Showing posts with label pendapat saya. Show all posts
Showing posts with label pendapat saya. Show all posts

Tuesday, 24 August 2021

AKU DAN GOLF

 

Tee Off

Apabila menyebut tentang sukan golf, ramai di luar sana berpandangan bahawa "wah..sukan orang kaya ni", ada yang mengatakan ini sukan untuk golongan elit. Sukan VVIP dan sebagainya. Tak kurang juga yang mengaitkan golf dengan konotasi negatif seperti "orang yang main golf ni, main judi..sebab diorang akan main beating". Selain itu, siapa yang main golf, akan tinggal solat, GOLF - Golongan orang lemah fikiran sebab bola dipukul lepastu pukul lagi sampai masuk lubang tak kira pagi tengahari dan petang berjemur panas dan hujan. Pelbagai lagi yang diperkatakan orang di luar sana. 

Sebenarnya aku dulu pun sebelum mula main golf, berpandangan sama. Aku selalu merasakan orang-orang yang main golf ni orang yang banyak duit dan vvip sahaja dan sukan ni esklusif kepada golongan tertentu sahaja. Tetapi setelah aku mula cuba dalam sukan ini, ianya jauh berbeza dari apa yang aku sangkakan. Banyak kebaikannya. Golf sebenarnya juga merupakan salah satu cabang permainan sukan. Aku masih ingat lagi semasa bekerja di Sime Darby dulu, pertama kali pegang kayu golf apabila senior manager aku ajak 'turun padang' selepas waktu kerja. Aku masa tu, satu apa pun tak tahu pasal golf. Dia tunjukkan cara dan ajar serba sedikit. Dia pesan, kena mula belajar dan minat dalam golf kerana banyak kelebihannya. Kemudiannya, apabila aku masuk sektor awam, pengarah negeri masa itu memang ahli kelab golf malah dia juga captain kelab golf. Dia mula mendorong aku dan yang lain-lain untuk mengenali golf. Dia sedia melatih kami setiap petang di driving range dan adakalanya masuk ke padang golf selepas waktu kerja dan juga hari cuti. Tapi masa tu aku tengah sibuk belajar, takla focus 100% bagi komitmen tentang golf. Rakan-rakan yang lain, yang memang fokus, diorang dah pandai main. Sementara aku masih terkial-kial.

Bila aku bertukar, aku jumpa seorang rakan pejabat yang memang pemain golf pun. Dia mula membangkit semula semangat untuk aku main golf semula. Aku mula beli set golf sebagai tanda komitmen untuk fokus dalam permainan ini. 

Kenapa aku main golf?

Setiap orang ada sebab dan cerita mengapa dan bagaimana diorang terjun dalam permainan golf. Begitu juga aku. Aku sebenarnya main golf sebab untuk keluarkan peluh dan bersosial. Untuk makluman, tidak ada sukan yang aku betul-betul mahir dan minat sebelum ini. Semua sukan aku pernah main kecuali bola. Bola aku memang tak minat dan pernah main suka-suka masa kecil-kecil dulu saja. Selain itu, aku main badminton, ping pong, catur, tennis, berbasikal dan bola tampar. Akhirnya, aku rasa belum sesuai. Sehinggalah aku jumpa sukan golf. Sepertimana yang aku cerita di atas tadi macam mana aku jumpa golf. haha. Aku mula untuk main golf sebabnya sekarang equipmentnya dan sukan ni bukan lagi sukan yang mahal peralatanya dah. Sekarang dah banyak boleh dapat dan harganya pun dah murah. Korang tau tak, golf adalah sukan permainan yang sesuai untuk semua lapisan masyarakat, tak kira lelaki perempuan dan berapa usianya sekalipun? Itulah golf.




