Saya mulakan entri kali ini dengan merasakan sedikit kekok apabila
agak sekian lama juga tidak meng’update’ sebarang entri baru di ruangan
ini memandangkan kekangan waktu dan kesibukkan menjalani tugas harian
disamping perkara-perkara lain yang menuntut supaya saya memberi
perhatian terhadapnya.
Jadi dikesempatan yang terluang seperti ini, saya luangkan sedikit
masa yang terhad amat ini untuk menulis dan berkongsi bersama anda wahai
pembaca yang sudi meluangkan masa anda untuk membaca di ruangan ini.
Saya ingin menulis mengenai pengalaman yang sedikit cuma apabila
berpeluang berkhidmat di salah sebuah organisasi yang menghubungkan saya
terus dengan masyarakat kampung yang sangat berharga dan saya percaya
tak semua orang berpeluang untuk menikmati pengalaman ini dan pastinya
pengalaman ini ‘mahal’ harganya jika mahu ditukar dalam bentuk nilai
wang ringgit. Banyak perkara baru yang saya lalui dan temui hampir
setiap hari. Namun, dalam banyak soal, ingin saya sentuh mengenai
pengurusan kredit.
Sejak mengambil alih tampuk pengurusan, saya mula meneliti dengan
penuh tekun satu persatu setiap pergerakkan kewangan, perniagaan,
pentadbiran, aliran tunai,projek pembangunan, pembangunan
usahawan,kredit & simpanan, penyusunan pemantapan ahli,
program-program berbentuk sosial dan pengaktifan unit dan sebagainya.
Apabila menyentuh soal kredit dan pembangunan usahawan, saya mula
memberi penekanan yang meneliti. Sebaik sahaja meneliti laporan kewangan
bulanan, saya menyemak kepada perkara hutang usahawan. Apabila saya
dapati bahawa bayaran kutipan hutang usahawan dilihat sangat lemah dan
tidak dibayar oleh sebahagian besar usahawan yang berhutang dengan
organisasi. Apa yang memeranjatkan saya, angka berkenaan adalah besar
nilainya iaitu setengah juta lebih!
Dan apabila mendapatkan penjelasan daripada pegawai berkenaan, mereka
memberikan jawapan steorotaip bahawa memang sifat usahawan untuk tidak
mahu membayar. Ada kewajarannya daripada jawapan berkenaan. Tidak
dinafikan, bahawa setiap usahawan seakan-akan mahu mengelakkan daripada
membayar hutang. Pada pandangan mereka, mereka tidak berhutang dengan
bank yang jika mereka gagal membayarnya maka mereka akan berhadapan
dengan tindakan mahkamah dan sebagainya. Kini mereka meminjam daripada
sebuah organisasi lain daripada institusi perbankan. Jadi tidak perlu
gusar pasal kegagalan membayar balik hutang mereka itu. Ada juga jawapan
daripada pegawai bahawa ada diantara usahawa-usahawan yang meminjam ini
projek mereka telahpun menemui kegagalan dan akibat dari itu maka
usahawan seolah-olah menjadikan alasan supaya tidak perlu membayar
hutang mereka.
