Pendahuluan
 |
Tanaman limau nipis |
Limau nipis merupakan kategori
tanaman sayuran berbuah dalam sektor agromakanan. Sementara kesesuaian tanah
untuk tanaman ini pula tidaklah terlalu rumit memandangkan tanaman ini boleh
dikatakan sesuai dengan iklim kawasan tropika dalam kebanyakan jenis tanah di
Malaysia. Sebanyak 10 spesis yang ditanam di Malaysia yang antara lain
termasuklah limau langkat, bali, lemon, kasturi dan sebagainya. Sementara
varieti yang lebih berasid pula seperti limau nipis dan purut.
Selain daripada dimakan secara
segar, limau juga boleh menghasilkan jus serta untuk kegunaan lain. Misalnya,
limau nipis boleh dijadikan acar buah dalam masakan, halwa, digunakan juga
sebagai bahan untuk dijadikan produk minyak wangi atau minyak pati. Disamping
itu juga, bagi perubatan tradisional pula limau merupakan antara bahan yang
digunakan untuk tujuan perubatan. Ekstrak limau nipis juga digunakan untuk
penghasilan produk kesihatan dan kecantikan. Jika dibandingkan dengan komoditi
tanaman lain, limau nipis tidak bermusim. Ianya mengeluarkan hasil sepanjang
tahun dan puncak pengeluarannya pula adalah antara bulan Oktober hingga
November dan Mac hingga April setiap
tahun.
Lenggong merupakan salah satu
kawasan yang rata-rata peladang di sini mengusahakan tanaman limau nipis untuk
dijadikan sebagai sumber pendapatan. Memandangkan permintaan tinggi dari luar, pengusaha
tanaman limau nipis di kawasan ini telah mengambil inisiatif untuk menambah
keluasan tanaman termasuk di kawasan halaman rumah dan juga kebun
masing-masing.
Penglibatan PPK Lenggong dalam tanaman
limau nipis
 |
kenangan semasa melawat tanaman waktu berkhidmat di Lenggong dulu |
Menyedari akan potensi besar
komoditi ini, maka PPK Lenggong telah mengambil inisiatif terlibat secara
serius untuk menjadikan PPK sebagai antara pengeluar limau nipis secara
komersial pada masa akan datang. Sehubungan itu, kajian mendalam dilakukan oleh
pengurusan PPK Lenggong. Hal ini termasuk melawat kawasan tanaman limau nipis
yang telah diusahakan oleh ahli-ahli peladang, aspek penawaran dan permintaan
dan juga pemasaran. Memandangkan potensi serta kelebihan yang ada di kawasan
ini, satu permohonan untuk mendapatkan peruntukan projek pembangunan telah
dikemukakan kepada Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) untuk dipertimbangkan
kelulusannya.
Ternyata usaha yang dilakukan
berhasil dan mendapat sokongan penuh daripada LPP dengan meluluskan peruntukan
secara geran sebanyak RM 58,100.00 kepada PPK Lenggong untuk membangunkan
projek tanaman limau nipis pada tahun 2018. Projek pengeluaran makanan ini
telah diusahakan di atas tanah milik PPK sendiri seluas 3 ekar dan dijalankan
secara korporat. Skop yang diluluskan di bawah peruntukan ini meliputi
kerja-kerja pembersihan kawasan, pembekalan benih tanaman, pembekalan input dan
peralatan ladang, pemasangan sistem pengairan, pemasangan pagar elektrik serta
pembinaan stor input di tapak projek. Berikut merupakan maklumat asas projek;
Perkara
|
Keterangan
|
Nama
projek
|
Tanaman Limau Nipis
|
Lokasi
|
Selat Pagar, Lenggong
|
Keluasan
|
3 ekar
|
Kaedah
pelaksanaan
|
Korporat
|
Anggaran
hasil
|
64.8 mt/tahun
|
Anggaran
pendapatan
|
