Ayuh, kita kibarkan bendera Malaysia dengan megah |
Bulan
Ogos setiap tahun merupakan bulan penuh bermakna buat warga di tanah air
tercinta ini dimana bulan seluruh rakyatnya meraikan dan merayakan sambutan
bulan kemerdekaan. Bulan kemerdekaan bukan sahaja sekadar memenuhi kalendar
tahunan negara untuk merayakan sejarah tanah air, sebaliknya ianya perlu
disusuli dengan penuh penghayatan serta disulami dengan jiwa merdeka!
Malaysia
sudah mencapai kemerdekaan selama 64 tahun. Namun, tempoh ini masih singkat
jika dibandingkan dengan tempoh penjajahan ke atas tanah air tercinta ini.
Setiap warga seharusnya merasa kepunyaan dan cintakan watan dengan sepenuh jiwa
dan raga tanpa ada sekelumit rasa ragu dan gusar. Persoalannya, bagaimana ini
memupuk dan menyemai perasaan ini? Jawapannya, ia perlu dimulakan sejak di awal
usia lagi penerapan tentang cintakan negara dan sanggup berkorban demi negara
ini. Mulakan dari rumah. Pupuk dan asuh anak-anak kita tentang erti sebenarkemerdekaan.
Perasaan cintakan tanah air bukan hanya bermusim. Malah ianya perlu setiap
masa. Jadi, untuk itu menggantung bendera jalur gemilang bukan pada waktu atau
bulan kemerdekaan sahaja, tetapi setiap masa dan di mana-mana. Sama ada di
premis, di rumah, di kereta, di motosikal, di pejabat-pejabat kerajaan dan
swasta dan di seluruh negara.
Ingat,
menggantung bendera bukan sekadar menggantungnya untuk simbolik semata-mata,
tetapi perlu dengan perasaan dan budaya. Barulah menggantung bendera itu
merupakan suatu kebanggaan dan bukannya kerana paksaan atau hanya dibayar atau
arahan baru ingin menggantungnya. Salah. Sebaliknya, kita perlu semai dijiwa
setiap kita akan kasih dan sayang pada negara ini yang diterjemahkan dengan
kebanggaan menggantung bendera jalur gemilang di rumah kita. Pengalaman ke
beberapa buah negara mendapati mereka seolah tiada musim untuk memasang bendera
negara masing-masing. Mereka seolah berbangga dengan bendera negara mereka. Di
Vietnam misalnya, kita boleh lihat bagaimana bendera negara ada di mana-mana
sama ada pada motorsikal, di hotel, di restoran, di premis perniagaan, di
rumah-rumah dan sebagainya. Demikian juga jika kita ke Indonesia, ke Thailand,
Turki dan banyak negara-negara lain yang rakyatnya bersama atas semangat
cintakan negara yang diterjemah melalui pemasangan bendera negara.
Perkara
ini kita boleh belajar. Lihat rumah kita dan jiran tetangga kita. Berapa
bilangan rumah dalam kawasan kediaman kita yang sudah memasang bendera Malaysia
di hadapan rumah? Mungkin masih ada berperasaan malu tidak bertempat. Bimbang
jika memasangnya akan dikatakan ‘terlebih semangat’. Perasaan ini harus dibuang
jauh-jauh. Ada juga yang mengambil pendekatan ‘tunggu dan lihat’. Tengok orang
lain pasang baru sibuk hendak pasang. Ini pun tabiat perlu dikikis. Mulakan
sekarang. Mulakan dengan diri kita. Apa yang lebih membimbangkan jika tiada
langsung rasa untuk menghayati erti kemerdekaan di dalam sanubari mereka. Pada
mereka mungkin kemerdekaan ini hanya mengenang pejuang masa lalu menuntut
kemerdekaan semata-mata.
Tanggungjawab
kita hari ini, adalah untuk memastikan kestabilan dan kemerdekaan ini terus
kekal selamanya. Ingat, tiada jaminan bahawa negara yang telah merdeka maka
akan kekal merdeka selamanya. Jadi, kita selaku warga yang mempunyai
tanggungjawab besar adalah untuk melakukan perkara-perkara yang boleh
mengharumkan nama negara kita. Kitalah warga yang bakal mengisi erti
kemerdekaan ini sebaiknya setelah pejuang terdahulu bermandi keringat dan darah
mempertahankan tanah air ini. Tekuni bidang yang kita masuk supaya kita muncul
yang terbaik. Jadikan bangsa dan negara ini mengungguli dalam apa bidang yang
diceburi. Inilah yang boleh menunjukkan bahawa kita sayang keapda negara ini.
Terjemahkan erti kemerdekaan dalam bentuk tindakan yang terbaik kita boleh lakukan.
Jangan
bermain api perkauman yang boleh meruntuhkan asas kewujudan negara ini. Saling
memupuk perasaan bersatu padu sesama kita. Ini negara kita, kita perlu buat demi
negara. Penerokaan ke dalam bidang sains dan teknologi, ilmu pengetahuan serta
melakukan lebih banyak inovasi untuk diketengahkan dijangka mampu menjadikan
negara ini sebagai rujukan terbaik. Budayakan rakyat di negara ini dengan
budaya membaca sebagai salah satu usaha menuju negara maju. Negara bertuah ini
merupakan negara yang unik dari segi kepelbagaian kaum dan etnik yang menghuni
di dalamnya dan stabil serta makmur telah menjadi cerminan Malaysia di mata
dunia. Kita perlu membawa wajah Malaysia yang bersatu padu, aman dan makmur
supaya ke mana sahaja kita pergi akan dihormati oleh negara-negara lain. Jangan
kita bercakaran sesama kita hanya kerana berebut untuk potong ‘queue’ atau
masing-masing jadi samseng jalanan tidak mahu mengalah dan melayan sifat panas
baran kita. Hentikan. Semua perkara negatif ini dan banyak lagi tidak akan
membawa kita ke mana kecuali terus mundur dan ketinggalan.
Saya berdoa semoga Malaysia akan dilimpahi rahmat dan kemakmuran serta kedamaian yang sejati serta muncul salah sebuah negara yang maju dan dalam masa sama mengekalkan budaya dan adat ketimuran yang menebal serta mempunyai nilai-nilai murni yang tinggi. Kekalkan saling hormat menghormati dan tolak ansur antara kaum suatu resipi kejayaan harmoni di negara ini. Ayuh kita kibarkan bendera Malaysia dengan penuh kemegahan bermula di rumah kita!
Selamat menyambut bulan
Kemerdekaan Malaysia ke 64!
Amin atas doanya tu . Moga terus aman damai dan berjaya Malaysiaku... I loveeee Malaysia!
ReplyDeletekeranamu Malaysia!
Delete