Pendahuluan
Lebih empat dekad lamanya
Pertubuhan Peladang diwujudkan di bawah Akta
109 bagi membela para peladang di seluruh negara. Selama tempoh itu jugalah
usaha kerajaan menerusi badan ini tidak pernah terhenti walaupun seketika untuk
memperkasa sektor pertanian selain meningkatkatkan taraf sosioekonomi
masyarakat peladang. Selain itu, salah
satu tugas Pertubuhan Peladang (PP) ialah terlibat dalam kegiatan sosial yang
melibatkan ahli peladang. Program-program pengaktifan unit peladang, bagi
mengeratkan hubungan ahli termasuk juga soal kebajikan terhadap ahli-ahli
peladang sentiasa menjadi keutamaan.
Di PPK Lenggong misalnya,
program turun padang telah dilaksanakan sejak sekian lama. Antara program dan
aktiviti yang dilaksanakan seperti mesyuarat-mesyuarat di unit peladang,
penglibatan ahli peladang dalam bidang keusahawanan, dan sebagainya. Namun,
bermula tahun 2017, barisan Ahli Jemaah Pengarah dan pengurusan PPK telah
memutuskan untuk memberi nafas baru dan kesegaran kepada siri program turun
padang oleh PPK Lenggong bagi mendekati masyarakat tani dan kumpulan sasar
supaya peranan dan kehadiran PPK sentiasa dirasai dalam masyarakat.
Program Agro Kembara Warisan
Program Agro Kembara Warisan PPK Lenggong di Unit Peladang Kg. Changkat Berangan
Bermula tahun 2017, program
turun padang ke unit-unit peladang oleh Ahli Jemaah Pengarah dan juga
pengurusan PPK Lenggong telah memberi kelainan sama ada dari segi nama program
mahupun pengisian di dalamnya. Program ini dikenali sebagai Program Agro
Kembara Warisan PPK Lenggong. Memandangkan ianya melibatkan PPK dan ahli
peladang yang terlibat dalam sektor pertanian serta memerlukan PPK untuk
menjelajah dari satu unit ke unit peladang yang lain maka sesuailah diletakkan
perkataan “Agro Kembara”. Sementara perkataan “Warisan” pula dipilih sempena
Lenggong itu sendiri telah diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO sejak
2012. Program ini diterajui oleh Biro Hal Ehwal Korporat, PPK Lenggong. Biro
ini akan membuat perancangan program, menetapkan jadual kekerapan turun padang,
pemilihan unit peladang serta aktiviti yang akan diisi semasa sesi turun padang
berkenaan dilaksanakan. Tujuan Program Agro Kembara Warisan ini dilaksanakan
adalah untuk mencapai perkara berikut;
(i) Menyediakan platform kepada PPK dan ahli peladang ruang
untuk bersemuka dan beramah mesra dalam suasana santai dan harmoni,
(ii) Mewujudkan komunikasi
dua hala antara PPK dan ahli peladang,
(iii) Mendengar, mencatat dan membantu dalam permasalahan atau
isu diperingkat unit peladang yang dibangkitkan,
(iv) Menyampaikan informasi-informasi terkini mengenai PPK,
LPP dan juga dasar-dasar kerajaan terkini berkaitan sektor pertanian
(v) Pendaftaran keahlian baru, saham dan urusan berkaitan
Sebagai rekod, PPK Lenggong mempunyai ahli keseluruhan
adalah seramai 3,828 orang meliputi 21 unit peladang di bawah penyeliaan PPK
ini.
Pengisian program dan
aktiviti
Agro Kembara di Unit Peladang Kg. Gelok |
Bagi tahun 2018,
penambahbaikan telah dibuat iaitu dari segi penglibatan jabatan dan agensi
lain. Menurut En. Hasan bin Saadan, Pengerusi Biro Hal Ehwal Korporat, PPK Lenggong menyatakan bahawa pada tahun ini
PPK telah menjemput jabatan dan agensi lain untuk turut serta dalam program
turun padang ini. Antara agensi yang terlibat ialah FAMA, Jabatan Pertanian dan
TEKUN. “Menerusi penglibatan ini,
permasalahan yang dibangkit jika berkaitan dengan agensi terlibat, maka wakil
daripada jabatan dan agensi dapat memberi maklumbalas secara terus kepada
ahli-ahli peladang dalam program berkenaan dan ini lebih berkesan berbanding
kaedah lama,” ujarnya lagi. Malah beliau turut berhasrat untuk melibatkan
lebih banyak jabatan dan agensi lagi pada masa akan datang supaya manfaat
kepada masyarakat peladang diperingkat akar umbi lebih bermakna dengan
kehadiran para pegawai dari pelbagai jabatan dan agensi untuk masuk ke
kampung-kampung mereka kelak. Secara tidak langsung ianya akan menterjemahkan
konsep “membawa pejabat ke kampung”
dapat direalisasikan sebaiknya.
