan raya sebelum kami masing-masing melanjutkan pengajian, cikgu-cikgu, jiran tetangga, pakcik-pakcik bawang akan tanya soalan sama "Dapat sambung mana?Course apa?" Bila kawan-kawan lain jawab bidang masing-masing kebanyakan respons mereka adalah "oklah tu, belajar rajin-rajin" tapi bila time aku bagitau yang aku dapat course kejuruteraan mekanikal pertanian, respons yang diterima sama mereka diam seketika, ada yang cubaa sedapkan hati dengan berkata "okla tu," tapi tak kurang juga dengan menyatakan dengan jelas dari hati nuraini mereka "Pertanian?, Pertanian is NO FUTURE". Kata-kata itu terngiang-ngiang sampai sekarang.


Tugas mulia

Sebenarnya, bidang pertanian merupakan salah satu tugas yang mulia. Apa tidaknya, menghasilkan pengeluaran makanan kepada manusia bukankah suatu tugas mulia? Namun, perlu diakui majoriti bidang ini dijalankan oleh mereka yang telah berusia. Bidang ini perlukan suntikan tenaga muda untuk menceburinya. Teknologi canggih seperti big data, IoT, Automasi, IR4.0 dalam pertanian dan pelbagai lagi bagi mendepani cabaran mendatang untuk memastikan kecukupan makanan kepada masyarakat sentiasa terjamin. Satu lagi, tidak bermakna pilih bidang pertanian ini anda perlu jadi pak tani sahaja. Bukan. Ingat, anda juga berpeluang untuk menjawat jawatan sebagai pegawai kerajaan, eksekutif, pengurus dan sebagainya sama ada di sektor awam mahupun swasta. Disini aku senaraikan antara jawatan atau bidang pertanian yang tak semestinya kamu perlu pikul cangkul macam makcik pakcik bawang ceritakan itu. 

  • Sektor Kerajaan
            - Jabatan Pertanian

            - Jabatan Perkhidmatan Veterinar

            - Jabatan Perikanan

            - Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP)

            - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA)

            - Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM)

            - Institut Penyelidikan Pertanian Malaysia (MARDI)

            - Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM)

            - MADA, KADA

            - LAIN-LAIN

  • Sektor Swasta
            - SYARIKAT-SYARIKAT PERLADANGAN (SIME DARBY, FELDA, FELCRA,                      TABUNG HAJI PLANTATION, KLK, UNITED PLANTATION, BOUSTEAD                                  PLANTATION,  GENTING PLANTATION, MALAKOFF dan sebagainya

Jika kamu mengambil jurusan Diploma Pertanian, kamu berpeluang untuk menjadi Penolong Pegawai Pertanian gred G29 di Jabatan Pertanian, MADA, KADA, RISDA dan sebagainya di sektor kerajaan. Gaji penjawat awam sekarang ini tidaklah terlalu kecil sangat tapi tidaklah semewah rakan-rakan di sektor swasta. Sementara jika kamu memilih di sektor swasta pula, mungkin kamu berpeluang menjawat jawatan eksekutif di syarikat-syarikat perladangan, dan sebagainya. Cumanya aku dapati bidang pertanian ini kurang popular kerana kurangnya pendedahan dan mungkin pengiktirafan yang selayaknya. 

Pengiktirafan

Dalam pada usaha kerajaan menghargai jasa dan pengorbanan para peladang, penternak dan nelayan kita saban tahun, Seharusnya, kerajaan perlu mula merangka untuk mengadakan satu hari sambutan untuk menghargai peranan yang dimainkan oleh para pegawai khususnya yang terlibat dalam sektor pertanian ini sebagai tanda menghargai mereka yang berdepan di lapangan termasuk membimbing dan mendidik para petani dan peladang kita dari segi aspek teknikal, khidmat nasihat dan juga ilmu pengetahuan serta kemahiran menerusi latihan. Sebagai contoh Sambutan Hari Pegawai Pertanian Malaysia atau Sambutan Hari Pegawai Peladang Malaysia. Sambutan ini sama sepertimana sambutan hari guru, hari jururawat, hari polis malah sambutan hari pustakawan juga ada disambut setiap 6hb Jun setiap tahun. Sambutan seumpama ini penting bagi menaikkan moral para pegawai supaya mereka merasakan sumbangan mereka sentiasa dihargai.

Penutup

Tiba masanya pendedahan kepada pelajar mengenai prospek bidang pertanian ini cerah dan menjamin masa depan. Kalau pun terpaksa menjadi petani, jadilah petani moden. Ramai di luar sana yang menceburkan diri di dalam bidang pertania telah berjaya walaupun tidak kurang juga ramai yang kecundang. Tetapi keazaman untuk merubah nasib dan menjadikan bidang ini penting serta dapat memastikan ianya menjadi pilihan utama masyarakat serta para pelajar akan datang harus dimulai dari sekarang. Antara usaha yang boleh dilakukan dengan kokorikulum sekolah perlu dimasukkan Kelab Pertanian Sekolah agar pendedahan diperingkat sekolah dapat dilakukan dari awal. Sementara diperingkat universiti pula, perlu diwajibkan satu pendedahan atau executive talk atau apa saja wacana kepada para pelajar universiti dengan menjemput para pegawai dalam bidang pertanian sama ada dari Jabatan Pertanian ke LPP ke MARDI ke atau Sime Darby atau Felda diberi slot untuk memberi pendedahan berguna kepada para pelajar selain memberi gambaran mengenai prospek sektor ini.

