Saturday, 18 December 2021
WARNA-WARNI KEHIDUPAN,
SARAWAK MEMILIH
Hari ini para pengundi di Sarawak telah melaksanakan tanggungjawab mereka untuk memilih pemimpin masing-masing dari parti-parti yang bertanding untuk memimpin negeri bumi kenyalang bagi tempoh 5 tahun mendatang. Pilihan raya Negeri yang diadakan ini merupakan pilihan raya yang penting buat rakyat dan pengundi negeri Sarawak memandangkan rakyat di sana bakal menentukan sendiri masa depan dan hala tuju negeri berkenaan sebaik sahaja keputusan pilihan raya diumumkan hari ini.
Parti pemerintah sebelum ini adalah parti Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang diketuai oleh Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg selaku Ketua Menteri Sarawak yang menggantikan Allahyarham Tan Sri Adenan Satem yang telah kembali kerahmatullah pada tahun 2017 yang lalu. Pilihan raya kali ini juga menyaksikan parti-parti lain yang turut bertanding dan menawarkan perkhidmatan masing-masing seperti PKR, DAP, AMANAH, PSB dan tidak ketinggalan iaitu calon-calon Bebas.
Sarawak merupakan negeri yang besar dan mempunyai potensi yang cukup besar khususnya untuk memacu ekonomi dan juga pembangunan di bumi kenyalang berkenaan. Ditambah pula negeri Sarawak merupakan negeri yang mempunyai pelbagai suku kaum dan bangsa yang menghuni bumi bertuah berkenaan. Namun, negeri berkenaan buat masa ini kelihatan masih ketinggalan dari segi kemajuan dan juga aspek pembangunan fizikal. Disebalik perkara berkenaan ada kebaikannya khususnya bukan bermakna negeri Sarawak perlu dibangunkan dengan banyaknya bangunan pencakar langit. Bukan. Tetapi, dengan kayanya sumber asli dan juga sumber alam yang menghijau boleh melonjakkan negeri Sarawak sebagai salah satu negeri hijau yang baik untuk eko-pelancongan dan juga menekankan tentang ciri kebudayaan yang tinggi berkaitan masyarakat yang berbilang suku kaum yang unik.
Pesan kepada parti yang bakal diumumkan sebagai pemenang untuk memerintah negeri Sarawak kelak, laksanakanlah tanggungjawab dan amanah berkenaan sebaiknya. Jangan khianati mandat dan kepercayaan rakyat Sarawak. Berkhidmatlah dengan jujur dan penuh dedikasi untuk kebaikan dan kemajuan negeri Sarawak sebaiknya.
Wallahua'lam
Sunday, 5 December 2021
ISU KENAIKAN HARGA BARANG KEPERLUAN BAHAN MAKANAN; PERANAN KOMUNITI SETEMPAT
Negara
ketika ini bukan sahaja sedang berperang melawan wabak COVID-19 tetapi juga
terpaksa berdepan dengan isu kenaikan harga barangan keperluan bahan makanan
terutamanya sayuran, telur ayam dan harga ayam proses di pasaran yang dilihat
menekan pelbagai lapisan masyarakat di negara ini. Tekanan kenaikan harga bahan
makanan ini lebih mengesankan kepada mereka yang berada dalam kumpulan B40 dan
tempiasnya juga turut dirasai oleh golongan M40 yang mana kedua-dua lapisan ini
mewakili masyarakat terbanyak dalam negara!
Beberapa
inisiatif dan keputusan kerajaan dilihat untuk membantu menangani kenaikan
harga barangan asas berkaitan makanan keperluan rakyat ini yang dijangka akan
berlarutan sehingga ke tahun baru cina pada Februari tahun hadapan telah mula
dilakukan sebagai permulaan. Antaranya seperti memperkenalkan Skim Kawalan
Harga yang dipercepatkan memandangkan perayaan Krismas bakal menjelang beberapa
minggu dari sekarang dan begitu juga dengan sambutan tahun baru cina pada bulan
Februari 2022. Selain itu juga, pelaksanaan Jualan Murah Keluarga Malaysia
(JMKM) yang mula dilancarkan yang menawarkan harga lebih murah berbanding pasaran
ke atas pelbagai barangan keperluan yang dilaksanakan 2 kali sebulan. Selain
itu juga, langkah-langkah lain seperti menyediakan subsidi ke atas kos baja dan
racun untuk pesawah yang dilihat penyumbang kepada peningkatan kos pengeluaran
dan dalam masa sama keputusan kerajaan untuk mengimport ayam dari luar negara
bagi mengimbangi keperluan dalam negara dan dalam masa sama dapat menstabilkan
harga dalam pasaran.
Jika
ditekuni mengenai isu kenaikan harga barang bukanlah sesuatu yang baru dialami
bahkan ianya sudah berlarutan sejak sekian lama. Keresahan sebilangan besar
masyarakat adalah mengenai kenaikan harga barang keperluan harian yang mampu
memberi tekanan terhadap kehidupan yang mana secara tidak langsung akan turut
menaikkan kos sara hidup isi rumah. Kesan kenaikan ini bukan sahaja bersifat
sementara tetapi mampu memberi kesan jangka panjang jika tidak ditangani dengan
segera dan tepat. Dalam pada sebahagian besar rakyat terkesan di luar sana
dengan dampak covid-19, banyak mereka yang dahulunya berada di dalam golongan
M40 telah tergelincir kepada B40, manakala mereka yang sedia berada di dalam
golongan B40 pula telah jatuh dengan lebih parah lagi akibat covid-19 khususnya
soal ekonomi mereka, baru ingin bernafas kembali tetapi telah ditekan pula
dengan himpitan kenaikan harga barangan keperluan yang menyentuh soal makanan
harian yang semakin mengesankan.
Saya
tidak berhasrat untuk mengulas atau menyentuh mengenai dasar-dasar intervensi
kerajaan serta keputusan-keputusan yang telah dan akan diputuskan oleh pihak
kerajaan di dalam menangani perkara ini. Hal ini kerana, sebagai sebuah
kerajaan, maka saya yakin kerajaan akan bertindak selaras dengan apa yang
sepatutnya mereka lakukan. Sebaliknya saya ingin mengulas di sini berkaitan
dengan peranan yang boleh dimainkan oleh komuniti setempat sebagai sumbangan
terhadap penyelesaian kepada permasalahan ini dengan cara kita. Saya yakin
bahawa peranan komuniti terutamanya amat penting khususnya di dalam mengimbangi
soal kesejahteraan masyarakat madani seperti di Malaysia ini terutama di dalam
berganding bahu untuk menangkis kenaikan harga barang khususnya berkaitan
agromakanan yang kini meningkat naik. Dalam pada pihak kerajaan sedang berusaha
untuk mengatasinya diperingkat intervensi dan juga langkah-langkah
penguatkuasaan serta penyelesaian secara makro, saya ingin juga mengajak
komuniti untuk turut serta dalam penyelesaian ini mungkin secara mikro supaya
keluarga kita, jiran tetangga kita dan komuniti setempat dapat menyumbang
kepada menangani isu kenaikan harga barangan ini melalui cara kita sendiri. Cara
kita ini bermakna bukanlah melalui pelbagai teori-teori oleh pakar-pakar
ekonomi misalnya, sebaliknya kita lakukan dengan cara yang lebih praktikal dan ‘common sense’ yang saya yakin mampu
sedikit sebanyak menampung dan membantu menjimatkan belanja dapur harian di
rumah kita, insya Allah.
