Showing posts with label Alam Sekitar Anugerah Alam yang tidak ternilai. Show all posts
Showing posts with label Alam Sekitar Anugerah Alam yang tidak ternilai. Show all posts

Sunday, 24 September 2023

40 HADIS PELESTARIAN ALAM SEKITAR

 Salam buat semua,

Kali ini aku just nak berkongsi dengan korang semua berkaitan sebuah buku dalam koleksi aku iaitu "40 Hadis Pelestarian Alam Sekitar edisi kedua" hasil karya daripada 2 tokoh ilmuan terkenal iaitu Dato' Seri Ir. Dr. Zaini bin Ujang dan Prof. Dato' Dr. Zulkifli bin Mohd Yusoff yang merupakan profesor pengajian islam, Universiti Malaya. 

Pada aku, intipati buku ini sangat menarik untuk dikupas dan ditekuni oleh semua kita terutama masyarakat yang beragama islam berkaitan pelestarian alam sekitar. Islam amat mementingkan tentang penjagaan alam ini. Di dalam buku ini turut disusun 40 hadis nabi Muhammad s.a.w tentang alam sekitar. Kupasan menarik antara lain memasukkan titah DYMM Sultan Perak ketika majlis perasmian buku ini. Selain itu juga, buku ini turut menghubungkan antara hadis nabi dan juga perkaitan dengan pemeliharaan alam sekitar daripada pakar kedua-dua bidang iaitu bidang agama dan juga alam sekitar yang mengaitkan ilmu sains.


Disamping itu juga, di dalam buku ini turut dimasukkan grafik dan juga info-info berkaitan pencemaran dan juga jadual serta jadual supaya pembaca lebih memahami maksud yang ingin diutarakan oleh para penulis. Aku membeli buku ini bukan sahaja untuk dibaca dan difahami seorang diri, malah aku turut membacakan pada setiap kali selepas solat maghrib kepada anak dan isteri untuk sama-sama memperoleh manfaat. Dengan membaca dan memperdengarkan hadis-hadis nabi seumpama ini kepada keluarga, mudah-mudahan ianya dapat diamalkan dalam kehidupan seharian. Tambahan pula, anak aku masih kecil yang berusia 8 tahun sekurang-kurang dapat menerangkan dan mendidik dia untuk sayang dan dapat menjaga alam sekitar ini sebaiknya yang bermula dari rumah.

Selain itu, buku ini merupakan terbitan edisi kedua dan terdapat beberapa penambahbaikan berbanding terbitan yang pertama dulu. Sehingga ke hari ini, aku telah baca hadis yang ke 27. Secara umumnya, ianya baik dan selain dapat mengingatkan kembali peringatan dan pesanan nabi s.a.w kepada kita selaku umatnya khusus berkaitan alam ini. Disamping itu juga, buku ini sesuai untuk disyarahkan dalam pelbagai majlis ilmu sama ada di madrasah, masjid, surau dan dewan-dewan kuliah agar segenap lapisan masyarakat memahami peranan dan tanggungjawab masing-masing terhadap alam ini.

Tahniah dan terima kasih kepada kedua-dua tokoh ini atas usaha murni mereka dalam menjayakan penghasilan buku yang penuh bermanfaat terkait dengan hadis-hadis berkaitan pelestarian alam sekitar. Moga usaha murni ini akan terus dikembangkan dan disahut oleh ramai lagi tokoh ilmuan lain kepada penghasilan buku-buku ilmiah seumpama ini pada masa depan.

Wallahua'lam. 

MENANG KUIZ SEMPENA WEBINAR 'BICARA BUKU TAFSIR MAWDU'I SUNGAI' BERSAMA PENGARANG

 

Buku Tafsir Mawdu'i Sungai

Baru-baru ini satu webinar 'Bicara Buku Tafsir Mawdu'i Sungai bersama pengarang' telah diadakan pada 17 September 2023 bermula jam 8.00 hingga 9.00 malam. Buku yang dibicarakan ini ditulis oleh mereka yang ahli tentangnya dan bukan sembarangan orang. Buku ini dikarang oleh 2 penulis terkenal iaitu Profesor Dato' Dr Zulkifli bin Mohd Yusof dan Dato' Seri Dr. Ir. Zaini bin Ujang, Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia. 2 tokoh ilmuan ini telah banyak menyumbang kepada perkembangan dunia ilmu terutama berkaitan pelestarian alam sekitar.

Buku Tafsir Mawdu'i Sungai ini merupakan buku terbaru mereka yang bakal diluncurkan oleh DYMM Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah, Sultan Perak pada 25 September 2023 nanti di Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Sebelum penerbitan buku ini, kedua-dua tokoh ilmuan ini telah menulis buku yang menghimpunkan 40 hadis berkaitan alam sekitar. Buku berkenaan sangat sesuai untuk dijadikan bahan bacaan selain dikuliahkan serta dikupas hadis-hadis yang dinukilkan di dalam majlis-majlis ilmu. 