Berbalik kenapa aku main golf antara sebabnya untuk pastikan aku sentiasa mengeluarkan peluh untuk kesihatan dan juga tujuan lain untuk bersosial. Dengan bermain kita boleh jumpa ramai orang dari pelbagai bidang dan tempat. Selain itu juga, golf merupakan satu sukan yang mempunyai etika yang unik. Bermain golf bukan sekadar bermain, tetapi perlu mempunyai etika. Antaranya jujur. Jujur pada diri sendiri. Jika kita menipu di dalam pengiraan points, maka kita bukan menipu rakan atau lawan kita, tetapi kita sedang menipu diri kita sendiri. Disamping itu juga, golf melatih untuk seseorang itu berdisiplin. Lihatlah pemakaian pakaian sukan golf. Sentiasa tuck-in, dan kemas. Apa yang lebih penting, sukan golf mengajar dan mendidik tentang ketelitian, mengurus tekanan mental, fizikal dan juga melatih untuk membuat keputusan. Semuanya ada di dalam golf.

Sesiapa yang bermain golf mereka tahu perkara ini. Golf juga akan menunjukkan siapa diri kita yang sebenar. Untuk melihat siapa seseorang itu, lihatlah ketika bermain dengannya semasa di padang golf. Bagi yang panas baran sebelum ini yang kita tak pernah tahu, akan terjelma di padang khususnya apabila pukulannya tidak menjadi. Tingkah lakunya turut menunjukkan siapa dirinya. Sebab itu aku mula suka pada golf. Bukan sahaja mengeluarkan peluh secara fizikal tetapi melatih dan mendidik dalaman diri kita untuk lebih baik dan dapat diperbaiki. Tidak gopoh untuk membuat keputusan dan tindakan.  Selain tu juga, setiap padang golf memang cantik-cantik pemandangannya. Serious. haha

Ada lake di padang golf,



Bagi yang mengatakan sukan golf akan menyebabkan seseorang itu tinggal solatnya sebab sibuk dipadang. Untuk pengetahuan, di padang golf, banyak disediakan kemudahan tempat solat, bilik air dan sebagainya. Memandangkan golf tiada masa ditetapkan untuk seseorang itu perlu menamatkan permainan, maka bila masuk waktu berentilah solat sekejap. Dan memang ramai pun yang akan tunaikan solat. Kalau korang masuk padang golf korang boleh nampak situasi ni. Bagi mereka yang tak solat memangla ada. Tapi janganlah ikut mereka. Di luar golf pun belambak yang tak jaga solat. Justeru, jangan kaitkan sukan dengan soal solat. Selain itu juga, 'beating'. Ya, memang ada. Tetapi ini soal pilihan kita. Aku sendiri tak pernah beating ketika bermain. Bergantung pada diri dan nawaitu kita. Aku ingat semasa kursus induksi golf ketika mendaftar menjadi ahli kelab golf, captain kami berpesan 3 perkara. Jaga solat, jangan berjudi dan jangan tinggal keluarga. Dan ini yang aku pegang dan alhamdulillah sukan ini sangat baik.

Hari ini kalau kita pergi ke driving range, kita akan dapati ramai anak-anak sekolah yang masih kecil telah mula berjinak-jinak dengan sukan golf. Mereka dilatih oleh coach yang berpengalaman. Budak-budak mudah dilentur. Golf juga melatih untuk kita belajar fokus. Baik untuk pembesaran anak-anak jika didedahkan seawal usia. Banyaklah lagi kebaikan golf jika digali.

Kesimpulan

Dalam hidup ini, merupakan pilihan. Kita bebas memilih apa sukan sekalipun untuk kita bermain. Jadi, nasihat aku ceburilah apa sukan sekalipun agar kita sentiasa sihatkan tubuh badan kita dan sesuai dengan minat kita. Semua jenis sukan mempunyai kelebihan dan kebaikannya. Aku bercerita tentang kebaikan golf sebab aku bermain golf. Bukan bermakna menafikan sukan-sukan lain. Jangan salah sangka ya. Disamping itu juga terdapat kelemahan golf, tetapi mengapa sentiasa mencari tentang negatif sesuatu, sebaliknya suburkanlah tentang positifnya,kan lebih baik?

Wallahua'lam.