RM 129,600/tahun
|
Projek ini dijangka
akan mengeluarkan hasilnya kira-kira 3 hingga 4 tahun dari sekarang. Tanaman
sebanyak 405 pokok keseluruhannya, ditanam dengan jarak 18’ x 18’ antara pokok dianggarkan
akan mengeluarkan hasilnya sebanyak 2,700 kg/ekar. Berdasarkan unjuran purata harga
jualan di ladang beberapa tahun kebelakangan ini, menunjukkan harga berlegar sekitar
RM 2.00 hingga RM 2.50/kg. Sementara pendapatan yang bakal diraih hasil
daripada projek ini pula adalah dianggarkan berjumlah RM 129,600/tahun. Hal ini membuktikan bahawa komoditi ini berdaya maju
untuk dibangunkan.Selain itu, menerusi
pelaksanaan projek ini juga, secara tidak langsung ianya akan memberi sumber
pendapatan baharu kepada PPK sendiri disamping meletakkan PPK sebagai pengeluar
agromakanan kepada negara. Projek tanaman limau nipis ini merupakan projek
jangka panjang kerana berdasarkan agronomi tanaman ini boleh mengeluarkan hasil
sehingga menjangkau usia 10 hingga 12 tahun. Sudah tentu, projek ini bakal
memberi pulangan lumayan kepada PPK dalam tempoh berkenaan.
Objektif pelaksanaan projek
Antara
objektif pelaksanaan projek tanaman limau nipis ini adalah seperti berikut;
(i) Menjadikan projek tanaman limau nipis ini sebagai antara
penyumbang kepada Dasar Agromakanan Negara khususnya dalam komoditi pengeluaran
sayuran berbuah,
(ii) PPK Lenggong menjadi peneraju kepada tanaman limau nipis
sebagai projek contoh kepada mana-mana petani, institusi yang berminat untuk
mengusahakan tanaman limau nipis pada masa depan,
(iii) Menyokong kepada pemerkasaan PPHP PPK Lenggong bagi aspek
pemasaran hasil
(iv) Membangunkan tanah milik PPK dengan projek pertanian dan
konsisten dalam penghasilan bahan makanan
(v) Menjana sumber pendapatan baharu kepada PPK Lenggong dan
manfaat kepada ahli peladang
Mekanisme pelaksanaan projek
 |
Cantuman secara tut |


Bagi memastikan projek yang
diwujudkan ini berjaya dalam pelaksanaannya, PPK telah menyediakan perancangan
rapi supaya projek korporat ini dapat mencapai objektifnya. Justeru, 2 buah
jawatankuasa telah diwujudkan iaitu
Jawatankuasa Teknikal Projek dan juga Jawatankuasa Pengurusan Projek.
Jawatankuasa Teknikal Projek dipengerusikan oleh PPD Wilayah Perak Tengah dan
dianggotai oleh Biro Projek Pembangunan, LPP, FAMA, MARDI, Jabatan Pertanian
dan Pengurus Besar sebagai Setiausaha. Kedua-dua jawatankuasa ini mempunyai
peranannya yang tersendiri dalam usaha membantu melicinkan pelaksanaan projek
di lapangan. Sebagai contoh, Jawatankuasa Teknikal Projek berfungsi sebagai
memberi khidmat nasihat berkaitan aspek teknikal, menyediakan garis panduan
atau SOP kepada pengurusan projek untuk melaksanakan tugasan di lapangan dan
juga memantau serta mengadakan lawatan berkala di tapak projek. Sementara
Jawatankuasa Pengurusan Projek yang dipengerusikan oleh Pengurus Besar pula
berperanan antara lain ialah melaksanakan segala keputusan yang diputuskan oleh
Jawatankuasa Teknikal Projek, membantu mengawal selia kewangan projek,
memastikan projek berjalan sepertimana yang dirancang, prestasi projek,
pemasaran dan sebagainya. Jawatankuasa ini
dianggotai oleh Pengurus Akaun, Bahagian Projek Pembangunan PPK, Perniagaantani
dan Briged Kerja di ladang.
