Monday 26 July 2021

HARTAL DOKTOR KONTRAK, APA KESUDAHANNYA?

Ketika isu berkaitan penempatan serta masa depan doktor yang tamat pengajian sejak 2016 hingga kini dikatakan tidak lagi ditawarkan tempat di sektor kerajaan untuk dilantik berkhidmat secara tetap. Sebaliknya, mereka ditawarkan dengan jawatan kontrak di seluruh negara secara bertempoh. Malah difahamkan ada juga graduan perubatan masih menunggu-nunggu panggilan untuk berkhidmat. Ditambah pula dengan pusat-pusat pengajian mereka ada pula yang tidak menepati syarat-syarat yang ditetapkan oleh Malaysia Medical Association (MMA) sehinggakan graduan perubatan yang tamat pengajian dalam bidang mereka tetapi tidak mendapat kelulusan daripada badan berkenaan untuk praktis. Maka kekallah mereka sebagai penganggur. Untuk meminta jawatan lain di bidang lain tentu sekali tidak boleh kerana bidang mereka adalah secara pengkhususan. Ini menambahkan lagi derita dan menjanjikan masa depan yang gelap di tanah air. Atas alasan itu, didapati sebahagiannya ada yang membuat keputusan untuk berhijrah dan bekerja di luar negara yang mana mereka ditawarkan berkhidmat di sana.

Hari ini malah sebulan sebelum ini dikatakan ketidakpuasan hati mereka yang dikategorikan sebagai Doktor Kontrak ini akan masa depan mereka. Lalu, terdapat gerakan yang mendesak kerajaan untuk menyerap mereka ke jawatan tetap dalam sektor kerajaan. Jika permintaan mereka tidak dilayan, maka kumpulan berkenaan dikatakan akan mengadakan mogok dengan slogan #hartaldoktorkontrak pada 26 Julai 2021 bagi menunjukkan protes mereka terhadap layanan kerajaan ke atas permintaan mereka. Berdasarkan jumlah keseluruhan doktor kontrak yang sedang berkhidmat kini menurut akhbar-akhbar tempatan adalah sekitar 23,000 orang. Tentu sekali, jika kita atau ahli keluarga kita merupakan graduan perubatan sudah tentulah kita selaku ahli keluarga begitu gembira kerana yakin bahawa suatu hari nanti abang atau kakak atau adik kita akan jadi seorang doktor. Tambahan pula, sesiapa yang mengambil bidang perubatan sebelum ini sudah tentu mempunyai jaminan kerja dan masa depan yang cerah. Tetapi malangnya, sejak beberapa tahun kebelakangan itu kita dapati mereka yang mengambil bidang perubatan di negara ini dilihat sebagai sesuatu yang tidak menentu dan bukan lagi sebagai salah satu bidang yang mempunyai masa depan dan jaminan. Sebaliknya, graduan bidang ini juga harus merisikokan diri sepertimana bidang-bidang lain yang tiada jaminan pekerjaan selepas tamat pengajian. 

Perkara ini tentunya mengingatkan aku semasa kecil dulu, arwah ayah aku ceritakan kepada kami bahawa semasa dia kecil dulu ada seorang lelaki india yang datangnya dari negara india masuk ke kampungnya untuk menjual barang-barang seperti periuk dan sebagainya. Semasa sampai itu, berlakulah persembangan kecil antara lelaki india tadi dengan bapa ayah aku. Ringkasnya, lelaki india ini menyatakan dia merupakan lulusan undang-undang dari universiti di India, tetapi tidak menjadi peguam kerana di negaranya tidak semestinya seseorang graduan undang-undang akan menjadi penguam lantikan kerajaan. Sebaliknya perlu mencari kerja sendiri. Demikian juga, di sana bagi mana-mana graduan perubatan juga tidak semestinya akan berkhidmat di sektor awam sebagai doktor. Katanya lagi, suatu hari nanti Malaysia akan jadi seperti negara India, di mana graduan bidang perubatan dan juga undang-undang juga tiada lagi jaminan pekerjaan. 

Hari ini, ungkapan puluhan tahun itu kembali terngiang di telinga aku apabila melihat senario graduan perubatan di sini berdepan masalah lambakan sehingga menyukarkan peluang penempatan dilakukan. 

Hari ini, jika ditinjau di media sosial didapati beberapa hospital dalam negara para doktor kontak telah memulakan hartal dan ada di antaranya telah hats-off dan meninggalkan hospital dengan berpakaian hitam. Apa kesudahannya? Aku sendiri tidak pasti sejauh mana tindakan berani ini akan mengubah keputusan kepada keputusan kerajaan sebelum ini iaitu dengan bersetuju untuk menyambung kontrak mereka selama 4 tahun lagi dan tawaran melanjutkan pengajian sama seperti doktor lantikan tetap. 

Tetapi yang pastinya, sekiranya beberapa orang dikalangan doktor kontrak yang menyertai hartal ini akan ada pro dan kontranya. Jika negatif, tindakan mungkin diambil terhadap mereka yang terlibat dalam mogok ini. Tetapi jika dengan perjuangan mereka ini akhirnya akan mencapai keputusan yang baik termasuk diserap, maka yang akan nikmatinya adalah rakan-rakan mereka yang tidak menyertainya dan kekal dalam perkhidmatan. Bukannya buat mereka yang protes dan meletak jawatan serta merta. Aku doakan semoga perkara ini dapat ditangani sebaik mungkin, insya Allah.

Wallahu'alam.

No comments:

Post a Comment