Iklan dan promosi menerusi tv, radio, media sosial dan sebagainya mengenai success story terhadap bidang pertanian dilakukan dengan lebih agresif supaya ianya dilihat sebagai satu kerjaya buruan. Kerajaan juga diseru supaya untuk mengkaji mengenai skim perkhidmatan bidang pertanian ini diangkat setingginya setaraf dengan perkhidmatan perguruan misalnya supaya menjadikan bidang ini lebih diminati oleh pelajar memilihnya.

Aku yakin, menerusi usaha-usaha menerangkan akan kepentingan dan kelebihan bidang yang ever green ni kepada mereka dibangku sekolah lagi dan berterusan diperingkat universiti, mampu mengangkat martabat selain mempopular bidang ini khususnya untuk menarik golongan muda tercapai, insya Allah. 




Monday, 23 May 2016

Kemudahan di Hospital perlu diperhatian dan keutamaan

Wan telah terlantar di hospital Taiping masuk hari ke 4. Selama itu jugalah kami berulang-alik dari rumah ke hospital untuk menjenguk wan. Insiden wan terjatuh di kawasan dapur ketika mahu mengambil air sembahyang maghrib, telah menyebabkan berlaku komplikasi yang lain termasuk minor strok dan kini alhamdulillah, wan telah menunjukkan prestasi positif ke arah pemulihan. Walaupun percakapannya masih kabur dan kurang jelas lagi. Kami penuh yakin dan percaya serta berdoa agar kesihatan wan bertambah baik dari hari ke hari dan pulih seperti sedia kala. Bergilir-gilir anak cucu menjaga wan siang dan malam di hospital.

Sepanjang tempoh di sana, saya sempat melihat keadaan sekeliling dan pesakit-pesakit lain yang terlantar sakit dan ini telah menginsafkan saya. Dalam situasi itu juga ramai saudara mara yangtelah menziarahi wan di sini sambil melahirkan rasa simpati. Sayajuga sempat melihat kemudahan-kemudahan di hospital yang memerlukan perhatian dan keutamaan kerajaan untuk membantu warganegara ini dalam mendapatkan rawatan.

Kemudahan di ward dan hospital baru

Antara perhatiannya ialah kesesakan katil dan pesakit di hospital yang memerlukan keutamaan kerajaan dalam menambah peruntukkan dan kepentingan dalam mengutamakan kebajikan pesakit dan tidak berlaku kesesakan sepertimana sekarang.  Antara perkara yang boleh dilakukan oleh wakil rakyat dan kerajaan adalah dengan menimbangkan untuk membina lebih banyak hospital-hospital kerajaan di kawasan berkepadatan tinggi. Sebagai contoh, di Larut, Matang & Selama ini serta daerah Kerian terdapat 2 buah hospital iaitu hospital Selama dan hospital di Parit Buntar. Sekiranya kes-kes kritikal yang memerlukan ianya dirujuk, makan hospital Taiping adalah tempat yang akan dirujuk pesakit ke sana. Jarak antara selama ke Taiping kira-kira 48km sementara Parit Buntar ke Taiping pula lebih kurang jarak yang sama. Saya syorkan supaya satu hospital baru dibina di Bagan Serai untuk menampung jumlah pesakit di hospital Taiping  serta menambah jumlah atau menempatkan doktor-doktor pakar di hospital Selama dan Parit Buntar dan juga fasiliti-fasiliti lain yang boleh dilakukan dihospital berkenaan tanpa perlu dirujuk ke hospital taiping bagi kes-kes kritikal. Kecuali kes-kes tertentu sahaja dirujuk ke Taiping. Berdasarkan keadaan ini, dijangka kesesakan hospital taiping dapat di kurangkan selain pesakit mendapat kemudahan selesa serta mendapat rawatan yang sama di hospital-hospital besar yang lain.

Satu lagi contoh dan keperluan untuk mewujudkan sebuah hospital baru adalah di Serdang Kedah. Ianya terletak dalam daerah Kulim dan Bandar Baru. Buat masa ini, hospital Kulim sahaja yang ada dan terpaksa menampung jumlah pesakit di sana. Ianya meliputi penduduk daerah berkenaan termasu, daerah berdekatan. Sepatutnya, memandangkan kawasan kulim merupakan kawasan industri teknologi tinggi perlu dikhaskan dalam radius yang munasabah untuk menerima pesakit dan kajian dari semasa ke semasa perlu dilakukan untuk mewujudkan hospital baru. Saya cadangkan di serdang iaitu sebuah pekan kecil ditengah-tengah jalan antara pekan bandar bahari dan kulim. Kesesuaiannya dan amat penting untuk menampung jumlah pesakit serta mengurang faktor jarak antara kedua-dua bandar berkenaan sekiranya berlaku kecemasan untuk pesakit menerima rawatan. Saya berpendapat adalah wajar untuk setiap ahli politik (wakil rakyat) kawasan memikirkan soal kebajikan seumpama ini daripada mengisahkan soal politik dalaman parti masing-masing yang tidak memberi manfaat langsung kepada rakyat. 