Berbalik kepada webinar ini, aku juga telah mengikuti webinar ini yang pada aku ingin mengetahui serba sedikit berkaitan buku baru yang bakal diluncurkan nanti. Dari segi kupasan oleh kedua-dua penulis, buku ini nampak menarik dan sangat sesuai untuk dijadikan bahan bacaan ilmiah selain mendalami serta memahami mauduk di dalam al-quran berkaitan sungai dan kepentingannya kepada kehidupan. Selain itu juga, apa yang menarik semasa webinar ini, sesi kuiz kepada penonton dengan menawarkan hadiah senaskah buku kepada pemenang. Sebanyak 10 naskah ditawarkan kepada 10 pemenang yang berjaya menjawab kuiz dengan betul. Alhamdulillah, aku berjaya terpilih sebagai salah seorang pemenang pada malam tu.

Penganjur/urusetia telah menghubungi setiap pemenang termasuk aku selepas webinar berakhir. Para pemenang akan dijemput ke majlis perasmian peluncuran buku itu nanti serta hadiah akan disampaikan di sana.

Alhamdulillah berjaya jadi pemenang kuiz

Dikesempatan ini, aku ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada pihak penganjur webinar berkenaan kerana memilih aku sebagai salah seorang pemenang kuiz dan sekaligus menerima hadiah buku baru ini. Terima kasih. Buku Tafsir Mawdu'i Sungai ini telah membuka satu lagi lembaran baru berkaitan tafsir al-quran supaya khazanah ilmu berharga dari kitab suci al-quran dapat digali dan dikongsi kepada umum segala yang ditercatat di dalamnya. Semoga usaha murni seumpama ini mendapat ganjaran dan kebaikan berpanjangan atas usaha untuk menjadikan ummah yang kamil serta madani.



Tuesday, 18 January 2022

ISU VIRAL : KEMUNCULAN PAK BELANG BERKELIARAN DI GUA MUSANG, DAN REMAJA DIMANDI ALA JENAZAH

Baru-baru ini tular video dan media massa melaporkan mengenai kejadian beberapa ekor harimau dirakam berkeliaran di kawasan berhampiran kampung orang asli, Gua Musang Kelantan. Seekor pak belang telah ditembak mati oleh Jabatan Perhilitan sementara dilaporkan kira-kira 11 ekor dikatakan masih bebas di kawasan berhampiran. 

Agak menyedihkan apabila pak belang yang sebelum ini dilaporkan sedang diancam dengan kepupusan apabila hanya kira-kira kurang dari 200 ekor yang masih hidup di Malaysia tetapi kejadian-kejadian seperti menembak mati dan dijumpai berkeliaran di kawasan perkampungan manusia. Soalnya, pada aku sepatutnya diselesaikan dengan mencari punca masalah. Punca masalahnya adalah hutan habitat haiwan ini dan yang lain tinggal telah dimusnahkan akibat daripada kerakusan manusia menebang balak. Jadi haiwan-haiwan ini sudah hilang tempat tinggal asal mereka. Jangan salahkan mereka mengancam manusia, sebaliknya manusia yang mula mengancam mereka. Akibatnya haiwan-haiwan liar ini pula yang perlu menanggung akibat termasuk dibunuh! Manusia sangat kejam dan telah mengkhianati amanah untuk menjaga alam ini sebaiknya. Penebangan hutan patut dihentikan serta merta. Jika tidak, usaha pihak-pihak tertentu sebelum ini untuk memastikan pak belang dipelihara dan menggembang biak di hutan Malaysia bakal jadi sekadar impian.


Isu 2: Remaja dimandikan ala jenazah kerana mencuri tabung masjid

Telah beberapa hari ini menjadi topik perbualan hangat dalam kalangan netizen di media sosial. Sebahagiannya mengatakan tindakan imam masjid memandikan remaja berkenaan seperti jenazah sesuatu yang dangkal dan  membuatkan lebih ramai orang menjauhkan diri dengan masjid dan institusi agama. Mereka mengecam dengan penuh tragis sehinggakan imam berkenaan dilaporkan meletakkan jawatan. Sementara sebahagian yang lain pula berpandangan bahawa tindakan itu sebagai suatu pengajaran berbanding dilempangnya remaja berkenaan atau dipukul seperti kes-kes lain yang teruk dibelasah oleh pencuri yang ditangkap di tempat-tempat lain.