Komuniti
sebenarnya boleh memainkan peranan besar dalam menyumbang kepada menangani
masalah ini. Komuniti bukan sahaja sekadar pengguna, sebaliknya golongan ini
mampu menjadi penentu kepada turun dan naiknya harga barang. Justeru, saya
mencadangkan supaya setiap komuniti segera melaksanakan kebun-kebun komuniti
setempat. Pelaksanaan ini boleh direalisasikan dengan penglibatan semua pihak
di dalam sesebuah komuniti itu. Misalnya di sebuah taman perumahan, boleh
membentuk satu gerakan komuniti dengan mengusakan kawasan lapang di sekitar
taman untuk kebun sayuran dan sebagainya. Hasil pengeluaran kebun itu nanti
boleh diagihkan kepada seluruh penduduk taman berkenaan. Melalui kaedah ini,
kos untuk membeli sayuran dapat dijimatkan dengan penghasilan sayuran sendiri
yang sudah tentu terjamin dari segi kualiti dan juga bebas daripada racun kimia
yang berlebihan. Seterusnya, setiap rumah juga boleh melaksanakan konsep
#tanamapayangdimakan #makanapayangditanam dengan memanfaatkan ruang dan kawasan
rumah kita untuk bercucuk tanam. Dalam saat getir seumpama inilah, saya fikir
setiap kita perlu bercucuk tanam untuk sekurang-kurangnya makan sendiri dan
boleh disedekahkan kepada jiran tetangga kita jika ada lebih. Dengan cara ini,
saya yakin bahawa tiada keperluan untuk kita mengeluarkan belanja untuk membeli
sayuran yang sudah ada di kawasan rumah kita sendiri. Secara tidak langsung,
kos dapat dijimatkan. Misalnya, boleh saja untuk menanam cili besar, cili padi,
kangkung, sawi, kobis, dan sebagainya untuk menampung keperluan harian dapur
sendiri. Demikian juga mereka yang tinggal di flat dan pangsapuri juga boleh
menanamnya dalam pasu atau polybag mengikut ruang yang ada.
Ingat,
penawaran wujud apabila adanya permintaan. Harga sesuatu barang akan berkadar
langsung terhadap perkara ini. Jika permintaan rendah mustahil untuk sesuatu
barangan itu mencanak naik. Justeru, jika kebanyakan kita menanam dan menuai
sendiri hasil yang kita tanam untuk dimakan tanpa perlu berbelanja, maka harga
di pasaran akan turun dan kembali stabil. Pengajaran yang boleh kita pelajari
daripada isu kenaikan harga barangan keperluan khususnya makanan ini, adalah
untuk kembali mengusahakan tanah-tanah terbiar yang berada di kawasan sekitar
kita untuk dimanfaatkan dengan penanaman agromakanan atau mengusahakan ternakan
seperti ayam kampung, arnab, itik dan sebagainya yang bersesuaian. Antara
faktor penyumbang kepada kenaikan harga ini juga dikaitkan dengan kekurangan
tenaga kerja yang dikatakan dahulunya oleh warga asing dan disebabkan mereka
telah kembali ke tanah air masing-masing serta pengawalan sempadan yang ketat
tidak membolehkan pekerja asing kembali ke sini untuk memenuhi keperluan tenaga
kerja di sektor pertanian. Hal ini juga sepatutnya membuka mata generasi muda
tempatan untuk memenuhi kelompongan yang ditinggalkan pekerja asing ini sebagai
salah satu fardhu kifayah. Selain itu juga, faktor melambungnya harga apabila
pengeluaran dikatakan tidak dapat menampung permintaan secukupnya apabila
pelbagai sektor ekonomi telah mula dibuka mulai bulan Oktober iaitu perhotelan
dan pusat peranginan yang mula menerima pelancong. Dari sudut yang lain,
sebenarnya ianya bagus untuk perkembangan ekonomi dalam negara tetapi
sebagainya pengguna amat terasa akan bahangnya lebih-lebih lagi bagi mereka
yang berkeluarga besar. Justeru, saya amat yakin penglibatan daripada komuniti
setempat dengan memainkan peranan untuk terlibat di dalam penghasilan bahan
makanan menerusi inisiatif komuniti yang dilakukan dapat membantu komuniti itu
sendiri untuk mengekang kenaikan mencanak harga barang keperluan.
Secara
kesimpulannya, saya berharap agar isu kenaikan harga barang keperluan ini dapat
ditangani segera dan kembali stabil untuk memastikan kelangsungan hidup buat
sebahagian besar masyarakat di negara ini yang sangat terkesan buat masa ini
menerusi penangan covid-19 sebelum ini dapat diredakan dengan
inisitaif-inisatif yang berkesan oleh pihak kerajaan dan dalam masa pembabitan
aktif komuniti itu sendiri dalam membantu menangani permasalahan yang dihadapi
buat masa ini. Penyelesaian bukan sekadar bersifat jangka pendek semata-mata
tetapi memerlukan penyelesaian jangka panjang yang mensejahterakan kehidupan
rakyat yang berbilang dan pelbagai latar belakang. Bukan bermakna, apabila menyentuh peranan komuniti ini maka kita hendak menafikan peranan kerajaan. Bukan. Sebaliknya aspek dan peranan komuniti yang juga rakyat negara ini yang juga pengguna boleh memainkan peranan kita untuk turut serta dalam menyumbang kepada pergelutan ini. Setidak-tidaknya, bukan sahaja kita dapat bercucuk tanam, sebaliknya mengeratkan ukhuwah sesama kita jiran tetangga. Mungkin juga sumbangan kecil ini tidak mampu mengubah landskap isu negara, tetapi sekurang-kurangnya inisiatif komuniti setempat dapat menyelamatkan banyak keluarga yang sedang menderita di sekeliling kita. Sikap lebih cakna ini juga dianjurkan agama supaya peribahasa 'hati nyamuk sama dicicah, hati gajah sama dilapah' diterjemah melalui tindakan kita dalam komuniti setempat supaya lebih berkesan dan menghargai diri dan jiran. Mudah-mudahan usaha kecil kita diganjarkan pahala dan kebaikan oleh Allah swt, Insya Allah.
Saturday, 4 December 2021
DATANGLAH KE BAGAN DATUK
Assalamualaikum
semua,
Kali
ini aku Cuma nak share kepada semua tentang antara tempat-tampat menarik di
Bagan Datuk jika anda ke sana. Barangkali, mungkin Bagan Datuk bukanlah tempat
tarikan pelancongan sepertimana tempat-tempat lain seperti bandar hilir di
Melaka ataupun Tanjong Bungah di Pulau Pinang kan? Mahupun bukan juga di
Brinchang, Cameron Highlands bukan? Tetapi, mungkin ramai di luar sana tidak
mengetahui tentang terdapat beberapa tempat menarik untuk dikunjungi jika anda
masih tercari-cari tempat atau lokasi bersesuaian untuk melancong lebih-lebih
lagi untuk menenangkan fikiran dan merehatkan minda dari kesibukan kota.
![]() |
Ikonik kapal dipinggir sungai Perak |
Secara
umumnya, bagan datuk merupakan kawasan luar bandar yang bebas daro hiruk pikuk
kota. Berlatarbelakangkan tanaman kelapa yang tinggi melampai yang sentiasa
melambai-lambai kehadiran pengunjung. Aku pertama kali sampai di pekan bagan
datuk ni minggu lepas. Agak menarik juga. Beberapa tempat yang aku pergi
antaranya pekannya yang tenang dan kecil sahaja. Selain itu aku ke ladang bunga
matahari yang dijadikan sebagai tarikan pelancongan ‘agrotourism’. Selain itu
juga, menurut orang di sini, jika mahu menikmati keindahan di Pulau Sembilan
juga boleh menaiki bot dari sini. Tetapi sekarang, khabarnya dah tak buat lagi
pakej tu.
Ok,
berbalik kepada tempat sunflower walk
ni aku first time sampai dan tiket
masuknya boleh tahan juga iaitu RM 13/orang bagi dewasa dan RM 5/orang bagi
kanak-kanak bawah 7 tahun. Agak kreatif juga pemilik tempat ni dengan pelbagai
dekorasi dan juga arrangement di dalamnya untuk para pengunjung merakam
kenangan apabila berkunjung ke sini. Ada satu tempat tu, dikenali sebagai ‘Ladder to heaven’ menjadi antara tarikan
pelancong ke sini. Ok guys, aku share
sikit gambar-gambar di sana ye.. check-it
out!