Saya juga mendapat maklumat kesesakan dalam ward ini juga berlaku dikebanyakkan hospital keranan kekurangan ruang serta jumlah pesakit yang tinggi. Oleh itu, permasalahan ini perlu ditangani segera oleh pihak kerajaan supaya kebajikan rakyat terus terbela. Kita cukup sedar bahawa bidang kesihatan amat penting bahkan sama pentingnya dalam bidang pendidikan. Kepentingan rakyat dan wakil rakyat menyampaikan dan menyuarakan permasalahan yang membelenggu ini kepada pengetahuan kerajaan sangat penting. Tambahan pula memandangkan kemasukan warga asing ke negara ini sama ada secara sah atau tidak boleh mengundang malapetaka besar dari segi kesihatan. Mereka berkemungkinan pembawa penyakit yang boleh merebak ke negara ini seperti virus zika, taun, batuk kering dan sebagainya yang boleh menjejaskan tahap kesihatan warganegara Malaysia. 

Sekali lagi saya berharap agar perhatian dan keutamaan oleh kerajaan dalam mengkaji dan seterusnya membina lebih banyak hospital baru di kawasan berkepadatan tinggi penduduk serta menaiktaraf hospital sedia ada dengan pelbagai kemudahan supaya pesakit selesa mendapatkan rawatan serta mengurangkan kesesakan berlaku sepertimana keadaan sekarang. Wallahu alam.


Monday, 16 May 2016

Sekolah pembentuk sahsiah pelajar

Tidak dapat digambarkan semula tentang bertapa bahagianya dan sungguh seronoknya ketika mengimbau kenangan zaman persekolahan. Lebih-lebih lagi ketika zaman persekolahan diperingkat rendah. Nostalgia sekali apabila sempat membelek-belek gambar-gambar lama yang terakam dan tersimpan dalam album. Barangkali tidak semua dapat gambarkan sebenar-benarnya keadaan dan suasana ketika itu walau sedalam mana penghayatan seseorang yang lain apabila diceritakan saat-saat itu kembali. Hanya yang melaluinya sahaja dapat mengetahui.

Sekolah sememangnya perlu memainkan peranan asalnya iaitu membentuk sahsiah pelajar. Bukan sahaja cemerlang dalam akademik tetapi juga perlu hebat dalam sahsiah dan kepimpinan diri pelajar. Sebagai usaha membentuk sahsiah pelajar bagi melahirkan insan berguna kepada nusa, latihan dan pendedahan secara tidak formal juga harus diterapkan dalam sistem pendidikan negara ini dan tidak semata-mata berorientasikan kepada sistem yang jumud semata-mata. Sebagai contoh, bagi subjek bahasa inggeris, tidak hanya tertumpu di dalam kelas semata-mata. Tetapi kreativiti untuk mendorong pelajar-pelajar untuk bercakap dalam bahasa inggeris walaupun pada mulanya inggeris 'rojak' namun inilah permulaan kepada membina keyakinan pelajar-pelajar untuk menguasai bahasa asing berkenaan. Apabila mereka tidak ditertawakan dan berani bercakap bahasa inggeris dalam pertuturan, barulah diajar mengenai grammar dan sebagainya. Pada aku ini mungkin jauh lebih berkesan berbanding daripada mengikut sukatan demi sukatan sepertimana sekarang. 

Oleh kerana sekolah rendah merupakan tempat pertama dan awal kanak-kanak memasuki alam persekolahan, seharusnya mereka diberi kebebasan dalam mencorakkan pendekatan mereka untuk mendapatkan ilmu pengetahuan. Guru-guru di sekolah rendah seharusnya diberi autonomi luas untuk membentuk kanak-kanak ini dalam mempersiapkan mereka berjiwa kuat dalam mengharungi dan memasuki alam remaja diperingkat menengah. Sebab itu pada pendapat aku, peringkat rendah perlu dirombak dari aspek pendekatan dan kaedah pengajaran kepada murid-murid supaya sahsiah diri pelajar benar-benarutuh dan kukuh. Wallahu alam.

Tuesday, 3 February 2015

Hak organisasi yang sering dipinggirkan

Kita sering mendengar di sana-sini sama ada didada-dada akhbar, majalah HR, komentar, rencana dan media sosial serta dikebanyakkan perbincangan tentang organisasi, majoriti yang disentuh adalah berkaitan pekerja, keutamaan pekerja, pekerja berkualiti, hak pekerja dan sebagainya. Jarang sekali kita dengar dan baca mengenai hak organisasi. Pada aku, yang juga kerja makan gaji sememangnya aku mahukan hak aku dan juga memperjuangkan hak selaku pekerja diutamakan. Dalam banyak hal, kita seringkali membincangkan topik tentang tanggungjawab majikan terhadap pekerjanya dan kita seringkali juga membaca dan amat bersetuju tindakan-tindakan 'gila' bos yang mewakili majikan organisasi kita terhadap pekerja sepatutnya dikenakan hukuman setimpal.

