Tuesday, 28 September 2021

HAPPY BIRTHDAY SAYANG!



Tanggal 27 September yang lalu, kami menyambut dan meraikan ulang tahun kelahiran dia. Ya, dia merupakan insan yang istimewa dan menghormati dia sebagai isteri aku dan juga ibu kepada anak kami. Semoga segala impian yang dihajati akan menjadi realiti serta dikurniakan kesihatan dan kebaikan berpanjangan serta dilimpahi rahmat Allah dunia dan akhirat. Happy birthday sayang! 

AKHIRNYA DAH SAMPAI

 

Golf cart bag - Callaway

Alhamdulillah..sampai jua akhirnya. Beg golf yang aku beli melalui shopee telah selamat sampai dengan jayanya ke rumah. Aku buat belian beg ni bagi menggantikan beg lama yang dah perlu diganti. Sebelum beli aku buat review dulu di shopee. Memandangkan di shopee ada pelbagai harga memerlukan kita perlu jangan terburu-buru buat pembelian sebaliknya semak dulu untuk membandingkan harga dan kualiti produk yang bakal kita beli. Apabila segalanya memenuhi spesifikasi dan juga kemampuan kita, maka buat pembelian dengan sebaiknya. Satu lagi bila nak beli secara online ni, dinasihatkan untuk tengok juga kepada review produk oleh pembeli-pembeli lain. Tengok sama ada komen-komen yang ditinggalkan sama ada positif atau negatif. Jika banyak yang positif, maka bolehla anda membuat pembelian. Tapi kalau banyak yang tinggalkan komen negatif, baik tak payahla beli. Cari jela kedai lain. 

Beg golf aku ni aku beli apabila aku dapati spesifikasi dan harganya bersesuaian. Mula-mula takut juga nak beli secara online beg golf ni sebab tak pernah beli barangan golf secara online sebelum ni. Tapi bila aku tengok ulasan ramai pembeli yang baik-baik maka aku pun yakin untuk buat tempahan dan belian. Alhamdulillah, barang sampai harini dan memang puas hati. Barang dibungkus dan dibalut kemas dan berada dalam keadaan yang baik serta kualiti pula adalah baik dan sangat disyorkan kepada kawan-kawan yang mencari beg golf untuk membeli di kmonline shop. Itu saja perkongsian aku kali ini.

(p.s: tak sabar untuk turun ke padang golf lepas ni ;p)

Sunday, 26 September 2021

LUANGKAN MASA BERSAMA KELUARGA

 

lake garden Taiping, Perak

Setelah sekian lama berkurung sahaja di rumah akibat daripada pandemik covid-19 yang melanda, pengumuman kerajaan bahawa pembukaan sektor-sektor-sektor ekonomi dan juga sosial secara berperingkat, maka aku mengambil kesempatan untuk membawa keluarga kecil kami untuk bersantai dan riadah di tempat yang dekat je dengan rumah iaitu Lake Garden Taiping atau Taman Tasik Taiping. 



Bawa anak berehat dan melihat keindahan alam yang menenangkan boleh membuat minda kita terasa sangat lega dari semua keletihan dan juga memberi ketenangan. Ceritanya hujung minggu lepas aku bawa keluarga aku pergi ke lake garden Taiping. Kawasan ini banyak memori. Ingat lagi masa aku form 4, masa tu ada ujian kecergasan untuk memasuki sekolah perantisan askar masa tu yang dibuat di SMK King Edward dan selepas selesai, aku bersama kawan-kawan pergi bersiar-siar di kawasan lake garden ni dan tentunya kami masuk zoo taiping yang menjadi tarikan pelancong luar dan dalam negara hingga ke hari ini.

orang ramai mengambil kesempatan untuk beriadah di sekitar taman tasik taiping

fia seronok sangat dapat berjalan-jalan di sini


Setiap kali aku ke Taiping hingga ke hari ini, mesti akan meronda kawasan taman tasik ni. Bagi aku, kawasan ni menenangkan dengan pemandangan yang cantik serta menenangkan dengan keindahan alam. Dulu-dulu semasa ingin mengambil ujian memandu kereta dan motor pun di kawasan taman tasik ni lah antara route ujiannya dengan pihak JPJ. 