Ladder to heaven |
Saturday, 27 November 2021
MESYUARAT AGUNG TAHUNAN (MAT) PERTUBUHAN PELADANG (PP) DI PERAK SUDAH BERMULA
![]() |
Petugas e-UNDI, LPP Perak |
18hb
November 2021 telah menyaksikan MAT PP di negeri Perak mula membuka tirainya
bagi tahun 2021. Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Lenggong merupakan PPK
pertama melaksanakan MAT yang disempurnakan oleh YAB Menteri Besar Perak di
dewan KEMAS Lenggong dengan jayanya. MAT PP merupakan perkara penting yang
memerlukan setiap PP mengadakan mesyuarat agung masing-masing setiap tahun.
Cuma bagi tahun ini merupakan tahun pemilihan. Pemilihan yang dijalankan adalah
untuk menyerahkan kembali kepada ahli-ahli peladang menentukan dan memilih
kepimpinan mereka masing-masing bagi menerajui PP yang pada hemat mereka mampu
memacu institusi peladang ini ke arah kemajuan dan cemerlang.
Pemilihan
pula diadakan secara demokrasi yang mana ahli-ahli peladang berhak memilih
pemimpin mereka dengan kaedah mengundi. Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) yang
menjalankan fungsi Pendaftar PP pula akan menggendalikan proses pemilihan
berkenaan. Pemilihan diadakan setiap 2 tahun sekali. Sementara jawatan-jawatan
yang memerlukan pemilihan secara undi adalah Ahli Jemaah Pengarah (AJP)
terbuka, AJP Peladangnita, AJP Peladang Muda, calon AJP PPN, perwakilan ke PPN,
calon perwakilan ke NAFAS, calon AJP NAFAS dan Juruaudit Dalam PPK.
![]() |
Taklimat diberikan kepada semua petugas sebelum proses pengundian bermula |
Sejak
tahun 2016 sehingga kini, proses pengundian dilaksanakan secara elektronik
iaitu menggunakan sistem e-UNDI yang dibangunkan oleh LPP bagi meningkatkan
kecekapan proses pengundian dan juga lebih efisyen serta telus. Para perwakilan
tidak lagi membuang kertas undi masing-masing secara manual dengan memangkah di
atas kertas yang lebih mengambil masa yang lama. Pengundian secara e-UNDI ini
lebih banyak masa dapat dijimatkan dan cekap. Di Perak terdapat 30 buah PPK dan
1 buah PPN yang akan melaksanakan MAT PP masing-masing pada kali ini. Sehingga
kini, sudah 4 buah PPK telah selesai mengadakan MAT dan melaksanakan pemilihan
barisan kepimpinan peladang masing-masing. PPK-PPK yang telah selesai
mengadakan MAT dan pemilihan adalah PPK Lenggong, PPK Gunung Semanggol, PPK
Batu Kurau dan PPK Slim River.
![]() |
Para perwakilan mula mengundi |
![]() |
MAT PPK Slim River |
Sehingga
penghujung bulan ini, terdapat 2 PPK lagi akan mengadakan MAT PP dan juga
menjalankan proses pemilihan masing-masing iaitu PPK Bagan Datuk dan PPK Langkap
iaitu pada 29 dan 30 November 2021. Berdasarkan pengalaman 4 buah PPK yang
telah selesai mengadakan MAT PP dan pemilihan berjalan lancar dan tiada
sebarang kacau-ganggu sepanjang mesyuarat berlangsung. Diharapkan semoga
kesemua PP di Perak akan dapat melaksanakan MAT PP masing-masing dengan jayanya
dan dalam masa sama mematuhi SOP yang ditetapkan bagi menggelakkan daripada
jangkitan wabak COVID-19 dikala negara dan dunia masih lagi diancam pandemik
COVID-19 masa kini walaupun vaksin telah diberikan kepada hampir majoriti
warganya.
Kepada
mereka yang telah terpilih sebagai barisan Ahli Jemaah Pengarah di PPK
masing-masing, jalankan amanah dan tanggungjawab ini sebaiknya. Kepada PPK yang
masing belum mengadakan MAT, pastikan persediaan dan persiapan rapi dilaksanakan
bagi mengelakkan sebarang insiden yang tidak diingini berlaku.
Kepada
semua para perwakilan peladang, selamat bersidang!
#PeladangMemilih2021
Sunday, 21 November 2021
MELAKA MEMILIH 2021 : PEMBENTUKAN KERAJAAN DI MELAKA
Tanggal
20 November 2021, terlakar satu lagi sejarah apabila rakyat di negeri Melaka
telah membuat keputusan dengan memilih Barisan Nasional (BN) untuk membentuk
kerajaan dan seterusnya diberi mandat untuk memimpin negeri berkenaan untuk
tempoh 5 tahun bermula dari sekarang. Apa pun pilihan yang dibuat oleh rakyat
negeri Melaka seharusnya perlu dihormati dan parti yang telah diberi amanah dan
kepercayaan rakyat haruslah diberi peluang bagi memimpin negeri berkenaan
sehingga tamat penggal nanti.
Selain
itu juga, mana-mana parti politik yang menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN)
Melaka telah mengemukakan manifesto masing-masing bagi menawan hati pengundi.
Walaupun, kali ini kekangan untuk berkempen seperti kebiasaan, namun rata-rata
dilihat parti-parti politik turut berkempen secara kreatif bagi berhubung
dengan pengundi untuk menyampaikan info-info dan juga tawaran yang pelbagai
dari parti masing-masing. Bagi kerajaan BN, ini masanya untuk kerajaan yang
baru dipilih rakyat Melaka untuk menyampaikan perkhidmatan yang terbaik dan
juga merealisasikan janji-janji yang telah dikemukakan kepada pengundi dan
rakyat negeri Melaka!
Kepada
para Ahli Yang Berhormat (YB) yang telah berjaya dipilih, jalankanlah
tanggungjawab kalian sebaik mungkin serta berkhidmat demi rakyat. Jangan lagi
ada YB sekadar ‘bermusim’ sahaja muncul dalam kawasan. Gaji kamu dibayar untuk
berkhidmat kepada rakyat dalam kawasan kamu, maka tunaikanlah tanggungjawab
kamu dengan dedikasi.
Tahniah
sekali lagi kepada YB-YB yang telah terpilih dan jangan ada lagi masa untuk
berbulan madu sebaliknya terus berkhidmat sehingga tamat penggal. Hentikan
wayang politik dan juga perebutan kuasa. Ini masa untuk bekerja, jangan buang
masa. Jangan khianati mandat rakyat kepada kalian.
Wallahua’lam.
Sunday, 7 November 2021
TERNAKAN ARNAB PEDAGING
![]() |
Arnab pedaging induk |
2 hari lepas berkesempatan ke rumah seorang kawan masa sekolah dulu di Batu Kurau, Perak. Dia sekarangs edang mengusahakan ternakan arnab pedaging yang telah hampir berusia 1 tahun mengusahakan penternakan ini. Sebenarnya ada cerita di sebalik ini. Ceritanya bermula sejak tahun lepas masa PKP 1 dulu. Masa tu akan sedang berkhidmat di Pahang sementara kawan aku sorang ni bekerja di Shah Alam, Selangor.
Satu hari aku terima satu panggilan telefon dari kawan ni yang pada masa tu dia ingin melibatkan diri dalam sektor pertanian. Untuk makluman semua, dia pada masa itu dan sekarang bekerja di pejabat pos. Dia pada masa tu berjauhan dengan keluarga atas tuntutan kerja dan setiap minggu berulang alik. Minta bertukar memang belum ada rezeki. Jadi masa tu dia mula berfikir untuk berhenti kerja dan menumpukan kepada pertanian di kampung sahaja. Jadi itulah punca dia telefon aku untuk minta pendapat. Tapi masa itu, dia bersama seorang lagi rakannya berhasrat untuk menjalankan penternakan itik penelur. Mereka telah mencari maklumat tentang itik penelur dan yakin akan potensinya. Dia telefon aku untuk meminta pendapat dan nasihat tentang hasrat mereka.
