Saturday 27 November 2021

MESYUARAT AGUNG TAHUNAN (MAT) PERTUBUHAN PELADANG (PP) DI PERAK SUDAH BERMULA

 

Petugas e-UNDI, LPP Perak

18hb November 2021 telah menyaksikan MAT PP di negeri Perak mula membuka tirainya bagi tahun 2021. Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Lenggong merupakan PPK pertama melaksanakan MAT yang disempurnakan oleh YAB Menteri Besar Perak di dewan KEMAS Lenggong dengan jayanya. MAT PP merupakan perkara penting yang memerlukan setiap PP mengadakan mesyuarat agung masing-masing setiap tahun. Cuma bagi tahun ini merupakan tahun pemilihan. Pemilihan yang dijalankan adalah untuk menyerahkan kembali kepada ahli-ahli peladang menentukan dan memilih kepimpinan mereka masing-masing bagi menerajui PP yang pada hemat mereka mampu memacu institusi peladang ini ke arah kemajuan dan cemerlang.

Pemilihan pula diadakan secara demokrasi yang mana ahli-ahli peladang berhak memilih pemimpin mereka dengan kaedah mengundi. Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) yang menjalankan fungsi Pendaftar PP pula akan menggendalikan proses pemilihan berkenaan. Pemilihan diadakan setiap 2 tahun sekali. Sementara jawatan-jawatan yang memerlukan pemilihan secara undi adalah Ahli Jemaah Pengarah (AJP) terbuka, AJP Peladangnita, AJP Peladang Muda, calon AJP PPN, perwakilan ke PPN, calon perwakilan ke NAFAS, calon AJP NAFAS dan Juruaudit Dalam PPK.

Taklimat diberikan kepada semua petugas sebelum proses pengundian bermula



Sejak tahun 2016 sehingga kini, proses pengundian dilaksanakan secara elektronik iaitu menggunakan sistem e-UNDI yang dibangunkan oleh LPP bagi meningkatkan kecekapan proses pengundian dan juga lebih efisyen serta telus. Para perwakilan tidak lagi membuang kertas undi masing-masing secara manual dengan memangkah di atas kertas yang lebih mengambil masa yang lama. Pengundian secara e-UNDI ini lebih banyak masa dapat dijimatkan dan cekap. Di Perak terdapat 30 buah PPK dan 1 buah PPN yang akan melaksanakan MAT PP masing-masing pada kali ini. Sehingga kini, sudah 4 buah PPK telah selesai mengadakan MAT dan melaksanakan pemilihan barisan kepimpinan peladang masing-masing. PPK-PPK yang telah selesai mengadakan MAT dan pemilihan adalah PPK Lenggong, PPK Gunung Semanggol, PPK Batu Kurau dan PPK Slim River.

Para perwakilan mula mengundi


MAT PPK Slim River


Sehingga penghujung bulan ini, terdapat 2 PPK lagi akan mengadakan MAT PP dan juga menjalankan proses pemilihan masing-masing iaitu PPK Bagan Datuk dan PPK Langkap iaitu pada 29 dan 30 November 2021. Berdasarkan pengalaman 4 buah PPK yang telah selesai mengadakan MAT PP dan pemilihan berjalan lancar dan tiada sebarang kacau-ganggu sepanjang mesyuarat berlangsung. Diharapkan semoga kesemua PP di Perak akan dapat melaksanakan MAT PP masing-masing dengan jayanya dan dalam masa sama mematuhi SOP yang ditetapkan bagi menggelakkan daripada jangkitan wabak COVID-19 dikala negara dan dunia masih lagi diancam pandemik COVID-19 masa kini walaupun vaksin telah diberikan kepada hampir majoriti warganya.




Kepada mereka yang telah terpilih sebagai barisan Ahli Jemaah Pengarah di PPK masing-masing, jalankan amanah dan tanggungjawab ini sebaiknya. Kepada PPK yang masing belum mengadakan MAT, pastikan persediaan dan persiapan rapi dilaksanakan bagi mengelakkan sebarang insiden yang tidak diingini berlaku.

Kepada semua para perwakilan peladang, selamat bersidang!