Pun begitu, tidaklah ramai yang membicarakan tentang hak organisasi. Kita lebih gemar membicarakan dan mengupas tentang tindakan memaki atau menjatuhkan maruah kakitangan dikhalayak merupakan sesuatu yang tidak boleh diterima dan sebolehnya mahukan majikan terbabit dikenakan tindakan berat dan cepat. Jarang sekali kita menganalisis tentang sebab dan mengapa ianya terjadi dan jauh sekali kita mengkaji untuk mengesan apakah punca kepada perkara ini. Kebanyakkan kita akan terus menyokong pekerja dan menyentuh tentang soal kemanusiaan yang menyatakan bahawa tidak sepatutnya pekerja diperlakukan begitu oleh majikannya.

Hari ini aku nak sentuh sikit mengenai hak organisasi dan majikan yang mewakili organisasi. Sebagai contoh, di sebuah organisasi seorang pengurus bahagian pengangkutan telah membuat permohonan supaya 1 buah lori berkapasiti 5 mt diselenggara bagi menghadapi persiapan musim tuaian padi. Alasan penyelenggaraan berkenaan untuk memudahkan kerja-kerja mengangkut padi dan dapat menjana pendapatan kepada bahagian pengangkutan. Kos terbabit adalah sebanyak RM 5k. Sebaik saja lori selesai diselenggara dan Pengurus Besar memberi kelulusan peruntukkan, lori berkenaan tidak bekerja untuk mengangkut padi sepertimana yang dinyatakan oleh pengurus bahagian sebelum ini. Apabila ditanya, pengurus bahagian berkenaan mula memberi alasan tentang ketiadaan pemandu lori dan kini usaha sedang dilakukan untuk mendapatkan pemandu. Setelah 1 minggu berlalu, pengurus besar kembali bertanyakan kepada pengurus bahagian tentang mengapa lori berkenaan masih belum memberi sebarang pendapatan sedangkan penyelenggaraan telah dilakukan dan pemandu lori telah diperolehi? sekali lagi alasan dikemukakan ialah roadtax lori telah tamat tempoh! maka sebagai penyelesaian, pengurus besar minta supaya pengurus bahagian renew segera roadtax dan setelah roadtax diperbaharui lori berkenaan masih lagi tidak berfungsi dan apabila tnya soalan sama, pengurus bahagian berkenaan menyatakan bahawa tayar lori mengalami masalah yang memerlukan ianya diganti sebagai syarat untuk membolehkan lori berjalan. Apabila tayar ditukar, lori masih lagi tidak berjalan, dan kali ini pengurus bahagian memberi alasan sekali lagi tentang ketiadaan penyangkuk untuk menutup bahagian belakang lori pula yang menyumbang kepada masalah! sehinggalah kepada kemuncaknya, apabila ditekan bertubi-tubi, kali terakhir alasan yang dikemukakan adalah tentang bateri lori pulak weak dan perlu ganti. Kemuncak kesabaran pengurus besar dalam soal ini sudah tidak boleh dibendung lagi sehinggalah pengurus besar berkenaan bertempik dan menyatakan beliau tidak mahu lagi mendengar sebarang alasan melainkan mahu melihat lori berkenaan menjalankan kerjanya keesokkan hari atau pengurus bahagian terbabit akan dikenakan tindakan tegas!

Baru lah lori berkenaan mula melaksanakan kerja-kerja pengangkutan pada keesokan harinya tanpa sebarang masalah yang ditimbulkan lagi. Apa kesimpulannya di sini? dapatlah kita fahami bahawa sebenarnya tidak ada lain alasan melainkan pekerja itu sendiri yang mencipta alasan demi alasan bagi membolehkan beliau tidak dibebani kerja atau tugasan yang lebih! Apabila pengurus besar bertindak secara terbuka maka pekerja atau sesiapa jua yang hanya faham pada ketika lentingan pengurus besar berkenaan akan mula membenci pengurus besar dan menyatakan bahawa tindakannya adalah tidak patut dan hanya menampakkan sifat diktator. Tidak ada yang mula mengkaji mengapa dan kenapa tindakan pengurus besar berkenaan sedemikian. Banyak lagi kes-kes yang lain yang menunjukkan sikap pekerja itu sendiri yang banyak mengundang kesan buruk terhadap dirinya sendiri tetapi cuba dialihkan perhatian itu dalam konteks simpati dan cuba menyalahkan organisasi dan majikan. Oleh kerana, organisasi tidak ada sebarang pembelaan maka selamanya organisasi dan majikan akan dipersalahkan dan diagungkan pula adalah pekerja!

