Showing posts with label Agromakanan. Show all posts
Showing posts with label Agromakanan. Show all posts

Sunday, 2 March 2025

KERISIK HOME MADE

 Salam semua! 

Pokok kelapa depan rumah, tebal isinya


Hari ini memandangkan telah bermula bulan ramadan bulan penuh kemuliaan, sudah tentu beberapa barangan keperluan makanan yang sangat penting terutama bagi bulan ini dan juga syawal adalah kelapa! Selain itu, daun kunyit, serai, lengkuas, daun ulaman, keladi dan pelbagai lagi akan mula meningkat permintaannya dalam pasaran memandangkan kesemua itu akan digunakan dalam pelbagai jenis menu hidangan sepanjang bulan puasa dan juga syawal nanti.

Sebagai persiapan, pokok kelapa depan rumah aku kelihatannya banyak yang dah tua dan ada yang dah tumbuh di bawah pokok. Kebetulan, mak mertua syorkan supaya kelapa-kelapa tua tu dapat dikupas dan dijadikan sebagai kerisik daripada membiarkan buah-buah kelapa tua tu terbiar tidak dimanfaatkan. Aku mula mengait kelapa tua di depan rumah. Kupas, belah dan parut sebagai persediaan untuk dijadikan kerisik. Proses pembuatan kerisik ni tidaklah terlalu rumit, cuma masa yang digunakan tu agak lama. Dari menggoreng kemudiannya perlu ditumbuk lumat. 


Kelapa yang siap dikupas



proses selesai menggoreng & kini sedang ditumbuk lumat.
(p.s: gambar menggoreng tak sempat diambil)


selepas selesai menumbuk, dimasukkan dalam bekas


tadaa!! kerisik home made yang dihasilkan sendiri. Jamin puas hati.


Kepada korang di luar sana, kalau di pasaran harga kerisik untuk 1kg bermula dari RM 12 hingga RM 18/kg. Malah ianya boleh mencecah RM 20/kg. Justeru, kepada yang ada tanaman kelapa di hadapan atau sekeliling rumah, boleh hasilkan sendiri produk berasaskan kelapa ini seperti santan atau kerisik untuk kegunaan sendiri tanpa perlu membelanjakan wang untuk mendapatkannya dipasaran. Amalkan prinsip 'tanam apa yang dimakan, makan apa yang ditanam' . Selain itu juga, bagi aku kerisik yang dihasilkan sendiri dari pokok sendiri lebih puas kerana dapat merasai sendiri hasilnya berbanding beli. Ok, itu saja perkongsian kali ini. Semoga segala yang dikongsi ini bermanfaat kepada anda yang sudi membaca entry kali ini.

Wallahua'lam.

Sunday, 7 November 2021

TERNAKAN ARNAB PEDAGING

 

Arnab pedaging induk


2 hari lepas berkesempatan ke rumah seorang kawan masa sekolah dulu di Batu Kurau, Perak. Dia sekarangs edang mengusahakan ternakan arnab pedaging yang telah hampir berusia 1 tahun mengusahakan penternakan ini. Sebenarnya ada cerita di sebalik ini. Ceritanya bermula sejak tahun lepas masa PKP 1 dulu. Masa tu akan sedang berkhidmat di Pahang sementara kawan aku sorang ni bekerja di Shah Alam, Selangor.

Satu hari aku terima satu panggilan telefon dari kawan ni yang pada masa tu dia ingin melibatkan diri dalam sektor pertanian. Untuk makluman semua, dia pada masa itu dan sekarang bekerja di pejabat pos. Dia pada masa tu berjauhan dengan keluarga atas tuntutan kerja dan setiap minggu berulang alik. Minta bertukar memang belum ada rezeki. Jadi masa tu dia mula berfikir untuk berhenti kerja dan menumpukan kepada pertanian di kampung sahaja. Jadi itulah punca dia telefon aku untuk minta pendapat. Tapi masa itu, dia bersama seorang lagi rakannya berhasrat untuk menjalankan penternakan itik penelur. Mereka telah mencari maklumat tentang itik penelur dan yakin akan potensinya. Dia telefon aku untuk meminta pendapat dan nasihat tentang hasrat mereka.

