Negara
ketika ini bukan sahaja sedang berperang melawan wabak COVID-19 tetapi juga
terpaksa berdepan dengan isu kenaikan harga barangan keperluan bahan makanan
terutamanya sayuran, telur ayam dan harga ayam proses di pasaran yang dilihat
menekan pelbagai lapisan masyarakat di negara ini. Tekanan kenaikan harga bahan
makanan ini lebih mengesankan kepada mereka yang berada dalam kumpulan B40 dan
tempiasnya juga turut dirasai oleh golongan M40 yang mana kedua-dua lapisan ini
mewakili masyarakat terbanyak dalam negara!
Beberapa
inisiatif dan keputusan kerajaan dilihat untuk membantu menangani kenaikan
harga barangan asas berkaitan makanan keperluan rakyat ini yang dijangka akan
berlarutan sehingga ke tahun baru cina pada Februari tahun hadapan telah mula
dilakukan sebagai permulaan. Antaranya seperti memperkenalkan Skim Kawalan
Harga yang dipercepatkan memandangkan perayaan Krismas bakal menjelang beberapa
minggu dari sekarang dan begitu juga dengan sambutan tahun baru cina pada bulan
Februari 2022. Selain itu juga, pelaksanaan Jualan Murah Keluarga Malaysia
(JMKM) yang mula dilancarkan yang menawarkan harga lebih murah berbanding pasaran
ke atas pelbagai barangan keperluan yang dilaksanakan 2 kali sebulan. Selain
itu juga, langkah-langkah lain seperti menyediakan subsidi ke atas kos baja dan
racun untuk pesawah yang dilihat penyumbang kepada peningkatan kos pengeluaran
dan dalam masa sama keputusan kerajaan untuk mengimport ayam dari luar negara
bagi mengimbangi keperluan dalam negara dan dalam masa sama dapat menstabilkan
harga dalam pasaran.
Jika
ditekuni mengenai isu kenaikan harga barang bukanlah sesuatu yang baru dialami
bahkan ianya sudah berlarutan sejak sekian lama. Keresahan sebilangan besar
masyarakat adalah mengenai kenaikan harga barang keperluan harian yang mampu
memberi tekanan terhadap kehidupan yang mana secara tidak langsung akan turut
menaikkan kos sara hidup isi rumah. Kesan kenaikan ini bukan sahaja bersifat
sementara tetapi mampu memberi kesan jangka panjang jika tidak ditangani dengan
segera dan tepat. Dalam pada sebahagian besar rakyat terkesan di luar sana
dengan dampak covid-19, banyak mereka yang dahulunya berada di dalam golongan
M40 telah tergelincir kepada B40, manakala mereka yang sedia berada di dalam
golongan B40 pula telah jatuh dengan lebih parah lagi akibat covid-19 khususnya
soal ekonomi mereka, baru ingin bernafas kembali tetapi telah ditekan pula
dengan himpitan kenaikan harga barangan keperluan yang menyentuh soal makanan
harian yang semakin mengesankan.
Saya
tidak berhasrat untuk mengulas atau menyentuh mengenai dasar-dasar intervensi
kerajaan serta keputusan-keputusan yang telah dan akan diputuskan oleh pihak
kerajaan di dalam menangani perkara ini. Hal ini kerana, sebagai sebuah
kerajaan, maka saya yakin kerajaan akan bertindak selaras dengan apa yang
sepatutnya mereka lakukan. Sebaliknya saya ingin mengulas di sini berkaitan
dengan peranan yang boleh dimainkan oleh komuniti setempat sebagai sumbangan
terhadap penyelesaian kepada permasalahan ini dengan cara kita. Saya yakin
bahawa peranan komuniti terutamanya amat penting khususnya di dalam mengimbangi
soal kesejahteraan masyarakat madani seperti di Malaysia ini terutama di dalam
berganding bahu untuk menangkis kenaikan harga barang khususnya berkaitan
agromakanan yang kini meningkat naik. Dalam pada pihak kerajaan sedang berusaha
untuk mengatasinya diperingkat intervensi dan juga langkah-langkah
penguatkuasaan serta penyelesaian secara makro, saya ingin juga mengajak
komuniti untuk turut serta dalam penyelesaian ini mungkin secara mikro supaya
keluarga kita, jiran tetangga kita dan komuniti setempat dapat menyumbang
kepada menangani isu kenaikan harga barangan ini melalui cara kita sendiri. Cara
kita ini bermakna bukanlah melalui pelbagai teori-teori oleh pakar-pakar
ekonomi misalnya, sebaliknya kita lakukan dengan cara yang lebih praktikal dan ‘common sense’ yang saya yakin mampu
sedikit sebanyak menampung dan membantu menjimatkan belanja dapur harian di
rumah kita, insya Allah.
