Sunday, 12 September 2021

27 TERTIB MAZHAB BISNES JEPUN

 

Assalamualaikum semua,

sesuai dibaca oleh semua peringkat 


Dah seminggu tak update entry di blog ini. Kali ini, aku hanya nak kongsi tentang sebuah buku yang aku baca kira-kira setahun lalu iaitu buku yang berjudul ’27 Tertib Mazhab Bisnes Jepun’ yang ditulis oleh Dato’ Zulkifli Malek selaku CEO Katana Circle.

Pada aku, aku sangat rekomen kepada semua yang membaca blog ini supaya memiliki dan membaca buku ini. Ianya sangat menarik. Buku ini bukan sahaja berkaitan tentang perniagaan di Jepun tetapi penuh dengan unsur nasihat, kekeluargaan dan nilai-nilai murni yang diamalkan di negara matahari terbit itu yang boleh dipelajari dan diikuti oleh kita dalam konteks keluarga, organisasi dan juga masyarakat. Jika anda membaca buku ini, gaya penulisan penulis di dalam buku ini sangat santai dan seolah-olah penulis sedang bercakap dengan kita. 27 tertib yang dikongsikan bukan sahaja boleh diaplikasikan di dalam perniagaan sahaja, sebaliknya juga kepada perkara-perkara lain termasuk di dalam kehidupan seharian.

Tertib-tertib yang dikongsi ini juga kelihatannya bukan bermula dalam sehari dua sebaliknya masyarakat jepun telah dididik dan dibudayakan dalam kehidupan mereka sejak dari seawal usia lagi. Di dalam sistem pendidikan mereka di sana telah menerapkan nilai-nilai murni yang asas untuk membentuk manusia dan masyarakat yang hebat pada masa depan. Kupasan dan perkongsian yang menarik oleh penulis di atas pengalaman beliau ketika belajar dan juga bekerja serta menetap di Jepun seharusnya perlu dibaca dan dihayati oleh setiap pembaca buku ini untuk diaplikasikan kalaupun bukan untuk mesyarakat dan negara tetapi sekurang-kurangnya kepada diri dan juga keluarga kita untuk mula melakukan perubahan serta mengamalkan nilai-nilai murni.

(Disclaimer: aku tidak dapat sebarang komisyen apa-apa tentang perkongsian buku ini, tetapi terpanggil untuk berkongsi kepada semua supaya bermanfaat)

Sunday, 5 September 2021

LAWATAN KE WILAYAH PHATTHALUNG, THAILAND DAN RASAI KEENAKAN KAENG SOM!

 

Buah salak madu


Pada awal tahun 2016, aku mengikuti satu trip lawatan sambil belajar ke Thailand. Lawatan ini bagi melihat tentang pembangunan sektor pertanian di sana. Lawatan ke sana adalah ke wilayah Phatthalung, Thailand. Di Phatthalung, wilayah yang mempunyai kira-kira 20% sahaja muslim daripada jumlah penduduk di sana.


Ladang Salak Madu di Phatthalung, Thailand


Semasa lawatan berkenaan kami di bawa melihat tentang pembangunan tanaman salak yang diusahakan. Apa yang menarik, bukan sahaja diusahakan sebagai ladang tanaman salak semata-mata tetapi juga ianya turut menjadikan kawasan kebun mereka sebagai pusat tumpuan agropelancongan. Sungguh pun di Thailand, para petani mereka tidak mendapat subsidi atau bantuan sepertimana Malaysia, namun di atas kesuburan tanah serta kegigihan mereka di dalam memajukan sektor pertanian memang sudah terbukti selama ini. Kemajuan di dalam sektor pertanian seharusnya diakui.

Ok, berbalik kepada lawatan ini, aku tidak bercadang untuk menghurai lanjut tentang isi lawatan, sebaliknya aku nak kongsikan kepada korang semua jika ada peluang ke Phatthalung, jangan lepaskan peluang untuk mencuba menu masakan tradisi yang terkenal di sana iaitu Kaeng Som! Kheng Som ni kalau nak diceritakan adalah menu masakan berkuah dan pedas. Boleh berpeluh oo.. tapi sangat sedap! Kalau di Malaysia, lebih kurang Asam Pedas rebus. Tapi kuahnya berwarna kekuningan cair. Ikan yang selalu digunakan untuk memasak Kaeng Som, adalah ikan siakap. memang sedap. Di Dalamnya akan dimasukkan nanas, sebatang serai dan juga kangkung.

