Sunday 26 September 2021

RASUAH YANG MEMBARAH

Rasuah merupakan sesuatu perbuatan yang terkutuk dan patut dijauhi. Ianya bukan sahaja dilarang oleh agama bahkan perbuatan rasuah sangat buruk dari segi moral. Saban hari boleh dikatakan jika kita membaca laporan-laporan akhbar dan pendedahan-pendedahan di media mengenai pelaku-pelaku rasuah yang telah ditangkap, dituduh dan juga dijatuhi hukuman oleh mahkamah. Namun, masih lagi ada perbuatan memberi dan juga menerima rasuah berlaku di dalam semua era hingga kini. 

Apakah yang mendorong seseorang untuk mengambil dan menerima rasuah? Sudah tentu ianya adalah disebabkan sikap tamak dan nafsu yang mendorong untuk mengaut kekayaan segera sehingga menggelapkan mata. Najis rasuah bukan terletak kepada nilainya tetapi kepada perbuatannya. Bukan sahaja kepada si penerima rasuah tetapi juga kepada pemberi rasuah. Rasuah perlu ditolak daripada menjadi sebahagian daripada kehidupan kita. Rasuah sedang diperangi habis-habisan oleh badan seperti SPRM di negara kita. Namun, meletakkan semata-mata tanggungjawab memerangi rasuah kepada kerajaan sebaliknya menjadi tanggungjawab bersama kepada kita semua. Jangan buka sedikit ruang pun kepada terdorong berlakunya rasuah.

Kita sebenarnya mampu jadikan Malaysia sebagai salah sebuah negara bebas rasuah. Tetapi hendaklah dengan keazaman dan tindakan serta kerjasama setiap warganya yang melihat rasuah sebagai jijik. Ya, ianya bukan mustahil untuk dilakukan. Kita boleh lakukan dan realisasikan. Ingat rasuah bukan semata-mata kepada wang ringgit sahaja tetapi juga melibatkan bentuk mata benda yang lain juga. Oleh itu, jauhilah rasuah kerana ia mampu meruntuhkan dan merosakkan diri, keluarga, masyarakat dan negara ini. Bahananya amat besar.

Kita mulakan dengan diri kita dan keluarga kita untuk bebas daripada rasuah. 

No comments:

Post a Comment