Pelbagai aktiviti boleh dilakukan di sini, antaranya boleh melawat zoo, boleh berbasikal mengelilingi kawasan tasik ini. Selain itu juga, aktiviti beriadah dan berkelah seisi keluarga juga sesuai dan memang ramai pun yang berkelah di sini. Malah ada yang memasang khemah untuk menikmati suasana 'camping' terutama yang membawa anak kecil masing-masing ke sini. Terdapat juga aktiviti seperti berjalan kaki dan berjogging mengikut trek yang disediakan oleh pihak berkuasa tempatan sambil menghirup udara nyaman dan juga melihat keindahan tasik. Disamping itu juga akiviti di air seperti berkayuh sampan atau kayuh itik tu masih belum dibuka lagi memandangkan ianya masih belum dibenarkan untuk fasa kali ini. Mungkin selepas ini akan dibenarkan dengan SOP yang ditetapkan.

Apapun aktiviti, luangkan masa bersama keluarga. Bagi aku dan isteri yang bekerja, masa yang terbatas akan digunakan sebaiknya bersama keluarga terutama anak kami yang sedang meningkat usia. 'Quality time with family' kata orang putih. Kerana masa yang berlalu akan terus pergi meninggalkan kita. Antara perkara yang tidak boleh dibeli atau ditebus adalah masa. Jadi, nasihat pada diri aku dan juga semua, hargailah masa bersama orang yang tersayang sementara diberi kesempatan bersama di dunia ini. Luangkan masa bersama mereka walau sesibuk mana pun kita. Moga kita semua berada di dalam rahmat Allah swt hendaknya. 

Wallahua'lam.


RASUAH YANG MEMBARAH

Rasuah merupakan sesuatu perbuatan yang terkutuk dan patut dijauhi. Ianya bukan sahaja dilarang oleh agama bahkan perbuatan rasuah sangat buruk dari segi moral. Saban hari boleh dikatakan jika kita membaca laporan-laporan akhbar dan pendedahan-pendedahan di media mengenai pelaku-pelaku rasuah yang telah ditangkap, dituduh dan juga dijatuhi hukuman oleh mahkamah. Namun, masih lagi ada perbuatan memberi dan juga menerima rasuah berlaku di dalam semua era hingga kini. 

Apakah yang mendorong seseorang untuk mengambil dan menerima rasuah? Sudah tentu ianya adalah disebabkan sikap tamak dan nafsu yang mendorong untuk mengaut kekayaan segera sehingga menggelapkan mata. Najis rasuah bukan terletak kepada nilainya tetapi kepada perbuatannya. Bukan sahaja kepada si penerima rasuah tetapi juga kepada pemberi rasuah. Rasuah perlu ditolak daripada menjadi sebahagian daripada kehidupan kita. Rasuah sedang diperangi habis-habisan oleh badan seperti SPRM di negara kita. Namun, meletakkan semata-mata tanggungjawab memerangi rasuah kepada kerajaan sebaliknya menjadi tanggungjawab bersama kepada kita semua. Jangan buka sedikit ruang pun kepada terdorong berlakunya rasuah.

Kita sebenarnya mampu jadikan Malaysia sebagai salah sebuah negara bebas rasuah. Tetapi hendaklah dengan keazaman dan tindakan serta kerjasama setiap warganya yang melihat rasuah sebagai jijik. Ya, ianya bukan mustahil untuk dilakukan. Kita boleh lakukan dan realisasikan. Ingat rasuah bukan semata-mata kepada wang ringgit sahaja tetapi juga melibatkan bentuk mata benda yang lain juga. Oleh itu, jauhilah rasuah kerana ia mampu meruntuhkan dan merosakkan diri, keluarga, masyarakat dan negara ini. Bahananya amat besar.

Kita mulakan dengan diri kita dan keluarga kita untuk bebas daripada rasuah. 

