Saturday 2 July 2011

Pertimbangan yang wajar

Ketika ramai yang sibuk berbicara mengenai perhimpunan BERSIH 2.0, entri saya memilih untuk tidak menghuraikan mengenainya secara panjang. Sebaliknya entri kali ini adalah berkisar mengenai Projek Lynas yang membangunan kilang pemprosesan nadir bumi di gebeng, Pahang dan sedikit mengenai pertimbangan wajar melalui kewarasan fikiran.

Pada mulanya apabila membaca mengenainya beberapa bulan lalu, saya gak tidak mengambil pusing mengenainya. Sehinggalah perkara ini menjadi semakin serius apabila menerima bantahan daripada penduduk kawasan sekitar mengenai kebimbangan mereka akan kesannya setelah beroperasi kelak, maka saya turut rasa terpanggil untuk mengikutinya dengan lebih dekat. Setelah sekian lama, maka semalam telah disahkan oleh beberapa orang pakar dan ilmuan mengenainya bahawa projek berkenaan akan dipantau rapi dan akan memastikan bahawa segala prosedur dan peraturan dipatuhi syarikat agar kejadian yang tidak diingini tidak berlaku di sini seperti kesan berbahaya kepada manusia dan juga alam sekitar.

Pastinya, sebaik sahaja mendapat pengesahan pakar mengenai kadar kandungan bahan tercemar adalah diparas terkawal jika projek berkenaan beroperasi kelak, dan disebar luaskan oleh media arus perdana dan tempatan,tentunya memberi sedikit kelegaan kepada penduduk setempat. walaubagaimanapun, ada juga yang masih sangsi akan laporan berkenaan dan masih menganggap ianya pasti memberi kesan sampingan serius dan tak kurang juga ada yang membandingkannya kesan sejarah terburuk di Jepun apabila rektor nuklear negara matahari terbit itu meletup dan tidak dapat dikawal.

Kita selaku rakyat negara ini, pastinya inginkan kemakmuran,keamanan, selamat dan berada disamping keluarga tersayang. Kita juga pastinya mengimpikan untuk melihat tanahair tercinta ini berkembang pesat dan maju. Tambahan pula keyakinan pelabur untuk terus melabur di negara ini secara konsisten dan menunjukkan tahap keyakinan yang memberangsangkan. Namun dalam masa sama, saya juga penuh yakin, pemeliharaan alam sekitar dan juga kehidupan sejagat adalah merupakan keutamaan.

Apabila menyentuh soal kehidupan sarwajagat dan pemuliharaan alam sekitar yang sistematik, pastinya ia menuntut kepada pengorbanan dan juga komitmen yang tinggi bagi semua pihak. Dalam sebarang tindakan pembangunan, seharusnya pihak bertanggungjawab perlu memikirkannya supaya ia menjadi perkara utama. pemahaman kepada masyarakat adalah agenda penting supaya projek yang dibangunkan mendapat sokongan dan juga dalam bahasa metaforanya "restu" rakyat agar sesuatu projek itu berjalan sempurna.

Saya percaya, perancang sesuatu projek dan juga pencetus ilham mempunyai naluri murni untuk membangunkan negara dan juga untuk membawa sesuatu yang sempurna. Namun, bagaimana pula dengan mereka yang kurang maklumat mengenainya? Golongan ini akan diperalatkan dan golongan tertentu akan menggunakan perkara ini sebagai isu politik untuk meraih undi. Memainkan isu yang pastinya membangkitkan kemarahan sebahagian rakyat yang masih samar mengenainya dilihat bakal berjaya untuk menarik golongan ini untuk memihak kepada mereka.

Justeru, aspek pemahaman dan juga penerangan yang telus dan berhemah serta memberi fakta-fakta dan juga data-data yang tepat disamping maklumat sebenar mengenai sesuatu projek yang dilihat bakal mencetus "kontroversi" kepada rakayat, dilihat lebih efisyen dan bakal menangkis tohmahan serta dakyah palsu yang dilemparkan. Hari ini, melalui pemerhatian yang dibuat, ramai mereka-mereka yang sebenarnya tidak tahu pun akan isu dan permasalahan apabila sesuatu isu itu berbangkit atau terjadi, tetapi mereka hanya "ikut-ikut" oleh kerana ramai yang bertindak demikian maka mereka pun rasa terpanggil untuk turut sama. walhal, bagi orang yang berilmu, seharusnya mereka perlu mengkaji dan menilai serta membuat pendirian sediri tanpa menjadi pak turut sahaja yang membabi buta. Sebagai contoh, perhimpunan BERSIH 2.0, ramai diluar sana yang sebenarnya tidaklah begitu mengambil pusing mengenai ketelusan, integriti dan juga prihatin kepada sistem pilihanraya selama ini. Tetapi oleh kerana melihat di Tv, akhbar dan pelbagai saluran media yang berlaku di sana-sini, maka mereka pun mula bertindak sama. Memaki dalam Fb,twitter dan pelbagai medium yang menunjukkan kononnya mereka itu selama ini amatlah prihatin kepada isu bersih dalam pilihanraya ini. Jika diselidik lagi, ada juga yang sibuk untuk perkara sama adalah mereka-mereka yang baru pernah mengundi pertama kali dan ada juga yang tidak pernah mengundi pun, tapi nak tunjuk bahawa prihatinnya mereka kepada perkara ini.

Saya tidak berapa kisah jika pemimpin parti politik tanahair menyatakan untuk menyertai perhimpunan ini atau sebaliknya. Ada yang menentang dan ada pula yang mahu menyertainya. Hal ini adalah kerana, semestinya tugas mereka selaku wakil kepada rakyat untuk menyuarakan perkara itu. tetapi yang menghairankan saya, pada mereka-mereka yang tidak terlibat pun sebagai wakil rakyat, ahli politik bahkan diluar lingkup politik, hanya pengundi biasa, juga sibuk untuk menyatakan sokongan dan meluahkan sesuatu yang teruk untuk penilaian kewarasan akal. Agak lucu buat mereka ini untuk berbahas mengenai kebebasan,demokrasi dll.

Pada saya, untuk menyertai atau sebaliknya adalah hak individu samalah juga dengan menyokong seseuatu idea juga hak individu. Jika fikir kita ianya baik buat kita, maka lakukanlah ia setelah pemahaman yang jelas. Namun, sebelum bertindak maka hendaklah berfikir sejenak dan mengambil sesuatu keputusan itu dengan akal yang waras dan melakukannya dengan pertimbangan yang wajar serta menilai dan mengkaji terlebih dulu daripada menurut dengan membabi buta!