Showing posts with label citra Malaysia. Show all posts
Showing posts with label citra Malaysia. Show all posts

Thursday, 16 September 2021

SELAMAT MENYAMBUT HARI MALAYSIA!

 

gambar ini diambil ketika di Cappadocia 2 tahun lalu

16 September merupakan antara tarikh-tarikh penting buat negara dan anak watan negara ini. Tarikh dimana pembentukan Malaysia yang dicapai antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Kemakmuran dan kedamaian hidup bersama sebagai rakyat dan warga di tanah air tercinta ini telah menjangkau usia 58 tahun ini sudah tentu dapat memaknai dan menghayati semangat kecintaan kepada negara. Negara yang dihuni oleh 3 kaum terbesar iaitu Melayu, Cina dan India serta suku-suku kaum bumiputera di Sabah dan Sarawak telah menjadikan negara ini sebuah negara yang harmoni dan boleh hidup bersama dengan aman sehingga ke hari ini walaupun berbeza agama, adat dan budaya yang pelbagai. Citra Malaysia ini yang membuatkan kecemburuan pihak-pihak luar melihat keamanan yang tercipta disebalik perbezaan nyata.

Namun, disebalik perbezaan itu sebenarnya ada satu ramuan warisan yang perlu diperlihara dan dijaga setiap masa supaya Malaysia kekal berwibawa dan megah ke angkasa - saling menghormati dan bertolak ansur. Ya, bertolak ansur sesama kita. Jika kita amati di negara ini, kalau kita tidak amalkan bertolak ansur sudah tentu negara ini telah lama hancur dan kemajuan tidak mungkin akan tercipta. Misalnya, orang-orang cina amat gemar memakan daging babi yang tidak boleh dimakan oleh orang melayu. Sebaliknya orang melayu sangat gemar kepada daging lembu yang tidak boleh dimakan oleh orang india. Secara asasnya, sudah tentulah kaum-kaum ini tidak boleh bersama. Tetapi di Malaysia, semua kaum boleh hidup secara harmoni kerana saling hormat menghormati dan bertolak ansur.

Tetapi siapakah yang bakal menghancurkan semua ini? Sudah tentu sumbangan terbesarnya adalah orang-orang politik. Walaupun bukanlah semua, tetapi cukup segelintir mereka untuk menghancurkan perpaduan dan kesejahteraan yang dibina sejak sekian lama. Menanam rasa kebencian yang mendalam terhadap sesuatu kaum atau wilayah untuk memupuk semangat menolak antara satu dengan yang lain. Ini turut disokong oleh puak pelampau atau ekstremisme. Misalnya kita dapati bahawa orang-orang politik cuba membangkitkan isu-isu sensitif berkaitan pembentukan Malaysia dengan membangkitkan soal MA63. Pada asasnya tujuan mereka adalah untuk meraih keuntungan politik semata-mata tetapi mereka lupa bahawa ianya bakal memberi kesan kepada perpaduan di dalam kemajmukan rakyat di negara ini keseluruhannya. Kita boleh lihat kesannya, di media sosial keluarlah page atau fb yang menulis mengenai anti-malaya dan sebagainya yang akhirnya boleh menggugat kestabilan di negara ini. Ingat, orang di luar sana hanya menanti masa untuk sorakkan kita apabila negara ini jatuh kelak. Sudah tentu kita selaku warga yang bertanggungjawab perlu memastikan kestabilan di dalam negara ini terus terpelihara tanpa digugat oleh mana-mana pihak.

Lihatlah bagaimana peristiwa pencerobohan oleh tentera sulu di Lahad Datu sekitar tahun 2013 lalu? Bagaimana pihak-pihak yang cuba mengambil kesempatan untuk mengancam kedaulatan tanah air ini. Oleh kerana perpaduan dan kebersamaan kita di dalam menjaga kedaulatan pertiwi, dapat kita tanganinya dengan baik sekali. Alhamdulillah. Jika kita imbau jauh sedikit kebelakang, bagaimana pengalaman Malaysia menangani acaman komunis suatu ketika dahulu. Pemimpin-pemimpin yang berjiwa besar dan bijaksana telah berjaya mengalahkan puak gerila komunis dari tanah air ini. Telah banyak lagi peristiwa dan pengalaman yang dilalui oleh negara kita dapat ditangani dengan berjaya. Pra-syaratnya adalah perpaduan sesama kita. Benarlah kata-kata orang tua-tua dahulu kala 'Bersatu teguh bercerai roboh'. 