Tuesday, 21 September 2021

SELAMAT KEMBALI KE KAMPUS

Pengumuman oleh YB Menteri Pendidikan Tinggi baru-baru ini bahawa semua IPT akan mula dibuka semula dan keperluan pelajar untuk masuk semula ke kampus-kampus secara berperingkat mulai 3 Oktober 2021 ini telah memberi isyarat jelas mengenai sesi pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka dan fizikal akan bermula seperti biasa. Dikala itu juga bakal memberi semula 'kehidupan kampus' untuk dirasai oleh mereka yang bergelar pelajar sepertimana pelajar-pelajar terdahulu melalui fasa-fasa pengajian di IPT suatu masa dahulu sebelum pandemik COVID-19 melanda dunia.

Disamping itu juga, buat mereka yang telah menerima tawaran menyambung pengajian sama ada diperingkat Diploma mahupun Ijazah Sarjana Muda di universiti-universiti dalam pelbagai bidang, tahniah diucapkan. Tentunya ada yang ditawarkan bidang yang dipilih sebelum ini dan diminati tetapi tidak kurang juga buat mereka yang ditawarkan bidang yang mereka tidak pilih tetapi itu adalah muktamad. Bahkan ada bidang-bidang jurusan yang ditawarkan seolah-olah menggusarkan ibu bapa mengenai masa depan anak mereka. Nasihat saya, usah gusar dan bimbang. Dorong dan sokonglah anak anda di dalam menuntut ilmu pengetahuan. Jurusan yang diambil di universiti itu bukanlah sesuatu yang mengecewakan dan bersedih jika ianya tidak menepati pilihan kita. Bukan.

Sebaliknya, jurusan-jurusan yang ditawarkan itu perlu dilakukan dengan bersungguh-sungguh untuk memastikan kita berjaya mendapatkan tahap yang paling cemerlang dengan usaha yang sehabis baik dilakukan. Tugas pelajar adalah belajar dengan tekun. Tanpa ketekunan, segalanya akan dipersia-siakan dan menyesal dikemudian hari. Ada rakan di tempat kerja semalam bertanya pandangan kami berhubung jurusan yang ditawarkan kepada anaknya iaitu sains perhutanan. Adakah jurusan ini baik, ada masa depan atau tidak? Jawapan seorang lagi kawan mengenai persoalan itu yang saya kira cantik dan bersesuaian. Katanya "belajar dalam apa bidang pun boleh, janji kita perlu menguasai bidang itu dengan ketekunan dan bersungguh-sungguh, insya Allah kita akan berjaya!"

Saya terpanggil untuk mengulas tentang jawapan itu. Pada saya ianya terbukti benar. Apa bidang sekalipun jika kita berusaha, belajar dengan tekun dan bersungguh-sungguh untuk melakukan yang terbaik dan akhirnya kita akan muncul pelajar yang cemerlang dan terbaik di dalam bidang yang kita pelajari dan kelak kita akan berjaya. Contoh, jika seseorang itu mengambil jurusan pengajian bahasa arab di universiti. Pada dasarnya, seseorang pelajar yang mengambil jurusan ini akan hanya belajar tentang bahasa arab dan sastera sahaja. Tetapi jika pelajar ini tekun dan bersungguh-sungguh ianya boleh muncul terbaik dengan penguasaan yang cemerlang serta lain dari yang lain. Misalnya disamping penguasaan di dalam bahasa arab dia juga mahir di dalam menguasai bahasa inggeris. Ini akan menjadikannya lain dari yang lain. Demikian juga, dalam lain-lain jurusan. Jika seseorang pelajar itu mampu menonjolkan kelainannya di atas ketekunan dan kesungguhannya, insya allah dia akan berjaya. 