Tidak ada yang bercakap atau mahu mempersoalkan tentang masalah disiplin pekerja yang sering datang lewat ke pejabat. Tetapi sebaik saja tindakan seperti show cause letter diberikan, maka mulalah pekerja terbabit mengungkit kononnya bakti yang dicurahkan selama ini tidak diambil kira oleh organisasi, cacian dan makian mula dihamburkan kepada majikan dan organisasi yang memperlihatkan beliau seolah-olah sedang diainaya. Sudah tentu keadaan ini tidak adil kepada organisasi. Secara tidak langsung hak organisasi dipinggirkan sama sekali. Dalam kalam yang akhir, saya mengajak diri saya dan kalian agar bermuhasabah diri dalam keadaan kita mahukan hak kita diperjuangkan jangan kita lupa organisasi juga perlu diberi hak sebaiknya dengan adil. Marilah kita mencari pemuafakatan dalam berorganisasi supaya mewujudkan keharmonian dalam berorganisasi. Insya Allah.

Wallahua'lam.

Thursday, 22 August 2013

Kak,,, profesional lar sikit,,

Assalamualaikum wbt.,

SUdah jadi tabiat manusia yang nak buat yang terbaik dalam semua perkara. Kadang-kadang kita lupa bahawa tindakan-tindakan yang kita lakukan demi untuk capai kebaikan yang diinginkan tuh telah mengguris hati orang lain. Menyebabkan tindakan-tindakan kita tu nampak seperti cuba untuk menuang pasir dalam periuk nasi orang. Malah yang lebih teruk lagi, bila tindakan kita bila tiap kali berhadapan masalah, kita cuba pindahkan kesalahan tu pada orang lain supaya di mata bos atau orang atasan kita, yang kononnya kita ni terbaik dan tak pernah buat silap.

Menyentuh kepada perenggan mukadimah di atas tadi, aku ada sikit pengalaman yang cuba nak dikongsikan bersama dan terbuka untuk perbincangan,ulasan,komen dan pendapat daripada anda semua yang membaca entri ni. Ianya berlaku baru lagi,,minggu lepas. Puncanya, bila aku terima satu surat daripada cawangan lain, satu organisasi yang menulis surat kepada bos kami. Surat berkenaan ditulisnya kerana ingin menjelaskan punca cawangan dia tertunggak untuk buat bayaran pinjaman. Surat tu telah disalinkan kepada cawangan aku dan juga ke HQ. Apa yang dikesalkan apabila surat berkenaan isi kandungnya menyalahkan cawangan aku bulat-bulat yang menyebabkan cawangan dia gagal bayar pinjaman? banyak alasan yang dikemukakan pada pihak atasan kononnya cawangan aku gagal buat bayaran pada cawangannya hinggakan menyumbang kepada kegagalan cawangan dia untuk jelaskan pinjaman.

Sedangkan alasan-alasan yang ditulis dalam surat berkenaan tak lebih daripada untuk memindahkan kelemahan diri kepada orang lain. Dalam soal ini, dia nak pamerkan seolah-olah dia tak pernah bersalah. yang bersalah adalah orang lain. Setelah meneliti surat berkenaan, aku merasakan bahawa keperluan untuk aku jawab semula surat berkenaan dan menjelaskan kedudukan sebenar kepada pihak atasan. Tanpa bertindak seperti dia yang terang-terangan kepada orang lain dengan tidak punya fakta melainkan alasan dan tuduhan, aku telah meletakkan fakta dan menjaga profesionalisme dalam melayani surat berkenaan.

Dalam kerja ni, aku turut menasihati diri aku sendiri dan semua, perlu ada profesionalisme dan jangan berdendam. Jika kita punyai sifat suka berdendam dan ada niat jahat pada orang lain, akhirnya ia akan makan diri kita sendiri. Orang yang banyak sangat sifat negatif akan berada dalam kehidupan yang tertekan dan sentiasa xtenteram hidupnya. Sebab, mereka akan bersangka buruk dengan sesiapa sahaja. Tapi kalaulah kita ikhlas dan yakin akan kerja buat kita hari ni betul dan ikut peraturan, jaga hubungan rakan sekerja, insya allah, mungkin lebih luas pertolongan Allah pada kita, insya Allah.

Berbalik pada si dia ni..setelah aku selidik punca disebalik surat berkenaan ditulis, tak lain tak bukan adalah bermotifkan dendam. Yang aku pelik dan hairannya, aku agak kurang berurusan dengan dia ni.. jadi kenapa dia perlu dendam dan benci aku?? kononnya xsuka aku dengan pelbagai alasan. Kononnya kerana aku baru keja dah belagak tunjuk pandai pulak,,,adoiii kak,,apa dosa aku pd kak?sungguh aku xfaham... Kalau ya pun, tolonglah profesional,, ni xprofesional langsung.. aku hormat dia sebab dia lebih super senior dari aku,,tp kalau begini tingkahlakunya,,, hurmmmm,,, - membujur lalu, melintang patah.. ;)


Tuesday, 28 August 2012

BERPOLITIK SECARA RASIONAL

Jujur saya katakan bahawa saya agak meminati untuk mengikuti landskap politik tanah air. Walaupun ianya agak bercelaru, tapi ianya sangat menarik juga untuk diikuti. Saya tidak berapa mengambil pusing mengenai jatuh menjatuhkan diantara satu dengan yang lain kerana begitu sedar sekali bahawa itulah asam garam berpolitik.