Sebagai orang yang berkhidmat di dalam sektor kerajaan, pandangan dan pendapat yang aku boleh bagi adalah untuk memastikan pilihan mereka itu selaku orang yang tiada pengalaman di dalam pertanian untuk mengurangkan jurang risiko yang akan memusnahkan harapan serta menjadikan mereka mudah kecewa. Kategori mereka yang baru ingin berjinak-jinak dengan pertanian adalah sangat 'fragile' dan memerlukan bimbingan, motivasi dan juga sokongan untuk mempersiapkan diri mereka sebagai usahawan tani berjaya dapat dipupuk dan dididik sebaik mungkin. Dan itulah antara sebahagian tugas kami di LPP pun yang akhirnya dapat membantu untuk meningkatkan taraf sosio-ekonomi para peladang itu sendiri.

Berbalik kepada cerita kawan aku ini, aku cuma nasihatkan supaya mereka cuba melihat akan potensi arnab pedaging berbanding itik penelur. Nasihat aku adalah supaya mereka menimbangkan sebaiknya sebelum membuat keputusan. Buat perbandingan antara itik penelur dan arnab pedaging. Aku juga turut sertakan maklumat-maklumat berkaitan arnab pedaging serta potensinya untuk ditelaah oleh mereka. Namun, aku turut tekankan supaya mereka menimbangkan sendiri kedua-dua komoditi itu sebelum memutuskannya. Akhirnya dia bersama rakannya membuat pilihan untuk terlibat di dalam penternakan arnab pedaging. 

Setelah beberapa bulan lamanya dia mengusahakan ternakan arnab ini, aku dihubungi semula dan kali ini dia bersama rakannya ingin mengucapkan terima kasih kerana membuka mata dan minda mereka untuk terlibat di dalam ternakan arnab pedaging. Menurutnya, ternakan mereka telah mula mengeluarkan hasil dan ternyata mendapat permintaan yang sangat-sangat baik daripada pasaran. Dia bersama rakannya turut menyatakan kesyukuran kerana tidak memilih ternakan itik penelur kerana faktor-faktor sebelum ini yang aku nyatakan serta mereka sendiri melihat bagaimana rakan mereka yang lain yang tetap untuk meneruskan penternakan itik penelur akhirnya gagal.

2 hari lepas aku melawat di reban arnabnya dan melihat ternakan diuruskan olehnya. Dia maklumkan, dia kini telah bertukar ke ipoh dan agak memudahkannya menjalankan penternakan di batu kurau. Dia maklumkan kini mempunyai 30 ekor induk dan telah lebih 100 ekor dijual arnab pedaging untuk memenuhi permintaan. Sememangnya permintaan terhadap daging arnab tidak mampu ditampung olehnya dan rakannya buat masa ini. Walaupun, pendapatan arnab pedaging bukanlah untuk menjadi sumber pendapatan utama tetapi cukup untuk menjadi salah satu sumber pendapatan baharu buat mereka disamping menjadi hobi barunya. Aku sempat bertanya bagaimana tentang makanan arnab? Selain daripada memberi makan pallet, dia juga turut memberikan daun ketum ayam sebagai makanan tambahan dan selingan untuk memastikan arnab-arnabnya mempunyai tinggi protein dan sihat.

Ketum Ayam


Harga dijual sekitar RM35-38/kg dalam bentuk karkas (siap proses). Semasa aku melawat tempoh hari, bekalan daging arnabnya telah habis terjual dan kini hanya tinggal induk sahaja yang akan dibiakkan untuk pusingan seterusnya. Pada aku, aku hanya menumpang gembira melihat penternakannya berkembang biak dan menjana pendapatan kepada usahawan muda sepertinya. Moga penternakan arnab pedaging yang diusahakan akan berkembang biak dan maju pada masa akan datang. Dia begitu teruja berkongsi cerita pengalamannya menjalankan penternakan arnabnya. Suka duka dan persepsi negatif jiran tetangga tentang permulaan dia membela arnab. Ada yang kata, "buat apa bela arnab, sekadar nak bela bolehla tapi nak jual mana? siapa nak beli?" tetapi kini terbukti telahan ramai sebenarnya meleset.



Reban arnab pedaging yang menempatkan induk

Perancangannya pada akan datang untuk membesarkan lagi reban sedia ada untuk menampung kapasiti ternakan untuk memastikan pembekalan daging arnab sentiasa konsisten.