Ini la rupa Kaeng Som (p.s: ni gambar aku ambil dari google je, sebab xde pulak nak ambil gambar masa masak kaeng som tu..hehe)


Di rumah, aku sesekali bila teringatkan akan kaeng som, selalu teringat kepada phatthalung. Dan begitula sebaliknya. Orang rumah pun suka kheng som yang sebelum ni dia pun tak pernah makan. Biasanya kalau masak di rumah, kami lebih gemar meratah dan menghirup kuahnya dan nasi hanya dalam portion yang sedikit. Tapi memang terangkat. Walaupun, tahap kepedasan yang disediakan orang rumah tidakla sepedas di thailand tapi cukup untuk mengubat kerinduan. hehe. Kepada yang pernah makan, mesti tahu rasanya.

Itu sahaja yang aku nak share petang ni. Bye,

KENANGAN PERCUTIAN KE SURABAYA-MALANG, INDONESIA

 

Air terjun Coban Rondo

Mengimbau kembali ketika percutian ke Surabaya dan Malang, Indonesia pada November 2016 sememangnya memberi kenangan yang manis dan catatan perjalanan memahat di dalam ingatan sehingga ke hari ini. Percutian hanya 5 hari dan 4 malam sahaja. Pelepasan dari KLIA menaiki pesawat AirAsia terus ke lapangan terbang  Juanda International di Surabaya, Indonesia.




Setibanya di Surabaya, saya bersama rakan-rakan di bawa menaiki coaster (bus mini) untuk meneruskan perjalanan menuju ke Malang. Perjalanannya jauh. Memakan masa antara 4 hingga 5 jam perjalanan. Dihiasi dengan panorama suasana kampung dan kawasan pertanian disepanjang jalan serta boleh nampak gunung sinabung iaitu gunung berapi yang aktif sehingga kini. Oleh kerana perjalanan jauh, jadi kebanyakan masa di dalam perjalanan aku melihat panorama, berkaraoke dan tidur sementara menunggu untuk sampai. Sebaik sahaja sampai di Kota Malang, suasana sudah hampir memasuki senja. Kami lalu dibawa oleh pemandu pelancong untuk ke restoran dan dikenali sebagai Rumah Makan Inggil yang sememangnya popular kepada para pelancong yang berkunjung ke Malang. Memasuki Inggil ini, ianya agak suram dan dihiasi dengan pelbagai ukiran patung-patung kayu dan kesenian. Makanan di sana juga enak dan boleh dimakan. Ianya lebih berkonsepkan kepada museum dan restoran makan.

Rumah Makan Inggil


Kemudiannya kami di bawa ke hotel Ibis di Malang untuk bermalam. Malam itu kami diberi aktiviti bebas untuk bersantai dan kami diberitahu tentang makanan popular di Malang adalah Bakso Presiden dan juga Bakso Cak Man. Oleh kerana, kami sudah sampai, maka tak lengkap jika merasai bakso berkenaan kerana untuk hari esok dijadualkan penuh dengan aktiviti. Maka kami mendapatkan maklumat dan kami akhir pilih Bakso Cak Man kerana berdekatan dengan hotel tempat penginapan kami. Memang sedap bakso Cak Man.

Bakso Cak Man


Keesokkan harinya, kami di bawa untuk melawat ladang apple dan boleh memetik sendiri berapa banyak buah apple dan akan ditimbang untuk dibayar untuk dibawa balik. Selain itu juga, kami turut berkesempatan ke kawasan rekreasi dan air terjun yang dikenali sebagai Coban Rondo. Atau di dalam bahasa melayunya Air terjun Janda. Tinggi air terjunnya dan sejuk kawasannya. Kami juga berkesempatan ke Masjid biru atau dikenali sebagai masjid jin yang dibina setinggi 5 tingkat kalau tak salah. Pengalaman melancong ke Surabaya- Malang juga turut ke kilang perusahaan rokok yang popular di Indonesia iaitu rokok Sampoerna. Menariknya, di kilang itu semuanya menggunakan tenaga manusia. Kami tidak dibenarkan mengambil gambar di ruangan pekerjaan. Selain itu juga, kami turut berkesempatan untuk membeli belah di Surabaya sebelum pulang ke Malaysia. Antara kenangan yang dibawa balik adalah baju T-shirt, baju batik dan juga ikan Bandeng salai.(Gambar ikan bandeng,cari tak jumpe pulak..hehe)