Sementara
dari segi pemasaran pula, hasil-hasil pengeluaran limau nipis ini akan
dipasarkan melalui Pusat Penggumpulan Hasil Pertanian (PPHP) PPK Lenggong
sendiri. Hubungan rantaian nilai bagi pengeluaran hasil dari projek tanaman
limau nipis ini dapat dilihat dari proses awal pengeluaran dari ladang akan
dibawa dan dikumpulkan di PPHP. Selain dibersihkan dan digred, aktiviti jualan
kepada pemborong, peruncit serta jualan terus oleh PPK sendiri turut dilakukan
di sini.
Sebagai usaha untuk memastikan
kelestarian projek serta menjamin projek kekal berdaya tahan, tabung projek
juga bakal diwujudkan dengan mematuhi kaedah yang telah ditetapkan oleh pihak
LPP sendiri untuk digunakan semula sebagai modal pusingan, penyelenggaraan, dan
sebagainya tanpa perlu bergantung kepada peruntukan daripada jabatan dan agensi
selama-lamanya. Menurut Pengurus Besar PPK Lenggong, En Mohd Hafizatul Akmal
bahawa projek yang dibangunkan ini merupakan penglibatan PPK buat pertama kali
ke dalam industri ini dan telah mula ditanam pada bulan Julai yang lalu. “Jika projek ini berjaya, kami mempunyai
hasrat dan perancangan besar pada masa hadapan untuk menggembangkannya ke atas
tanah-tanah milik ahli pula melalui konsep pembangunan tanah terbiar yang akan
diusahakan oleh PPK sendiri”, ujarnya lagi.
Impak projek
 |
Gambar pada awal tanaman tahun 2018 |
Justeru, menerusi anggaran
pendapatan hasil daripada pelaksanaan projek ini, secara amnya peruntukan yang
disalurkan oleh LPP sebanyak RM 58,100 untuk projek ini dijangka sangat memberi
impak besar serta menatijahkan ianya boleh dilaksanakan serta memberi pulangan
yang baik disamping projek ini mempunyai prospek yang cerah untuk dilaksanakan.
Selain itu juga, secara tidak langsung projek ini akan memberi faedah dan
manfaat kepada PPK dan juga ahli-ahli peladang dari segi ekonomi dan juga
sosial terutama ianya menjadi pelengkap kepada rantaian nilai serta membantu
memperkasakan lagi PPHP sedia ada.
Penutup
Sebagai
kesimpulannya, projek tanaman limau nipis yang dibangunkan oleh PPK Lenggong ini
merupakan suatu tanaman yang berpotensi besar untuk dimajukan kerana ianya
mampu menjana pendapatan baharu kepada PPK sendiri. Selain itu juga, secara
tidak langsung menerusi pelaksanaan projek ini ianya akan mewujudkan satu lagi
projek pengeluaran makanan di Lenggong selari dengan peranan yang dimainkan oleh PPK terutama dalam sektor
agromakanan di kawasan ini. Sesungguhnya, pelaksanaan ini bukan semata-mata
dilihat dari sudut ekonomi sahaja bahkan projek ini harus dilihat dari sudut
tanggungjawab besar PPK dalam memastikan kecukupan makanan untuk seluruh rakyat
di negara ini terjamin selain membantu pihak kerajaan dalam mengimbangi
perdagangan bahan makanan ke dalam negara ini. Semoga projek yang telah
diluluskan ini akan mencapai kejayaannya untuk mengukir nama serta menjadi
antara penyumbang kepada pengeluaran makanan kepada negara ini. Selain itu
juga, menerusi projek yang dijalankan ini secara tidak langsung merupakan suatu
manifestasi kepada Pelan Korporat LPP ke 6 (2016-2020) yang telah menggariskan di
bawah Teras Strategi 1 iaitu Mendaulatkan Pengeluaran Agromakanan dapat diterjemahkan
diperingkat lapangan terlaksana dengan jayanya.