Nasihat aku kepadanya sebelum aku beredar supaya sebarkan ilmu dan pengetahuan kepada ramai anak-anak muda di kampung itu bagi memastikan mereka dapat berkongsi rezeki melalui rezeki kurniaan Allah kepada kita agar perusahaan yang dijalankan bertambah berkat dan maju, insya Allah. Tahniah shahrir, teruskan kecemerlangan dan moga berjaya dalam mengusahakan penternakan arnab pedaging.

Sunday, 19 September 2021

SEKTOR PERTANIAN TERUS DIBERI PERHATIAN DALAM BELANJAWAN 2022

 

sumber : laporan akhbar Utusan Mingguan Malaysia


Sektor agromakanan negara terus mendapat perhatian dan menjadi keutamaan kerajaan di dalam merangka dan menyediakan pelan belanjawan tahun hadapan iaitu tahun 2022. Sebagaimana telah diketahui umum bahawa pertanian sangat berkaitrapat dengan penghasilan dan pengeluaran bahan makanan untuk menjamin bekalanan makanan kepada seluruh rakyat Malaysia sentiasa mencukupi dan tidak terputus bekalan.

Memandangkan sektor pertanian merupakan sektor yang penting dan relevan sepanjang zaman,justeru, tidak mungkin mana-mana negara di dunia walaupun taraf negara termaju dunia ingin mengkesampingkan atau meninggalkan sektor pertanian khususnya agromakanan. Makanan merupakan perkara yang sangat penting kepada manusia sejak berzaman lamanya dan untuk kehidupan. Tanpa makanan, sesebuah negara boleh menjadi huru-hara dan kacau bilau. Sebab itulah jaminan terhadap bekalan makanan perlu dipastikan sentiasa mencukupi serta penghasilan keluaran makanan dalam negara seharusnya dilipatgandakan. Impak pandemik covid-19 yang mula melanda dunia sejak penghujung tahun 2019 dan hingga kini Malaysia masih bergelut memeranginya telah membuka mata dunia akan kepentingan agromakanan yang mencukupi disamping usaha kerajaan untuk memastikan vaksin atau penemuan ramuan terbaik untuk melawan virus berkenaan.

sumber : laporan akhbar The Star


Menyedari hakikat berkenaan, kerajaan Malaysia dilihat mengambil langkah tepat dengan memperkasa sektor pertanian melalui peruntukan yang memberangsangkan di dalam pengumuman-pengumuman sebelum ini di bawah pakej-pakej rangsangan ekonomi bagi merancakkan dan dalam masa sama memodenkan pertanian supaya dapat menghasilkan makan secukupnya untuk keperluan negara. Hari ini pula, akhbar-akhbar tempatan melaporkan bahawa Menteri Kewangan menyatakan komitmen kerajaan untuk memberi fokus keutamaan kepada sektor pertanian di dalam belanjawan tahun 2022 nanti. Susulan daripada kenyataan berkenaan telah membayangkan bahawa kerajaan bersedia dan dalam usaha merangka belanjawan dan menyediakan peruntukan yang besar kepada sektor pertanian untuk terus diperkasakan sebaiknya untuk tahun hadapan dan berikutnya sekaligus di dalam membentangkan Rancangan Malaysia ke-12 iaitu 2021 hingga 2025 nanti. Jika kita imbau sedikit masa lalu, ketika berlakunya krisis apabila negara-negara pengeluar utama beras dunia seperti Thailand dan Vietnam dilanda bencana sehingga mengakibatkan negara berkenaan tidak dapat mengeksport beras ke negara kita, maka kerajaan pada tahun 2008 telah mengumumkan langkah segera di bawah Dasar Jaminan Bekalan Makanan Negara (DJBMN) untuk negara menghasilkan pengeluaran beras untuk menampung keperluan dalam negara tidak terputus.

Semoga sektor agromakanan negara akan terus diperkasa dan mengharungi modenisasi di dalam era revolusi industri 4.0 (IR4.0) hari ini dan akan datang. Selaras dengan itu juga, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) bakal melancarkan Dasar Agromakanan 2.0 (DAN 2.0) 2021 hingga 2030 yang bakal memeta dan menggariskan halatuju serta tumpuan negara berkaitan agromakanan. Apa yang paling mustahak selain menjamin pengeluaran bahan makanan dalam negara, tetapi juga diharapkan dapat memberi impak kepada para peladang, penternak dan nelayan termasuk mengenai aspek peningkatan taraf sosio-ekonomi golongan ini terus dibela. 