Apapun, pada aku tindakan mencuri adalah sesuatu yang salah. Salah dari segi agama dan salah dari segi moral. Tindakan memandikan remaja itu cerita lain. Yang sepatutnya perlu ditangani secara hikmah. Apa yang jauh dari situ, tiada sesiapa pun yang mempertikaikan tentang tindakan mereka yang merakam lalu menularkannya. Tindakan pelaku yang merakam dan menularkan perkara ini suatu yang perlu ditangani. Apakah faedahnya melainkan untuk content serta rating di media sosialnya. Kepada netizen di luar sana, jangan mudah menghukum. Kita tidak berada ditempat kejadian, takut-takut terjadi fitnah. Bukan niat aku nak back-up sesiapa dalam konteks ini, sebaliknya aku semakin bimbang dan risau tentang sikap sesetengah kita yang gemar sangat viral perkara yang belum tentu kedudukannya. malah orang yang baca atau tonton pula cepat sangat mula buat hukuman sendiri. Korang masih ingat tak sebelum ni, ada video yang ditularkan berkaitan seorang pemandu trailer melanggar kereta dan ditularkan gambar dan video pemandunya dikatakan mabuk. Sebenarnya, pemandu berkenaan sedang terkena serangan jantung dan sedang menahan kesakitan. Apa yang dilakukan? Tanpa usul periksa, terus viral dan dituduh mabuk..Yang viral satu hal, yang komen hentam pakcik tu pula satu hal. Moga allah tempatkan arwah pemandu trailer tu dikalangan orang-orang beriman.

Kesimpulannya, di era serba canggih dan teknologi ini, maklumat dihujung jari. Tapi waspada tentang fitnah kerananya membawa kita terjerumus ke neraka. Kita sangka, salah satu dosa besar adalah fitnah tidak melibatkan kita kerana kita sangka kita tak pernah fitnah sesiapa. Tapi kita lupa dengan menularkan/viral cerita belum pasti kesahihannya atau video tertentu yang mengaibkan boleh menggolongkan kita menghampiri fitnah. Lebih-lebih lagi hampir semua orang mempunyai aplikasi whatsApp dan banyak group di dalamnya yang kita sertai. Jaga-jaga. 

Moga Allah pelihara kita semua dari melakukan dosa, insya Allah. Salam tahun baru guys!

Sunday, 19 September 2021

TABIAT SUKA MEMBUANG SAMPAH MERATA-RATA BOLEH MENYUMBANG KEPADA PENCEMARAN ALAM SEKITAR

 


Hari ini akhbar melaporkan mengenai timbunan sampah sarap yang kebanyakannya terdiri daripada botol-botol dan beg plastik di kawasan persisiran pantai Keria, Sungai Padang, Perlis. Menurut laporan berkenaan, hampir 13 metrik tan sampah dikutip setiap minggu disepanjang persisir pantai Kuala Perlis hingga Kuala Sanglang  sejauh 13 kilometer. Sudah tentu laporan-laporan seumpama ini bukan pertama kali dilaporkan begini. Bukan sahaja di sana bahkan boleh dikatakan di merata tempat berlaku kejadian yang tidak bertanggungjawab ini. Ini bermakna, secara nisbahnya setiap satu kilometer bersamaan 1 mt sampah. Saya tidak ingin menuduh tentang semua itu disumbang oleh penduduk setempat. Mungkin juga ianya dihanyutkan dari tengah laut hasil perbuatan pihak-pihak lain dan terdampar di pesisir pantai. Tetapi, dengan pendedahan ini, marilah kita mulakan dengan diri kita untuk bersama memastikan laut kita, tempat tinggal kita dan sungai-sungai kita dipelihara dan bersih serta bebas daripada sampah khususnya plastik. 

Sebenarnya semua ini terkait dengan tabiat buruk segelintir masyarakat kita yang gemar membuang sampah terutamanya berkaitan plastik di merata tempat tanpa ada rasa sedikit pun bersalah. Sebaliknya tabiat ini dianggap biasa oleh kebanyakkan kita. Tanpa kita sedari bahawa tabiat seumpama itu sedang diperhati dan dipelajari oleh generasi mendatang iaitu anak cucu kita yang memerhati perbuatan kita. Jika kita masih ingat beberapa bulan sebelum ini, tular sebuah rakaman video di media sosial mengenai seorang perempuan yang dengan ‘slumber’ nya membuang sampah dari keretanya keluar ketika di jalan raya yang sedang bersesak. Dia sangka tindakannya itu sesuatu yang betul, tetapi sebenarnya sedang dilihat oleh anaknya dan generasi akan datang bahawa tindakan itu betul sedangkan ianya sangat tidak beretika dan tidak bertanggungjawab.