Sebab itu, penguasaan yang pelbagai mula diterapkan sejak di sekolah lagi. Misalnya jika kita lihat dahulunya Maahad Tahfiz atau sekolah-sekolah agama hanya menumpu kepada soal agama semata-mata sehinggakan anak-anak yang dilahirkan dari lepasan ini hanya mengetahui membaca quran dan agama sahaja. Tidak yang lain-lain. Tetapi kemudiannya, kerajaan telah mula memasukkan elemen tuntutan agama yang sebenarnya dengan memasukkan gabungan antara ilmu agama dan tuntutan agama iaitu sains dan teknologi. Maka muncullah sekolah Ulul Albab yang menggabungkan tahfiz dan sains diajar di sekolah. Melalui kaedah itu, seseorang pelajar bukan sahaja mahir menghafal quran tetapi juga boleh melahirkan jurutera, saintis, akauntan, doktor yang profesional tetapi bertunjang agama di dalam dada mereka. Ilmu-ilmu itu bukannya ilmu barat tetapi ianya merupakan tuntutan agama untuk dipelajari. 

Berbalik kepada apa jurusan sekalipun dipelajari hendaklah ditekuni sebaiknya supaya bukan sahaja untuk diri kita dan keluarga kita tetapi juga kepada negara dan agama kita. Justeru, kepada pelajar dan bakal pelajar, selamat kembali ke kampus dan menekuni ilmu dengan bersungguh-sungguh. Selamat maju jaya!


Sunday, 19 September 2021

TABIAT SUKA MEMBUANG SAMPAH MERATA-RATA BOLEH MENYUMBANG KEPADA PENCEMARAN ALAM SEKITAR

 


Hari ini akhbar melaporkan mengenai timbunan sampah sarap yang kebanyakannya terdiri daripada botol-botol dan beg plastik di kawasan persisiran pantai Keria, Sungai Padang, Perlis. Menurut laporan berkenaan, hampir 13 metrik tan sampah dikutip setiap minggu disepanjang persisir pantai Kuala Perlis hingga Kuala Sanglang  sejauh 13 kilometer. Sudah tentu laporan-laporan seumpama ini bukan pertama kali dilaporkan begini. Bukan sahaja di sana bahkan boleh dikatakan di merata tempat berlaku kejadian yang tidak bertanggungjawab ini. Ini bermakna, secara nisbahnya setiap satu kilometer bersamaan 1 mt sampah. Saya tidak ingin menuduh tentang semua itu disumbang oleh penduduk setempat. Mungkin juga ianya dihanyutkan dari tengah laut hasil perbuatan pihak-pihak lain dan terdampar di pesisir pantai. Tetapi, dengan pendedahan ini, marilah kita mulakan dengan diri kita untuk bersama memastikan laut kita, tempat tinggal kita dan sungai-sungai kita dipelihara dan bersih serta bebas daripada sampah khususnya plastik. 

Sebenarnya semua ini terkait dengan tabiat buruk segelintir masyarakat kita yang gemar membuang sampah terutamanya berkaitan plastik di merata tempat tanpa ada rasa sedikit pun bersalah. Sebaliknya tabiat ini dianggap biasa oleh kebanyakkan kita. Tanpa kita sedari bahawa tabiat seumpama itu sedang diperhati dan dipelajari oleh generasi mendatang iaitu anak cucu kita yang memerhati perbuatan kita. Jika kita masih ingat beberapa bulan sebelum ini, tular sebuah rakaman video di media sosial mengenai seorang perempuan yang dengan ‘slumber’ nya membuang sampah dari keretanya keluar ketika di jalan raya yang sedang bersesak. Dia sangka tindakannya itu sesuatu yang betul, tetapi sebenarnya sedang dilihat oleh anaknya dan generasi akan datang bahawa tindakan itu betul sedangkan ianya sangat tidak beretika dan tidak bertanggungjawab.

Sedarkah kita bahawa botol plastik mengambil masa yang lama iaitu kira-kira 450 tahun untuk diterurai.  Menurut Pertubuhan Greenpeace yang merupakan organisasi NGO yang banyak menggerakkan kempen dan aktiviti menyelamatkan lautan daripada sisa plastik melaporkan bahawa kira-kira 12.7 juta metrik tan sisa plastik memasuki lautan setiap tahun. Angka ini sangat menggerunkan. 90% burung laut dikesan mempunyai kandungan plastik di dalam perut mereka. Jelas di sini menunjukkan kepada kita tentang betapa plastik telah mengancam hidupan dan planet ini jika ianya berterusan tidak diendah oleh sesiapa pun. Justeru, kita perlu didik dan jadikan budaya kepada setiap kita dan keluarga kita tentang tabiat membuang sampah khususnya plastik di merata-rata perlu dihentikan segera.

