Sunday, 9 February 2025

KESAN TERHADAP PELAKSANAAN GAJI MINIMUM

    01 Februari 2025 bermulanya perintah gaji minimum yang ditetapkan oleh pihak kerajaan  iaitu pada kadar RM 1,700.00/bulan bagi pekerja sektor swasta yang mempunyai pekerja melebihi 5 orang. Sementara mana-mana majikan yang mempunyai kurang 5 orang pekerja pula, maka pelaksanaannya adalah bermula pada 01 Ogos 2025. Pelaksanaan ini maka menjadikan pelaksanaan kali ke-5 oleh kerajaan bagi memastikan kadar upah dalam pasaran buruh terutama dalam sektor swasta dinaikkan secara mandatori. Namun begitu, apakah kesan terhadap organisasi, majikan dan produktiviti?

    Jika kita amati pengumuman mengenai pelaksanaan perintah ini ianya cukup terkait dengan produktiviti, kualiti dan juga kesan terhadap kewangan organisasi yang menggaji pekerja. Jika asasnya untuk mengimbangi kos sara hidup kini ianya adalah langkah tepat. Namun, disebalik pelaksanaan ini sebenarnya memberi kesan kewangan yang besar terhadap kewangan organisasi. Bayangkan sesebuah organisasi yang menggajikan pekerja 10 orang perlu meningkatkan kos operasi untuk menampung perbelanjaan gaji sahaja. Sudah tentu, bagi organisasi yang belum stabil dari segi kewangan bakal berisiko gulung tikar. 

    Pada pandangan saya, menerusi Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) boleh mengumumkan penetapan gaji minimum seberapa banyak nilainya, tetapi bukan semata-mata aspek kadar upah. Ianya perlu disusuli dengan pertanggungjawaban terhadap pekerja dan bukan semata-mata ke atas majikan semata-mata. Cadangan saya, dikala majikan diminta untuk membayar kadar upah lebih tinggi iaitu pada kadar RM 1,700/bulan setiap orang (paling minimum), pekerja juga seharusnya dimasukkan dalam perintah gaji minimum berkenaan atau di dalam Akta Pekerja mengenai tanggungjawab dan peranan pekerja yang perlu diperluaskan skopnya atau fungsi yang 'multi-tasking'. Disamping itu juga peningkatan kadar upah mesti seiring dengan kualiti dan kecemerlangan prestasi setiap pekerja. Apa yang dilakukan sekarang, upah bagi cuci pinggan, tukang cuci (cleaner) dan pekerja lain seperti jurujual atau pam attendant adalah sama. 

   Dalam hubungan itu, satu parameter mengukur prestasi perlu dibuat untuk majikan bagi membolehkan bayaran upah itu dapat melonjakkan prestasi dan produktiviti dalam organisasi. Menerusi kaedah ini, dijangka organisasi akan dapat berkembang dan boleh mencapai hasrat kerajaan agar kadar upah di Malaysia suatu hari nanti paling minimum adalah pada kadar RM 4,000/bulan. Dalam satu dua hari ini, dilaporkan bahawa syarikat petroleum negara iaitu Petronas bakal embuat penstrukturan semula pekerja bagi meningkatkan kecekapan dan keupayaan syarikat untuk bertahan setelah mendepani cabaran masa kini. Dijangka pemberhentian pekerja besar-besaran boleh berlaku dalam syarikat petroleum negara itu yang kini mempunyai kira-kira 52,000 orang kakitangan keseluruhannya. 

    Ketika kita sedang mahu membela nasib pekerja, kerajaan juga perlu mengambilkira ekosistem pasaran, ekonomi dan kepentingan majikan juga agar berada dalam keadaan 'menang-menang'. Pertumbuhan sihat dalam dunia perniagaan amat penting. Kita khuatir dengan penetapan demi penetapan yang dilakukan bukan bersifat pertimbangan wajar dari petunjuk sebenar pasaran dan ekonomi sebaliknya diambil berdasarkan populis semata-mata bakal meruntuhkan sistem dan perniagaan sedia ada. Saya percaya hasrat kerajaan adalah murni namun, ianya perlu diperhalusi dari segi kesan dan impaknya terhadap organisasi agar pelaksanaannya itu bakal memberi kesejahteraan terhadap warga keseluruhannya.