Tuesday, 13 July 2021

UMNO : KEMBALIKAN SEMULA ASAS PENGHAYATAN SEBAGAI PARTI KHIDMAT

Sejarah penubuhan parti keramat United Malays Nation Organization (UMNO) pada tahun 1946 merupakan titik tolaknya yang menyaksikan sebuah parti siasah orang-orang melayu di tanah air ini sehinggalah ke hari ini. Salah sebuah parti yang kewujudannya sebelum merdeka masih wujud hingga kini. Parti yang sudah berjasa sekian lama bukan sahaja kepada orang-orang melayu bahkan kepada rakyat keseluruhannya dan negara yang dicintai ini amnya. Malah UMNO juga telah menerajui pemerintahan di negara ini lebih 60 tahun. Perdana Menteri sebelum PRU14 kesemuanya datang daripada parti UMNO. 

Ternyata track record UMNO dan BN telah terbukti dalam usaha memacu negara ini untuk mencapai kejayaan demi kejayaan sepanjang tempoh pemerintahannya. Namun, apakah puncanya menyebabkan parti yang berjasa ini mula ditolak dan akhirnya rebah dalam PRU yang lalu? Sudah tentu ramai dikalangan pembaca di luar sana tahu puncanya. Salah satu puncanya adalah rakyat sudah semakin bosan dengan pemimpin yang hanya mengutamakan kedudukan, pangkat, harta dan juga keluarga melebihi keutamaan kepada membela rakyat. Itu sebabnya UMNO dan BN ditolak dalam pru yang lalu. Jika kita dalami dan perhalusi lagi, penolakkan dan kebencian masyarakat terhadap UMNO adalah kerana asas perjuangan parti yang telah ditinggalkan. Apa dianya asas perjuangan parti ketika mula ditubuhkan?

Asas perjuangan UMNO adalah membela rakyat. Bagaimana yang dikatakan membela rakyat? Membela rakyat adalah dengan menjadikan parti UMNO ini sebagai alat untuk pemimpin berkhidmat kepada rakyat dalam negara ini. Berkhidmat kepada rakyat bukan sahaja memberi sekampit dua beras ketika tiba musim pilihanraya sahaja, bahkan memperjuangkan untung nasib rakyat dan negara ini. Saya yakin jika UMNO tidak lari daripada asas untuk menjadikan parti khidmat, UMNO masih kekal berkuasa hingga ke hari ini dan selamanya sebagaimana cogan kata UMNO iaitu DULU, KINI dan SELAMANYA.

Tetapi apabila zaman berubah, pemimpin-pemimpin UMNO sudah melihat bahawa parti keramat yang diasaskan untuk berkhidmat sebagai peluang mereka mencipta kekayaan, maka lama-kelamaan akan hancurlah parti ini. Saya dapati dahulunya, pemimpin-pemimpin UMNO mempunyai karisma dan aura tersendiri. Mungkin kerana mereka meletakkan asas kepada perkhidmatan kepada masyarakat melebihi daripada yang lain. Cuba bayangkan, 60 tahun mentadbir negara ini jika tidak diuruskan dengan baik mana mungkin negara ini pernah dihormati oleh pemimpin dunia suatu ketika dahulu. Mana mungkin beberapa kejayaan direkodkan diperingkat antarabangsa. Misalnya, Malaysia diiktiraf sebagai salah sebuah negara islam yang moderate, dihormati, diberi peranan besar oleh negara-negara dalam dunia islam mengetuai NAM, dan sebagainya termasuk penyelesaian konflik selatan filipina. Banyak negara luar sana mencemburui Malaysia di atas keharmonian rakyatnya, kemajuan negaranya dan juga kestabilan yang dicipta telah memungkinkan kemakmuran digarap bersama. Tetapi malangnya, negara yang harmoni ini telah runtuh dari paksinya apabila pemimpin yang tidak bertanggungjawab telah menjahanamkan nama baik parti menerusi skandal-skandal rasuah dan juga pembongkaran kekayaan yang luar biasa telah menyebabkan orang mula lari dan menjauhi parti ini.

