Showing posts with label santai. Show all posts
Showing posts with label santai. Show all posts

Saturday, 11 January 2025

CENDAWAN PEHA AYAM @ KULAT TAHUN

 


tempat korang panggil cendawan ni nama apa?


Siapa pernah makan cendawan ni? haa tentu ada yang pernah makan kan.. tapi berapa ramai yang membawa entri ini yang pernah jumpa cendawan peha ayam atau kulat tahun ini? Sebenarnya, nama cendawan ini mungkin berbeza namanya mengikut tempat. Ada yang kenalinya dengan cendawan peha ayam, kulat tahun atau ada juga yang memanggilnya dengan cendawan butang. Walau apapun namanya, hakikatnya itulah cendawannya. Ianya dikatakan muncul hanya setahun sekali dan mereka yang menjumpainya sangat bertuah kerana bukan selalu ada sepertimana cendawan-cendawan lain seperti kulat sisir/kukur atau cendawan tiram kelabu yang bukan sahaja mudah didapati bahkan boleh diusahakan secara komersial tetapi tidak untuk cendawan peha ayam.

Sehingga kini, para penyelidik tidak dapat menemukan biji benih atau sporanya yang boleh dikutip untuk dijadikan benih untuk tujuan tanaman secara komersial. Berdasarkan kepada cendawan ini juga, pelbagai cerita berkaitannya termasuk pantang larang yang diceritakan oleh orang terdahulu mengenainya. Antaranya, mengikut kepercayaan orang terdahulu jika menjumpai cendawan ini, orang itu dikatakan orang yang bertuah dan berhati suci. Hal ini kerana bukan semua orang direzekikan boleh menjumpainya. Selain itu juga, bagi orang yang menjumpai cendawan ini dilarang untuk memberitahu kepada sesiapa pun di mana lokasi yang dijumpainya. Sekiranya orang yang menjumpai memberitahu orang lain, dikatakan dia tidak akan lagi menjumpai cendawan itu selamanya. Disamping itu juga, cendawan ini tidak boleh dijual sebaliknya jika dapat banyak bolehlah disedekahkan kepada orang lain. Dikatakan jika menjual, seolah-oleh ianya menjual anak sendiri dan juga tidak akan menjumpainya lagi.






Demikianlah cerita-cerita dan pantang-larang orang-orang tua terdahulu. Mungkin ada lagi, tapi tidaklah diketahui oleh aku. Berbalik kepada cendawan peha ayam ni, aku terjumpanya hari pertama tahun baru 2025. Memutih je. Memang teruja semasa jumpa tu. Penat mengutipnya yang banyak tumbuh keluar dari tanah. Keterujaan itu pula disumbang dengan dah lama tak jumpa. Seiingat aku, pernah jumpa masa sekolah menengah dulu dan kini kembali menemuinya. Alhamdulillah, rezeki dari Allah.

Menu masakan cendawan ini pula biasanya boleh digoreng kunyit, sup cendawan dan ada juga yang buat masak kurma. Memang sedap! Jika anda yang membaca ini ada masakan lain yang dibuat, bolehlah share untuk dicuba dilain waktu.  Sekian sahaja perkongsian kali ini, berjumpa lagi dientri akan datang ya.

Wallahu’alam.

SUNDANG WARISAN PUSAKA BANGSA


Sundang yang dipamerkan



Sundang tergolong dalam keluarga keris yang digunakan oleh bangsa melayu di Nusantara sejak berabad lamanya. Sundang mempunyai bentuk seakan keris namun ianya lebih panjang dan merupakan simbol kepada orang melayu itu sendiri yang membawa maknanya yang tersendiri. Dalam bahasa mudah, sundang merupakan pedang bagi orang melayu. Alat ini digunakan di sekitar kepulauan Sulu, selatan Filipina, Semenanjung tanah melayu dan juga Indonesia. Selain daripada digunakan sebagai alat persenjataan bagi mempertahankan diri, sundang juga bertindak sebagai simbol seseorang dalam masyarakat. Misalnya laksamana, ulama, pemerintah atau juga ketua sesuatu komuniti. 