Wallahu'alam.

 

Saturday, 8 February 2025

CADANGAN PENGUSIRAN RAKYAT PALESTIN DARI GAZA

    Ketika  dunia baru menarik nafas lega sebaik sahaja pengumuman gencatan senjata antara Hamas dan tentera Israel baru-baru ini, timbul pula perancangan untuk mengeluarkan rakyat negara sendiri dari tanah air mereka. Hal ini kononnya bagi membolehkan keamanan dapat dicapai secara total di rantau berkenaan. Cadangan ini diutarakan oleh Presiden US yang baru mengangkat sumpah iaitu Donald Trumph. Beliau turut memberi penjelasan lanjut mengenai perancangannya bagi memberi kesejahteraan, keamanan, kebahagian buat rakyat palestin untuk hidup di mana-mana negara selain daripada terus tinggal di Gaza. Selain itu juga, Gaza akan dibangunkan dengan Israel menyerahkan wilayah berkenaan kepada USA untuk dibangunkan semula disebalik keruntuhan dan kemusnahan teruk akibat kesan perperangan. Malah ketika ditanya bilakah rakyat Palestin akan kembali semula ke Gaza? jawapannya adalah selama-lamanya tidak perlu kembali. 

    Tindakan ini bukan sahaja mengusarkan rakyat Palestin, bahkan dunia. Kebimbangan ini ada asasnya memandangkan jika rancangan ini diterjemahkan dalam bentuk tindakan selepas ini, maka ianya bukan sahaja akan menyebabkan ketegangan kembali memuncak, bahkan turut memberi kesan lain kepada negara-negara yang tidak terlibat dalam perperangan sebelum ini. Tindakan yang bertopengkan keamanan sebenarnya akan mengundang lebih banyak kesan buruk berbanding kebaikan. Ramai tokoh atau pemimpin dari pelbagai negara telah menyatakan bantahan berkaitan cadangan daripada white house itu dan antaranya adalah termasuk dari Malaysia. Seharusnya, sebagai mencari jalan penyelesaian, bukan bermakna untuk merampas tanah dari pemiliknya dan diserahkan kepada orang lain menerusi kekerasan. Sebaliknya, perundingan damai hendaklah dilakukan dan dalam masa sama membantu masyarakat di sana dalam membangunkan semula negara yang sudah hampir hancur itu. Menghentikan tindakan-tindakan ganas dan kejam serta penindasan berterusan merupakan satu pendekatan yang sewajarnya dilakukan. Apakah dengan mengambil tindakan pengusiran seumpama ini akan melemahkan pasukan mujahidin? Sudah tentu sekali tidak. Bahkan akan meningkatkan lagi kekuatan dan sokongan terhadap pasukan ini dalam memperjuangkan pembebasan Palestin dari cengkaman zionis.

    Moga Allah bersama dengan orang-orang yang dizalimi dan menghancurkan musuh-musuh yang mahu membuat kebatilan dan kezaliman.

Wallau'alam.


Tuesday, 4 February 2025

KEHADIRAN CAHAYA MATA KEDUA

 

'Abang' Bobby pun teruja jugak. Dah lama xada baby dalam rumah ni ;p

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah tuhan semesta alam yang telah mengurniakan nikmatnya kepada kita semua. Hari ini genap 12 hari umur anak saya yang ke-2. Dilahirkan pada 24 Januari 2025 dan nama yang diberikan kepada bayi ini Hadeef Affan. Hadeef bermaksud tajam, cerdas atau fasih berbicara. Manakala Affan pula membawa maksud suci, bersih atau berakhlak mulia. Selain itu juga, Affan merupakan bapa kepada salah seorang khalifah ar-rasyiddin. Hadeef Affan membawa maksud orang yang tajam pemikirannya dan memiliki akhlak yang suci serta terpuji. Kehadirannya dalam keluarga kami disambut dengan penuh rasa syukur dan gembira. Jarak antara anak sulung kami, fia dengan hadeef lebih kurang 10 tahun. Fia orang yang paling teruja sekali. Mana tidaknya, selama ini dia merupakan anak tunggal, namun kini telah mempunyai adik! Apapun, semoga anak ini tergolong dalam golongan orang-orang yang soleh dan berjaya di dunia dan akhirat.