Hari
ini akhbar melaporkan mengenai timbunan sampah sarap yang kebanyakannya terdiri
daripada botol-botol dan beg plastik di kawasan persisiran pantai Keria, Sungai
Padang, Perlis. Menurut laporan berkenaan, hampir 13 metrik tan sampah dikutip
setiap minggu disepanjang persisir pantai Kuala Perlis hingga Kuala
Sanglang sejauh 13 kilometer. Sudah
tentu laporan-laporan seumpama ini bukan pertama kali dilaporkan begini. Bukan
sahaja di sana bahkan boleh dikatakan di merata tempat berlaku kejadian yang
tidak bertanggungjawab ini. Ini bermakna, secara nisbahnya setiap satu kilometer bersamaan 1 mt sampah. Saya tidak ingin menuduh tentang semua itu disumbang oleh penduduk setempat. Mungkin juga ianya dihanyutkan dari tengah laut hasil perbuatan pihak-pihak lain dan terdampar di pesisir pantai. Tetapi, dengan pendedahan ini, marilah kita mulakan dengan diri kita untuk bersama memastikan laut kita, tempat tinggal kita dan sungai-sungai kita dipelihara dan bersih serta bebas daripada sampah khususnya plastik.
Sebenarnya
semua ini terkait dengan tabiat buruk segelintir masyarakat kita yang gemar
membuang sampah terutamanya berkaitan plastik di merata tempat tanpa ada rasa
sedikit pun bersalah. Sebaliknya tabiat ini dianggap biasa oleh kebanyakkan
kita. Tanpa kita sedari bahawa tabiat seumpama itu sedang diperhati dan
dipelajari oleh generasi mendatang iaitu anak cucu kita yang memerhati
perbuatan kita. Jika kita masih ingat beberapa bulan sebelum ini, tular sebuah
rakaman video di media sosial mengenai seorang perempuan yang dengan ‘slumber’
nya membuang sampah dari keretanya keluar ketika di jalan raya yang sedang
bersesak. Dia sangka tindakannya itu sesuatu yang betul, tetapi sebenarnya
sedang dilihat oleh anaknya dan generasi akan datang bahawa tindakan itu betul
sedangkan ianya sangat tidak beretika dan tidak bertanggungjawab.
Sedarkah
kita bahawa botol plastik mengambil masa yang lama iaitu kira-kira 450 tahun
untuk diterurai. Menurut Pertubuhan Greenpeace
yang merupakan organisasi NGO yang banyak menggerakkan kempen dan aktiviti
menyelamatkan lautan daripada sisa plastik melaporkan bahawa kira-kira 12.7
juta metrik tan sisa plastik memasuki lautan setiap tahun. Angka ini sangat
menggerunkan. 90% burung laut dikesan mempunyai kandungan plastik di dalam
perut mereka. Jelas di sini menunjukkan kepada kita tentang betapa plastik
telah mengancam hidupan dan planet ini jika ianya berterusan tidak diendah oleh
sesiapa pun. Justeru, kita perlu didik dan jadikan budaya kepada setiap kita
dan keluarga kita tentang tabiat membuang sampah khususnya plastik di merata-rata
perlu dihentikan segera.
Selain
itu juga, setiap kita juga sebenarnya mempunyai tanggungjawab terhadap alam
sekitar tempat yang kita huni ini secara bersama. Jagalah alam ini sebaiknya.
Jangan sesekali kita cemarkannya dengan tangan kita sendiri. Kita boleh lakukan
dengan langkah-langkah kecil kita tetapi pasti menyumbang dan mengesankan ke
arah kelestarian alam sekitar. Misalnya, apabila kita berpeluang untuk beriadah
dan berkelah sama ada di lata atau sungai atau air terjun ataupun di pantai dan
laut, kita disiplinkan diri kita dan keluarga kita supaya tidak membuang sampah
atau beg plastik dimerata atau lebih
teruk lagi dengan mencampakkan ke dalam sungai atau air terjun atau laut.
