Friday 16 July 2021

PENGGUNAAN BAHASA KESAT DI MEDIA SOSIAL DAN KESAN KEPADA GENERASI AKAN DATANG?

Jika dilihat di dalam social media (socmed) hari ini, timbul kebimbangan terhadap gaya bahasa dan budaya masyarakat di alam maya. Bagaimana bahasa dan kata-kata digunakan ketika membicarakan sesuatu isu menggusarkan. Kata-kata nista dan maki hamun dihambur secara terang-terangan tanpa berselindung. Misalnya, jika terdapat sesuatu perkara yang dirasakan kutukan dan cercaan di socmed, maka anda boleh baca komen-komen di Facebook atau melihat ciapan di Twitter mengenai netizen yang memberi ulasan mengenainya. 

Persoalannya, apakah sudah menjadi suatu kebiasaan atau budaya masyarakat kini untuk menghambur kata-kata kesat dan tidak sepatutnya diungkapkan tetapi telah diungkapkan di dalam socmed secara meluas. Perkataan-perkataan seperti 'pu** mak', 'but*oh', 'babi','celaka','sial','haramjad*h' dan pelbagai lagi kata-kata yang tidak sepatutnya tetapi kelihatannya berleluasa. Kecenderungan netizen di media sosial kini juga seolah-olah tidak boleh ditegur. Jika ada yang menegur tentang penggunaan bahasa kesat dan tidak sopan mereka, maka mereka akan ubah perkataan dengan niat menyindir. Contoh, perkataan pu** mak akan digantikan dengan 'baiklah, supaya lebih sopan biar saya gunakan 'faraj umi' untuk nampak lebih timur.' Hal ini bukan sesuatu yang lawak untuk dijadikan bahan jenaka. Ini suatu penyakit kronik masyarakat di alam maya masa kini yang kelihatannya semakin kronik.

Secara peribadi aku terfikir tentang budaya ini. Budaya yang memperlihatkan seolah-olah orang-orang yang masuk ke socmed ini telah bertukar sifat dan wajah untuk menjadi lebih ganas dan tidak berperikemanusiaan. Apakah budaya dan penggunaan bahasa negatif seumpama ini tidak memberi kesan kepada generasi akan datang? Apakah mereka-mereka yang bersikap dan tingkahlakunya seumpama ini tidak akan tua? Cuba bayangkan untuk 20-30 tahun akan datang, mereka yang kini berumur sekitar belasan tahun atau awal 20an akan memasuki fasa orang dewasa dan tua. Adakah ini gaya bahasa yang akan digunakan kepada anak-anak mereka, jiran tetangga, masyarakat apabila mereka berkomunikasi? Dan apakah ini budaya yang harus diwariskan kepada generasi anak cucu kita nanti?

Kita tanya diri kita hari ini. Apakah yang membentuk kita hari ini? Sudah tentu kita tidak dapat menafikan terhadap pengaruh persekitaran dan pergaulan turut menyumbang kepada pelakuan dan tingkahlaku kita hari ini selain didikan keluarga bukan? Sewaktu kita kecil, kita dapati bahawa orang-orang tua peringkat bapa kita dan datuk kita adalah terdiri daripada orang-orang yang dihormati bukan sahaja kerana usia mereka tetapi juga kerana tingkahlaku, sikap, bahasa lembut digunakan selain tindak tanduk mereka yang menjadi ikutan. Kita diasuh sejak kecil tentang menghormati orang yang lebih tua dari kita. Jika masuk ke rumah orang hendaklah memberi salam serta mencium atau menundukkan kepada sedikit merendah kepada mereka yang lebih tua bukan? Itulah didikan dan asuhan serta contoh teladan yang ditinggalkan kepada kita dan diajarkan kepada kita dalam masyarakat. Kita belajar semua ini hasil daripada didikan serta pengalaman melihat bagaimana ibu bapa kita melakukannya kepada atuk kita? contoh, mereka akan bersalaman dan mencium tangan sebelum beredar. Maka, kita pun sedikit sebanyak juga terpengaruh budaya itu dan akhirnya menjadi adab kita sebagai orang timur!

