Tuesday 31 August 2021

MENGENANG ALLAHYARHAM DATO' UMAR BIN ISMAIL, MANTAN PENGERUSI AJP PPK LENGGONG PERAK

Hari ini genap 1 tahun pemergian Allahyarham Dato' Hj. Umar bin Ismail, mantan Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah PPK Lenggong, Perak. Beliau merupakan seorang tokoh masyarakat yang amat disegani di Lenggong dan negeri Perak. Selaku orang yang luas pengalaman di dalam persada politik tanahair dan berkhidmat di dalam masyarakat sejak sekian lama membuatkan allahyarham amat dikenang akan jasa dan pengorbanannya.

Sebelumberkecimpung di dalam politik, allahyarham merupakan seorang guru sekolah. Sudah tentu pada zamannya menjadi guru amat dihormati masyarakat dan dipandang tinggi. Kemudiannya allahyarham terjun ke bidang politik dan menjadi ahli parlimen Chenderoh ketika itu sekitar tahun 1978. Jawatan terakhir di dalam politik adalah sebagai Speaker DUN Perak. 

Allahyarham sangat aktif di dalam pergerakan Pertubuhan Peladang sehingga pernah menjadi Pengerusi AJP Pertubuhan Peladang Negeri Perak dan jasanya membuka ladang jaya baru untuk dimajukan dengan tanaman kelapa sawit untuk faedah PPK dan juga ahli peladang nikmati sehingga ke hari ini. 

Allahyarham Dato' Hj Umar bin Ismail



Saya berkesempatan berkhidmat di PPK Lenggong ketika allahyarham menjadi Pengerusi AJP PPK Lenggong. Mengenali allahyarham merupakan seorang yang berpengalaman luas dan panjang fikirnya membuatkan setiap perkara yang perlu diputuskan saya biasanya akan berbincang dengan allahyarham terlebih dahulu khususnya mengenai keputusan-keputusan besar untuk diputuskan. Saya masih ingat lagi ketika hari pertama melapor diri di Lenggong, saya mengadakan kunjung hormat ke rumah allahyarham. Antara soalan-soalan yang ditanya kepada saya "Kalau mike bekerja di sini,orang rumah mike macam mana?datang sekali ke?"  Allahyarham bukan jenis yang boleh dibuat main, tetapi setiap percakapan dan tingkahlaku kita akan diperhati dan dinilai selaku orang lama. Setiap kata penuh nasihat dijadi azimat. Menegur penuh hikmah. Jarang senyum, dan bercakap terhadap perkara perlu sahaja. Setiap katanya penuh makna tersirat yang perlu direnung dan dihayati untuk menangkap makna yang ingin disampaikan. Penuh kiasan.

Bergambar kenangan bersama Allahyarham ketika perasmian stesen minyak milik PPK Lenggong. Dari kiri; Pengarah LPP Negeri, Ketua Pengarah LPP, Dato' Hj Umar dan saya



Pada saya, secara peribadi allahyarham seorang yang mementingkan soal kualiti kerja dan mempunyai pandangan jauh untuk memajukan organisasi. Bijak di dalam menggendalikan mesyuarat serta mematahkan hujah-hujah mereka yang pada pandangannya tidak sesuai tetapi tidak melukakan hati yang mengeluarkan hujah. Sangat dihormati oleh para pemimpin tempatan dan negeri walaupun telah lama tidak aktif di dalam politik. Ketajaman pemikiran walaupun sudah berusia 85 tahun dan bijaksana di dalam menasihati pengurusan sangat hebat.

Gambar kenangan. Saya, Dato' Umar dan Ketua Pengarah LPP tahun 2019



Mempunyai karisma seorang pemimpin untuk masyarakat masih terserlah. Sebagai tujuan rekod, allahyarham banyak berjasa  kepada masyarakat peladang di Lenggong khususnya dan antara jasa terakhirnya kepada warga peladang Lenggong adalah dengan terbinanya Stesen Minyak Petronas milik PPK Lenggong yang memberi faedah besar kepada ahli peladang, sumbangan ekonomi dan juga sosial kepada masyarakat. Saya amat menghormati allahyarham dan sangat bersyukur kerana berpeluang berkhidmat dengan allahyarham walaupun hanya 3 tahun 3 bulan sahaja. Antara ayat yang allahyarham ungkapkan ketika awal saya di Lenggong, "Menurut pesanan orang tua-tua di sini dulu sebut, Orang (pegawai kerajaan) yang datang ke Lenggong, jika berniat baik dan dia minum air sungai lenggong, insya Allah akan keluar dengan naik pangkat". 

Ketika majlis perpisahan saya yang bakal bertukar pada tahun 2019.



Terima kasih Dato' Hj. Umar bin Ismail atas segala khidmat bakti yang ditabur demi masyarakat dan anak watan. Semoga segala kebaikan yang dilakukan akan diganjarkan oleh Allah swt sebaiknya, insya Allah.

Al-Fatihah buat Allahyarham Dato' Hj. Umar bin Ismail yang telah pergi menemui PenciptaNYA tanggal 31 Ogos 2020. Seorang penjuang bangsa, perginya pun pada hari yang istimewa iaitu hari kemerdekaan tanahair tercinta.

(p/s: jika berkelapangan saya akan kongsikan mengenai pengalaman mewujudkan projek stesen minyak PPK Lenggong)


4 comments:

  1. Semoga arwah ditempatkan dikalangan orang yang beriman

    Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama. alahmdulillah pemergian masih di ingati. sudah pasti arwah sangat baik sepanjang hayat beliau

    ReplyDelete
  2. Betul tu ain,, walaupun tak banyak bercakap dan jarang senyum. tetapi allahyarham orang yang baik,.

    ReplyDelete
  3. Al-Fatihah buat Allahyarham Dato' Hj. Umar bin Ismail, semoga roh arwah bersama para solihin

    ReplyDelete