Monday 23 April 2012

Pemansuhan PTPTN : Pandangan Saya

Sejak isu pemansuhan PTPTN diutarakan, ramai pihak yang tampil memberi respons. Ada yang bersetuju dan tak kurang juga yang menyatakan tidak bersetuju dengan tindakan tersebut. Sehinggakan bagi menunjukkan rasa tidak puas hati segelintir golongan yang menentang PTPTN ini, ada yang sanggup untuk berkhemah di Dataran Merdeka bagi menunjukkan kepada kerajaan bahawa sememangnya mereka tidak berpuas hati dan masing-masing bercakap soal hak mereka.

Saya meneliti dari dada-dada akhbar, blog, penjelasan pembangkang dan bagaimana parti politik pembangkang mahu menghapuskan PTPTN dan sumber-sumbernya. Saya juga dengan teliti mendengar penjelasan dari parti kerajaan dan badan-badan bertanggungjawab yang mahu mempertahankan PTPTN.

Jika menurut ketua pembangkang, pemansuhan PTPTN akan meredakan bebanan yang terpaksa ditanggung oleh anak muda / belia sebelum mereka bekerja ada asas dan alasan yang kukuh. Selain itu juga, dengan menampilkan bagaimana sumber hasil dari petronas untuk digunakan bagi menyediakan kemudahan pendidikan tinggi secara percuma juga dilihat suatu perkara yang boleh diterima pakai. Saya cukup sedar, selaku pelajar sememangnya bebanan hutang sebelum bekerja amat memeritkan terutama bagi golongan miskin dan sederhana. Izinkan saya juga bersama-sama dengan para penyuara yang membangkitkan soal pemansuhan PTPTN ini untuk turut sama berkongsi pandangan bersama anda yang sedia membaca entri ini dan adalah dialu-alukan untuk memberi komen dan pandangan peribadi anda. Suka saya nasihatkan kepada saudara/i, supaya pandangan yang diberikan itu tidaklah berbaur politik dan emosi yang melampau. Apapun, saya hargai komen-komen anda nanti.

Disini saya akan beri pandangan peribadi saya berhubung soal ini.
1. PEMANSUHAN PTPTN, SOKONG ATAU TIDAK?

Saya menyokong untuk dihapuskan jika saya memikirkan untuk diri saya yang kini juga sebagai peminjam PTPTN, sokong 100%. sekurang-kurangnya hutang saya selama ini akan dihapuskan dan tak perlu lagi saya membayarnya. Tetapi jika kita unjurkan ia pada masa panjang dan ke depan, kita akan dapati bahawa sekiranya PTPTN dihapuskan, persoalan saya kepada semua, apakah anda yakin bahawa semua adik-adik yang kini dibangku sekolah akan masuk ke universiti awam semuanya? Apakah pendidikan swasta juga akan diberi percuma? Jika kita yakin bahawa generasi akan datang akan masuk ke IPTA semuanya, saya kira tidak sangat bermasalah kerana hal ini akan ditanggung sepenuhnya kerajaan ketika itu kerana pendidikan tinggi percuma. Tetapi jika ada diantara mereka itu gagal mendapatkan keputusan cemerlang, maka tempat untuk melanjutkan pelajaran tinggi adalah di swasta. Swasta tidak memperdulikan pendidikan percuma. Semua itu berorientasikan keuntungan dan memerlukan wang untuk belajar. Jika anak-anak kampung yang pendapatan keluarga hanya bertani, pemandu teksi,bas,lori dan buruh, apakah golongan ini akan punyai cukup wang untuk membuat bayaran yuran dan sebagainya di sektor swasta? Itu baru seorang anak yang melanjutkan pelajaran ke universiti. Jika 3-4 orang?

2. APAKAH SYOR PATUT DILAKUKAN KERAJAAN?

Syor yang dilakukan bukanlah pemansuhan PTPTN. Saya suka jika pihak kerajaan memansuhkan sebarang 'interest' terhadap baki pinjaman PTPTN yang ada kini. Hal ini dilihat boleh memberi bebanan kepada pelajar. Saya juga mengesyorkan kepada kerajaan supaya memberi kemudahan kepada pelajar yang berjaya mencatatkan keputusan cemerlang sehingga tamat pengajian maka pinjaman berkenaan dialihkan kepada biasiswa. Sementara bagi peminjam yang tidak mencatatkan keputusan cemerlang pula, bayaran separuh dikenakan kepada peminjam sementara sebahagian lagi adalah hasil inisiatif kerajaan untuk menanggungnya selaku kerajaan yang bertanggungjawab. Sekurang-kurangnya, saya berpendapat bahawa bebanan kepada anak muda dapat dikurangkan. Selain itu, kutipan bayaran balik hutang tidak dikenakan seleas 6 bulan tamat pengajian sepertimana yang dilakukan sekarang, tetapi setelah pelajar mendapat pekerjaan. Bagaimana mungkin pelajar akan mampu bayar jika masih belum memperoleh pekerjaan.

RUMUSAN DAN KESIMPULAN

Saya dapati bahawa kepada golongan mahasiswa yang mengikuti demonstrasi penghapusan PTPTN kini tidak sewajarnya berbuat demikian. Saya dapati juga, mengapa perlu ditentang? sedangkan PTPTN tidak pernah memaksa mana-mana individu untuk meminjam dengannya. Ianya terbuka kepada sesiapa yang berminat untuk meminjam. Jadi setelah anda membuat pinjaman, dan menandatangani perjanjian yang anda sendiri membaca dan menelitinya akan syarat dan terma, jadi mengapa kini anda perlu bangkit seolah-olah anda sedang dizalimi dan dianayai? Bukankah jika anda sedar akan implikasinya, maka dari awal-awal lagi anda sudah tidak terima akan PTPTN ini? Ataukah anda sebenarnya berminat untuk menjadi seorang ahli politik berbanding mahasiswa tulen?
Saya lebih senang jika perkara-perkara yang disebutkan dikaji dan dilaksanakan berbanding penghapusan. Ya, mungkin penghapusan ini dipersetujui tetapi jika mahu dilaksanakan apakah kerajaan juga bersedia untuk menampung perbelanjaan kepada pendidikan sektor swasta juga dan ini juga sebagai keadilan dan hak rakyat malaysia bukan?

No comments:

Post a Comment