Sebagai orang yang berkhidmat di dalam sektor kerajaan, pandangan dan pendapat yang aku boleh bagi adalah untuk memastikan pilihan mereka itu selaku orang yang tiada pengalaman di dalam pertanian untuk mengurangkan jurang risiko yang akan memusnahkan harapan serta menjadikan mereka mudah kecewa. Kategori mereka yang baru ingin berjinak-jinak dengan pertanian adalah sangat 'fragile' dan memerlukan bimbingan, motivasi dan juga sokongan untuk mempersiapkan diri mereka sebagai usahawan tani berjaya dapat dipupuk dan dididik sebaik mungkin. Dan itulah antara sebahagian tugas kami di LPP pun yang akhirnya dapat membantu untuk meningkatkan taraf sosio-ekonomi para peladang itu sendiri.
Berbalik kepada cerita kawan aku ini, aku cuma nasihatkan supaya mereka cuba melihat akan potensi arnab pedaging berbanding itik penelur. Nasihat aku adalah supaya mereka menimbangkan sebaiknya sebelum membuat keputusan. Buat perbandingan antara itik penelur dan arnab pedaging. Aku juga turut sertakan maklumat-maklumat berkaitan arnab pedaging serta potensinya untuk ditelaah oleh mereka. Namun, aku turut tekankan supaya mereka menimbangkan sendiri kedua-dua komoditi itu sebelum memutuskannya. Akhirnya dia bersama rakannya membuat pilihan untuk terlibat di dalam penternakan arnab pedaging.
Setelah beberapa bulan lamanya dia mengusahakan ternakan arnab ini, aku dihubungi semula dan kali ini dia bersama rakannya ingin mengucapkan terima kasih kerana membuka mata dan minda mereka untuk terlibat di dalam ternakan arnab pedaging. Menurutnya, ternakan mereka telah mula mengeluarkan hasil dan ternyata mendapat permintaan yang sangat-sangat baik daripada pasaran. Dia bersama rakannya turut menyatakan kesyukuran kerana tidak memilih ternakan itik penelur kerana faktor-faktor sebelum ini yang aku nyatakan serta mereka sendiri melihat bagaimana rakan mereka yang lain yang tetap untuk meneruskan penternakan itik penelur akhirnya gagal.
2 hari lepas aku melawat di reban arnabnya dan melihat ternakan diuruskan olehnya. Dia maklumkan, dia kini telah bertukar ke ipoh dan agak memudahkannya menjalankan penternakan di batu kurau. Dia maklumkan kini mempunyai 30 ekor induk dan telah lebih 100 ekor dijual arnab pedaging untuk memenuhi permintaan. Sememangnya permintaan terhadap daging arnab tidak mampu ditampung olehnya dan rakannya buat masa ini. Walaupun, pendapatan arnab pedaging bukanlah untuk menjadi sumber pendapatan utama tetapi cukup untuk menjadi salah satu sumber pendapatan baharu buat mereka disamping menjadi hobi barunya. Aku sempat bertanya bagaimana tentang makanan arnab? Selain daripada memberi makan pallet, dia juga turut memberikan daun ketum ayam sebagai makanan tambahan dan selingan untuk memastikan arnab-arnabnya mempunyai tinggi protein dan sihat.
![]() |
Ketum Ayam |
Harga dijual sekitar RM35-38/kg dalam bentuk karkas (siap proses). Semasa aku melawat tempoh hari, bekalan daging arnabnya telah habis terjual dan kini hanya tinggal induk sahaja yang akan dibiakkan untuk pusingan seterusnya. Pada aku, aku hanya menumpang gembira melihat penternakannya berkembang biak dan menjana pendapatan kepada usahawan muda sepertinya. Moga penternakan arnab pedaging yang diusahakan akan berkembang biak dan maju pada masa akan datang. Dia begitu teruja berkongsi cerita pengalamannya menjalankan penternakan arnabnya. Suka duka dan persepsi negatif jiran tetangga tentang permulaan dia membela arnab. Ada yang kata, "buat apa bela arnab, sekadar nak bela bolehla tapi nak jual mana? siapa nak beli?" tetapi kini terbukti telahan ramai sebenarnya meleset.
![]() |
Reban arnab pedaging yang menempatkan induk |
Perancangannya pada akan datang untuk membesarkan lagi reban sedia ada untuk menampung kapasiti ternakan untuk memastikan pembekalan daging arnab sentiasa konsisten.
Nasihat aku kepadanya sebelum aku beredar supaya sebarkan ilmu dan pengetahuan kepada ramai anak-anak muda di kampung itu bagi memastikan mereka dapat berkongsi rezeki melalui rezeki kurniaan Allah kepada kita agar perusahaan yang dijalankan bertambah berkat dan maju, insya Allah. Tahniah shahrir, teruskan kecemerlangan dan moga berjaya dalam mengusahakan penternakan arnab pedaging.
Sunday, 10 October 2021
BERCUTI DI ROYAL BELUM, TASIK BANDING PERAK
Mengimbau kenangan ketika merehatkan minda dengan alam sekitar tahun 2017 lalu apabila bercuti ke Royal Belum, Tasik Banding Gerik Perak. Masa tu belum datang lagi covid-19 dan kehidupan kita semua adalah seperti biasa dan tidak terikat dengan segala macam bentuk SOP dan sebagainya. Kepada korang yang belum pernah lagi ke Royal Belum, tempat untuk ke sana adalah menerusi jeti awam di tasik banding. Sebelum tu korang perlu terlebih dahulu mendapatkan permit masuk ke sana daripada Perbadanan Taman Negeri Perak terlebih dahulu sebelum boleh masuk ke sana.
Biasanya, ramai ke royal belum ni untuk aktiviti ekopelancongan seperti melihat bunga terbesar dunia iaitu bunga rafflesia, memancing, ketenangan minda dengan alam dan sebagainya. Aku ke sana menaiki houseboat yang disewa untuk masuk ke royal belum. Perjalanan dari Jeti Awam ke Royal Belum memakan masa selama 2 jam menaiki houseboat. Kapasiti bouseboat ni adalah seramai 20 orang. Kalau korang prepare untuk bawa barang basah dan keperluan untuk masak sendiri lebih jimat. Sebab memang disediakan dapur untuk memasak. Korang akan bermalam di atas houseboat berkenaan sepanjang di sana. Bagi yang memang mabuk bila tiap kali berada di atas boat atau air, kena fikir 2 kali untuk masuk atau tidak. Tetapi untuk merasai pengalaman menarik apa salahnya mencabar diri kan?
Sebaik sahaja sampai di royal belum, houseboat kami berlabuh dan bermulalah aktiviti air seperti mandi manda di tasik, berkayak menelusuri kawasan sekitar berdekatan dengan houseboat. Sementara kaki pancing pula mula lah sibuk menaiki speed boat untuk di bawa ke lubuk-lubuk kaki pancing. Aku memang tak minat pancing, jadi aku just mandi manda dan berkayak sementara menunggu malam. Di atas houseboat pula, telah diagihkan kepada yang memang untuk memasak dan juga kerja-kerja lain. Aktiviti berkaraoke di atas houseboat semenangnya terbuka 24 jam selagi mampu. Hahaha. Tapi bila aku atas houseboat melihat di tasik yang menghijau airnya memang menyeramkan. Perasaan dan fikiran mula terfikir cerita anaconda dan juga cerita-cerita mitos naga tasik chini semua teringat wei..haha.. Tambah-tambah masa berkayak..fuh, seronok tambah berdebar sama banyak jer..nak berkayuh taknak jauh dari member-member..haha..Tapi apapun best sangat.