Malaysia tidak kurang juga dengan kisah-kisah kejayaan yang membanggakan kita semua. Misalnya bagaimana Malaysia telah muncul sebagai negara yang berjaya menempa nama dipersada dunia atas pelbagai kejayaan. Baik di dalam pencapaian kemajuan dikalangan negara-negara islam di dunia, pemimpin kita antara pemimpin yang dihormati dunia sebelum ini, ramai pakar-pakar atau anak Malaysia yang mengharumkan nama negara di luar negara dalam pelbagai bidang. Sumbangan Malaysia apabila jam besar di Mekah merupakan hasil tangan arkitek Malaysia yang digunakan hingga kini di sana. Selain itu juga, pencapaian-pencapaian cemerlang di dalam sukan diperingkat antarabangsa seperti baru-baru ini bagaimana Datuk Azizulhasni Awang yang berjaya meraih pingat perak di sukan olimpik dan begitu juga pencapai cemerlang atlet paralimpik kita yang berjaya memungut pingat-pingat emas buat Malaysia. Anak Malaysia yang dahulu jika anda masih ingat Amalina yang berjaya mendapat 17A di dalam SPM kini telah berkhidmat di London sebagai doktor pakar bedah dan ia sekaligus membawa nama Malaysia di sana. Kesimpulannya, lakukanlah apa perkara sekali pun asal sahaja ianya dapat mengharumkan dan membanggakan Malaysia, maka kita lakukan di dalam konteks bidang kita. 

Bersempena 16 September 2021 ini, marilah kita bersama membulatkan tekad supaya sama-sama kita meraikan Hari Malaysia ini dengan penghayatan sebenar untuk memastikan negara ini tidak dicalar maruahnya di atas apa-apa perkara atau perbuatan buruk kita. Sebagai contoh, kita amat kesal dengan tindakan segelintir netizen Malaysia yang bertindak keterlaluan ketika keputusan pihak pengadil yang membatalkan kemenangan ziyad semasa sukan lontar peluru di paralimpik tokyo lalu dengan menyerang dan menghentam keterlaluan kepada atlet dari Ukraine. Tindakan ini bukan untuk dibanggakan sebaliknya memalukan nama negara. Kita sepatutnya boleh mengkritik tetapi tidaklah keterlaluan sehingga menghina dan mengherdik orang lain tambah-tambah lagi kepada orang yang kurang upaya. ianya biadap dan tidak melambangkan ciri ketimuran rakyat negara ini yang sangat dikenali dengan kesopanan dan kesusilaan. Sikap dan tingkahlaku kita hendaklah seiring dengan apa yang potretkan dalam bentuk kata-kata. Kita tidak mahu negara ini terkenal di mata dunia dengan pelbagai kisah dan perkara yang negatif dan memalukan. Sebaliknya kita mahukan kisah-kisah kejayaan yang membanggakan dapat dipertonjolkan. Kita perlu lakukan mengikut acuan kita sendiri. 

Semoga Malaysia akan terus cemerlang dan gemilang dengan pelbagai bidang yang kita lakukan dan dihormati oleh rakan dan disegani oleh lawan. Ayuh kita bersama memastikan Malaysia bumi bertuah ini dan nikmat keamanan yang dikecapi ini terus menerus selamanya, insya Allah.


Saturday, 4 September 2021

EVOLUSI NASI LEMAK

 

Nasi lemak ni harganya RM1.00/bungkus tapi sekadar nasi dan sambal bilis sahaja

Berbicara tentang makanan authentic Malaysia seperti nasi lemak memang sudah sinonim dengan rakyat negara ini. Malah ianya turut menjadi ‘signature product’ buat Malaysia.  Aku masih ingat masa kecik-kecik dulu, nasi lemak dijual pada harga sekitar RM 0.30/bungkus. Kemudiannya menjadi RM 0.50/bungkus. Bungkusannya pada masa itu adalah daun pisang yang menjadi trade-mark makanan kegemaran rakyat Malaysia hingga kini. Harga RM 0.50/bungkus agak bertahan lama juga. Aku masih ingat lagi masa adik bongsu aku pergi sekolah tabika, dia suka makan nasi lemak. Memang pagi-pagi cari nasi lemak. Beli 2 bungkus. Baru RM 1.00 masa tu.

