Friday 30 July 2021

MUSIM DURIAN DATANG LAGI!

Durian Batu Kurau tidak lagi perlu diperkenalkan akan keenakannya dan sentiasa menjadi tumpuan kepada penggemar raja buah ini apabila tiap kali tibanya musim durian setiap tahun. Seperti tahun sebelumnya, durian mula mengeluarkan hasil seawal bulan Mei sehinggalah ke bulan Ogos secara berperingkat. 

Dusun durian

Aku nak kongsikan juga pengalaman dan aktiviti aku setiap kali tibanya musim durian. Alhamdulillah, walaupun tempoh PKP sejak tahun lalu hingga kini, aku masih berkesempatan untuk menjengah dusun kepunyaan ibu bapa aku yang terletak di Kg. Ayer Hitam, Jelai Batu Kurau, Perak. Jika diimbau semasa zaman persekolahan dulu, memang dusun ni selalu datang dengan arwah ayah aku. Sama ada ketika musim durian mahupun di luar musim. Kebiasaannya jika sewaktu musim durian tiba, kami akan melakukan mengutip hasil durian untuk dibawa pulang. Kadang-kadang datang dengan kereta (mak aku yang drive, sebab arwah ayah tidak ada lesen kereta dan memang tak pandai bawa kereta) bersama abang dan juga adik-beradik yang lain. Memandangkan dusun durian kami di atas bukit, dan di bawahnya merupakan kawasan air terjun dan kawasan perkelahan sememangnya menarik dan cantik. Tetapi kebanyakkannya, aku datang dengan arwah ayah berdua je dengan menaiki motorsikal. Kalau hari cuti, kami akan pergi awal pagi. Tetapi kalau dalam waktu persekolahan, kebiasaannya kami akan pergi sebelah petang.

Pelbagai aktiviti dilakukan. Paling tidak pun, menebas kawasan dusun supaya kelihatan bersih. Takla dipenuhi semak samun. Dusun kami taklah sebesar mana cuma kira-kira 2 ekar je. Bilangan pokok durian lebih kurang 30 pokok. Tetapi kini, rasanya dah tak sampai. sebab ada yang dah mati dan tumbang. Selain dari pokok durian, di dusun ini juga mempunyai tanaman lain seperti pokok jering, petai, tampoi, limau purut dan rambutan. Disamping itu juga, jangan korang tak tahu di dusun bukit ni juga terdapat banyak pokok cili burung yang tumbuh secara biologi yang dibawa oleh burung. Pedasnya memang membuatkan menitis air mata kepada mereka yang memang tak tahan pedas. Aku suka kutip cili burung ini untuk dibawa pulang sebab terasa akan kepedasannya. 

cili burung yang dipetik.(kecil tapi pedas)


Kebanyakkan orang-orang di sini akan mengutip cili ini dari dusun mereka dan jika banyak akan dijual di pasaran. Harganya mahal. Sekitar RM12.00/kg hingga RM 20.00/kg. Bergantung kepada harga dipasaran. Selain cili burung, tumbuhan lain seperti pucuk paku, pokok salang dan juga terung belanda boleh didapati dengan senang sekali di sini. Termasuklah pucuk dan herba lain. Bagi aku, kebiasaan yang dikutip adalah cili burung dan pucuk salang. Pucuk salang ni mak aku selalu masak sayur manis atau masak lemak. Perghh memang sedap. Dulu di dusun, kami ada dangau yang dibina kukuh. Aku secara peribadi pernah tidur di sana sekali gitulah. Memang tenang dan merasai suasana dekat dengan alam. Namun, sejak masing-masing telah meningkat dewasa, dan menyambung pelajaran di luar kemudiannya bekerja di merata, dusun ini tidak lagi dikunjungi sekerap dahulu. Ditambah pula, arwah ayah dah meninggal memang lagi lah kurang masa untuk ke dusun. Kebanyakkannya, apabila tiba musim durian mak akan pajak saja kepada jiran-jiran di dusun tu. Tapi, yelah mana nak dapat orang jujur. Tiap musim ditipu orang. Selepas musim, pemajak datang bayar RM 200 sahaja dengan beri pelbagai alasan. Kononnya, duit lain ditolak dengan upah menebas, buat jalan dan sebagainya. Mak tahu tu semua tipu. Aku dan adik beradik lain tahu itu semua helah mereka. Tapi, realitinya kami tak ada orang yang boleh usahakan dusun tu secara konsisten atas faktor tugas sekarang. Tetapi sejak tahu lepas, kami nekad untuk tidak lagi memajakkan kepada orang. Sebaliknya kami nekad untuk ambil sendiri hasil durian. Di sana juga kalau tidak ada tuan yang datang menjenguk dan menjaganya, pencuri banyak yang terdiri daripada penagih dadah. Walaupun kami tahu risiko buah akan dicuri, tapi sekurang-kurangnya kami dapat merasa durian dari dusun sendiri. Selebihnya kami sedekahkan kepada jiran tetangga. 

Seingat aku, sejak aku kecil lagi tiap kali tiba musim durian, arwah ayah dan mak tak pernah jual durian. Sebaliknya kami akan bawa pulang untuk makan dan diberikan kepada jiran tetangga, dan kawan-kawan. Sampailah ke hari ini. Tahun ini, musim durian tiba kami seperti tahun lepas tidak memajakkan kepada sesiapa. Aku kebetulannya ketika hari raya korban baru-baru ini mempunyai sedikit masa lapang bersama adik aku, kami ke dusun untuk memungut hasil durian. Alhamdulillah, dapat juga merasa durian sendiri dan selebihnya bersedekah seperti biasa. 

dah lama tak mendaki bukit, boleh tahan mengahnya weh,. kawasan dusun pun dah semak

Aktiviti mencari durian memang part paling thrill aku rasa..itulah hasil yang dijumpai 



Sebahagian hasil durian yang dibawa pulang.

Ketika musim durian, di kawasan kampung ayer hitam meriah sekali dengan aktiviti turun naik bukit orang ke dusun, peraih durian yang menunggu hasil orang kampung dengan aktiviti penggredan buah, jual beli hasil dan sebagainya. Aku sempat juga bertanya, berapa harga ketika ini dijual kepada peraih? Katanya buah gred A sekarang sekitar RM 3.00/kg, gred B RM 1.50 dan gred C pula adalah RM 0.50/kg. Harga dikatakan jatuh kerana faktor PKP. 

Aku bercita-cita untuk jaga dusun ini sebaiknya. Insya Allah, selagi hayat dikandung badan dan kudrat diizin tuhan. Dusun ini banyak meninggalkan kenangan sewaktu aku kecil dulu. Ketelah 4-5 hari kami naik turun dusun ini, memang sakit segala urat peha, kaki jangan cakaplah. Tapi berbaloi rasanya. Durian yang kami berjaya bawa pulang dalam 250 biji. Di bawah dusun kami ada air terjun yang sejuk sekali airnya dan sungguh jernih. Masih terpelihara khazanah alam yang cukup berharga ini. Airnya selamat untuk diminum. Aku sempat mandi manda di sini sambil berendam merehatkan minda dan mendapat ketenangan sebelum berangkat pulang.

Tengok air lata yang jernih ni. Sejuk dan bersih.

Ok, itu saja perkongsian kali ini. see you in the next entry ya! bye.




2 comments:

  1. Bestnya ada dusun . Boleh makan masuk dusun dan makan durian di dusun

    ReplyDelete