Cubalah kita tengok semula sejarah, dahulunya pemimpin-pemimpin pelajar dan para cendekiawan memilih UMNO sebagai wadah perjuangan. Bukan parti-parti lain. Kerana apa? bukan kerana mereka inginkan mengejar kekayaan atau pangkat tetapi mereka ingin menyumbang khidmat bakti kepada nusa dan negara yang dicintai. Tidak ada perebutan yang dahsyat dalam parti yang mendorong kepada rasuah atau beli undi. Sebaliknya memilih kepada pemimpin yang dirasakan oleh ahli parti yang mampu melaksanakan dan memikul tanggungjawab. Hari ini, kita dapati bahawa ada sesetengahnya diangkat bukan kerana rekod cemerlang atau pemimpin yang berjasa, sebaliknya atas dasar membeli undi untuk naik ke hierarki kepimpinan parti supaya akhirnya akan menguntungkan pemimpin itu sendiri. 

Parti telah mula dikemudi dan dikuasai oleh mereka yang mengejar pangkat dan kedudukan serta kepentingan diri serta keluarga semata-mata. Makanya, mana-mana orang yang muda, mempunyai wawasan yang ingin turut menyumbang khidmat bakti serta kepandaian mereka telah diketepikan parti malah di cawangan-cawangan pula, akan tidak diterima untuk menjadi ahli parti kerana bimbang akan kedudukan mereka di cawangan atau bahagian jika menerima orang yang lebih berkelayakan daripada mereka. Sebab itu, orang lari dari parti ini. Disamping itu juga, dengan paparan di dada-dada akhbar serta media menyaksikan hampir kebanyakan pemimpinnya didapati terpalit dengan rasuah, salah guna kuasa, sombong, dan seolah terpisah daripada kehidupan rakyat jelata maka meningkatkan lagi kebencian masyarakat kepada parti UMNO. Masyarakat dan anak muda khususnya akan mula mencari wadah baharu. Mereka akan merasakan jika mereka menyertai UMNO adalah sesuatu yang memalukan kerana menyertai parti yang tidak lagi berpegang kepada integriti. Lihatlah, ahli-ahli parlimen yang dipilih secara sah di dalam pilihanraya telah melompat ke sana sini mencari pelindungan dan untuk menyelamatkan diri sahaja tetapi bertopengkan pula slogan 'Demi Rakyat'. Ini menyebabkan rakyat bertambah meluat dan sakit hati atas tindakan-tindakan seumpama ini seolah sanggup menggadaikan perjuangan untuk menyelamatkan diri. Banyaklah lagi contoh lain jika dilihat dalam landskap dan suasana politik kini. 

Adakah bermakna UMNO sudah ditolak habis-habisan dan tidak lagi mampu kembali ke tampuk kuasa dan lebih bermakna lagi kembali bertaut di hati rakyat? Jawapannya, belum. UMNO masih berpeluang untuk kembali diterima rakyat keseluruhannya. Tetapi hendaklah UMNO terlebih dahulu menunjukkan bahawa UMNO telah kembali kepada asas perjuangannya yang terdahulu iaitu parti yang menjuarai isu-isu rakyat dan berkhidmat untuk rakyat. Bukan sahaja UMNO dilihat sebagai parti yang berkhidmat tetapi UMNO mesti terlihat berkhidmat. UMNO mesti kelihatan bersih daripada rasuah dan gejalanya serta UMNO juga mesti lebih mesra orang muda dalam erti kata sebenar. Apabila UMNO mempunyai pemimpin-pemimpin yang berkaliber, berwawasan, bijak, dan bersih dari segala skandal dan rasuah, saya cukup yakin bahawa UMNO akan mula diterima rakyat tanpa paksa.

Saya menyentuh kepada mesra kepada anak muda. Bukan bermakna hanya ada program-program bersifat one-off sahaja tetapi parti UMNO perlu mula menonjolkan lebih banyak bakat-bakat muda yang dilahirkan untuk diketengahkan sama ada mereka adalah calon parti di dalam pilihanraya, atau diberi peluang untuk menggalas tanggungjawab sebagai Ahli Majlis dalam PBT, menganggotai dan menerajui GLCs dan peranan-peranan untuk menyediakan mereka sebagai pelapis pemimpin masa depan. Tetapi harus diingat, pelantikan-pelantikan itu bukanlah hanya untuk sekadar memenuhi kuota sahaja tetapi mestilah datang dengan merit dan kelayakkan. Bukan kerana mereka telah menjadi Ketua Pemuda UMNO mana-mana cawangan maka perlu diberi jawatan itu sudah salah. Maksud saya adalah memberi peluang kepada orang muda yang berkelayakan untuk ke sesuatu jawatan. Kalaupun dia seorang ahli biasa tanpa jawatan dalam aprti tetapi berkebolehan maka berilah peluang.

