Friday, 20 August 2021

TANAMAN LIMAU NIPIS: MENEROKA INDUSTRI PENUH POTENSI

 Pendahuluan

 

Tanaman limau nipis

Limau nipis merupakan kategori tanaman sayuran berbuah dalam sektor agromakanan. Sementara kesesuaian tanah untuk tanaman ini pula tidaklah terlalu rumit memandangkan tanaman ini boleh dikatakan sesuai dengan iklim kawasan tropika dalam kebanyakan jenis tanah di Malaysia. Sebanyak 10 spesis yang ditanam di Malaysia yang antara lain termasuklah limau langkat, bali, lemon, kasturi dan sebagainya. Sementara varieti yang lebih berasid pula seperti limau nipis dan purut.

Selain daripada dimakan secara segar, limau juga boleh menghasilkan jus serta untuk kegunaan lain. Misalnya, limau nipis boleh dijadikan acar buah dalam masakan, halwa, digunakan juga sebagai bahan untuk dijadikan produk minyak wangi atau minyak pati. Disamping itu juga, bagi perubatan tradisional pula limau merupakan antara bahan yang digunakan untuk tujuan perubatan. Ekstrak limau nipis juga digunakan untuk penghasilan produk kesihatan dan kecantikan. Jika dibandingkan dengan komoditi tanaman lain, limau nipis tidak bermusim. Ianya mengeluarkan hasil sepanjang tahun dan puncak pengeluarannya pula adalah antara bulan Oktober hingga November  dan Mac hingga April setiap tahun.

Lenggong merupakan salah satu kawasan yang rata-rata peladang di sini mengusahakan tanaman limau nipis untuk dijadikan sebagai sumber pendapatan. Memandangkan permintaan tinggi dari luar, pengusaha tanaman limau nipis di kawasan ini telah mengambil inisiatif untuk menambah keluasan tanaman termasuk di kawasan halaman rumah dan juga kebun masing-masing.

 

Penglibatan PPK Lenggong dalam tanaman limau nipis

 

kenangan semasa melawat tanaman waktu berkhidmat di Lenggong dulu


Menyedari akan potensi besar komoditi ini, maka PPK Lenggong telah mengambil inisiatif terlibat secara serius untuk menjadikan PPK sebagai antara pengeluar limau nipis secara komersial pada masa akan datang. Sehubungan itu, kajian mendalam dilakukan oleh pengurusan PPK Lenggong. Hal ini termasuk melawat kawasan tanaman limau nipis yang telah diusahakan oleh ahli-ahli peladang, aspek penawaran dan permintaan dan juga pemasaran. Memandangkan potensi serta kelebihan yang ada di kawasan ini, satu permohonan untuk mendapatkan peruntukan projek pembangunan telah dikemukakan kepada Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) untuk dipertimbangkan kelulusannya.

 

Ternyata usaha yang dilakukan berhasil dan mendapat sokongan penuh daripada LPP dengan meluluskan peruntukan secara geran sebanyak RM 58,100.00 kepada PPK Lenggong untuk membangunkan projek tanaman limau nipis pada tahun 2018. Projek pengeluaran makanan ini telah diusahakan di atas tanah milik PPK sendiri seluas 3 ekar dan dijalankan secara korporat. Skop yang diluluskan di bawah peruntukan ini meliputi kerja-kerja pembersihan kawasan, pembekalan benih tanaman, pembekalan input dan peralatan ladang, pemasangan sistem pengairan, pemasangan pagar elektrik serta pembinaan stor input di tapak projek. Berikut merupakan maklumat asas projek;

 

Perkara

Keterangan

Nama projek

Tanaman Limau Nipis

Lokasi

Selat Pagar, Lenggong

Keluasan

3 ekar

Kaedah pelaksanaan

Korporat

Anggaran hasil

64.8 mt/tahun

Anggaran pendapatan

RM 129,600/tahun

 