Sesungguhnya, konsep ‘Membawa pejabat ke kampung’ bukanlah
sesuatu yang asing kepada pergerakan Pertubuhan Peladang khususnya di Lenggong
ini. Memandangkan program yang diadakan ini lebih bersifat santai serta
diadakan di lokasi-lokasi tumpuan seperti di perkarangan masjid, rumah, dewan
orang ramai dan juga warung-warung kopi, akan menjadikan komunikasi bersama
para peladang lebih mudah. Selain itu juga, program ini tidak terlalu formal
malah peladang pula diberi ruang untuk mengemukakan pertanyaan serta
mengutarakan pandangan masing-masing dalam platform ini. Hasil daripada
penilaian ke atas pelaksanaan program yang dilakukan mendapati bahawa program
ini memberi impak kepada PPK dan masyarakat peladang terutamanya dari beberapa
aspek. Antaranya dari aspek pertambahan ahli-ahli baru, proses pemutihan ahli
dapat dilakukan dengan lancar, peningkatan jualan input pertanian, kesedaran
terhadap tanggungjawab ahli, menyelesaikan permasalahan yang berbangkit secara
terus dan sebagainya.
Beramah mesra bersama ahli dan penduduk kg. Beng
Disamping itu juga, pengisian program di setiap unit-unit peladang adalah mengikut kesesuaian situasi dan keadaan semasa. Misalnya, menerusi program ini juga pernah melaksanakan aktiviti sosial dengan menjalankan misi pasca banjir di Unit Peladang Kg. Sumpitan apabila unit berkenaan dilanda banjir awal tahun ini dan PPK telah menggerakkan para peladang muda bersama ahli-ahli di unit peladang berkenaan untuk menyertai misi ini untuk membantu rumah-rumah ahli yang dilanda banjir untuk kerja-kerja membersihkan kesan banjir yang melanda selain menyampaikan sumbangan kepada mangsa-mangsa banjir yang terlibat.
Agro Kembara di Unit Peladang Kg. Sumpitan sempena misi pasca banjir |
Penutup
Secara kesimpulannya,
menerusi inisiatif turun padang yang diambil oleh PPK Lenggong ini sekaligus
menterjemahkan keberadaan PPK sentiasa dirasai oleh masyarakat selaras dengan
apa yang sering dihasratkan oleh mantan Pengerusi LPP sebelum ini. Disamping
itu juga, ianya akan dapat membantu memperkukuhkan lagi hubungan erat yang
sedia terjalin antara PPK dengan ahli-ahli peladang diperingkat akar umbi serta
akan menggerakkan aktiviti pengaktifan di unit peladang itu sendiri secara
tidak langsung. Walau apa pun nama program yang diletakkan, hakikatnya akan
berpaksi kepada prinsip mengaktifkan unit peladang serta program-program
penggemblengan ahli diberi keutamaan.
Program seumpama ini bukan
sahaja turun padang semata-mata, sebaliknya juga digunakan sebagai salah satu
kaedah untuk mencungkil dan mengenalpasti bakat-bakat muda diperingkat
unit-unit peladang dapat dikesan dan diangkat selayaknya. Program Agro Kembara
Warisan ini akan diteruskan pada masa akan datang dengan pengisian yang lebih
segar dan penuh kreatif. Pendekatan turun padang seumpama ini diambil supaya
PPK kekal relevan dan mampu menarik minat masyarakat terutama golongan muda
untuk menyertai pergerakan pertubuhan peladang. Secara tidak langsung, agenda
meremajakan pertubuhan peladang dapat direalisasikan melalui tindakan yang
berkesan dan tidak hanya dibual melalui perkataan semata-mata sahaja dan juga
diharapkan program ini akan diteruskan
pada masa akan datang untuk manfaat bersama.
PPK memang banyak membantu usaha2 pertanian setempat
ReplyDeletesetuju sangat.. Wak jadi ahli peladang PPK mane? ;p
ReplyDelete