Tapi saya mula untuk menulis di sini apabila saya melihat bahawa trend kepada anak-anak muda seangkatan saya dan ke bawah, dilihat mereka begitu gemar mengikuti isu-isu politik tanah air dan begitu agresif sekali memuat turunkannya di dalam media sosial. Kadang-kadang tindakan orang muda yang membesar dalam ledakan teknologi, perkara ini begitu mudah untuk di akses berbanding mereka yang sidah berusia. Namun begitu, saya melihat bahawa golongan muda ini agak keterlaluan menyokong sesebuah parti politik. Bahkan, tindakan-tindakan mereka ini dilihat kurang cerdik apabila tanpa pun mengetahui fakta dan isu sebenar, terus bertindak menulis dan memaki hamun di laman sosial. Dalam erti kata mudah, BERPOLITIK MEMBABI BUTA.

Padahal, jika disoal dan ditanya, mereka ini agak tidak memahami dasar, sistem dan sebagainya tetapi mahu berlagak pandai dalam memberi komen dalam sesuatu isu yang dibangkitkan. Trend kini jika anda perasan ialah sangat menyukai seseorang 'ustaz' yang dilihat dalam ceramah-ceramahnya menghentam kerajaan dalam bentuk humour. Maka, apabila keadaan ini berlaku, maka banyaklah di mana-mana FB pun, mereka akan tag kan youtube ceramah ustaz nih, dan liked kan fb fanpage nya. Semua kata-kata ustaz ini akan diambil dan dipaparkan. Maka beratus-ratus liked akan diterima tanda menyokong. Tetapi sekiranya dalam isu yang lain, hujah ustaz ini dilihat selari dengan tindakan kerajaan, maka secara automatik pula ustaz ini akan dicemuh dan dikatakan bahawa "Xblh pakai dia ni...ustaz UMNO". pulak? cuba kita fikirkan.

Demikian juga jika dilihat bahawa jika ada pemimpin parti pembangkang yang menyertai perjuangan parti memerintah, maka secara automatik mereka ini akan dilabel Pemimpin yang DIBELI. Tapi yang hairannya bila ada pula pemimpin parti memerintah yang menyertai pembangkang, maka dikata pula bahawa inilah PEJUANG TULEN! bukankah pelik begitu?

Saudara sekalian, kita menyokong sesuatu isu bukan bermakna kita menyokong UMNO. Kita menentang sesuatu isu pula bukan bermakna kita menyokong PR. Kita sebaliknya rasional dalam sesuatu isu yang dibangkitkan. Jika benar, katakan benar. Dan jika salah kita tetap kata salah. Buat orang seperti saya yang tidak menyertai mana-mana parti politik, kita bebas memilih mana parti yang kita rasakan layak pada pemikiran kita, itu saja. Buat mahasiswa yang ghairah sangat nak berpolitik, habiskan dulu pengajian kamu, dapatkan ijazah dan banggakan ibubapa kamu, dan terserahkan pada kamu untuk terjun ke bidang politik atau tidak kemudiannya. Masa belajar jangan kamu berpolitik. Tumpukan pada pelajaran kamu selaku pelajar.

Rasional lah ketika berbicara soal politik. Jangan terlalu jumud dan terlalu mahu pendapat yang sedap ditelinga kita saja nk kita dengar, berilah ruang untuk orang lain juga beri pandangan walaupun berbeza dengan kita.

Wallahua'lam

Tuesday, 19 June 2012

Dialog Nasional Pendidikan Negara

Menyentuh soal pendidikan atau dunia pendidikan ini, saya begitu terarah untuk mendekati dunia ini dan juga untuk turut menjadi sebahagian kepada penyumbang bagi merancakkan atau memajukan sektor pendidikan negara bersama-sama dengan yang lain-lain termasuk para akedemia, ilmuan dan sebagainya.





Selaras dengan tindakan kerajaan dengan membuka atau memberi platform buat rakyat Malaysia untuk menyumbang pandangan/idea untuk kebaikan generasi akan datang, maka dianjurkan satu kajian semula ke atas pendidikan negara. Dahulunya, jika kerajaan ingin menggubal sesuatu dasar berkaitan pendidikan, tidak perlu mendapatkan pandangan ramai. Cukup hanya mereka yang tertentu sahaja. Walau bagaimanapun, masa telah merubah segalanya. Kini pendekatan dengan melibatkan orang awam sebagai sebahagian daripada medium atau kaedah untuk melaksanakan sesuatu dasar diambil bagi memastikan idea-idea atau perkara yang bakal dilaksanakan kelak adalah sesuai dan mantap dengan mengikuti denyut nadi rakyat. Oleh itu, sebagai langkah bagi menerima maklumbalas awam, maka dianjurnya sesi dialog nasional pendidikan negara. Apa yang saya ingin sentuh disini adalah saya juga merupakan salahseorang peserta yang terlibat sama dalam sesi ini yang dianjurkan di USM, Pulau Pinang pada 17 Jun 2012 yang lalu.