Wallahua'lam.

Wednesday, 11 August 2021

PROGRAM LAMAN MAKANAN PPK JELAI, PAHANG : SATU INISIATIF KE ARAH PEMBANGUNAN KOMUNITI PELADANG

 
Set sayuran fertigasi di bawah program Laman Makanan di Felda Changkat Perah

Ketika seluruh negara mula dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 tahun lepas, dan pada awalnya kelihatan seperti panic buying berlaku apabila orang ramai berpusu-pusu ke kedai runcit dan sebagainya untuk membeli segala macam keperluan bagi menghadapi PKP ketika itu. Sementara bekalan sayuran pula turut dibimbangi akan ketidakcukupannya memandangkan keadaan yang masih baru dihadapi Malaysia. Namun, setelah jaminan diberikan pihak kerajaan, bahawa jaminan makanan kepada rakyat mencukupi barulah masyarakat seolah lega. Meskipun begitu, kesedaran bahawa akan kepentingan kepada makanan terutamanya barang-barang dapur seperti sayuran ini penting, maka Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Jelai, Pahang terpanggil untuk menggerakkan satu program berorientasikan kepada komuniti yang memerlukan penglibatan komuniti setempat terlibat secara aktif untuk menghasilkan bahan makanan untuk sara diri melalui konsep "tanam apa yang dimakan, makan apa yang ditanam" .

Menyedari bahawa kepentingan kecukupan makanan ini kepada masyarakat, PPK Jelai tampil ketika itu untuk menggerakkan satu program yang dinamakan Program Laman Makanan. Program Laman Makanan ini digerakkan adalah untuk mencapai tujuan-tujuan berikut;

(i) Membantu mengurangkan belanja dapur yang dihadapi isi rumah khususnya komuniti peladang,

(ii) Mengaktifkan unit peladang menerusi program yang diadakan

(iii) Menggalakkan penglibatan golongan wanita (peladangnita) untuk sama-sama menyumbang kepada pengeluaran makanan untuk keluarga

(iv) Menyampaikan perkhidmatan PPK kepada masyarakat dengan pemindahan teknologi dan juga ilmu kepakaran di dalam pertanian

(v) Menterjemahkan konsep 'kehadiran PP dirasai dalam masyarakat' direalisasikan

Sebelum saya menghurai lanjut mengenai program ini, ada baiknya saya terangkan dulu mengenai Program Laman Makanan ini. Program Laman Makanan ini adalah tanaman sayuran fertigasi yang diusahakan oleh komuniti di kawasan rumah masing-masing dan akan dibimbing oleh PPK Jelai berkaitan input pertanian, ilmu dan juga pemindahan teknologi manakala hasil yang dikeluarkan adalah milik peserta itu sendiri.

Sasaran Program

Di awal hendak memulakan program ini, PPK meletakkan beberapa sasaran untuk dicapai sebagai penanda aras sama ada program ini berpotensi untuk diteruskan atau perlu dihentikan. Antara sasaran yang ditetapkan adalah seperti berikut;

(a) Sekurang-kurangnya terdapat 2 lokaliti perintis diwujudkan

(b) Penglibatan 20 orang peserta yang menyertai program Laman Makanan PPK Jelai

(c) 300 polibeg pelbagai sayuran yang dipasang oleh PPK di kawasan perumahan masyarakat setempat

(d) Membantu mengurangkan / Jimat belanja dapur warga peladang atau peserta

(e) Mewujudkan komuniti peladang menerusi program Laman Makanan

Bagi mencapai sasaran-sasaran yang ditetapkan, beberapa gerak kerja perlu dilakukan. Sehubungan itu, pasukan Laman Makanan (LM) PPK Jelai telah dibentuk yang diketuai oleh Pengurus Bahagian Perniagaantani untuk menggerakkan hebahan, iklan, promosi dan menggumpulkan para peladang untuk disampaikan taklimat berkaitan program ini. Alhamdulillah, berkat usaha keras yang dilakukan, Unit Peladang pertama yang diketuai oleh Ketua Unit Peladang Kg. Keledek telah memulakan usaha perintis ini dengan menjemput PPK untuk menyampaikan taklimat program kepada penduduk kampung yang rata-ratanya adalah ahli peladang. Taklimat disampaikan oleh Pengurus Besar PPK kepada hadirin yang hadir beserta demonstrasi set fertigasi. Semasa sesi taklimat berkenaan, PPK juga telah mendapat tempahan daripada mereka yang berminat. Sebagai makluman juga, set fertigasi di bawah program Laman Makanan, peserta yang berminat hanya perlu membayar RM180/set sahaja dan akan dibekalkan set fertigasi sayuran yang siap disemai dan bertanam sebanyak 20 polibeg lengkap dengan sistem pengairan yang disetkan secara automatik. Selain itu juga, mana-mana peserta yang mendaftar dan menyertai program ini akan menerima bimbingan percuma dan tips panduan penjagaan tanaman masing-masing menerusi bersemuka dan juga bimbingan secara aplikasi WhatsApp Group yang diwujudkan khusus kepada peserta-peserta mengikut lokaliti masing-masing

