Friday 9 July 2021

PILIHAN JURUSAN LEPASAN SPM: ADAKAH BIDANG PERTANIAN TIADA MASA DEPAN?

 PENDAHULUAN

Kira-kira dua bulan yang lalu, keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) telah diumumkan dan keputusannya telah diketahui seluruh negara bagi para pelajar yang telah menduduki peperiksaan berkenaan tahun 2020 yang terpaksa menduduki peperiksaan SPM pada awal tahun ini. Tahniah diucapkan kepada mereka yang memperolehi keputusan cemerlang. Sementara kepada mereka yang kurang cemerlang, tidak mengapa.. Jangan mudah berputus asa. 

Sudah tentu keputusan yang diumumkan itu bukan sahaja diraikan oleh mereka yang mendapat keputusan berkenaan, bahkan turut dikongsi rasa bersama-sama dengan orang yang tersayang seperti keluarga dan sahabat handai.

Seperti biasa, selepas keputusan diumumkan maka para pelajar akan mula sibuk untuk membuat permohonan untuk memasuki institusi pengajian tinggi sama ada awam mahupun swasta. Permohonan pula adalah semuanya berdasarkan kepada keputusan yang diperoleh diperingkat SPM. Namun, kepada yang kurang baik keputusannya, sudah tentulah peluang untuk mendapatkan tempat diperingkat tinggi agak tipis tambahan pula jika bidang yang dipilih pula merupakan bidang atau jurusan yang popular serta menetapkan syarat-syarat khusus untuk mengikuti pengajian berkenaan. Sebagai contohnya, bidang-bidang seperti kejuruteraan, akauntan, IT, perniagaan, pentadbiran, Farmasi, Pendidikan dan sebagainya. 

BIDANG PERTANIAN KURANG POPULAR?

Jika dibuat sampel secara rawak terhadap pelajar lepasan SPM, adakah mereka akan memohon jurusan atau pengajian dalam bidang pertanian diperingkat IPT, sudah pasti jumlahnya adalah sedikit berbanding bidang-bidang lain bukan? Malah saya pasti bahawa para pelajar lepasan SPM menganggap bahawa bidang pertanian tidak senada dengan jiwa muda mereka. Mereka membayangkan bahawa bidang pertanian membawa suatun konotasi negatif apabila merasakan bidang pertanian perlu bergelumang dengan selut dan bernas terik di bawah pancaran matahari serta miskin.

Hal ini diburukkan lagi apabila stigma masyarakat yang tidak mendedahkan kepada anak-anak mereka akan kepentingan dan prospek bidang pertanian sejak dari awal lagi. Sebaliknya, masyarakat lebih memberi konotasi negatif seperti yang dinyatakan di atas tadi. Sebagai contoh, kita akan selalu terdengar kata-kata orang yang lebih tua daripada kita atau rakan sekampung yang tinggal di kampung apabila kita bertanya khabar sesekali apabila jarang pulang ke kampung dengan soalan "apa khabar, kerja apa sekarang?" mereka biasanya akan menjawab dengan nada yang agak merendahkan kerjaya mereka seperti "macamni laa kami kerja kampung saja.." atau "alah, kerja di kebun saja".

Malah bagi ibu bapa kita juga akan berikan contoh-contoh kepada anak-anaknya untuk tekun belajar dengan ungkapan "kalau kamu malas belajar, nanti bila kamu besar kamu pegang batang cangkul saja laa". Bahkan, jika memberi contoh kepada mereka yang malas belajar nanti tiada masa depan, duduk kampung tanam jagung akhirnya meresap ke dalam minda anak-anak ini yang akhirnya menjauhi bidang pertanian dan menyangka mereka yang menceburi ke dalam bidang pertanian merupaka individu yang gagal, miskin dan tiada masa depan. Sebenarnya, bidang pertanian adalah sangat luas dan tanggapan mereka menceburi bidang pertanian dengan mengambil jurusan atau bidang pertanian semasa di universiti akan menjadi 'Petani' atau 'Peladang' sebagai tanggapan yang kurang tepat dan cetek.

SEJAUHMANA BIDANG PERTANIAN TIADA MASA DEPAN?