Walaupun dianjurkan di Pulau Pinang, saya dapat melihat bagaimana rasa tanggungjawab ke atas masa depan 'permata negara' - PELAJAR sangat dititikberatkan oleh kebanyakkan rakyat malaysia yang datangnya dari pelbagai lapisan usia, bangsa, agama dan lokasi. Kedatangan mereka bukannya mendapat sebarang bayaran, bahkan perlu membelanjakan wang sendiri untuk datang iaitu termasuk membiayai kos pengangkutan,tol dan sebagainya. Tapi, atas rasa tanggungjawab itu mungkin mereka sanggup datang beratus kilometer agaknya untuk ke sesi ini. Syabas saya ucapkan kepada mereka!

Saya mulakan dengan beberapa respons yang diterima daripada para peserta yang hadir bagi sesi di Pulau Pinang. Rata-rata termasuk saya yang turut mengambil bahagian dengan tegas menyuarakan mengenai kualiti guru, fasiliti dan juga mengenai aspirasi yang diharapkan oleh rakyat malaysia untuk melahirkan permata negara pada masa depan.

Kualiti Guru sebagai penyampai ilmu
  Kementerian seharusnya sedar bahawa pelajar/murid sekolah nerupakan permata negara yang akan mewarisi negara ini pada masa depan. Justeru, bekalan mengenai ilmu akademik dan nilai moral hendaklah seimbang diantara keduanya. 
Selaras dengan itu, untuk melahirkan permata, maka tentu sekali guru-guru yang bertindak sebagai pendidik dan penyampai ilmu juga perlu dilihat semula dari segi kualitinya. Apakah dengan tindakan kerajaan mengambil graduan ijazah menjadi guru melalui KPLI dan GSTT merupakan satu langkah tepat? Sedangkan, apakah kerajaan sedar bahawa graduan-graduan ini pada asalnya tidak pun mempunyai cita-cita sebagai guru? dan hanya apabila mereka-mereka ini  tidak boleh bersaing di pasaran terbuka dan diterima oleh pasaran kerja, maka jalan mudah dan menjamin masa depan adalah dengan memohon untuk menjadi guru dibawah kementerian pelajaran. Cuba kita tanya diri masing-masing, apakah kualiti yang kita harapkan untuk mendidik dan melatih anak bangsa? Berapa ramai diantara guru-guru hari ini yang punyai jiwa pendidik dan berapa ramai pula yang menjadi guru semata-mata untuk MAKAN GAJI?

Sepatutnya, kemasukkan untuk menjadi guru seharusnya dilihat dan dikaji semula.

Sikap Guru itu sendiri
 Kita telah sedia maklum bahawa semasa temuduga untuk kemasukan menjadi guru, antara soalan yang popular ditanya oleh panel temuduga adalah "sekiranya kamu ditempatkan di pedalaman, sabah atau sarawak apakah kamu bersedia untuk ke sana?" Jawapan yang sangat popular pula kita pasti dengar adalah "sudah tentu! tugas dan peranan guru sememangnya menuntut supaya guru bersedia berkhidmat dimana juga, kerana tugas itu mulia"

Persoalannya, apakah ianya benar datang dari hati? Mengapakah setelah ditempatkan di sesuatu tempat, maka timbul persoalan yang guru mohon pindah dan sebagainya? mana janji kamu sewaktu masa pertama kali ditemuduga dulu? Jangan kamu letakkan alasan sebagai berkahwin, perlu menjaga keluarga dan sebagainya untuk kamu berpindah! Tambah menyedihkan lagi apabila masalah ini adalah berkaitan diri kamu, tetapi kamu telah jadikan ia sebagai masalah kerajaan dan kementerian! Kononnya, jika guru mendapati masalah prestasi menurun, maka disalahkan kerajaan dan kementerian yang tidak melayan permohonan perpindahan mereka. Boleh pulak ditanyakan kepada kementerian bahawa jika hati guru sudah tidak ada di situ, maka bagaimana untuk menyampaikan khidmat terbaik untuk anak bangsa? bukankah anak didik yangmenjadi mangsa?

Inilah persoalan yang kadang-kadang selalu bermain di fikiran. Dimana pula janji-janji kamu sebelum ini, yang kononnya boleh berjauhan dengan keluarga, suami,isteri dan sebagainya? hari ini saja, Timbalan Perdana Menteri dengan terbuka mengakui di Parlimen bahawa kementerian/kerajaan gagal menangani isu kekurangan guru! alasannya kerana permohonan pertukaran masih belum boleh diatasi sepenuhnya. Jika saya diberi kesempatan untuk menangani masalah ini, pasti saya akan utarakan mengenai option kepada para guru. Jika terlalu banyak sangat alasan sehinggakan menjejaskan tumpuan mereka melaksanakan tugas dan tanggungjawab, maka guru-guru bermasalah ini perlu diberi peluang untuk memilih jalan keluar dari profesion perguruan dan memilih kerjaya lain selain guru. Keadaan ini lebih sempurna daripada kementerian sakit kepala melayan karenah yang tak pernah habis-habis berkaitan warga didik ini.