Selain itu juga, setiap kita juga sebenarnya mempunyai tanggungjawab terhadap alam sekitar tempat yang kita huni ini secara bersama. Jagalah alam ini sebaiknya. Jangan sesekali kita cemarkannya dengan tangan kita sendiri. Kita boleh lakukan dengan langkah-langkah kecil kita tetapi pasti menyumbang dan mengesankan ke arah kelestarian alam sekitar. Misalnya, apabila kita berpeluang untuk beriadah dan berkelah sama ada di lata atau sungai atau air terjun ataupun di pantai dan laut, kita disiplinkan diri kita dan keluarga kita supaya tidak membuang sampah atau beg plastik dimerata  atau lebih teruk lagi dengan mencampakkan ke dalam sungai atau air terjun atau laut. Biasakan untuk membuang sampah di dalam tong sampah. Jika tiada, bungkus dan bawa balik hingga kita jumpa tempat pembungan sampah untuk dibuang. Walaupun ianya langkah kecil tetapi saya yakin, jika setiap kita mengamalkan dan melakukannya, maka kita dapat menyelamatkan banyak sungai-sungai, air terjun dan lautan kita daripada pencemaran plastik dan juga sampah sarap. Di tempat-tempat tumpuan pelancongan misalnya, jangan kita cemarkan tempat-tempat itu dengan sisa sampah atau sebagainya. Apa yang lagi baik adalah kita kutip sampah jika kita nampak ianya berada di sekitar kita. Bukan sahaja kawasan berkenaan bersih malah mudah-mudahan dikurniakan ganjaran pahala atas amal jariah kita, insya Allah. Ingatlah, dunia semakin tenat dengan perubahan iklim atau ‘climate change’ yang berlaku. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah memberi amaran bahawa pelepasan karbon perlu dikurangkan 45% menjelang 2030 bagi mengelakkan kesan buruk daripada cuaca yang lebih panas melanda dunia yang akhirnya bakal memberi kesan buruk terhadap manusia.

Baru-baru ini saya mengikuti satu webinar mengenai perubahan iklim yang sangat menarik mengenai kupasannya. Jika kita lihat laporan media mendapati bagaimana kebakaran-kebakaran besar banyak melanda negara-negara di dunia seperti Australia, Turkey, Greece, Amerika Syarikat dan lain-lain lagi yang telah memusnahkan habitat dan juga hidupan hutan yang menjadikan tempat tinggal mereka. Pemanasan global menunjukkan peningkatan saban tahun. Penebangan hutan berleluasa yang menyumbang kepada kemusnahan alam sekitar. Jangan kita tambah pula dengan tabiat buruk segelintir kita yang gemar membuang sampah khususnya plastik di merata tempat tanpa ada sekelumit rasa bersalah dan berdosa. 

Jika kita ingat kembali pada tahun lepas apabila seluruh dunia mengisytiharkan 'total lockdown', kita menerima khabar yang dilaporkan media tentang sungai-sungai dan lautan kembali jernih dan bersih tanpa pencemaran. Antaranya adalah sungai melaka yang kelihatan jernih dan begitu juga laporan akhbar tentang pendaratan penyu ke pantai port dickson setelah puluhan tahun tidak muncul di sana. Ini semua merupakan perkembangan positif terhadap alam sekitar. Bukanlah bermakna, untuk pulihkan alam maka kita semua perlu berkurung di rumah sebaliknya ianya memberi refleksi bahawa masyarakat perlu memainkan peranan supaya kita lebih mesra dengan alam. Marilah kita bersama memastikan alam sekitar yang ada ini dijaga sebaiknya kerana ianya merupakan anugerah yang tidak ternilai harganya. Ayuh kita hijaukan alam ini dengan tanaman dan tumbuhan-tumbuhan. Jaga kebersihan sungai, air terjun dan lautan dan bebeaskan alam ini dari sampah sarap. Mulakan dengan diri kita. Bersahabatlah dengan alam.

