Sunday, 15 August 2021

TANAMAN KUNYIT PERINGKAT KOMUNITI KAMPUNG : MERANCAKKAN EKONOMI DESA

Kunyit merupakan salah satu tanaman yang dikategorikan di bawah tanaman herba. Malah kunyit merupakan salah satu bahan yang digunakan untuk membuat proses pemerapan agar ianya tahan lama dan tidak rosak. Sebagai contoh, daging, ayam atau kambing perap akan dimasukkan serbuk kunyit sebagai salah satu bahan untuk pemerapan. Disamping itu juga, penggunaan kunyit juga dikatakan penting dan buruan oleh masyarakat barat suatu ketika dahulu yang datang ke tanah air ini untuk mendapatkan rempah ratus untuk dibawa pulang ke eropah. 

Tanaman kunyit di Kg. Bertang

Justeru, tanaman kunyit ini bukanlah sesuatu tanaman baru. Malah telah wujud sejak sekian lama. Kunyit juga sangat berguna dalam masakan. Misalnya untuk memasak rendang ketika menjelangnya hari raya atau digunakan sebagai bahan masakan di dalam menu masak lemak cili api, kunyit digunakan untuk menaikkan keenakan masakan di dalam resipi. Namun, jika dahulunya kita akan dapati bahawa tanaman kunyit ini boleh didapati di sekitar rumah sahaja dan boleh jadi kebanyakkannya di kampung. Penanamannya pula tidak sangat rumit termasuk dari aspek penjagaannya. Tetapi tempoh untuk kunyit boleh dituai adalah sekitar 8 bulan hingga ke 1 tahun. Ianya bukanlah salah satu tanaman singkat masa. Walaupun begitu, jarang sebelum ini kita dapati tanaman ini ditanam secara komersial bukan? Maksudnya diusahakan dalam bentuk ladang yang sangat luas untuk memenuhi permintaan.

Tetapi kini telah ada usaha untuk mengusahakan tanaman herba ini secara komersial. Sebagai contoh, terdapat usahawan peladang di kuala langat, Selangor mengusahakan tanaman ini secara besar-besaran. Alhamdulillah, telah ada inisiatif untuk memajukan tanaman ini sebaik mungkin. Harus diingat juga bahawa, kunyit bukan sahaja boleh dijual secara segar atau lebih sinonim dipanggil sebagai 'kunyit hidup' tetapi juga boleh dijual secara siap diproses iaitu dalam bentuk serbuk.

Aku teringat semasa pernah berkhidmat di Pertubuhan Peladang Kawasan Jelai, Pahang dulu, terdapat satu kampung di bawah seliaan PPK Jelai iaitu kampung Bertang yang kebanyakan penduduk di sana yang juga ahli peladang mengusahakan tanaman kunyit dan diproses untuk dijadikan serbuk kunyit sebelum dijual di pasaran tempatan. Aku pernah melawat salah seorang peladang muda yang mengusahakan tanaman kunyit ini kawasan rumahnya dan diproses untuk menjadikan serbuk kunyit. 

serbuk kunyit yang siap diproses sendiri dan dibotolkan

Pada aku, tanaman kunyit mempunyai potensi besar untuk diteroka dan dimajukan khususnya diperingkat komuniti kampung sebagai salah satu usaha untuk merancakkan ekonomi desa. Penduduk kampung yang mengusahakan projek ini dalam bentuk komuniti mampu menjana pendapatan daripada tanaman kunyit melalui pemasaran secara segar mahupun setelah diproses menjadi serbuk dan dijual dipasaran.

Pada tahun lepas, PPK Jelai sempat mengadakan lawatan pemeriksaan dan pengesahan kawasan untuk melihat potensi di kg. Bertang ini untuk dilaksanakan projek tanaman kunyit di bawah program komuniti peladang B40. Memandangkan Kg. bertang sendiri telah secara tradisinya ada penduduk kampungnya yang mengusahakan tanaman ini, rasanya lebih mudah untuk diketengahkan. Bukan sahaja kita cuba membantu untuk pembesaran projek, tetapi juga untuk melihat dari aspek pembangunan produk itu sendiri seperti pelabelan dan pembungkusan produk. 

Bukan sahaja kesesuaian kawasan, malah sikap dan komitmen yang ditunjukkan oleh peserta juga sangat memberangsangkan. Jika tanaman ini ditumpukan sebaiknya, aku yakin bahawa ianya dapat dikembangkan selain menjadikan produk asas kampung untuk dimajukan secara kelompok di dalam komuniti setempat. Bukan sahaja ianya boleh menjana pendapatan individu bahkan boleh dijadikan sebagai salah satu tarikan kepada dunia luar untuk berkunjung ke kampung kita bagi mendekati dan melihat sendiri proses penghasilan serbuk kunyit dijalankan. Secara tidak langsung ekonomi desa juga dapat digerakkan sebaiknya. Namun, usaha ini bukan dapat dilakukan sekelip mata. Tetapi ianya perlu berbekalkan iltizam dan usaha kuat dari semua pihak. Barulah hasrat suatu masa dahulu untuk memastikan konsep 'satu produk satu kampung' dengan menjadikan sesuatu produk di kampung kita sebagai champion product dapat diwujudkan tercapai.

Bersama salah seorang peladang muda bersama produk hilirannya - serbuk kunyit



2 comments: