Saturday 14 August 2021

TERNAKAN AYAM KAMPUNG OLEH PELADANG MUDA PPK LENGGONG

Siapa sangka seorang anak muda yang dahulunya berkerja dalam bidang perkapalan yang pernah menerima pendapatan sehingga 5 angka tetapi akhirnya nekad pulang ke kampung halaman untuk terjun ke dalam bidang pertanian dengan mengusahakan projek ternakan ayam kampung. Sekali pandang sememangnya bidang penternakan ayam kampung itu tidak sepopular bidang-bidang lain. Tetapi kita harus ingat, terjun ke bidang pertanian ini merupakan antara bidang yang mulia. Mulia kerana bidang ini juga merupakan salah satu jihad dan juga ibadah kerana mengeluar dan menyediakan bahan makanan kepada manusia. 


Sebahagian ternakan ayam kampung yang diternak

Anak muda ini sangat gigih di dalam menjalankan projek yang diusahakannya. Beliau merupakan salah seorang ahli peladang di Pertubuhan Peladang Kawaan (PPK) Lenggong, Perak. Perusahaan ternakan ayam kampung beliau diusahakan sendiri dan beliau turut melakukan pemasaran sendiri untuk memenuhi permintaan. Muhamad Hariz bin Norsidek yang menjadi ahli peladang dari unit peladang kampung Lenggong, telah memulakan perusahaannya pada awalnya dengan menggunakan modal sendiri tanpa meminta sebarang peruntukan daripada mana-mana agensi atau jabatan. PPK Lenggong selaku badan yang bertanggungjawab ke atas ahli-ahli peladang telah mengadakan lawatan ke atas projek peladang muda ini dan mendapati projek ini mempunyai potensi besar untuk dimajukan selain menyikong dan menggalakan supaya usahawan muda ini terus berusaha untuk berjaya dalam pertanian khususnya penternakan ayam kampung yang diusahakan beliau tanpa berputus asa. 

PPK Lenggong turut membantu dari aspek pemasaran produk memandangkan usahawan muda ini menjual secara sejuk beku ayam kampungnya yang siap diproses. Selain itu juga, khidmat nasihat dan juga pembangunan produk turut diberi perhatian. Penyediaan sticker untuk pelabelan produk turut disediakan secara one-off untuk memastikan pemasaran ayam kampung secara sejuk beku ini dipasarkan sebaik mungkin. Berdasarkan pemasaran ayam kampung beliau melalui PPK sekitar tahun 2019, mendapat sambutan yang menggalakan daripada para pelanggan kawasan sekitar. Jika mengikut perancangan anak muda ini beliau berhasrat untuk membesarkan saiz kapasiti pengeluaran ayam kampung dengan membina reban yang lebih besar di atas tanahnya yang masih berbaki untuk menampung permintaan pasaran. Memandangkan kesedaran orang ramai kini untuk ke arah pengambilan ayam kampung yang lebih organik dan halal lagi bersih.


Semoga projek ayam kampung yang diusahakan oleh peladang muda ini akan terus berkembang maju dan berjaya insya  Allah. PPK bersama jabatan dan agensi yang lain di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan(MAFI) akan sentiasa membantu khususnya di dalam khidmat nasihat dan bimbingan termasuk juga bantuan secara 'in-kind' kepada para peladang secara geran mahupun bentuk pembiayaan pinjaman bagi yang tekun dan menjalankan projek-projek agromakanan dengan pelbagai program yang disediakan dari semasa ke semasa.

Sesungguhnya dengan penyertaan golongan muda seperti ini bakal memberi isyarat bahawa sektor pertanian di negara ini memerlukan transformasi ke arah penglibatan lebih ramai golongan muda untuk menyertainya seiring dengan kepesatan penggunaan teknologi masa kini dikala dunia dan negara sedang berdepan dengan revolusi industri 4.0 (IR4.0) yang turut memberi tempias kepada sektor pertanian khususnya agromakanan untuk beralih kepada 'Internet of Things' (IoT) serta teknologi-teknologi yang mampu menjurus kepada kecekapan pengurusan di ladang dan juga mampu meningkatkan produktiviti.

Ayuh golongan muda di luar sana, ayuh kita bersama menjadikan sektor pertanian ini sebagai salah satu bidang pilihan ramai bagi menyertainya dan menjanjikan pulangan lumayan. Bagi seorang muslim, bidang pertanian merupakan suatu ibadah dan pekerjaan yang mulia.

seorang peladang muda yang gigih berusaha



No comments:

Post a Comment