Mana-mana ahli parti yang didapati merasuah, terlibat dalam pelbagai salahlaku parti perlu ambil tindakan tegas termasuk memecat mereka. Apa guna ramai kalau hanya memusnahkan parti dan menjadi parasit dalam aprti sendiri? Lebih baik utamakan kualiti. Biar orang datang kepada parti kerana mereka yakin dengan ketulusan parti dan tertarik dengan perjuangan yang dibawa parti berbanding daripada parti 'membayar' mereka untuk masuk dan join program-program yang dianjurkan parti dengan harapan kononnya nak tunjuk bahawa program parti mendapat sambutan ramai. Itu satu pemikiran yang salah. Saya fikir, UMNO mungkin mengambil masa sedikit untuk meyakinkan orang ramai terhadap partinya telah kembali kepada asas perjuangan. Tetapi jika istiqamah, orang akan mula menilai dan akan kembali sokong. Kita lihat bagaimana parti DAP. Dahulunya parti ini seolah-olah parti yang dijauhi oleh orang-orang melayu di negara ini. Tetapi kita dapati hari ini, parti DAP telah muncul dengan figura-figura melayu muda yang mula mendekati parti ini. Kebanyakkan mereka berpendapat DAP merupakan parti yang berkhidmat untuk masyarakat. Parti yang mengetengahkan orang muda dan berprinsip. 

UMNO perlulah belajar untuk kekal berprinsip. Ingat, prinsip parti bukan prinsip individu. Jangan taat pada individu, tetapi taat kepada apa yang dilakukan yang betul. Asal saja prinsip parti tidak digadai maka sokongalah. Setiap pemimpin perlu berlapang dada. Perbezaan pendapat bukan bermakna sesuatu yang mendatangkan keburukan. Tetapi raikan sebagai kebaikan. 

Saya hanya suarakan apa yang difikirkan saya selaku non-partisan untuk UMNO kembali menghayati semula asas sebagai parti khidmat. Dikala pandemik COVID-19 melanda negara, kelihatannya UMNO seolah lesu dan tidak bermaya. Walaupun tidak dinafikan terdapat beberapa kawasan dan tempat UMNO aktif dalam menyalurkan bantuan, namun lebih banyak kawasan yang seolahnya UMNO tidak kelihatan. Jika tidak, masakan rakyat mula menggerakkan kempen 'Bendera Putih' untuk bantu rakyat. Dalam konteks ini, UMNO perlu dilihat dan dirasakan sangat penting kepada rakyat untuk bergantung harap. Jika rakyat sudah mula bergerak sendiri tanpa mengharapkan UMNO, saya fikir UMNO mungkin akan terus dilupakan dalam politik tanah air. Harus diingat, dalam persada politik tanah air bukan lagi seperti dulu. Cabaran semakin besar. Kewujudan parti-parti baharu semakin banyak muncul dan dalam masa sama memberi alternatif kepada rakyat untuk memilih selain UMNO. Misalnya PPBM dan PEJUANG. Jika di Sabah parti WARISAN SABAH. Apakah sekadar melontarkan nostalgia lama UMNO cukup untuk berdepan dengan parti-parti yang disebutkan di atas yang kebanyakannya datang daripada bekas-bekas pemimpin UMNO suatu ketika dahulu?

Justeru, UMNO perlukan muhasabah yang lebih mendalam kerana didapati sejak kekalahan UMNO dalam pru lalu dijangka UMNO akan insaf dan kembali kepada landasan perjuangan asal, namun insaf itu kelihatannya seketika cuma tetapi kini ramai di luar sana melihat UMNO sebagai kekal enggan berubah sikap sebaliknya kembali kepada perangai lamanya. Seperti yang saya katakan di atas tadi, UMNO mampu kembali diterima rakyat tetapi hendaklah ianya terlebih dahulu kembali menghayati asas perjuangan sebagai sebuah parti khidmat kepada masyarakat dan Bersih!

Wallahu'alam.