Tulang mawas yang digunakan untuk penghasilan sundang



Baru-baru ini, berkesempatan untuk melawat pameran sundang di Muzium Taiping yang telah berlangsung selama 6 bulan hingga 31 Disember 2024. Di sana dipamerkan lebih 200 bilah sundang yang didedahkan kepada masyarakat umum tentang kesenian, persenjataan, perlambangan dan kepentingan sundang yang digunakan suatu masa dahulu untuk dikenali dan mendapat info selain mampu membantu masyarakat ini untuk lebih mendekati warisan bangsa. 4 jenis sundang yang digunakan bagi menentukan seseorang dalam lapisan masyarakat. Sundang Waad Darjat digunakan oleh Sultan dan juga kerabat di istana, Waad Laksamana pula digunakan oleh pahlawan bagi menentang dan menghapuskan musuh, Waad Ulama pula akan dikurniakan kepada ulama dan agamawan dan Waad Adat pula akan digunakan oleh orang biasa yang mengetuai sesebuah komuniti. Misalnya ketua kampung dan sebagainya. Apa yang menarik tentang sundang ini adalah bukan sahaja ciri dan bentuknya tentang senjata semata-mata tetapi juga disebalik itu juga terpancar akan kesenian, kebudayaan dan juga bagaimana masyarakat melayu terdahulu telah menerokai tentang teknologi dalam penghasilan senjata seperti keris dan sundang menerusi tempaan besi yang digunakan. 



Pameran seumpama ini merupakan satu inisiatif yang baik dilakukan oleh pihak Jabatan Muzium Perak, Taiping. Menerusi pameran ini telah berjaya menarik ramai pengunjung dari pelbagai bangsa, lokasi, negeri dan peringkat umur untuk melihat sendiri sundang. Bagi aku, pendedahan bukan sahaja pada anak aku tapi juga pada aku tentang senjata warisan bangsa ini. Diharapkan agar pameran-pameran seumpama ini akan dapat dibuat lagi pada masa depan untuk tujuan pendedahan dan pendidikan kepada umum tentang tinggalan silam. 

Wallahu’alam.

Tuesday, 24 August 2021

AKU DAN GOLF

 

Tee Off

Apabila menyebut tentang sukan golf, ramai di luar sana berpandangan bahawa "wah..sukan orang kaya ni", ada yang mengatakan ini sukan untuk golongan elit. Sukan VVIP dan sebagainya. Tak kurang juga yang mengaitkan golf dengan konotasi negatif seperti "orang yang main golf ni, main judi..sebab diorang akan main beating". Selain itu, siapa yang main golf, akan tinggal solat, GOLF - Golongan orang lemah fikiran sebab bola dipukul lepastu pukul lagi sampai masuk lubang tak kira pagi tengahari dan petang berjemur panas dan hujan. Pelbagai lagi yang diperkatakan orang di luar sana. 

Sebenarnya aku dulu pun sebelum mula main golf, berpandangan sama. Aku selalu merasakan orang-orang yang main golf ni orang yang banyak duit dan vvip sahaja dan sukan ni esklusif kepada golongan tertentu sahaja. Tetapi setelah aku mula cuba dalam sukan ini, ianya jauh berbeza dari apa yang aku sangkakan. Banyak kebaikannya. Golf sebenarnya juga merupakan salah satu cabang permainan sukan. Aku masih ingat lagi semasa bekerja di Sime Darby dulu, pertama kali pegang kayu golf apabila senior manager aku ajak 'turun padang' selepas waktu kerja. Aku masa tu, satu apa pun tak tahu pasal golf. Dia tunjukkan cara dan ajar serba sedikit. Dia pesan, kena mula belajar dan minat dalam golf kerana banyak kelebihannya. Kemudiannya, apabila aku masuk sektor awam, pengarah negeri masa itu memang ahli kelab golf malah dia juga captain kelab golf. Dia mula mendorong aku dan yang lain-lain untuk mengenali golf. Dia sedia melatih kami setiap petang di driving range dan adakalanya masuk ke padang golf selepas waktu kerja dan juga hari cuti. Tapi masa tu aku tengah sibuk belajar, takla focus 100% bagi komitmen tentang golf. Rakan-rakan yang lain, yang memang fokus, diorang dah pandai main. Sementara aku masih terkial-kial.

Bila aku bertukar, aku jumpa seorang rakan pejabat yang memang pemain golf pun. Dia mula membangkit semula semangat untuk aku main golf semula. Aku mula beli set golf sebagai tanda komitmen untuk fokus dalam permainan ini. 

Kenapa aku main golf?

Setiap orang ada sebab dan cerita mengapa dan bagaimana diorang terjun dalam permainan golf. Begitu juga aku. Aku sebenarnya main golf sebab untuk keluarkan peluh dan bersosial. Untuk makluman, tidak ada sukan yang aku betul-betul mahir dan minat sebelum ini. Semua sukan aku pernah main kecuali bola. Bola aku memang tak minat dan pernah main suka-suka masa kecil-kecil dulu saja. Selain itu, aku main badminton, ping pong, catur, tennis, berbasikal dan bola tampar. Akhirnya, aku rasa belum sesuai. Sehinggalah aku jumpa sukan golf. Sepertimana yang aku cerita di atas tadi macam mana aku jumpa golf. haha. Aku mula untuk main golf sebabnya sekarang equipmentnya dan sukan ni bukan lagi sukan yang mahal peralatanya dah. Sekarang dah banyak boleh dapat dan harganya pun dah murah. Korang tau tak, golf adalah sukan permainan yang sesuai untuk semua lapisan masyarakat, tak kira lelaki perempuan dan berapa usianya sekalipun? Itulah golf.