Pada aku apa yang menarik, adalah kita dapat benar-benar menikmati percutian tanpa gangguan sebarang panggilan telefon atau menerima whatsApp tentang kerja atau sebagainya kerana di sana tiada signal untuk telefon bimbit berkomunikasi. Jadi kita betul-betul meluangkan masa cuti itu dengan pelbagai aktiviti yang menarik. Tak banyak gambar aku simpan sebab semuanya di dalam fon lama yang dah rosak dan tak digunakan lagi.
Keesokkannya, kami dibawa ke sebuah perkampungan orang asli dari suku kaum Jahai di sana. Sebuah perkampungan yang terpencil di sana yang dikenali sebagai Kampung Aman Damai yang dihuni oleh suku kaum ini. Tidak terlalu besar kepulauan di tempat kediaman mereka tetapi sememangnya menjadi perkampungan tumpuan oleh pelancongan di bawa ke perkampungan mereka. Pakej kami tidak termasuk untuk melihat bunga rafflesia dan juga santuari kelah. Tetapi semua pengalaman dan kenangan semasa di sana sangat indah dan kekal segar di dalam ingatan.
Wednesday, 6 October 2021
KUNYIT HITAM
Salam semua,
Mencuri-curi masa untuk menulis di entri kali ini di blog. Pagi ini sempat tengok-tengokkan tanaman kunyit hitam sendiri punya yang ditanam di dalam pasu tepi rumah. Untuk pengetahuan semua, anak pokok kunyit hitam ni aku beli awal tahun ni di pasar. Kebetulan, semasa ke pasar untuk beli barang basah ada seorang pakcik ni dia jual anak-anak pokok termasuklah kunyit hitam ini. Harganya sepokok RM 20.00/polibeg. Jadi aku belila sepokok untuk ditanam di kawasan rumah.
Sebenarnya kunyit hitam ini memang aku telah lama cari untuk disemai dan ditanam. Memandangkan sebelum ini aku ada terdengar tentang khasiatnya dan juga kebaikan tanaman ini. Sebagai makluman semua, kunyit hitam ini atau nama saintifiknya adalah kaempferia pariflora merupakan kategori tanaman herba. Kunyit hitam ini setahu aku tidak boleh dijadikan sebagai ramuan masakan seperti kunyit biasa dalam makanan. Sebaliknya ianya digunakan untuk tujuan kesihatan. Hasil pembacaan di internet berkaitan kunyit hitam ini, ianya telah dibuat kajian oleh pihak-pihak penyelidik di dalam negara berkaitan potensi khasiatnya kepada manusia. Terdapat juga ekstrak kunyit hitam ini dijadikan dalam bentuk kapsul untuk dimakan sebagai produk kesihatan memandangkan ianya mempunyai antioksidan yang tinggi dan dipercayai boleh membantu untuk mengubati penyakit-penyakit dalam tubuh badan seperti kelancaran darah dan juga pelbagai penyakit.
![]() |
Pokok kunyit hitam di rumah |
Namun, tujuan aku kongsikan di blog aku ini bukan tentang khasiat kajian penyelidik dan sebagainya. Itu aku tinggalkan kepada penyelidik tentangnya. Aku cuma mahu berkongsi tentang tanaman kunyit hitam yang aku beli dan pindahkannya di dalam pasu di rumah. Beberapa bulan sebelum ini, aku dapati anak pokok kunyit hitam aku kekuningan daunnya dan menunjukkan ianya seakan-akan mati kerana kelihatan mereput. Aku sangka, memang anak pokok kunyit hitam aku memang dah mati. Sejak itu aku mula cari anak benih kunyit hitam untuk digantikan memandangkan aku pun memang ada sepokok tu je yang ditunggu untuk dibiakkan. Tapi tidak kesampaian. Tetapi dalam 2 bulan kebelakangan ini, aku dapati ada tunas keluar dari tanah dalam pasu aku tu. Ternyata anak pokok kunyit hitam!! Aku sangka dah mati rupanya ada lagi rezeki aku yang umbisinya mengeluarkan anak pokok. Alhamdulillah.
![]() |
Ada anak yang sedang keluar |
![]() |
Daun ada lubang,, tapi dah sembur cecair serai wangi untuk halau serangga/makhluk perosak |
Hari-hari aku tengok perkembangan anak pokok kunyit hitam aku. Nampak pokoknya sihat kali ini dan kini dalam proses tumbesaran. Insya Allah, jika membesar dengan baik aku akan pindahkan pokok kunyit hitam ini ke tanah dekat kawasan rumah mak aku untuk dibiakkan. Moga membesar dan sihat ye,
#sedangmencaripokokketumayam
Saturday, 2 October 2021
UJIAN PSIKOLOGI DIKALANGAN PENJAWAT AWAM
Salam semua, selamat datang Oktober!
Pagi ini sekadar perkongsian sahaja mengenai satu inisiatif kerajaan Malaysia untuk mengukur tahap kesejahteraan psikologi dalam kalangan penjawat awam Malaysia. Sama ada kita sedar atau tidak, pandemik COVID-19 bukan sahaja meranapkan ekonomi sesebuah negara, merubah cara masyarakat dunia menjalani kehidupan serta aktiviti sosial tetapi ianya juga turut memberi kesan terhadap psikologi seseorang. Pernyataan ini disokong dengan data apabila rekod bunuh diri juga menunjukkan peningkatan diperingkat dunia mahupun negara ini. Lebih 200 orang rakyat Malaysia dilaporkan media telah membunuh diri akibat daripada tekanan susulan pandemik yang melanda. Kemurungan, kelesuan, sakit mental dan sebagainya telah mendorong akan seseorang bertindak balas yang akhirnya akan memberi kesan kepada diri, keluarga dan juga menganggu ekosistem kesejahteraan masyarakat di negara ini.
Selaras dengan itu, inisiatif Jabatan Perkhidmatan Awam(JPA) telah melakukan kajiselidik ke atas penjawat awam untuk melihat tahap kesejahteraan psikologi mereka supaya tindakan susulan dapat diambil bagi memastikan perkara ini dapat dibendung dan diatasi sebaiknya. Oleh itu, baru-baru ini JPA telah menyediakan ujian untuk mengukur Indeks Kesejahteraan Psikologi Malaysia dalam kalangan penjawat awam. Semua penjawat awam disarankan untuk mengambil ujian berkenaan untuk melihat sejauhmana aspek emosi, kepuasan hidup, kefungsian psikologi, kesejahteraan sosial dan keterlibatan pekerja seseorang individu itu berada.
Aku juga mengambil ujian ini untuk melihat keputusannya. Soalan-soalan yang dikemukakan memerlukan kita menetapkan skala jawapan setiap soalan. Maka, jawablah dengan sejujurnya dan seikhlasnya. Keputusan akan dipaparkan sebaik sahaja kita selesai menjawab dan mengisi maklumat asas yang disediakan. Keputusan aku adalah ditahap sederhana. Alhamdulillah, belum stress teruk lagi sehingga memudarat diri.haha..Ini merupakan keputusan ujian aku kat bawah ini;
![]() |
Ditahap sederhana..bishe-bishe jer..haha |
Dengan memperoleh skor keseluruhan adalah 6.8. Untuk makluman korang, keputusan ini boleh diemailkan kepada email masing-masing atas permintaan kita. Cuma perlu masukkan alamat email kita sahaja dan sekelip mata keputusan ini akan dihantar ke email kita. Moga kita semua dikurniakan kesihatan fizikal dan mental yang baik, insya allah.
Wallahua'lam
Tuesday, 28 September 2021
HAPPY BIRTHDAY SAYANG!