Ladang Apple

di Kilang rokok Sampoerna


Segala kenangan dan pengalaman sepanjang di Surabaya dan Malang akan kekal di dalam ingatan dan kenangan di dalam memori pelancongan aku.


Saturday, 4 September 2021

IKAN PEKASAM MAKANAN TRADISI PEMBUKA SELERA

 

Pekasam yang siap dibakar

Assalamualaikum semua,

Mesti ada dikalangan korang yang membaca entri ni pernah makan ikan pekasam kan? Ok, saje je kongsikan pasal ikan pekasam ni. Menu ikan pekasam bakar ni antara menu favourite aku. Pekasam merupakan makanan tradisi yang masih kekal hingga ke hari ini. Pekasam sinonim dengan ikan sungai yang akan dijadikan pekasam. Tetapi sekarang, telah banyak dijadikan pekasam. Bukan sahaja ikan sungai sebaliknya ikan laut juga dijadikan pekasam. Bahkan, sekarang daging lembu pun dijadikan pekasam malah daging rusa juga ada dijual sebagai pekasam di pasaran.

Antara ikan yang popular dijadikan pekasam biasanya yang mempunyai banyak tulang. Antaranya ikan lampam, ikan puyu, ikan terubuk dan sebagainya. Aku suka ikan lampam dan juga ikan loma. Bagi di daerah hulu perak, ikan yang popular dibuat pekasam adalah ikan loma. Ikan ini banyak tulang dan musimnya antara bulan 8 dan 9 ni. Masa aku berkhidmat di daerah hulu perak dulu, memang selalu beli pekasam ikan loma ni. Sedap isinya. Tambahan pula, di sana industri pekasam memang rancak. Buatnya pada mereka yang sedang mengidam, memang kena cari kat sana. 

Di sana perusahaan pekasam dilakukan oleh orang kampung. Ada yang masih menggunakan kaedah tradisional dan juga moden. Kalau tradisional, tidak menggunakan sealing machine sebaliknya diikat guna getah dan berair dan memakan masa lama untuk boleh dimakan sebab ianya perlu melalui proses fermentasi yang lama. Sebaliknya bagi kaedah moden, proses fermentasi masih dibuat tetapi tidaklah selama tradisional. Malah pembungkusannya pula menggunakan sealing machine dan kering tidak berbau. Sesuai untuk dibawa travel naik kapal terbang. Malah isinya pula tidak hancur, boleh digoreng macam ikan goreng sahaja. Jika pekasam kaedah trasidional, tulang ikan lembut dan mudah hancur. Tapi kedua-duanya sedap.

Bagi aku, aku suka makan ikan pekasam yang dibakar. Bukannya digoreng. Tetapi penyediaannya memangla agak rumit sedikit. Pelbagai rencah dan ramuan dimasukkan. Antaranya serai,bawang,daun kunyit, dan sebagainya dan dibalut dengan menggunakan daun pisang atau daun kunyit untuk menambah aroma. Sedap weh, menjadi pembuka selera untuk makan nasi tengah hari.

Terpulangla kepada orang yang memakannya. Jika nak cepat just goreng sahaja. Tapi untuk merasai keenakan isi ikan dan makanan tradisi ini, disyorkan untuk membakarnya. Gerenti sedap. 

k, bye!