Berbalik kenapa aku main golf antara sebabnya untuk pastikan aku sentiasa mengeluarkan peluh untuk kesihatan dan juga tujuan lain untuk bersosial. Dengan bermain kita boleh jumpa ramai orang dari pelbagai bidang dan tempat. Selain itu juga, golf merupakan satu sukan yang mempunyai etika yang unik. Bermain golf bukan sekadar bermain, tetapi perlu mempunyai etika. Antaranya jujur. Jujur pada diri sendiri. Jika kita menipu di dalam pengiraan points, maka kita bukan menipu rakan atau lawan kita, tetapi kita sedang menipu diri kita sendiri. Disamping itu juga, golf melatih untuk seseorang itu berdisiplin. Lihatlah pemakaian pakaian sukan golf. Sentiasa tuck-in, dan kemas. Apa yang lebih penting, sukan golf mengajar dan mendidik tentang ketelitian, mengurus tekanan mental, fizikal dan juga melatih untuk membuat keputusan. Semuanya ada di dalam golf.

Sesiapa yang bermain golf mereka tahu perkara ini. Golf juga akan menunjukkan siapa diri kita yang sebenar. Untuk melihat siapa seseorang itu, lihatlah ketika bermain dengannya semasa di padang golf. Bagi yang panas baran sebelum ini yang kita tak pernah tahu, akan terjelma di padang khususnya apabila pukulannya tidak menjadi. Tingkah lakunya turut menunjukkan siapa dirinya. Sebab itu aku mula suka pada golf. Bukan sahaja mengeluarkan peluh secara fizikal tetapi melatih dan mendidik dalaman diri kita untuk lebih baik dan dapat diperbaiki. Tidak gopoh untuk membuat keputusan dan tindakan.  Selain tu juga, setiap padang golf memang cantik-cantik pemandangannya. Serious. haha

Ada lake di padang golf,



Bagi yang mengatakan sukan golf akan menyebabkan seseorang itu tinggal solatnya sebab sibuk dipadang. Untuk pengetahuan, di padang golf, banyak disediakan kemudahan tempat solat, bilik air dan sebagainya. Memandangkan golf tiada masa ditetapkan untuk seseorang itu perlu menamatkan permainan, maka bila masuk waktu berentilah solat sekejap. Dan memang ramai pun yang akan tunaikan solat. Kalau korang masuk padang golf korang boleh nampak situasi ni. Bagi mereka yang tak solat memangla ada. Tapi janganlah ikut mereka. Di luar golf pun belambak yang tak jaga solat. Justeru, jangan kaitkan sukan dengan soal solat. Selain itu juga, 'beating'. Ya, memang ada. Tetapi ini soal pilihan kita. Aku sendiri tak pernah beating ketika bermain. Bergantung pada diri dan nawaitu kita. Aku ingat semasa kursus induksi golf ketika mendaftar menjadi ahli kelab golf, captain kami berpesan 3 perkara. Jaga solat, jangan berjudi dan jangan tinggal keluarga. Dan ini yang aku pegang dan alhamdulillah sukan ini sangat baik.

Hari ini kalau kita pergi ke driving range, kita akan dapati ramai anak-anak sekolah yang masih kecil telah mula berjinak-jinak dengan sukan golf. Mereka dilatih oleh coach yang berpengalaman. Budak-budak mudah dilentur. Golf juga melatih untuk kita belajar fokus. Baik untuk pembesaran anak-anak jika didedahkan seawal usia. Banyaklah lagi kebaikan golf jika digali.

Kesimpulan

Dalam hidup ini, merupakan pilihan. Kita bebas memilih apa sukan sekalipun untuk kita bermain. Jadi, nasihat aku ceburilah apa sukan sekalipun agar kita sentiasa sihatkan tubuh badan kita dan sesuai dengan minat kita. Semua jenis sukan mempunyai kelebihan dan kebaikannya. Aku bercerita tentang kebaikan golf sebab aku bermain golf. Bukan bermakna menafikan sukan-sukan lain. Jangan salah sangka ya. Disamping itu juga terdapat kelemahan golf, tetapi mengapa sentiasa mencari tentang negatif sesuatu, sebaliknya suburkanlah tentang positifnya,kan lebih baik?

Wallahua'lam.