AKHIRNYA DAH SAMPAI
![]() |
Golf cart bag - Callaway |
Alhamdulillah..sampai jua akhirnya. Beg golf yang aku beli melalui shopee telah selamat sampai dengan jayanya ke rumah. Aku buat belian beg ni bagi menggantikan beg lama yang dah perlu diganti. Sebelum beli aku buat review dulu di shopee. Memandangkan di shopee ada pelbagai harga memerlukan kita perlu jangan terburu-buru buat pembelian sebaliknya semak dulu untuk membandingkan harga dan kualiti produk yang bakal kita beli. Apabila segalanya memenuhi spesifikasi dan juga kemampuan kita, maka buat pembelian dengan sebaiknya. Satu lagi bila nak beli secara online ni, dinasihatkan untuk tengok juga kepada review produk oleh pembeli-pembeli lain. Tengok sama ada komen-komen yang ditinggalkan sama ada positif atau negatif. Jika banyak yang positif, maka bolehla anda membuat pembelian. Tapi kalau banyak yang tinggalkan komen negatif, baik tak payahla beli. Cari jela kedai lain.
Beg golf aku ni aku beli apabila aku dapati spesifikasi dan harganya bersesuaian. Mula-mula takut juga nak beli secara online beg golf ni sebab tak pernah beli barangan golf secara online sebelum ni. Tapi bila aku tengok ulasan ramai pembeli yang baik-baik maka aku pun yakin untuk buat tempahan dan belian. Alhamdulillah, barang sampai harini dan memang puas hati. Barang dibungkus dan dibalut kemas dan berada dalam keadaan yang baik serta kualiti pula adalah baik dan sangat disyorkan kepada kawan-kawan yang mencari beg golf untuk membeli di kmonline shop. Itu saja perkongsian aku kali ini.
(p.s: tak sabar untuk turun ke padang golf lepas ni ;p)
Sunday, 26 September 2021
LUANGKAN MASA BERSAMA KELUARGA
lake garden Taiping, Perak |
Setelah sekian lama berkurung sahaja di rumah akibat daripada pandemik covid-19 yang melanda, pengumuman kerajaan bahawa pembukaan sektor-sektor-sektor ekonomi dan juga sosial secara berperingkat, maka aku mengambil kesempatan untuk membawa keluarga kecil kami untuk bersantai dan riadah di tempat yang dekat je dengan rumah iaitu Lake Garden Taiping atau Taman Tasik Taiping.
Bawa anak berehat dan melihat keindahan alam yang menenangkan boleh membuat minda kita terasa sangat lega dari semua keletihan dan juga memberi ketenangan. Ceritanya hujung minggu lepas aku bawa keluarga aku pergi ke lake garden Taiping. Kawasan ini banyak memori. Ingat lagi masa aku form 4, masa tu ada ujian kecergasan untuk memasuki sekolah perantisan askar masa tu yang dibuat di SMK King Edward dan selepas selesai, aku bersama kawan-kawan pergi bersiar-siar di kawasan lake garden ni dan tentunya kami masuk zoo taiping yang menjadi tarikan pelancong luar dan dalam negara hingga ke hari ini.
![]() |
orang ramai mengambil kesempatan untuk beriadah di sekitar taman tasik taiping |
![]() |
fia seronok sangat dapat berjalan-jalan di sini |
Setiap kali aku ke Taiping hingga ke hari ini, mesti akan meronda kawasan taman tasik ni. Bagi aku, kawasan ni menenangkan dengan pemandangan yang cantik serta menenangkan dengan keindahan alam. Dulu-dulu semasa ingin mengambil ujian memandu kereta dan motor pun di kawasan taman tasik ni lah antara route ujiannya dengan pihak JPJ.
Pelbagai aktiviti boleh dilakukan di sini, antaranya boleh melawat zoo, boleh berbasikal mengelilingi kawasan tasik ini. Selain itu juga, aktiviti beriadah dan berkelah seisi keluarga juga sesuai dan memang ramai pun yang berkelah di sini. Malah ada yang memasang khemah untuk menikmati suasana 'camping' terutama yang membawa anak kecil masing-masing ke sini. Terdapat juga aktiviti seperti berjalan kaki dan berjogging mengikut trek yang disediakan oleh pihak berkuasa tempatan sambil menghirup udara nyaman dan juga melihat keindahan tasik. Disamping itu juga akiviti di air seperti berkayuh sampan atau kayuh itik tu masih belum dibuka lagi memandangkan ianya masih belum dibenarkan untuk fasa kali ini. Mungkin selepas ini akan dibenarkan dengan SOP yang ditetapkan.
Apapun aktiviti, luangkan masa bersama keluarga. Bagi aku dan isteri yang bekerja, masa yang terbatas akan digunakan sebaiknya bersama keluarga terutama anak kami yang sedang meningkat usia. 'Quality time with family' kata orang putih. Kerana masa yang berlalu akan terus pergi meninggalkan kita. Antara perkara yang tidak boleh dibeli atau ditebus adalah masa. Jadi, nasihat pada diri aku dan juga semua, hargailah masa bersama orang yang tersayang sementara diberi kesempatan bersama di dunia ini. Luangkan masa bersama mereka walau sesibuk mana pun kita. Moga kita semua berada di dalam rahmat Allah swt hendaknya.
Wallahua'lam.
RASUAH YANG MEMBARAH
Rasuah merupakan sesuatu perbuatan yang terkutuk dan patut dijauhi. Ianya bukan sahaja dilarang oleh agama bahkan perbuatan rasuah sangat buruk dari segi moral. Saban hari boleh dikatakan jika kita membaca laporan-laporan akhbar dan pendedahan-pendedahan di media mengenai pelaku-pelaku rasuah yang telah ditangkap, dituduh dan juga dijatuhi hukuman oleh mahkamah. Namun, masih lagi ada perbuatan memberi dan juga menerima rasuah berlaku di dalam semua era hingga kini.
Apakah yang mendorong seseorang untuk mengambil dan menerima rasuah? Sudah tentu ianya adalah disebabkan sikap tamak dan nafsu yang mendorong untuk mengaut kekayaan segera sehingga menggelapkan mata. Najis rasuah bukan terletak kepada nilainya tetapi kepada perbuatannya. Bukan sahaja kepada si penerima rasuah tetapi juga kepada pemberi rasuah. Rasuah perlu ditolak daripada menjadi sebahagian daripada kehidupan kita. Rasuah sedang diperangi habis-habisan oleh badan seperti SPRM di negara kita. Namun, meletakkan semata-mata tanggungjawab memerangi rasuah kepada kerajaan sebaliknya menjadi tanggungjawab bersama kepada kita semua. Jangan buka sedikit ruang pun kepada terdorong berlakunya rasuah.
Kita sebenarnya mampu jadikan Malaysia sebagai salah sebuah negara bebas rasuah. Tetapi hendaklah dengan keazaman dan tindakan serta kerjasama setiap warganya yang melihat rasuah sebagai jijik. Ya, ianya bukan mustahil untuk dilakukan. Kita boleh lakukan dan realisasikan. Ingat rasuah bukan semata-mata kepada wang ringgit sahaja tetapi juga melibatkan bentuk mata benda yang lain juga. Oleh itu, jauhilah rasuah kerana ia mampu meruntuhkan dan merosakkan diri, keluarga, masyarakat dan negara ini. Bahananya amat besar.
Kita mulakan dengan diri kita dan keluarga kita untuk bebas daripada rasuah.
Tuesday, 21 September 2021
SELAMAT KEMBALI KE KAMPUS
Pengumuman oleh YB Menteri Pendidikan Tinggi baru-baru ini bahawa semua IPT akan mula dibuka semula dan keperluan pelajar untuk masuk semula ke kampus-kampus secara berperingkat mulai 3 Oktober 2021 ini telah memberi isyarat jelas mengenai sesi pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka dan fizikal akan bermula seperti biasa. Dikala itu juga bakal memberi semula 'kehidupan kampus' untuk dirasai oleh mereka yang bergelar pelajar sepertimana pelajar-pelajar terdahulu melalui fasa-fasa pengajian di IPT suatu masa dahulu sebelum pandemik COVID-19 melanda dunia.