Taklimat kepada sebahagian penduduk kampung di Lubuk Kulit mengenai Program Laman Makanan PPK Jelai


Selain itu juga, para pegawai dari PPK Jelai akan juga turut mengadakan pemantauan berkala ke atas tanaman peserta di bawah program Laman Makanan untuk khidmat nasihat dan bimbingan. Seterusnya, apabila program ini mula diketahui, maka PPK telah menerima banyak tempahan daripada masyarakat yang berminat. Rata-rata yang tertarik adalah kerana program seumpama ini dapat membantu menjimatkan belanja dapur isi rumah. Dalam konteks ini, peranan suri rumah yang rata-ratanya ahli peladang dapat membantu suami masing-masing untuk menjimatkan belanja harian untuk keperluan dapur mereka. Sebagai contoh, sekiranya perbelanjaan dapur harian untuk memasak adalah bernilai RM30.00/hari untuk membeli ikan, sayuran dan barang basah lain. Tetapi jika mereka menyertai program Laman Makanan PPK Jelai ini, sekurang-kurangnya belanja untuk beli sayuran (anggaran RM7.00/hari) dapat dijimatkan kerana sayuran tidak lagi perlu dibeli mereka kerana telah tersedia di laman rumah mereka sendiri. Keadaan ini secara tidak langsung setiap isi rumah dapat jimatkan belanja dapur mereka sekurang-kurangnya RM 210.00/bulan sekaligus membantu meringankan beban kos yang terpaksa ditanggung suami mereka dalam tempoh sebulan. Inilah peranan suri rumah secara tidak langsung malah membantu untuk menguruskan ekonomi rumah tangga masing-masing dengan lebih cekap. Disamping itu juga, sekiranya sayuran di bawah program Laman Makanan mereka begitu baik, mereka boleh menjualnya dan menjadi sumber pendapatan tambahan kepada keluarga.

Inilah konsep dan hasrat PPK cuba terapkan dalam kalangan masyarakat. Sasaran utama PPK adalah kepada penglibatan peladangnita yang rata-ratanya adalah tidak bekerja dan suri rumah. Program yang digagaskan ini telah mendapat sambutan hangat daripada masyarakat setempat. Apa yang menariknya, adalah mereka diberi kebebasan untuk memilih jenis tanaman sayuran yang mereka kehendaki. Ada diantara mereka mahukan satu jenis sahaja tetapi tidak kurang juga mereka yang inginkan tanaman bercampur. Saya turut turun ke rumah-rumah peserta bagi tujuan pemasangan set fertigasi sayuran ini dan juga pemantauan, mendapati peserta sangat berpuas hati dan berterima kasih kepada PPK atas inisiatif dan juga kesedaran yang diberikan. Bukan itu sahaja, PPK turut mendapat tempahan daripada TABIKA KEMAS  untuk dipasang set fertigasi ini dan ini tentunya usaha terpuji memandangkan guru-guru KEMAS telah memberi pendedahan awal kepada kanak-kanak di awal usia mengenai pertanian.