Projek ini dijangka akan mengeluarkan hasilnya kira-kira 3 hingga 4 tahun dari sekarang. Tanaman sebanyak 405 pokok keseluruhannya, ditanam dengan jarak 18’ x 18’ antara pokok dianggarkan akan mengeluarkan hasilnya sebanyak 2,700 kg/ekar. Berdasarkan unjuran purata harga jualan di ladang beberapa tahun kebelakangan ini, menunjukkan harga berlegar sekitar RM 2.00 hingga RM 2.50/kg. Sementara pendapatan yang bakal diraih hasil daripada projek ini pula adalah  dianggarkan berjumlah  RM 129,600/tahun.  Hal ini  membuktikan bahawa komoditi ini berdaya maju untuk dibangunkan.

Selain itu, menerusi pelaksanaan projek ini juga, secara tidak langsung ianya akan memberi sumber pendapatan baharu kepada PPK sendiri disamping meletakkan PPK sebagai pengeluar agromakanan kepada negara. Projek tanaman limau nipis ini merupakan projek jangka panjang kerana berdasarkan agronomi tanaman ini boleh mengeluarkan hasil sehingga menjangkau usia 10 hingga 12 tahun. Sudah tentu, projek ini bakal memberi pulangan lumayan kepada PPK dalam tempoh berkenaan.

Objektif pelaksanaan projek

            Antara objektif pelaksanaan projek tanaman limau nipis ini adalah seperti berikut;

(i)    Menjadikan projek tanaman limau nipis ini sebagai antara penyumbang kepada Dasar Agromakanan Negara khususnya dalam komoditi pengeluaran sayuran berbuah,

(ii)  PPK Lenggong menjadi peneraju kepada tanaman limau nipis sebagai projek contoh kepada mana-mana petani, institusi yang berminat untuk mengusahakan tanaman limau nipis pada masa depan,

(iii) Menyokong kepada pemerkasaan PPHP PPK Lenggong bagi aspek pemasaran hasil

(iv) Membangunkan tanah milik PPK dengan projek pertanian dan konsisten dalam penghasilan bahan makanan

(v)  Menjana sumber pendapatan baharu kepada PPK Lenggong dan manfaat kepada ahli peladang

 

Mekanisme pelaksanaan projek

 

Cantuman secara tut



Bagi memastikan projek yang diwujudkan ini berjaya dalam pelaksanaannya, PPK telah menyediakan perancangan rapi supaya projek korporat ini dapat mencapai objektifnya. Justeru, 2 buah jawatankuasa telah diwujudkan  iaitu Jawatankuasa Teknikal Projek dan juga Jawatankuasa Pengurusan Projek. Jawatankuasa Teknikal Projek dipengerusikan oleh PPD Wilayah Perak Tengah dan dianggotai oleh Biro Projek Pembangunan, LPP, FAMA, MARDI, Jabatan Pertanian dan Pengurus Besar sebagai Setiausaha. Kedua-dua jawatankuasa ini mempunyai peranannya yang tersendiri dalam usaha membantu melicinkan pelaksanaan projek di lapangan. Sebagai contoh, Jawatankuasa Teknikal Projek berfungsi sebagai memberi khidmat nasihat berkaitan aspek teknikal, menyediakan garis panduan atau SOP kepada pengurusan projek untuk melaksanakan tugasan di lapangan dan juga memantau serta mengadakan lawatan berkala di tapak projek. Sementara Jawatankuasa Pengurusan Projek yang dipengerusikan oleh Pengurus Besar pula berperanan antara lain ialah melaksanakan segala keputusan yang diputuskan oleh Jawatankuasa Teknikal Projek, membantu mengawal selia kewangan projek, memastikan projek berjalan sepertimana yang dirancang, prestasi projek, pemasaran dan sebagainya.  Jawatankuasa ini dianggotai oleh Pengurus Akaun, Bahagian Projek Pembangunan PPK, Perniagaantani dan Briged Kerja di ladang.