Disamping itu juga, buat mereka yang telah menerima tawaran menyambung pengajian sama ada diperingkat Diploma mahupun Ijazah Sarjana Muda di universiti-universiti dalam pelbagai bidang, tahniah diucapkan. Tentunya ada yang ditawarkan bidang yang dipilih sebelum ini dan diminati tetapi tidak kurang juga buat mereka yang ditawarkan bidang yang mereka tidak pilih tetapi itu adalah muktamad. Bahkan ada bidang-bidang jurusan yang ditawarkan seolah-olah menggusarkan ibu bapa mengenai masa depan anak mereka. Nasihat saya, usah gusar dan bimbang. Dorong dan sokonglah anak anda di dalam menuntut ilmu pengetahuan. Jurusan yang diambil di universiti itu bukanlah sesuatu yang mengecewakan dan bersedih jika ianya tidak menepati pilihan kita. Bukan.
Sebaliknya, jurusan-jurusan yang ditawarkan itu perlu dilakukan dengan bersungguh-sungguh untuk memastikan kita berjaya mendapatkan tahap yang paling cemerlang dengan usaha yang sehabis baik dilakukan. Tugas pelajar adalah belajar dengan tekun. Tanpa ketekunan, segalanya akan dipersia-siakan dan menyesal dikemudian hari. Ada rakan di tempat kerja semalam bertanya pandangan kami berhubung jurusan yang ditawarkan kepada anaknya iaitu sains perhutanan. Adakah jurusan ini baik, ada masa depan atau tidak? Jawapan seorang lagi kawan mengenai persoalan itu yang saya kira cantik dan bersesuaian. Katanya "belajar dalam apa bidang pun boleh, janji kita perlu menguasai bidang itu dengan ketekunan dan bersungguh-sungguh, insya Allah kita akan berjaya!"
Saya terpanggil untuk mengulas tentang jawapan itu. Pada saya ianya terbukti benar. Apa bidang sekalipun jika kita berusaha, belajar dengan tekun dan bersungguh-sungguh untuk melakukan yang terbaik dan akhirnya kita akan muncul pelajar yang cemerlang dan terbaik di dalam bidang yang kita pelajari dan kelak kita akan berjaya. Contoh, jika seseorang itu mengambil jurusan pengajian bahasa arab di universiti. Pada dasarnya, seseorang pelajar yang mengambil jurusan ini akan hanya belajar tentang bahasa arab dan sastera sahaja. Tetapi jika pelajar ini tekun dan bersungguh-sungguh ianya boleh muncul terbaik dengan penguasaan yang cemerlang serta lain dari yang lain. Misalnya disamping penguasaan di dalam bahasa arab dia juga mahir di dalam menguasai bahasa inggeris. Ini akan menjadikannya lain dari yang lain. Demikian juga, dalam lain-lain jurusan. Jika seseorang pelajar itu mampu menonjolkan kelainannya di atas ketekunan dan kesungguhannya, insya allah dia akan berjaya.
Sebab itu, penguasaan yang pelbagai mula diterapkan sejak di sekolah lagi. Misalnya jika kita lihat dahulunya Maahad Tahfiz atau sekolah-sekolah agama hanya menumpu kepada soal agama semata-mata sehinggakan anak-anak yang dilahirkan dari lepasan ini hanya mengetahui membaca quran dan agama sahaja. Tidak yang lain-lain. Tetapi kemudiannya, kerajaan telah mula memasukkan elemen tuntutan agama yang sebenarnya dengan memasukkan gabungan antara ilmu agama dan tuntutan agama iaitu sains dan teknologi. Maka muncullah sekolah Ulul Albab yang menggabungkan tahfiz dan sains diajar di sekolah. Melalui kaedah itu, seseorang pelajar bukan sahaja mahir menghafal quran tetapi juga boleh melahirkan jurutera, saintis, akauntan, doktor yang profesional tetapi bertunjang agama di dalam dada mereka. Ilmu-ilmu itu bukannya ilmu barat tetapi ianya merupakan tuntutan agama untuk dipelajari.
Berbalik kepada apa jurusan sekalipun dipelajari hendaklah ditekuni sebaiknya supaya bukan sahaja untuk diri kita dan keluarga kita tetapi juga kepada negara dan agama kita. Justeru, kepada pelajar dan bakal pelajar, selamat kembali ke kampus dan menekuni ilmu dengan bersungguh-sungguh. Selamat maju jaya!
Sunday, 19 September 2021
TABIAT SUKA MEMBUANG SAMPAH MERATA-RATA BOLEH MENYUMBANG KEPADA PENCEMARAN ALAM SEKITAR
Hari
ini akhbar melaporkan mengenai timbunan sampah sarap yang kebanyakannya terdiri
daripada botol-botol dan beg plastik di kawasan persisiran pantai Keria, Sungai
Padang, Perlis. Menurut laporan berkenaan, hampir 13 metrik tan sampah dikutip
setiap minggu disepanjang persisir pantai Kuala Perlis hingga Kuala
Sanglang sejauh 13 kilometer. Sudah
tentu laporan-laporan seumpama ini bukan pertama kali dilaporkan begini. Bukan
sahaja di sana bahkan boleh dikatakan di merata tempat berlaku kejadian yang
tidak bertanggungjawab ini. Ini bermakna, secara nisbahnya setiap satu kilometer bersamaan 1 mt sampah. Saya tidak ingin menuduh tentang semua itu disumbang oleh penduduk setempat. Mungkin juga ianya dihanyutkan dari tengah laut hasil perbuatan pihak-pihak lain dan terdampar di pesisir pantai. Tetapi, dengan pendedahan ini, marilah kita mulakan dengan diri kita untuk bersama memastikan laut kita, tempat tinggal kita dan sungai-sungai kita dipelihara dan bersih serta bebas daripada sampah khususnya plastik.
Sebenarnya
semua ini terkait dengan tabiat buruk segelintir masyarakat kita yang gemar
membuang sampah terutamanya berkaitan plastik di merata tempat tanpa ada rasa
sedikit pun bersalah. Sebaliknya tabiat ini dianggap biasa oleh kebanyakkan
kita. Tanpa kita sedari bahawa tabiat seumpama itu sedang diperhati dan
dipelajari oleh generasi mendatang iaitu anak cucu kita yang memerhati
perbuatan kita. Jika kita masih ingat beberapa bulan sebelum ini, tular sebuah
rakaman video di media sosial mengenai seorang perempuan yang dengan ‘slumber’
nya membuang sampah dari keretanya keluar ketika di jalan raya yang sedang
bersesak. Dia sangka tindakannya itu sesuatu yang betul, tetapi sebenarnya
sedang dilihat oleh anaknya dan generasi akan datang bahawa tindakan itu betul
sedangkan ianya sangat tidak beretika dan tidak bertanggungjawab.
Sedarkah
kita bahawa botol plastik mengambil masa yang lama iaitu kira-kira 450 tahun
untuk diterurai. Menurut Pertubuhan Greenpeace
yang merupakan organisasi NGO yang banyak menggerakkan kempen dan aktiviti
menyelamatkan lautan daripada sisa plastik melaporkan bahawa kira-kira 12.7
juta metrik tan sisa plastik memasuki lautan setiap tahun. Angka ini sangat
menggerunkan. 90% burung laut dikesan mempunyai kandungan plastik di dalam
perut mereka. Jelas di sini menunjukkan kepada kita tentang betapa plastik
telah mengancam hidupan dan planet ini jika ianya berterusan tidak diendah oleh
sesiapa pun. Justeru, kita perlu didik dan jadikan budaya kepada setiap kita
dan keluarga kita tentang tabiat membuang sampah khususnya plastik di merata-rata
perlu dihentikan segera.
Selain
itu juga, setiap kita juga sebenarnya mempunyai tanggungjawab terhadap alam
sekitar tempat yang kita huni ini secara bersama. Jagalah alam ini sebaiknya.