EVOLUSI NASI LEMAK

 

Nasi lemak ni harganya RM1.00/bungkus tapi sekadar nasi dan sambal bilis sahaja

Berbicara tentang makanan authentic Malaysia seperti nasi lemak memang sudah sinonim dengan rakyat negara ini. Malah ianya turut menjadi ‘signature product’ buat Malaysia.  Aku masih ingat masa kecik-kecik dulu, nasi lemak dijual pada harga sekitar RM 0.30/bungkus. Kemudiannya menjadi RM 0.50/bungkus. Bungkusannya pada masa itu adalah daun pisang yang menjadi trade-mark makanan kegemaran rakyat Malaysia hingga kini. Harga RM 0.50/bungkus agak bertahan lama juga. Aku masih ingat lagi masa adik bongsu aku pergi sekolah tabika, dia suka makan nasi lemak. Memang pagi-pagi cari nasi lemak. Beli 2 bungkus. Baru RM 1.00 masa tu.

Di tempat aku masa tu ketika penjual-penjual nasi lemak menjual pada harga RM 0.50/bungkus, tapi ada seorang pakcik ni yang menjual nasi lemak bersebelahan sekolah cina menjualnya dengan harga RM 0.70/bungkus kemudiannya menjadi RM 1.00/bungkus. Masa tu dia yang paling mahal berbanding dengan penjual lain. Ketika itu, nasi lemak dijual dengan lengkap segala benda wajib di dalam penyediaan hidangan nasi lemak. Antaranya adalah (a) Nasi, (b) Ikan bilis goreng, (c) Kacang goreng, (d) telur ayam rebus, (e) timun dan (f) sambal bilis.

Pada semua hidangan itu, nasi lemak dijual sekitar RM 0.50/bungkus. Tetapi nasi lemak kelihatannya melalui evolusi seiring zaman. Nasi lemak telah mula ‘diolah’ dan harganya pula semakin meningkat. Kadang-kadang, kita dapati nasi lemak yang kita beli tidak sepadan dengan harga yang kita bayar. Apa tidaknya, harga kini telah mencapai RM1.00/bungkus. Bagi yang jual di RnR, lebuhraya harganya sekitar RM1.50/bungkus. Tetapi nampaknya kualiti semakin menurun. Segala ‘aksesori’ banyak yang dikurangkan. Hari ini jika kita beli sebungkus nasi lemak, maka yang tinggal adalah nasi dan sambal bilis sahaja. Lain-lain dah tak ada lagi. Malah pernah sekali tu aku beli, memang semata-mata nasi dan sambal sahaja. Harga tetap RM1.00.

Jika kita perhatikan evolusi dari aspek pembungkusan pula, kita akan dapati bahawa dahulunya jika orang-orang lama akan tahu bahawa nasi yang dibungkus itu sememangnya menggunakan daun pisang dan diorang akan potong empat segi kecul letak di atas puncak nasi itu untuk alas sambal bilis sebelum dibungkus. Orang baru-baru mungkin tak sempat lihat perkara ini. Kini, penggunaan daun pisang semakin kurang, mungkin kerana sukar untuk mendapatkannya lebih-lebih lagi mereka yang menjual dibandar-bandar besar. Jika ada pun, mereka akan letakkan sedikit daun pisang sahaja sebagai simbol nasi lemak dan selebihnya dibungkus dengan kertas minyak. Sebelum penggunaan kertas minyak itu, nasi lemak dibungkus dengan kertas surat khabar dan di dalamnya diletakkan plastik lutsinar. Tapi bungkusan tu tidaklah jadi segitiga, sebaliknya seolah-olah dibungkus bulat. Malah saiznya juga semakin mengecil dari sebelumnya.

Kemudiannya bungkusan nasi lemak dimodenkan lagi dengan memasukkannya di dalam bekas polistren sekaligus menghilangkan identiti nasi lemak itu sendiri. Nasi lemak terus berevolusi dengan pengenalan pula polistren sebesar saiz burger sahaja.

Sementara jika dilihat pula dari aspek menunya pula, nasi lemak yang dahulunya terdapat 6 ramuan asas, kini telah dimodenkan lagi dengan pelbagai menu tambahan. Lihat bagaimana nasi lemak dijual dengan boleh tambah ayam masak merah, ayam goreng, ayam masak kicap, daging masak pedas dan pelbagai lagi. Ada juga penjual mempelbagaikan juadah untuk nasi lemak dengan peparu dan sebagainya seakan sudah bertukar menyamai nasi kandar pula. Lihatlah bagaimana nasi lemak antarabangsa di Kampung Baru, Kuala Lumpur. Penuh pelbagai menu dah menjadi macam nasi kandar. Tengok bagaimana nasi lemak royale di alor star yang seakan jadi nasi kandar.