Biasakan untuk membuang sampah di dalam tong sampah. Jika tiada, bungkus dan
bawa balik hingga kita jumpa tempat pembungan sampah untuk dibuang. Walaupun
ianya langkah kecil tetapi saya yakin, jika setiap kita mengamalkan dan
melakukannya, maka kita dapat menyelamatkan banyak sungai-sungai, air terjun
dan lautan kita daripada pencemaran plastik dan juga sampah sarap. Di
tempat-tempat tumpuan pelancongan misalnya, jangan kita cemarkan tempat-tempat
itu dengan sisa sampah atau sebagainya. Apa yang lagi baik adalah kita kutip
sampah jika kita nampak ianya berada di sekitar kita. Bukan sahaja kawasan
berkenaan bersih malah mudah-mudahan dikurniakan ganjaran pahala atas amal
jariah kita, insya Allah. Ingatlah, dunia semakin tenat dengan perubahan iklim
atau ‘climate change’ yang berlaku. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah
memberi amaran bahawa pelepasan karbon perlu dikurangkan 45% menjelang 2030
bagi mengelakkan kesan buruk daripada cuaca yang lebih panas melanda dunia yang
akhirnya bakal memberi kesan buruk terhadap manusia.
Baru-baru ini saya mengikuti satu webinar mengenai perubahan iklim yang sangat menarik mengenai kupasannya. Jika kita lihat laporan media mendapati bagaimana kebakaran-kebakaran besar banyak melanda negara-negara di dunia seperti Australia, Turkey, Greece, Amerika Syarikat dan lain-lain lagi yang telah memusnahkan habitat dan juga hidupan hutan yang menjadikan tempat tinggal mereka. Pemanasan global menunjukkan peningkatan saban tahun. Penebangan hutan berleluasa yang menyumbang kepada kemusnahan alam sekitar. Jangan kita tambah pula dengan tabiat buruk segelintir kita yang gemar membuang sampah khususnya plastik di merata tempat tanpa ada sekelumit rasa bersalah dan berdosa.
Jika kita ingat kembali pada tahun lepas apabila seluruh dunia mengisytiharkan 'total lockdown', kita menerima khabar yang dilaporkan media tentang sungai-sungai dan lautan kembali jernih dan bersih tanpa pencemaran. Antaranya adalah sungai melaka yang kelihatan jernih dan begitu juga laporan akhbar tentang pendaratan penyu ke pantai port dickson setelah puluhan tahun tidak muncul di sana. Ini semua merupakan perkembangan positif terhadap alam sekitar. Bukanlah bermakna, untuk pulihkan alam maka kita semua perlu berkurung di rumah sebaliknya ianya memberi refleksi bahawa masyarakat perlu memainkan peranan supaya kita lebih mesra dengan alam. Marilah
kita bersama memastikan alam sekitar yang ada ini dijaga sebaiknya kerana ianya
merupakan anugerah yang tidak ternilai harganya. Ayuh kita hijaukan alam ini
dengan tanaman dan tumbuhan-tumbuhan. Jaga kebersihan sungai, air terjun dan
lautan dan bebeaskan alam ini dari sampah sarap. Mulakan dengan diri kita. Bersahabatlah
dengan alam.
Wallahua’lam.
ini yang jenis buang sampah merata, baru-baru ni lepas dibolehkan berkelah, dibenarkan ke air terjun dan mendaki... merata sampah sarap dijumpai di tempat perkelahan, tepi sungai air terjun dan nun atas bukit... yang peliknya masa bawa untuk makan boleh pulak angkut dah lepas selesai angkut jugak la untuk buang di tempat sepatutnya bukan tinggal... pantang betul perangai gitu
ReplyDeletebetul tu dana... sikap dan tabiat mcm tu perlu diubah dan membudayakan untuk tidak membuang sampah merata,
Deletesusah betul nak pupuk sifat jangan sembarangan buang sampah ni kepada rakyat :(
ReplyDeleteitula pasal.. mungkin boleh bermula dengan anak2 kecil la kot,,yg dh besar ni susah nk lentur dah..
DeleteBilalah masyarakat nak sedar untuk jaga kebersihan tempat awam. Sakit mata memandang sampah merata-rata. Hidupan lain pun boleh terjejas sama.
ReplyDeleteBanyak hidupan telah terjejas dan musnah akibat daripada sikap tidak bertanggungjawab segelintir masy
Deletebetul sgt done follow #113
ReplyDeletesampai bila agaknye masalah pembuangan sampah merata ni akan berakhir.. btw, tq munirah
Delete