Showing posts with label tabiat membaca. Show all posts
Showing posts with label tabiat membaca. Show all posts

Sunday, 12 September 2021

27 TERTIB MAZHAB BISNES JEPUN

 

Assalamualaikum semua,

sesuai dibaca oleh semua peringkat 


Dah seminggu tak update entry di blog ini. Kali ini, aku hanya nak kongsi tentang sebuah buku yang aku baca kira-kira setahun lalu iaitu buku yang berjudul ’27 Tertib Mazhab Bisnes Jepun’ yang ditulis oleh Dato’ Zulkifli Malek selaku CEO Katana Circle.

Pada aku, aku sangat rekomen kepada semua yang membaca blog ini supaya memiliki dan membaca buku ini. Ianya sangat menarik. Buku ini bukan sahaja berkaitan tentang perniagaan di Jepun tetapi penuh dengan unsur nasihat, kekeluargaan dan nilai-nilai murni yang diamalkan di negara matahari terbit itu yang boleh dipelajari dan diikuti oleh kita dalam konteks keluarga, organisasi dan juga masyarakat. Jika anda membaca buku ini, gaya penulisan penulis di dalam buku ini sangat santai dan seolah-olah penulis sedang bercakap dengan kita. 27 tertib yang dikongsikan bukan sahaja boleh diaplikasikan di dalam perniagaan sahaja, sebaliknya juga kepada perkara-perkara lain termasuk di dalam kehidupan seharian.

Tertib-tertib yang dikongsi ini juga kelihatannya bukan bermula dalam sehari dua sebaliknya masyarakat jepun telah dididik dan dibudayakan dalam kehidupan mereka sejak dari seawal usia lagi. Di dalam sistem pendidikan mereka di sana telah menerapkan nilai-nilai murni yang asas untuk membentuk manusia dan masyarakat yang hebat pada masa depan. Kupasan dan perkongsian yang menarik oleh penulis di atas pengalaman beliau ketika belajar dan juga bekerja serta menetap di Jepun seharusnya perlu dibaca dan dihayati oleh setiap pembaca buku ini untuk diaplikasikan kalaupun bukan untuk mesyarakat dan negara tetapi sekurang-kurangnya kepada diri dan juga keluarga kita untuk mula melakukan perubahan serta mengamalkan nilai-nilai murni.

(Disclaimer: aku tidak dapat sebarang komisyen apa-apa tentang perkongsian buku ini, tetapi terpanggil untuk berkongsi kepada semua supaya bermanfaat)

Sunday, 22 August 2021

SASARAN BACA 21 BUAH BUKU DI TAHUN 2021

 

sebahagian koleksi buku yang dibaca sepanjang tahun 2020

Assalamualaikum semua, 

Tabiat membaca dalam kalangan rakyat Malaysia perlu dijadikan amalan dan budaya. Bagi negara-negara maju, bukan sahaja negara mereka mempunyai fasiliti kelas pertama tetapi minda rakyat dan masyarakatnya juga berminda kelas pertama. Selain itu, tabiat dan budaya membaca semacam sudah sebati di dalam kehidupan harian mereka. Tanpa disuruh dan dipaksa, membaca menjadi kemestian. 

Tahukah kita semua bahawa sasaran untuk mencapai negara membaca adalah rakyatnya secara purata membaca sekurang-kurangnya 30 buah buku setahun. Namun, dapatan kajian menunjukkan tahap tabiat pembacaan buku secara puratanya adalah sekitar 15 buah buku dalam satu tahun. Walaupun dapatan menunjukkan demikian, tetapi ianya juga suatu peningkatan daripada sebelum-sebelumnya apabila sekitar tahun 90-an dan 2000, purata membaca dikalangan rakyat Malaysia lebih rendah daripada itu. Ini bermakna, ianya masih jauh untuk dicapai tetapi tidaklah mustahil. 

Di dalam agama islam, ayat pertama diturunkan adalah menyuruh umatnya MEMBACA! Jadi jika fahami perkara ini, membaca bukan lagi sekadar hobi, tetapi ianya kewajipan kepada kita semua selaku muslim. Ayuh kita setkan supaya budaya dan tabiat membaca ini diterapkan pada diri kita dan keluarga terdekat kita. Kita perlu mulakan dari sekarang. Kita perlu mulakan dengan diri kita, keluarga kemudian barulah kepada masyarakat. Aku sendiri akui, bahawa aku juga belum lagi sampai ke tahap membaca 30 buah buku setahun. Aku pun baru saja cuba disiplinkan diri untuk membaca buku. Tahun lepas, masa PKP selesai baca dalam 15 buah buku pelbagai judul yang aku minat. Pada tahun ini, aku cuba sasarkan sekurang-kurangnya aku dapat baca dan habiskan untuk 21 buah buku. Kenapa 21? Sebenarnya tidak ada yang istimewa pun, cuma aku ambil seiring dengan tahun ini iaitu 2021. Moga aku berjaya capai sasaran yang aku sendiri tetapkan pada diri menjelang akhir tahun ini, Insya Allah. Sebagai makluman, sehingga hari ini aku telah selesai membaca 10 buah buku. Masih jauh lagi nak capai sasaran. Harapnya berjaya.

Dikesempatan ini, aku juga ingin mengajak rakan-rakan atau pembaca yang singgah ke blog aku ini untuk ayuh kita sama-sama membudayakan tabiat membaca tak kira apa pekerjaan, pangkat, keturunan, lapisan masyarakat dan sebagainya. Banyak faedah kita akan perolehi melalui pembacaan. Ingat, bangsa membaca bangsa berjaya! 

Wallahua'lam