Di tempat aku masa tu ketika penjual-penjual nasi lemak menjual pada harga RM 0.50/bungkus, tapi ada seorang pakcik ni yang menjual nasi lemak bersebelahan sekolah cina menjualnya dengan harga RM 0.70/bungkus kemudiannya menjadi RM 1.00/bungkus. Masa tu dia yang paling mahal berbanding dengan penjual lain. Ketika itu, nasi lemak dijual dengan lengkap segala benda wajib di dalam penyediaan hidangan nasi lemak. Antaranya adalah (a) Nasi, (b) Ikan bilis goreng, (c) Kacang goreng, (d) telur ayam rebus, (e) timun dan (f) sambal bilis.

Pada semua hidangan itu, nasi lemak dijual sekitar RM 0.50/bungkus. Tetapi nasi lemak kelihatannya melalui evolusi seiring zaman. Nasi lemak telah mula ‘diolah’ dan harganya pula semakin meningkat. Kadang-kadang, kita dapati nasi lemak yang kita beli tidak sepadan dengan harga yang kita bayar. Apa tidaknya, harga kini telah mencapai RM1.00/bungkus. Bagi yang jual di RnR, lebuhraya harganya sekitar RM1.50/bungkus. Tetapi nampaknya kualiti semakin menurun. Segala ‘aksesori’ banyak yang dikurangkan. Hari ini jika kita beli sebungkus nasi lemak, maka yang tinggal adalah nasi dan sambal bilis sahaja. Lain-lain dah tak ada lagi. Malah pernah sekali tu aku beli, memang semata-mata nasi dan sambal sahaja. Harga tetap RM1.00.

Jika kita perhatikan evolusi dari aspek pembungkusan pula, kita akan dapati bahawa dahulunya jika orang-orang lama akan tahu bahawa nasi yang dibungkus itu sememangnya menggunakan daun pisang dan diorang akan potong empat segi kecul letak di atas puncak nasi itu untuk alas sambal bilis sebelum dibungkus. Orang baru-baru mungkin tak sempat lihat perkara ini. Kini, penggunaan daun pisang semakin kurang, mungkin kerana sukar untuk mendapatkannya lebih-lebih lagi mereka yang menjual dibandar-bandar besar. Jika ada pun, mereka akan letakkan sedikit daun pisang sahaja sebagai simbol nasi lemak dan selebihnya dibungkus dengan kertas minyak. Sebelum penggunaan kertas minyak itu, nasi lemak dibungkus dengan kertas surat khabar dan di dalamnya diletakkan plastik lutsinar. Tapi bungkusan tu tidaklah jadi segitiga, sebaliknya seolah-olah dibungkus bulat. Malah saiznya juga semakin mengecil dari sebelumnya.

Kemudiannya bungkusan nasi lemak dimodenkan lagi dengan memasukkannya di dalam bekas polistren sekaligus menghilangkan identiti nasi lemak itu sendiri. Nasi lemak terus berevolusi dengan pengenalan pula polistren sebesar saiz burger sahaja.

Sementara jika dilihat pula dari aspek menunya pula, nasi lemak yang dahulunya terdapat 6 ramuan asas, kini telah dimodenkan lagi dengan pelbagai menu tambahan. Lihat bagaimana nasi lemak dijual dengan boleh tambah ayam masak merah, ayam goreng, ayam masak kicap, daging masak pedas dan pelbagai lagi. Ada juga penjual mempelbagaikan juadah untuk nasi lemak dengan peparu dan sebagainya seakan sudah bertukar menyamai nasi kandar pula. Lihatlah bagaimana nasi lemak antarabangsa di Kampung Baru, Kuala Lumpur. Penuh pelbagai menu dah menjadi macam nasi kandar. Tengok bagaimana nasi lemak royale di alor star yang seakan jadi nasi kandar.

Suatu hari nanti mungkinkah nasi lemak akan hilang tradisinya dan identitinya? Lama-kelamaan malah sudah ada pun walau jual nasi lemak tapi nasinya sekadar nasi putih semata-mata. Apakah suatu hari nanti, resipi tradisi ini semakin luput ditelan zaman? Dan anak genarasi akan datang akan mengenal nasi lemak adalah ‘versi’ mereka semata-mata walhal ianya merupakan makanan tradisi negara ini dengan rasa dan kelemakan yang sebenar. Warisan yang perlu dikekalkan agar tidak ditelan zaman.

Wallahua’lam.