Suatu hari nanti mungkinkah nasi lemak akan hilang tradisinya dan identitinya? Lama-kelamaan malah sudah ada pun walau jual nasi lemak tapi nasinya sekadar nasi putih semata-mata. Apakah suatu hari nanti, resipi tradisi ini semakin luput ditelan zaman? Dan anak genarasi akan datang akan mengenal nasi lemak adalah ‘versi’ mereka semata-mata walhal ianya merupakan makanan tradisi negara ini dengan rasa dan kelemakan yang sebenar. Warisan yang perlu dikekalkan agar tidak ditelan zaman.

Wallahua’lam.

 


Tuesday, 31 August 2021

MENGENANG ALLAHYARHAM DATO' UMAR BIN ISMAIL, MANTAN PENGERUSI AJP PPK LENGGONG PERAK

Hari ini genap 1 tahun pemergian Allahyarham Dato' Hj. Umar bin Ismail, mantan Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah PPK Lenggong, Perak. Beliau merupakan seorang tokoh masyarakat yang amat disegani di Lenggong dan negeri Perak. Selaku orang yang luas pengalaman di dalam persada politik tanahair dan berkhidmat di dalam masyarakat sejak sekian lama membuatkan allahyarham amat dikenang akan jasa dan pengorbanannya.

Sebelumberkecimpung di dalam politik, allahyarham merupakan seorang guru sekolah. Sudah tentu pada zamannya menjadi guru amat dihormati masyarakat dan dipandang tinggi. Kemudiannya allahyarham terjun ke bidang politik dan menjadi ahli parlimen Chenderoh ketika itu sekitar tahun 1978. Jawatan terakhir di dalam politik adalah sebagai Speaker DUN Perak. 

Allahyarham sangat aktif di dalam pergerakan Pertubuhan Peladang sehingga pernah menjadi Pengerusi AJP Pertubuhan Peladang Negeri Perak dan jasanya membuka ladang jaya baru untuk dimajukan dengan tanaman kelapa sawit untuk faedah PPK dan juga ahli peladang nikmati sehingga ke hari ini. 

Allahyarham Dato' Hj Umar bin Ismail



Saya berkesempatan berkhidmat di PPK Lenggong ketika allahyarham menjadi Pengerusi AJP PPK Lenggong. Mengenali allahyarham merupakan seorang yang berpengalaman luas dan panjang fikirnya membuatkan setiap perkara yang perlu diputuskan saya biasanya akan berbincang dengan allahyarham terlebih dahulu khususnya mengenai keputusan-keputusan besar untuk diputuskan. Saya masih ingat lagi ketika hari pertama melapor diri di Lenggong, saya mengadakan kunjung hormat ke rumah allahyarham. Antara soalan-soalan yang ditanya kepada saya "Kalau mike bekerja di sini,orang rumah mike macam mana?datang sekali ke?"  Allahyarham bukan jenis yang boleh dibuat main, tetapi setiap percakapan dan tingkahlaku kita akan diperhati dan dinilai selaku orang lama. Setiap kata penuh nasihat dijadi azimat. Menegur penuh hikmah. Jarang senyum, dan bercakap terhadap perkara perlu sahaja. Setiap katanya penuh makna tersirat yang perlu direnung dan dihayati untuk menangkap makna yang ingin disampaikan. Penuh kiasan.

Bergambar kenangan bersama Allahyarham ketika perasmian stesen minyak milik PPK Lenggong. Dari kiri; Pengarah LPP Negeri, Ketua Pengarah LPP, Dato' Hj Umar dan saya



Pada saya, secara peribadi allahyarham seorang yang mementingkan soal kualiti kerja dan mempunyai pandangan jauh untuk memajukan organisasi. Bijak di dalam menggendalikan mesyuarat serta mematahkan hujah-hujah mereka yang pada pandangannya tidak sesuai tetapi tidak melukakan hati yang mengeluarkan hujah. Sangat dihormati oleh para pemimpin tempatan dan negeri walaupun telah lama tidak aktif di dalam politik. Ketajaman pemikiran walaupun sudah berusia 85 tahun dan bijaksana di dalam menasihati pengurusan sangat hebat.