Wallahua’lam.

 


SEKTOR PERTANIAN TERUS DIBERI PERHATIAN DALAM BELANJAWAN 2022

 

sumber : laporan akhbar Utusan Mingguan Malaysia


Sektor agromakanan negara terus mendapat perhatian dan menjadi keutamaan kerajaan di dalam merangka dan menyediakan pelan belanjawan tahun hadapan iaitu tahun 2022. Sebagaimana telah diketahui umum bahawa pertanian sangat berkaitrapat dengan penghasilan dan pengeluaran bahan makanan untuk menjamin bekalanan makanan kepada seluruh rakyat Malaysia sentiasa mencukupi dan tidak terputus bekalan.

Memandangkan sektor pertanian merupakan sektor yang penting dan relevan sepanjang zaman,justeru, tidak mungkin mana-mana negara di dunia walaupun taraf negara termaju dunia ingin mengkesampingkan atau meninggalkan sektor pertanian khususnya agromakanan. Makanan merupakan perkara yang sangat penting kepada manusia sejak berzaman lamanya dan untuk kehidupan. Tanpa makanan, sesebuah negara boleh menjadi huru-hara dan kacau bilau. Sebab itulah jaminan terhadap bekalan makanan perlu dipastikan sentiasa mencukupi serta penghasilan keluaran makanan dalam negara seharusnya dilipatgandakan. Impak pandemik covid-19 yang mula melanda dunia sejak penghujung tahun 2019 dan hingga kini Malaysia masih bergelut memeranginya telah membuka mata dunia akan kepentingan agromakanan yang mencukupi disamping usaha kerajaan untuk memastikan vaksin atau penemuan ramuan terbaik untuk melawan virus berkenaan.

sumber : laporan akhbar The Star


Menyedari hakikat berkenaan, kerajaan Malaysia dilihat mengambil langkah tepat dengan memperkasa sektor pertanian melalui peruntukan yang memberangsangkan di dalam pengumuman-pengumuman sebelum ini di bawah pakej-pakej rangsangan ekonomi bagi merancakkan dan dalam masa sama memodenkan pertanian supaya dapat menghasilkan makan secukupnya untuk keperluan negara. Hari ini pula, akhbar-akhbar tempatan melaporkan bahawa Menteri Kewangan menyatakan komitmen kerajaan untuk memberi fokus keutamaan kepada sektor pertanian di dalam belanjawan tahun 2022 nanti. Susulan daripada kenyataan berkenaan telah membayangkan bahawa kerajaan bersedia dan dalam usaha merangka belanjawan dan menyediakan peruntukan yang besar kepada sektor pertanian untuk terus diperkasakan sebaiknya untuk tahun hadapan dan berikutnya sekaligus di dalam membentangkan Rancangan Malaysia ke-12 iaitu 2021 hingga 2025 nanti. Jika kita imbau sedikit masa lalu, ketika berlakunya krisis apabila negara-negara pengeluar utama beras dunia seperti Thailand dan Vietnam dilanda bencana sehingga mengakibatkan negara berkenaan tidak dapat mengeksport beras ke negara kita, maka kerajaan pada tahun 2008 telah mengumumkan langkah segera di bawah Dasar Jaminan Bekalan Makanan Negara (DJBMN) untuk negara menghasilkan pengeluaran beras untuk menampung keperluan dalam negara tidak terputus.

Semoga sektor agromakanan negara akan terus diperkasa dan mengharungi modenisasi di dalam era revolusi industri 4.0 (IR4.0) hari ini dan akan datang. Selaras dengan itu juga, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) bakal melancarkan Dasar Agromakanan 2.0 (DAN 2.0) 2021 hingga 2030 yang bakal memeta dan menggariskan halatuju serta tumpuan negara berkaitan agromakanan. Apa yang paling mustahak selain menjamin pengeluaran bahan makanan dalam negara, tetapi juga diharapkan dapat memberi impak kepada para peladang, penternak dan nelayan termasuk mengenai aspek peningkatan taraf sosio-ekonomi golongan ini terus dibela. 

Wallahua'lam.