#PeladangMemilih2021

Sunday 21 November 2021

MELAKA MEMILIH 2021 : PEMBENTUKAN KERAJAAN DI MELAKA

 

Tanggal 20 November 2021, terlakar satu lagi sejarah apabila rakyat di negeri Melaka telah membuat keputusan dengan memilih Barisan Nasional (BN) untuk membentuk kerajaan dan seterusnya diberi mandat untuk memimpin negeri berkenaan untuk tempoh 5 tahun bermula dari sekarang. Apa pun pilihan yang dibuat oleh rakyat negeri Melaka seharusnya perlu dihormati dan parti yang telah diberi amanah dan kepercayaan rakyat haruslah diberi peluang bagi memimpin negeri berkenaan sehingga tamat penggal nanti.

Selain itu juga, mana-mana parti politik yang menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka telah mengemukakan manifesto masing-masing bagi menawan hati pengundi. Walaupun, kali ini kekangan untuk berkempen seperti kebiasaan, namun rata-rata dilihat parti-parti politik turut berkempen secara kreatif bagi berhubung dengan pengundi untuk menyampaikan info-info dan juga tawaran yang pelbagai dari parti masing-masing. Bagi kerajaan BN, ini masanya untuk kerajaan yang baru dipilih rakyat Melaka untuk menyampaikan perkhidmatan yang terbaik dan juga merealisasikan janji-janji yang telah dikemukakan kepada pengundi dan rakyat negeri Melaka!

Kepada para Ahli Yang Berhormat (YB) yang telah berjaya dipilih, jalankanlah tanggungjawab kalian sebaik mungkin serta berkhidmat demi rakyat. Jangan lagi ada YB sekadar ‘bermusim’ sahaja muncul dalam kawasan. Gaji kamu dibayar untuk berkhidmat kepada rakyat dalam kawasan kamu, maka tunaikanlah tanggungjawab kamu dengan dedikasi.

Tahniah sekali lagi kepada YB-YB yang telah terpilih dan jangan ada lagi masa untuk berbulan madu sebaliknya terus berkhidmat sehingga tamat penggal. Hentikan wayang politik dan juga perebutan kuasa. Ini masa untuk bekerja, jangan buang masa. Jangan khianati mandat rakyat kepada kalian.

Wallahua’lam.

Sunday 7 November 2021

TERNAKAN ARNAB PEDAGING

 

Arnab pedaging induk


2 hari lepas berkesempatan ke rumah seorang kawan masa sekolah dulu di Batu Kurau, Perak. Dia sekarangs edang mengusahakan ternakan arnab pedaging yang telah hampir berusia 1 tahun mengusahakan penternakan ini. Sebenarnya ada cerita di sebalik ini. Ceritanya bermula sejak tahun lepas masa PKP 1 dulu. Masa tu akan sedang berkhidmat di Pahang sementara kawan aku sorang ni bekerja di Shah Alam, Selangor.

Satu hari aku terima satu panggilan telefon dari kawan ni yang pada masa tu dia ingin melibatkan diri dalam sektor pertanian. Untuk makluman semua, dia pada masa itu dan sekarang bekerja di pejabat pos. Dia pada masa tu berjauhan dengan keluarga atas tuntutan kerja dan setiap minggu berulang alik. Minta bertukar memang belum ada rezeki. Jadi masa tu dia mula berfikir untuk berhenti kerja dan menumpukan kepada pertanian di kampung sahaja. Jadi itulah punca dia telefon aku untuk minta pendapat. Tapi masa itu, dia bersama seorang lagi rakannya berhasrat untuk menjalankan penternakan itik penelur. Mereka telah mencari maklumat tentang itik penelur dan yakin akan potensinya. Dia telefon aku untuk meminta pendapat dan nasihat tentang hasrat mereka.

Sebagai orang yang berkhidmat di dalam sektor kerajaan, pandangan dan pendapat yang aku boleh bagi adalah untuk memastikan pilihan mereka itu selaku orang yang tiada pengalaman di dalam pertanian untuk mengurangkan jurang risiko yang akan memusnahkan harapan serta menjadikan mereka mudah kecewa. Kategori mereka yang baru ingin berjinak-jinak dengan pertanian adalah sangat 'fragile' dan memerlukan bimbingan, motivasi dan juga sokongan untuk mempersiapkan diri mereka sebagai usahawan tani berjaya dapat dipupuk dan dididik sebaik mungkin. Dan itulah antara sebahagian tugas kami di LPP pun yang akhirnya dapat membantu untuk meningkatkan taraf sosio-ekonomi para peladang itu sendiri.