Jangan sesekali kita cemarkannya dengan tangan kita sendiri. Kita boleh lakukan
dengan langkah-langkah kecil kita tetapi pasti menyumbang dan mengesankan ke
arah kelestarian alam sekitar. Misalnya, apabila kita berpeluang untuk beriadah
dan berkelah sama ada di lata atau sungai atau air terjun ataupun di pantai dan
laut, kita disiplinkan diri kita dan keluarga kita supaya tidak membuang sampah
atau beg plastik dimerata atau lebih
teruk lagi dengan mencampakkan ke dalam sungai atau air terjun atau laut.
Biasakan untuk membuang sampah di dalam tong sampah. Jika tiada, bungkus dan
bawa balik hingga kita jumpa tempat pembungan sampah untuk dibuang. Walaupun
ianya langkah kecil tetapi saya yakin, jika setiap kita mengamalkan dan
melakukannya, maka kita dapat menyelamatkan banyak sungai-sungai, air terjun
dan lautan kita daripada pencemaran plastik dan juga sampah sarap. Di
tempat-tempat tumpuan pelancongan misalnya, jangan kita cemarkan tempat-tempat
itu dengan sisa sampah atau sebagainya. Apa yang lagi baik adalah kita kutip
sampah jika kita nampak ianya berada di sekitar kita. Bukan sahaja kawasan
berkenaan bersih malah mudah-mudahan dikurniakan ganjaran pahala atas amal
jariah kita, insya Allah. Ingatlah, dunia semakin tenat dengan perubahan iklim
atau ‘climate change’ yang berlaku. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah
memberi amaran bahawa pelepasan karbon perlu dikurangkan 45% menjelang 2030
bagi mengelakkan kesan buruk daripada cuaca yang lebih panas melanda dunia yang
akhirnya bakal memberi kesan buruk terhadap manusia.
Baru-baru ini saya mengikuti satu webinar mengenai perubahan iklim yang sangat menarik mengenai kupasannya. Jika kita lihat laporan media mendapati bagaimana kebakaran-kebakaran besar banyak melanda negara-negara di dunia seperti Australia, Turkey, Greece, Amerika Syarikat dan lain-lain lagi yang telah memusnahkan habitat dan juga hidupan hutan yang menjadikan tempat tinggal mereka. Pemanasan global menunjukkan peningkatan saban tahun. Penebangan hutan berleluasa yang menyumbang kepada kemusnahan alam sekitar. Jangan kita tambah pula dengan tabiat buruk segelintir kita yang gemar membuang sampah khususnya plastik di merata tempat tanpa ada sekelumit rasa bersalah dan berdosa.
Jika kita ingat kembali pada tahun lepas apabila seluruh dunia mengisytiharkan 'total lockdown', kita menerima khabar yang dilaporkan media tentang sungai-sungai dan lautan kembali jernih dan bersih tanpa pencemaran. Antaranya adalah sungai melaka yang kelihatan jernih dan begitu juga laporan akhbar tentang pendaratan penyu ke pantai port dickson setelah puluhan tahun tidak muncul di sana. Ini semua merupakan perkembangan positif terhadap alam sekitar. Bukanlah bermakna, untuk pulihkan alam maka kita semua perlu berkurung di rumah sebaliknya ianya memberi refleksi bahawa masyarakat perlu memainkan peranan supaya kita lebih mesra dengan alam. Marilah
kita bersama memastikan alam sekitar yang ada ini dijaga sebaiknya kerana ianya
merupakan anugerah yang tidak ternilai harganya. Ayuh kita hijaukan alam ini
dengan tanaman dan tumbuhan-tumbuhan. Jaga kebersihan sungai, air terjun dan
lautan dan bebeaskan alam ini dari sampah sarap. Mulakan dengan diri kita. Bersahabatlah
dengan alam.
Wallahua’lam.
SEKTOR PERTANIAN TERUS DIBERI PERHATIAN DALAM BELANJAWAN 2022
sumber : laporan akhbar Utusan Mingguan Malaysia |
Sektor
agromakanan negara terus mendapat perhatian dan menjadi keutamaan kerajaan di
dalam merangka dan menyediakan pelan belanjawan tahun hadapan iaitu tahun 2022.
Sebagaimana telah diketahui umum bahawa pertanian sangat berkaitrapat dengan
penghasilan dan pengeluaran bahan makanan untuk menjamin bekalanan makanan
kepada seluruh rakyat Malaysia sentiasa mencukupi dan tidak terputus bekalan.
Memandangkan
sektor pertanian merupakan sektor yang penting dan relevan sepanjang
zaman,justeru, tidak mungkin mana-mana negara di dunia walaupun taraf negara
termaju dunia ingin mengkesampingkan atau meninggalkan sektor pertanian
khususnya agromakanan. Makanan merupakan perkara yang sangat penting kepada manusia
sejak berzaman lamanya dan untuk kehidupan. Tanpa makanan, sesebuah negara
boleh menjadi huru-hara dan kacau bilau. Sebab itulah jaminan terhadap bekalan
makanan perlu dipastikan sentiasa mencukupi serta penghasilan keluaran makanan
dalam negara seharusnya dilipatgandakan. Impak pandemik covid-19 yang mula
melanda dunia sejak penghujung tahun 2019 dan hingga kini Malaysia masih
bergelut memeranginya telah membuka mata dunia akan kepentingan agromakanan
yang mencukupi disamping usaha kerajaan untuk memastikan vaksin atau penemuan
ramuan terbaik untuk melawan virus berkenaan.
sumber : laporan akhbar The Star |
Menyedari
hakikat berkenaan, kerajaan Malaysia dilihat mengambil langkah tepat dengan
memperkasa sektor pertanian melalui peruntukan yang memberangsangkan di dalam
pengumuman-pengumuman sebelum ini di bawah pakej-pakej rangsangan ekonomi bagi
merancakkan dan dalam masa sama memodenkan pertanian supaya dapat menghasilkan
makan secukupnya untuk keperluan negara. Hari ini pula, akhbar-akhbar tempatan
melaporkan bahawa Menteri Kewangan menyatakan komitmen kerajaan untuk memberi
fokus keutamaan kepada sektor pertanian di dalam belanjawan tahun 2022 nanti.
Susulan daripada kenyataan berkenaan telah membayangkan bahawa kerajaan
bersedia dan dalam usaha merangka belanjawan dan menyediakan peruntukan yang
besar kepada sektor pertanian untuk terus diperkasakan sebaiknya untuk tahun
hadapan dan berikutnya sekaligus di dalam membentangkan Rancangan Malaysia
ke-12 iaitu 2021 hingga 2025 nanti. Jika kita imbau sedikit masa lalu, ketika
berlakunya krisis apabila negara-negara pengeluar utama beras dunia seperti
Thailand dan Vietnam dilanda bencana sehingga mengakibatkan negara berkenaan
tidak dapat mengeksport beras ke negara kita, maka kerajaan pada tahun 2008
telah mengumumkan langkah segera di bawah Dasar Jaminan Bekalan Makanan Negara
(DJBMN) untuk negara menghasilkan pengeluaran beras untuk menampung keperluan
dalam negara tidak terputus.
Semoga
sektor agromakanan negara akan terus diperkasa dan mengharungi modenisasi di
dalam era revolusi industri 4.0 (IR4.0) hari ini dan akan datang. Selaras dengan itu juga, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) bakal melancarkan Dasar Agromakanan 2.0 (DAN 2.0) 2021 hingga 2030 yang bakal memeta dan menggariskan halatuju serta tumpuan negara berkaitan agromakanan. Apa yang
paling mustahak selain menjamin pengeluaran bahan makanan dalam negara, tetapi
juga diharapkan dapat memberi impak kepada para peladang, penternak dan nelayan termasuk
mengenai aspek peningkatan taraf sosio-ekonomi golongan ini terus dibela.
Wallahua'lam.