Sambutan penduduk kepada taklimat Program Laman Makanan PPK Jelai yang telah diadakan


Antara hadirin yang mendaftar di bawah program Laman Makanan





Disamping itu juga, mana-mana kampung yang telah mendaftar, mereka akan dimasukkan di dalam WhatsApp Group Laman Makanan mengikut kampung masing-masing bagi memudahkan pemantauan dan penyeliaan dilakukan. Group yang diwujudkan itu juga bukanlah bersifat satu hala sahaja, tetapi diwujudkan untuk interaksi antara sesama peserta untuk berkongsi prestasi tanaman, bertanyakan permasalahan dan juga boleh juga dijadikan untuk menjual hasil tanaman mereka  di dalam group selain mendapat khidmat nasihat dan juga tips panduan penjagaan atau ingin menempah benih tanaman dan sebagainya. Namun, group ini dikhaskan untuk berkaitan Laman Makanan sahaja dan bukan untuk tujuan lain. Lebih-lebih lagi politik. Tidak dibenarkan. 

antara coretan WhatsApp Group Laman Makanan 

Pemantauan secara dilapangan turut dilakukan oleh PPK Jelai mengikut jadual berkala dan jika bekerperluan. Prestasi ini dipantau adalah untuk selain melihat tumbesaran tanaman, hubungan antara PPK bersama ahli terus dipereratkan.
Pemantauan oleh Pegawai daripada PPK sendiri


Sekurang-kurangnya kepada peserta yang telah membuat tempahan dan mendaftar, masa yang diperlukan selama 2 minggu sebelum set fertigasi sayuran mereka dipasang di rumah masing-masing. Ini kerana membolehkan pasukan Laman Makanan PPK untuk menyemai benih tanaman sayuran peserta sebelum dipindahkan ke dalam polibeg masing-masing dan dipasang di kediaman masing-masing. Bagi tempahan yang siap disemai, tanaman akan dibawa untuk tujuan pemasangan dan tips penjagaan diberikan selain memastikan sistem pengairan automatik berjalan dengan baik.

Anak benih aparagus yang siap dipindahkan ke dalam polibeg sebelum dibawa ke laman rumah peserta

Tanaman terung

Kacang bendi yang dipasang di rumah peserta

Antara tanaman yang dimuatkan di atas hilux PPK untuk pemasangan di rumah-rumah peserta

Pencapaian

Setelah melaksanakan usaha dan kempen serta taklimat, sehingga bulan September 2020, prestasi pencapaian sebenar program berbanding sasaran awal yang ditetapkan mendapati ianya telah melepasi jauh dan membanggakan. Berikut merupakan pencapaian sebenar program ketika itu;

  1.  Seramai 24 orang peserta yang menyertai atau 120%
  2.  Sebanyak 5 lokaliti atau 250% diwujudkan
  3.  Sebanyak 492 polibeg telah berjaya dipasang atau disediakan 
  4. Terdapat 13 kluster tanaman sayuran disediakan berbanding hanya 4 kluster
  5. Nilai program sebanyak RM 4,480 berbanding sasaran hanya RM 3,600 sahaja
Pencapaian keseluruhan program adalah dicatatkan sebanyak 196.6% berbanding sasaran awal program yang ditetapkan. Pencapaian ini tentunya membanggakan. Hasrat agar penglibatan komuniti peladang telah terlaksana. Saya secara peribadi amat berbangga sekali kerana hasrat murni program ini tercapai khususnya untuk melihat komuniti peladang mampu untuk mencapai objektif-objektif program ini sekaligus mendidik masyarakat untuk menghasilkan sumbangan terhadap agromakanan dari kawasan rumah masing-masing. Selain itu juga, menggerakkan suri rumah untuk berperanan lebih aktif bukan sahaja membantu suami dalam meringankan belanja dapur bahkan boleh dijadikan sebagai salah satu sumber pendapatan tambahan kepada suri rumah juga jika diusahakan sebaiknya.

Kesimpulan

Secara kesimpulannya, setiap kita adalah penting dalam memastikan penjanaan ekonomi keluarga dan rumahtangga dijaga dan diperkukuhkan sebaiknya. Setkan mentaliti supaya segala beli perlu dikikis sedangkan kita mampu hasilkannya sendiri dari kawasan lapang di rumah kita. Ayuh jadikan kawasan lama rumah kita sebagai laman makanan buat keluarga dan jiran tetangga kita. Jika tidak dimulakan oleh kita, Siapa? Manfaatkan segera kawasan di sekitar rumah kita untuk sekurang-kurangnya menanam sayuran yang kita makan. Makan makanan atau sayuran yang kta tanam lebih terjamin berbanding dengan membeli. Bukankah ianya lebih organik dan bersih. Ingat 'TANAM APA YANG KITA MAKAN, MAKAN APA YANG KITA TANAM"

Wallahua'alam.

Kobis yang dikongsikan oleh salah seorang peserta Laman Makanan PPK Jelai