Berbalik kepada cerita kawan aku ini, aku cuma nasihatkan supaya mereka cuba melihat akan potensi arnab pedaging berbanding itik penelur. Nasihat aku adalah supaya mereka menimbangkan sebaiknya sebelum membuat keputusan. Buat perbandingan antara itik penelur dan arnab pedaging. Aku juga turut sertakan maklumat-maklumat berkaitan arnab pedaging serta potensinya untuk ditelaah oleh mereka. Namun, aku turut tekankan supaya mereka menimbangkan sendiri kedua-dua komoditi itu sebelum memutuskannya. Akhirnya dia bersama rakannya membuat pilihan untuk terlibat di dalam penternakan arnab pedaging. 

Setelah beberapa bulan lamanya dia mengusahakan ternakan arnab ini, aku dihubungi semula dan kali ini dia bersama rakannya ingin mengucapkan terima kasih kerana membuka mata dan minda mereka untuk terlibat di dalam ternakan arnab pedaging. Menurutnya, ternakan mereka telah mula mengeluarkan hasil dan ternyata mendapat permintaan yang sangat-sangat baik daripada pasaran. Dia bersama rakannya turut menyatakan kesyukuran kerana tidak memilih ternakan itik penelur kerana faktor-faktor sebelum ini yang aku nyatakan serta mereka sendiri melihat bagaimana rakan mereka yang lain yang tetap untuk meneruskan penternakan itik penelur akhirnya gagal.

2 hari lepas aku melawat di reban arnabnya dan melihat ternakan diuruskan olehnya. Dia maklumkan, dia kini telah bertukar ke ipoh dan agak memudahkannya menjalankan penternakan di batu kurau. Dia maklumkan kini mempunyai 30 ekor induk dan telah lebih 100 ekor dijual arnab pedaging untuk memenuhi permintaan. Sememangnya permintaan terhadap daging arnab tidak mampu ditampung olehnya dan rakannya buat masa ini. Walaupun, pendapatan arnab pedaging bukanlah untuk menjadi sumber pendapatan utama tetapi cukup untuk menjadi salah satu sumber pendapatan baharu buat mereka disamping menjadi hobi barunya. Aku sempat bertanya bagaimana tentang makanan arnab? Selain daripada memberi makan pallet, dia juga turut memberikan daun ketum ayam sebagai makanan tambahan dan selingan untuk memastikan arnab-arnabnya mempunyai tinggi protein dan sihat.

Ketum Ayam


Harga dijual sekitar RM35-38/kg dalam bentuk karkas (siap proses). Semasa aku melawat tempoh hari, bekalan daging arnabnya telah habis terjual dan kini hanya tinggal induk sahaja yang akan dibiakkan untuk pusingan seterusnya. Pada aku, aku hanya menumpang gembira melihat penternakannya berkembang biak dan menjana pendapatan kepada usahawan muda sepertinya. Moga penternakan arnab pedaging yang diusahakan akan berkembang biak dan maju pada masa akan datang. Dia begitu teruja berkongsi cerita pengalamannya menjalankan penternakan arnabnya. Suka duka dan persepsi negatif jiran tetangga tentang permulaan dia membela arnab. Ada yang kata, "buat apa bela arnab, sekadar nak bela bolehla tapi nak jual mana? siapa nak beli?" tetapi kini terbukti telahan ramai sebenarnya meleset.



Reban arnab pedaging yang menempatkan induk

Perancangannya pada akan datang untuk membesarkan lagi reban sedia ada untuk menampung kapasiti ternakan untuk memastikan pembekalan daging arnab sentiasa konsisten.

Nasihat aku kepadanya sebelum aku beredar supaya sebarkan ilmu dan pengetahuan kepada ramai anak-anak muda di kampung itu bagi memastikan mereka dapat berkongsi rezeki melalui rezeki kurniaan Allah kepada kita agar perusahaan yang dijalankan bertambah berkat dan maju, insya Allah. Tahniah shahrir, teruskan kecemerlangan dan moga berjaya dalam mengusahakan penternakan arnab pedaging.