Gambar kenangan. Saya, Dato' Umar dan Ketua Pengarah LPP tahun 2019



Mempunyai karisma seorang pemimpin untuk masyarakat masih terserlah. Sebagai tujuan rekod, allahyarham banyak berjasa  kepada masyarakat peladang di Lenggong khususnya dan antara jasa terakhirnya kepada warga peladang Lenggong adalah dengan terbinanya Stesen Minyak Petronas milik PPK Lenggong yang memberi faedah besar kepada ahli peladang, sumbangan ekonomi dan juga sosial kepada masyarakat. Saya amat menghormati allahyarham dan sangat bersyukur kerana berpeluang berkhidmat dengan allahyarham walaupun hanya 3 tahun 3 bulan sahaja. Antara ayat yang allahyarham ungkapkan ketika awal saya di Lenggong, "Menurut pesanan orang tua-tua di sini dulu sebut, Orang (pegawai kerajaan) yang datang ke Lenggong, jika berniat baik dan dia minum air sungai lenggong, insya Allah akan keluar dengan naik pangkat". 

Ketika majlis perpisahan saya yang bakal bertukar pada tahun 2019.



Terima kasih Dato' Hj. Umar bin Ismail atas segala khidmat bakti yang ditabur demi masyarakat dan anak watan. Semoga segala kebaikan yang dilakukan akan diganjarkan oleh Allah swt sebaiknya, insya Allah.

Al-Fatihah buat Allahyarham Dato' Hj. Umar bin Ismail yang telah pergi menemui PenciptaNYA tanggal 31 Ogos 2020. Seorang penjuang bangsa, perginya pun pada hari yang istimewa iaitu hari kemerdekaan tanahair tercinta.

(p/s: jika berkelapangan saya akan kongsikan mengenai pengalaman mewujudkan projek stesen minyak PPK Lenggong)


ZAMAN BELAJAR DULU

 Salam kemerdekaan semua,

Diharapkan semoga semua kita berada di dalam rahmat Illahi hendaknya. Pagi ini terima kiriman gambar zaman belajar peringkat diploma dulu. Kelakar jugak bila tengok balik gambar-gambar lama tu. hehe.

Bila mengimbau semula zaman belajar dulu khususnya masa di politeknik, sebenarnya aku tak amik gambar. Sebabnya, dulu masa aku belajar tu belum meluas lagi smartphone ni. Camera pun aku tak ada. Ingat lagi masa tu kamera digital. Mana mampu nak beli. So, yang ada gambar-gambar tu bila kawan-kawan yang snap. Hari ini dia share ke aku gambar masa dulu. Bapak kurusnya aku zaman tu. haha.. 

Masa ni tengah buat amali untuk subjek kejuruteraan tanah kalau tak silap

Zaman tu, mana ada facebook, Instagram dan Twitter lagi yang boleh share gambar-gambar masuk dalam tu then boleh tengok balik. Xdanya. WhatsApp pun xda lagi. Tapi time tu ada friendster dan myspace. haha.

Ini masa convocation - bersama member kelas DPT

Lepas SPM, aku menyambung pelajaran di peringkat diploma dalam jurusan Kejuruteraan Mekanikal (Pertanian) di Politeknik Kota Bharu, Kelantan selama 3 tahun. Setelah tamat belajar, kami semua bawa haluan masing-masing. 

Dalam kelas aku, ada 40 orang. Hampir kesemuanya telah berumah tangga dan ada juga yang telah kembali kerahmatullah. 

Kini, ada yang berkhidmat di sektor awam, swasta dan bekerja sendiri. Ada masa nanti aku share tentang pengalaman belajar di sana ye. 

2 keping gambar di atas dikirim oleh kawan aku pagi tadi. Haha. Dia masih simpan dan betullah kata orang, sekeping gambar mampu menceritakan dan mengimbau 1001 kenangan lalu.