Jika kita amati dan sanggup berfikir sejenak dengan akal fikiran kita bahawa sejak zaman sebelum merdeka sehingga kini, bidang pertanian merupakan bidang yang sentiasa relevan sepanjang zaman! Manusia tanpa makanan akan mati kebuluran. Ketika dunia berdepan dengan pandemik COVID-19 yang sedang melanda, sektor agromakanan dilihat sangat penting kepada sesebuah negara untuk memastikan kecukupan makanan kepada penduduk dikala tindakan kerajaan di serata dunia mengumumkan 'lockdown'. Kalau kita lihat negara kita misalnya, semasa pengumuman PKP 1.0 tahun lalu sehingga kini, walaupun kebanyakan sektor terpaksa ditutup namun, sektor pertanian dan agromakanan terus diberi keutamaan untuk beroperasi sebagai 'essential service'. Selain itu juga, kita dapati kebanyakkan bidang dan sektor terjejas dengan sangat teruk akibat dampak covid ini seperti sektor pelancongan, sektor peruncitan, sektor-sektor seperti PKS, kilang-kilang, dan sebagainya malah ramai yang dibuang kerja namun, kita dapati bidang yang tidak terjejas akibat covid ini adalah PERTANIAN! harga kelapa sawit mencanak naik sejak penghujung tahun lalu sehingga ke bulan Jun dan masih kekal bertahan. Pengeluaran sayuran, buahan, ternakan, ternak-air, unggas dan sebagainya terus berjalan tanpa sekatan.

Justeru, dapatlah kita ketahui bahawa bidang yang terjamin adalah bidang pertanian. Jadi, mengapa bidang ini masih dianggap sebagai tiada masa depan? Jika sebelum ini, ramai yang berfikir bahawa bidang ini tiada masa depan, aku fikir kita perlu mula berfikir semula tentangnya setelah melihat malapetaka yang melanda hari ini saat ribuan malah ratusan ribu hilang pekerjaan tetapi bidang ini kekal bertahan.

Aku teringat masa keputusan SPM aku keluar dulu, bidang yang banyak diisi dan dimohon masa tu (isi borang manual babe time tu) yang aku apply ialah Pertanian sama ada di Universiti dan Politeknik. Sejujurnya, pilihan bidang mak bapak aku yang dorong dan arah untuk pilih pertanian. Alhamdulillah, aku ditawarkan pengajian Diploma Kejuruteraan Mekanikal (Pertanian) di Politeknik Kota Bharu masa tu. Tapi bila pergi bersama kawan-kawan ke rumah cikgu-cikgu berjalan raya sebelum kami masing-masing melanjutkan pengajian, cikgu-cikgu, jiran tetangga, pakcik-pakcik bawang akan tanya soalan sama "Dapat sambung mana?Course apa?" Bila kawan-kawan lain jawab bidang masing-masing kebanyakan respons mereka adalah "oklah tu, belajar rajin-rajin" tapi bila time aku bagitau yang aku dapat course kejuruteraan mekanikal pertanian, respons yang diterima sama mereka diam seketika, ada yang cubaa sedapkan hati dengan berkata "okla tu," tapi tak kurang juga dengan menyatakan dengan jelas dari hati nuraini mereka "Pertanian?, Pertanian is NO FUTURE". Kata-kata itu terngiang-ngiang sampai sekarang.


Tugas mulia

Sebenarnya, bidang pertanian merupakan salah satu tugas yang mulia. Apa tidaknya, menghasilkan pengeluaran makanan kepada manusia bukankah suatu tugas mulia? Namun, perlu diakui majoriti bidang ini dijalankan oleh mereka yang telah berusia. Bidang ini perlukan suntikan tenaga muda untuk menceburinya. Teknologi canggih seperti big data, IoT, Automasi, IR4.0 dalam pertanian dan pelbagai lagi bagi mendepani cabaran mendatang untuk memastikan kecukupan makanan kepada masyarakat sentiasa terjamin. Satu lagi, tidak bermakna pilih bidang pertanian ini anda perlu jadi pak tani sahaja. Bukan. Ingat, anda juga berpeluang untuk menjawat jawatan sebagai pegawai kerajaan, eksekutif, pengurus dan sebagainya sama ada di sektor awam mahupun swasta. Disini aku senaraikan antara jawatan atau bidang pertanian yang tak semestinya kamu perlu pikul cangkul macam makcik pakcik bawang ceritakan itu. 