Majlis Tindakan Pendidikan Negara

Antara cadangan peserta dialog ialah menyarankan kepada kerajaan supaya soal pendidikan sepatutnya tidak dipolitikkan oleh mana-mana pihak sekalipun. Cadangan supaya satu majlis ditubuhkan khusus untuk pendidikan sahaja sepertimana yang dilakukan ke atas ekonomi negara dengan menubuhkan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) sebelum ini. Penubuhan ini wajar dilaksanakan segera bagi menyelesaikan permasalahan dan pelaksanaan dasar oleh kerajaan berkaitan pendidikan negara.



Akhir sekali, harapan seluruh peserta dialog yang dihadiri panelnya Tan Sri Alimuddin Md Dom, Mantan Ketua Pengarah Jabatan Pelajaran Malaysia dan Prof. Sivamurugan Pandian, Timbalan Dekan dari USM adalah semua perkara yang dibangkitkan diambil perhatian oleh kerajaan dan kementerian khususnya dan bukannya hanya membuat secara 'selective" sahaja dan selebihnya dibuang dalam tong sampah! disamping itu juga, pandangan, kritikan dan idea yang dilontarkan dalam majlis ini patut diberi penekanan dan tidak hanya menjadikan majlis ini sekadar platform yang sekadar "wayang" sahaja untuk menunjukkan kementerian sangat prihatin kepada pandangan awam sebaliknya sekadar untuk mengambil hati rakyat semata-mata.

Demi memastikan anak didik atau permata negara ini dipelihara dan dicorakkan sebaiknya, maka menajdi harapand an tanggungjawab semua rakyat malaysia untuk sama-sama berganding bahu bagi membantu kerajaan untuk sama-sama menjayakan misi nasional ini, insya Allah.

Thursday, 17 May 2012

Peluang dan Situasi & Bara

Saya seakan terfikir panjang dan merenung tajam kepada 2 buah ungkapan oleh 2 orang rakan ketika masing-masing melontarkannya. 1."Antara peluang dan situasi, kadang-kadang ada peluang tapi situasi boleh merosakkan peluang. Dan ada ketikanya, seseorang perlu mengambil peluang pada satu-satu situasi". 2. "Jangan jadi seperti bunga api yang membakar dengan begitu cepat. Memang cantik bila mengeluarkan percikan bunga api diudara yang bewarna-warni, tapi kecantikan itu tak bertahan lama. Bila habis saja kemilauan percikan itu, maka terus terpadam dan tidak meninggalkan sebarang cahaya dan bara. Sebaliknya jadilah bara, tahan lama walaupun tak cantik, tapi banyak gunanya-boleh nyalakan api semula".

Begitulah 2 buah ungkapan yang dilontarkan di meja kedai kopi 2 malam yang lepas dan membuatkan saya terfikir panjang dan memuhasabah diri ini kepada kehidupan di dunia ini yang penuh dengan cabaran dan ujian yang semakin tidak pasti. Pertamanya, soal peluang dan situasi. Saya sering memandang dan berfikiran untuk memastikan supaya kata-kata atau ungkapan itu menjadi panduan untuk kehidupan saya selaku anak muda. Peluang biasanya datang kepada kita hanya sekali, dan jika kita tidak memanfaatkannya dengan sebaiknya maka peluang itu akan berlalu. Namun, apabila ada peluang, kemungkinan situasi semasa ketika itu tidak mengizinkan. Maka pastinya peluang akan dirosakkan dan terus berlalu dek kerana situasi yang menekan. Banyak contoh yang boleh diambil, antaranya, bagi sesuatu perniagaan yang berpotensi untuk diceburi tetapi situasi persekitaran sesebuah negara yang kacau bilau membuatkan situasi telah merosakkan peluang yang ada. begitu jugalah dalam banyak contoh yang lain.

Bagi persoalan kedua, mengenai bunga api dan bara. Ianya agak dekat juga dengan kehidupan manusia dan tidak terkecuali seperti saya. Saya melihatnya akan sifat bunga api yang menyala dan memercikkan bunga api yang bewarna warni yang sangat cantik di udara, tapi tempohnya tidak lama dan bersifat sementara. begitulah halnya jika dibandingkan dengan kerja kita. Saya tidak berhasrat bagi memberi sebarang contoh disini, atas sebab-sebab yang saya kira agak kurang wajar untuk dilakukan sebaliknya aya penuh yakin dan percaya bahawa anda di luar sana boleh mengunakan akal fikiran sendiri bagi menafsirkan sifat bunga api dan bara ini sebagai pedoman masing-masing.

Selain itu, saya juga mengalu-alukan pandangan dan komen anda melalui sudut pandang anda sendiri berhubung 2 ungkapan berkenaan supaya ianya dapat dilihat dari dimensi yang pelbagai dan sebagai percambahan fikiran dan ilmiah.