Namun, ,memandangkan saya bukanlah orang yang selalu cepat
berpuashati dengan jawapan berkenaan, maka saya ingin mendalami apakah
sebabnya usahawan yang berhutang ini gagal membayar balik pinjaman
mereka. Akhirnya, saya mendapati bahawa kelemahan di pihak organisasi
adalah antara faktor penyebab kepada kegagalan untuk mengutip balik
bayaran hutang. Antaranya saya dapati bahawa jadual bayaran balik telah
disediakan tetapi apabila setiap kali usahawan yang sepatutnya membuat
bayaran bagi setiap bulan tetapi tidak buat bayaran maka tiada seorang
pun pegawai bertanggungjawab untuk cuba menghubungi atau mengingatkan
usahawan mengenai bayaran yang tertungguk mereka. Tidak ada sebarang
notis tuntutan hutang pun pernah dikeluarkan sebagai usaha untuk
mengutip bayaran. Apatah lagi terus berhubung dengan peminjam tentulah
jawapannya tidak. Pemberian hutang kepada usahawan diberi hampir setiap
tahun, tetapi kutipan balik bayaran hutang tidak dilakukan. Akibatnya,
hutang usahawan kini telah melebihi 1/2juta lebih dan tidak berjaya
dikutip balik. Saudara, jumlah setengah juta ini banyak nilainya. Dan
tujuan pemberian kredit ini dilakukan adalah murni lengkap dengan
penubuhan tabungnya yang tersendiri. Tujuan pemberian kredit dan bayaran
balik ini adalah untuk setiap peminjam yang berjaya diluluskan,
hendaklah membuat bayaran semula dan dimasukkan bayaran berkenaan ke
dalam tabung usahawan semula dengan harapan tabung ini mempunyai tabung.
Dan dengan tabung ini dapatlah memberi pinjaman semula kepada para
usahawan baru yang mahu meminjam seterusnya. Apa yang menyedihkan,
bayaran tidak dilakukan dan tiada kutipan dilakukan dengan
bersungguh-sungguh, maka akhirnya program murni ini dilihat agak kurang
memberi impak kepada usahawan seluruhnya akibat daripada tindakan
usahawan peminjam yang sebelum ini.
Saya mengambil alih kepimpinan sejak tahun lepas dan sehingga kini.
Saya merasakan bahawa sesuatu perlu dilakukan bagi mengatasi kutipan
balik bayaran hutang ini. Saya berpendapat bahawa sekiranya nilai
setengah juta ringgit ini berjaya dikutip balik dan masuk ke dalam
tabung ini, nescaya manfaat yang lebih besar mampu dijana dan diberi
kepada para usahawan. Justeru, saya telah mengarahkan pegawai yang
bertanggungjawab untuk segera menyemak semula berapa ramai
keseluruhannya bilangan usahawan yang meminjam sejak organisasi ini
ditubuhkan. Langkah seterusnya adalah menyemak semula dokumen berkaitan
pinjaman termasuk perjanjian. Daripada perjanjian kita boleh mengambil
tindakan undang-undang yang telah diperuntukkan termasuk mengheret
peminjam ke Timbang Tara bagi diadili. Selebihnya, pendekatan secara
hikmah iaitu berdiplomasi dan berunding serta mengambil jalan
menang-menang yang mana tidak menyusahkan peminjam dan tidak pula
membiarkan hutang mereka bertapuk tanpa sebarang penyelesaian.
Alhamdulillah, saya kini dapat melihat pergerakkan yang positif
kepada kutipan balik bayaran pinjaman usahawan. Antara pendekatan yang
digunakan ialah kepada usahawan yang susah nak buat bayaran, kita
memanggil mereka ini ke pejabat dan berbincang. Setiap satu kes melalui
proses perbincangan,tarbiyah dan sentuhan kalbu memakan masa melebih
hampir setengah jam lebih. Dan akhirnya kepada mereka yang mampu telah
membuat bayaran. Kepada yang kurang mampu, kami cuba membantu dengan
membeli semula produk mereka tetapi menolak hutang mereka secara kontra.
Keputusan ini disenangi oleh para usahawan. Ada yang saya jumpa sendiri
menyatakan bahawa mereka sangkakan pinjaman ini tidak perlu bayar
kerana sebelum ini pejabat tidak pernah membuat tuntutan. Hasil daripada
ini, saya insaf dan sedarlah saya bahawa pendekatan baru dan lebih
proaktif perlu dilakukan untuk usaha mengutip balik kutipan hutang
selama ini.
Buat anda pembaca yang membaca di sini, sy berharap agar saudara/i
mendoakan usaha murni ini untuk kebaikan para usahawan yang membuat
pinjaman dan juga akan datang. Wallahualam.
No comments:
Post a Comment