Sedarkah kita bahawa botol plastik mengambil masa yang lama iaitu kira-kira 450 tahun untuk diterurai.  Menurut Pertubuhan Greenpeace yang merupakan organisasi NGO yang banyak menggerakkan kempen dan aktiviti menyelamatkan lautan daripada sisa plastik melaporkan bahawa kira-kira 12.7 juta metrik tan sisa plastik memasuki lautan setiap tahun. Angka ini sangat menggerunkan. 90% burung laut dikesan mempunyai kandungan plastik di dalam perut mereka. Jelas di sini menunjukkan kepada kita tentang betapa plastik telah mengancam hidupan dan planet ini jika ianya berterusan tidak diendah oleh sesiapa pun. Justeru, kita perlu didik dan jadikan budaya kepada setiap kita dan keluarga kita tentang tabiat membuang sampah khususnya plastik di merata-rata perlu dihentikan segera.

Selain itu juga, setiap kita juga sebenarnya mempunyai tanggungjawab terhadap alam sekitar tempat yang kita huni ini secara bersama. Jagalah alam ini sebaiknya. Jangan sesekali kita cemarkannya dengan tangan kita sendiri. Kita boleh lakukan dengan langkah-langkah kecil kita tetapi pasti menyumbang dan mengesankan ke arah kelestarian alam sekitar. Misalnya, apabila kita berpeluang untuk beriadah dan berkelah sama ada di lata atau sungai atau air terjun ataupun di pantai dan laut, kita disiplinkan diri kita dan keluarga kita supaya tidak membuang sampah atau beg plastik dimerata  atau lebih teruk lagi dengan mencampakkan ke dalam sungai atau air terjun atau laut. Biasakan untuk membuang sampah di dalam tong sampah. Jika tiada, bungkus dan bawa balik hingga kita jumpa tempat pembungan sampah untuk dibuang. Walaupun ianya langkah kecil tetapi saya yakin, jika setiap kita mengamalkan dan melakukannya, maka kita dapat menyelamatkan banyak sungai-sungai, air terjun dan lautan kita daripada pencemaran plastik dan juga sampah sarap. Di tempat-tempat tumpuan pelancongan misalnya, jangan kita cemarkan tempat-tempat itu dengan sisa sampah atau sebagainya. Apa yang lagi baik adalah kita kutip sampah jika kita nampak ianya berada di sekitar kita. Bukan sahaja kawasan berkenaan bersih malah mudah-mudahan dikurniakan ganjaran pahala atas amal jariah kita, insya Allah. Ingatlah, dunia semakin tenat dengan perubahan iklim atau ‘climate change’ yang berlaku. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah memberi amaran bahawa pelepasan karbon perlu dikurangkan 45% menjelang 2030 bagi mengelakkan kesan buruk daripada cuaca yang lebih panas melanda dunia yang akhirnya bakal memberi kesan buruk terhadap manusia.

Baru-baru ini saya mengikuti satu webinar mengenai perubahan iklim yang sangat menarik mengenai kupasannya. Jika kita lihat laporan media mendapati bagaimana kebakaran-kebakaran besar banyak melanda negara-negara di dunia seperti Australia, Turkey, Greece, Amerika Syarikat dan lain-lain lagi yang telah memusnahkan habitat dan juga hidupan hutan yang menjadikan tempat tinggal mereka. Pemanasan global menunjukkan peningkatan saban tahun. Penebangan hutan berleluasa yang menyumbang kepada kemusnahan alam sekitar. Jangan kita tambah pula dengan tabiat buruk segelintir kita yang gemar membuang sampah khususnya plastik di merata tempat tanpa ada sekelumit rasa bersalah dan berdosa. 

Jika kita ingat kembali pada tahun lepas apabila seluruh dunia mengisytiharkan 'total lockdown', kita menerima khabar yang dilaporkan media tentang sungai-sungai dan lautan kembali jernih dan bersih tanpa pencemaran. Antaranya adalah sungai melaka yang kelihatan jernih dan begitu juga laporan akhbar tentang pendaratan penyu ke pantai port dickson setelah puluhan tahun tidak muncul di sana. Ini semua merupakan perkembangan positif terhadap alam sekitar. Bukanlah bermakna, untuk pulihkan alam maka kita semua perlu berkurung di rumah sebaliknya ianya memberi refleksi bahawa masyarakat perlu memainkan peranan supaya kita lebih mesra dengan alam. Marilah kita bersama memastikan alam sekitar yang ada ini dijaga sebaiknya kerana ianya merupakan anugerah yang tidak ternilai harganya. Ayuh kita hijaukan alam ini dengan tanaman dan tumbuhan-tumbuhan. Jaga kebersihan sungai, air terjun dan lautan dan bebeaskan alam ini dari sampah sarap. Mulakan dengan diri kita. Bersahabatlah dengan alam.

Wallahua’lam.