Berbalik kepada dunia hari ini yang segalanya di dalam socmed, jika mereka kini muda dan membudayakan carutan dan maki hamun setiap hari, anda boleh bayangkan bagaimana generasi akan datang. Hal ini kerana mereka-mereka ini akan tua dan penggunaan bahasa kesat ini akan digunakan kerana seolah sudah sebati dalam diri mereka sejak muda (jika tidak berubah). Sudah tentu ayat-ayat atau gaya bahasa diturutkan kepada anak-anak mereka atau jiran tetangga sudah terbiasa. Maka generasi kecil dan muda akan merasakan 'oh, ini caranya melayan atau bercakap dengan orang lain'. Sama sepertimana kita melihat ibubapa kita bersalaman dan mencium tangan ayah mereka sebelum beredar.

Apabila majoriti masyarakat menjadikannya amalan, maka sudah tentu ianya akan diterima oleh keseluruhannya. Bayangkan, seorang anak muda suatu masa nanti akan bercakap 'aku kau' sahaja dengan ibu bapa mereka tanpa rasa hormat. Atau juga pelakuan menerajang seorang tua apabila berlaku perselisihan faham dan pertengkaran. Tidak ada lagi belas ihsan dalam jiwa masyarakat merupakan suatu penyakit hati dan juga barah dalam masyarakat. Ingat, anak-anak kita suatu hari nanti juga akan terdedah dengan socmed, dan mereka akan secara langsung akan melihat gaya bahasa dan tingkahlaku manusia di dalamnya yang sungguh dahsyat. Jika negatif yang dihidangkan, maka kita sedang mempersiapkan generasi akan datang negara ini ke arah kehancuran!

Budaya dan adab ketimuran akan mula luntur dan akhirnya hancur dengan diselubungi oleh budaya dan cara yang merosakkan seumpama ini. Persoalannya, adakah kita ditegah untuk mengekspresi perasaan kecewa dan marah kita di media sosial? bukan begitu. Ya, kamu berhak marah atau meluah rasa kamu di media sosial, tetapi berpada-pada lah dalam melayan emosi itu. Jika berlebihan ianya boleh menjadi racun yang merosakkan. Kadang-kadang kita dapati seseorang itu sangat berbeza sekali apabila masuk ke alam maya berbanding berada di alam realiti. Mereka akan  bertukar serta merta menjadi ganas di alam maya. Kononnya sebagai salah satu cara meluah rasa. 

Bukankah dikatakan sarjana, mata pena lebih tajam dari mata pedang. Hari ini apabila kita menulis di media sosial tanpa ada sekelumit rasa bersalah, mungkin suatu hari nanti kesannya lebih buruk. Justeru, berhati-hati menggunakan media sosial supaya ianya tidak menggelincirkan kita atau memudaratkan kita. Sepatutnya kita gunakan platform ini sebagai sesuatu yang memberi manfaat dan kebaikan kepada seramai mungkin dalam masyarakat kita berbanding membentuk budaya buli siber atau pemikiran dan didikan negatif yang bakal dilihat dan dicontohi generasi mendatang. Jika kita, terlibat dengan pelakuan tidak betul sama ada dari segi gaya bahasa digunakan di socmed atau video-video memaki orang sana sini, eloklah dihentikan dan cuba beralih serta mencari content yang lebih baik. Jangan terlalu ghairah untuk cari publisiti atau meraih viewers atau likes atau kejar rating tiap kali buat posting sanggup masukkan content-content sampah. Ubah ke arah kebaikan. Lakukan perubahan sekarang, untuk kesan panjang. Asuh dan didik generasi akan datang dengan adab dan mengekalkan budaya ketimuran.

wallahu'alam.

No comments:

Post a Comment