           Sementara dari segi pemasaran pula, hasil-hasil pengeluaran limau nipis ini akan dipasarkan melalui Pusat Penggumpulan Hasil Pertanian (PPHP) PPK Lenggong sendiri. Hubungan rantaian nilai bagi pengeluaran hasil dari projek tanaman limau nipis ini dapat dilihat dari proses awal pengeluaran dari ladang akan dibawa dan dikumpulkan di PPHP. Selain dibersihkan dan digred, aktiviti jualan kepada pemborong, peruncit serta jualan terus oleh PPK sendiri turut dilakukan di sini.

Sebagai usaha untuk memastikan kelestarian projek serta menjamin projek kekal berdaya tahan, tabung projek juga bakal diwujudkan dengan mematuhi kaedah yang telah ditetapkan oleh pihak LPP sendiri untuk digunakan semula sebagai modal pusingan, penyelenggaraan, dan sebagainya tanpa perlu bergantung kepada peruntukan daripada jabatan dan agensi selama-lamanya. Menurut Pengurus Besar PPK Lenggong, En Mohd Hafizatul Akmal bahawa projek yang dibangunkan ini merupakan penglibatan PPK buat pertama kali ke dalam industri ini dan telah mula ditanam pada bulan Julai yang lalu. “Jika projek ini berjaya, kami mempunyai hasrat dan perancangan besar pada masa hadapan untuk menggembangkannya ke atas tanah-tanah milik ahli pula melalui konsep pembangunan tanah terbiar yang akan diusahakan oleh PPK sendiri”, ujarnya lagi.

 

Impak projek

Gambar pada awal tanaman tahun 2018

Justeru, menerusi anggaran pendapatan hasil daripada pelaksanaan projek ini, secara amnya peruntukan yang disalurkan oleh LPP sebanyak RM 58,100 untuk projek ini dijangka sangat memberi impak besar serta menatijahkan ianya boleh dilaksanakan serta memberi pulangan yang baik disamping projek ini mempunyai prospek yang cerah untuk dilaksanakan. Selain itu juga, secara tidak langsung projek ini akan memberi faedah dan manfaat kepada PPK dan juga ahli-ahli peladang dari segi ekonomi dan juga sosial terutama ianya menjadi pelengkap kepada rantaian nilai serta membantu memperkasakan lagi PPHP sedia ada.

Penutup

            Sebagai kesimpulannya, projek tanaman limau nipis yang dibangunkan oleh PPK Lenggong ini merupakan suatu tanaman yang berpotensi besar untuk dimajukan kerana ianya mampu menjana pendapatan baharu kepada PPK sendiri. Selain itu juga, secara tidak langsung menerusi pelaksanaan projek ini ianya akan mewujudkan satu lagi projek pengeluaran makanan di Lenggong selari dengan peranan yang  dimainkan oleh PPK terutama dalam sektor agromakanan di kawasan ini. Sesungguhnya, pelaksanaan ini bukan semata-mata dilihat dari sudut ekonomi sahaja bahkan projek ini harus dilihat dari sudut tanggungjawab besar PPK dalam memastikan kecukupan makanan untuk seluruh rakyat di negara ini terjamin selain membantu pihak kerajaan dalam mengimbangi perdagangan bahan makanan ke dalam negara ini. Semoga projek yang telah diluluskan ini akan mencapai kejayaannya untuk mengukir nama serta menjadi antara penyumbang kepada pengeluaran makanan kepada negara ini. Selain itu juga, menerusi projek yang dijalankan ini secara tidak langsung merupakan suatu manifestasi kepada Pelan Korporat LPP ke 6 (2016-2020) yang telah menggariskan di bawah Teras Strategi 1 iaitu Mendaulatkan Pengeluaran Agromakanan dapat diterjemahkan diperingkat lapangan terlaksana dengan jayanya.

2 comments:

  1. Semoga berjaya memberikan pulangan yang diharapkan

    ReplyDelete
    Replies
    1. Insya Allah.. terima kasih sdr warisan petani,,

      Delete