  • Sektor Kerajaan
            - Jabatan Pertanian

            - Jabatan Perkhidmatan Veterinar

            - Jabatan Perikanan

            - Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP)

            - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA)

            - Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM)

            - Institut Penyelidikan Pertanian Malaysia (MARDI)

            - Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM)

            - MADA, KADA

            - LAIN-LAIN

  • Sektor Swasta
            - SYARIKAT-SYARIKAT PERLADANGAN (SIME DARBY, FELDA, FELCRA,                      TABUNG HAJI PLANTATION, KLK, UNITED PLANTATION, BOUSTEAD                                  PLANTATION,  GENTING PLANTATION, MALAKOFF dan sebagainya

Jika kamu mengambil jurusan Diploma Pertanian, kamu berpeluang untuk menjadi Penolong Pegawai Pertanian gred G29 di Jabatan Pertanian, MADA, KADA, RISDA dan sebagainya di sektor kerajaan. Gaji penjawat awam sekarang ini tidaklah terlalu kecil sangat tapi tidaklah semewah rakan-rakan di sektor swasta. Sementara jika kamu memilih di sektor swasta pula, mungkin kamu berpeluang menjawat jawatan eksekutif di syarikat-syarikat perladangan, dan sebagainya. Cumanya aku dapati bidang pertanian ini kurang popular kerana kurangnya pendedahan dan mungkin pengiktirafan yang selayaknya. 

Pengiktirafan

Dalam pada usaha kerajaan menghargai jasa dan pengorbanan para peladang, penternak dan nelayan kita saban tahun, Seharusnya, kerajaan perlu mula merangka untuk mengadakan satu hari sambutan untuk menghargai peranan yang dimainkan oleh para pegawai khususnya yang terlibat dalam sektor pertanian ini sebagai tanda menghargai mereka yang berdepan di lapangan termasuk membimbing dan mendidik para petani dan peladang kita dari segi aspek teknikal, khidmat nasihat dan juga ilmu pengetahuan serta kemahiran menerusi latihan. Sebagai contoh Sambutan Hari Pegawai Pertanian Malaysia atau Sambutan Hari Pegawai Peladang Malaysia. Sambutan ini sama sepertimana sambutan hari guru, hari jururawat, hari polis malah sambutan hari pustakawan juga ada disambut setiap 6hb Jun setiap tahun. Sambutan seumpama ini penting bagi menaikkan moral para pegawai supaya mereka merasakan sumbangan mereka sentiasa dihargai.

Penutup

Tiba masanya pendedahan kepada pelajar mengenai prospek bidang pertanian ini cerah dan menjamin masa depan. Kalau pun terpaksa menjadi petani, jadilah petani moden. Ramai di luar sana yang menceburkan diri di dalam bidang pertania telah berjaya walaupun tidak kurang juga ramai yang kecundang. Tetapi keazaman untuk merubah nasib dan menjadikan bidang ini penting serta dapat memastikan ianya menjadi pilihan utama masyarakat serta para pelajar akan datang harus dimulai dari sekarang. Antara usaha yang boleh dilakukan dengan kokorikulum sekolah perlu dimasukkan Kelab Pertanian Sekolah agar pendedahan diperingkat sekolah dapat dilakukan dari awal. Sementara diperingkat universiti pula, perlu diwajibkan satu pendedahan atau executive talk atau apa saja wacana kepada para pelajar universiti dengan menjemput para pegawai dalam bidang pertanian sama ada dari Jabatan Pertanian ke LPP ke MARDI ke atau Sime Darby atau Felda diberi slot untuk memberi pendedahan berguna kepada para pelajar selain memberi gambaran mengenai prospek sektor ini.

Iklan dan promosi menerusi tv, radio, media sosial dan sebagainya mengenai success story terhadap bidang pertanian dilakukan dengan lebih agresif supaya ianya dilihat sebagai satu kerjaya buruan. Kerajaan juga diseru supaya untuk mengkaji mengenai skim perkhidmatan bidang pertanian ini diangkat setingginya setaraf dengan perkhidmatan perguruan misalnya supaya menjadikan bidang ini lebih diminati oleh pelajar memilihnya.

Aku yakin, menerusi usaha-usaha menerangkan akan kepentingan dan kelebihan bidang yang ever green ni kepada mereka dibangku sekolah lagi dan berterusan diperingkat universiti, mampu mengangkat martabat selain mempopular bidang ini khususnya untuk menarik golongan muda tercapai, insya Allah. 




No comments:

Post a Comment