Komuniti
sebenarnya boleh memainkan peranan besar dalam menyumbang kepada menangani
masalah ini. Komuniti bukan sahaja sekadar pengguna, sebaliknya golongan ini
mampu menjadi penentu kepada turun dan naiknya harga barang. Justeru, saya
mencadangkan supaya setiap komuniti segera melaksanakan kebun-kebun komuniti
setempat. Pelaksanaan ini boleh direalisasikan dengan penglibatan semua pihak
di dalam sesebuah komuniti itu. Misalnya di sebuah taman perumahan, boleh
membentuk satu gerakan komuniti dengan mengusakan kawasan lapang di sekitar
taman untuk kebun sayuran dan sebagainya. Hasil pengeluaran kebun itu nanti
boleh diagihkan kepada seluruh penduduk taman berkenaan. Melalui kaedah ini,
kos untuk membeli sayuran dapat dijimatkan dengan penghasilan sayuran sendiri
yang sudah tentu terjamin dari segi kualiti dan juga bebas daripada racun kimia
yang berlebihan. Seterusnya, setiap rumah juga boleh melaksanakan konsep
#tanamapayangdimakan #makanapayangditanam dengan memanfaatkan ruang dan kawasan
rumah kita untuk bercucuk tanam. Dalam saat getir seumpama inilah, saya fikir
setiap kita perlu bercucuk tanam untuk sekurang-kurangnya makan sendiri dan
boleh disedekahkan kepada jiran tetangga kita jika ada lebih. Dengan cara ini,
saya yakin bahawa tiada keperluan untuk kita mengeluarkan belanja untuk membeli
sayuran yang sudah ada di kawasan rumah kita sendiri. Secara tidak langsung,
kos dapat dijimatkan. Misalnya, boleh saja untuk menanam cili besar, cili padi,
kangkung, sawi, kobis, dan sebagainya untuk menampung keperluan harian dapur
sendiri. Demikian juga mereka yang tinggal di flat dan pangsapuri juga boleh
menanamnya dalam pasu atau polybag mengikut ruang yang ada.
Ingat,
penawaran wujud apabila adanya permintaan. Harga sesuatu barang akan berkadar
langsung terhadap perkara ini. Jika permintaan rendah mustahil untuk sesuatu
barangan itu mencanak naik. Justeru, jika kebanyakan kita menanam dan menuai
sendiri hasil yang kita tanam untuk dimakan tanpa perlu berbelanja, maka harga
di pasaran akan turun dan kembali stabil. Pengajaran yang boleh kita pelajari
daripada isu kenaikan harga barangan keperluan khususnya makanan ini, adalah
untuk kembali mengusahakan tanah-tanah terbiar yang berada di kawasan sekitar
kita untuk dimanfaatkan dengan penanaman agromakanan atau mengusahakan ternakan
seperti ayam kampung, arnab, itik dan sebagainya yang bersesuaian. Antara
faktor penyumbang kepada kenaikan harga ini juga dikaitkan dengan kekurangan
tenaga kerja yang dikatakan dahulunya oleh warga asing dan disebabkan mereka
telah kembali ke tanah air masing-masing serta pengawalan sempadan yang ketat
tidak membolehkan pekerja asing kembali ke sini untuk memenuhi keperluan tenaga
kerja di sektor pertanian. Hal ini juga sepatutnya membuka mata generasi muda
tempatan untuk memenuhi kelompongan yang ditinggalkan pekerja asing ini sebagai
salah satu fardhu kifayah. Selain itu juga, faktor melambungnya harga apabila
pengeluaran dikatakan tidak dapat menampung permintaan secukupnya apabila
pelbagai sektor ekonomi telah mula dibuka mulai bulan Oktober iaitu perhotelan
dan pusat peranginan yang mula menerima pelancong. Dari sudut yang lain,
sebenarnya ianya bagus untuk perkembangan ekonomi dalam negara tetapi
sebagainya pengguna amat terasa akan bahangnya lebih-lebih lagi bagi mereka
yang berkeluarga besar. Justeru, saya amat yakin penglibatan daripada komuniti
setempat dengan memainkan peranan untuk terlibat di dalam penghasilan bahan
makanan menerusi inisiatif komuniti yang dilakukan dapat membantu komuniti itu
sendiri untuk mengekang kenaikan mencanak harga barang keperluan.
Secara
kesimpulannya, saya berharap agar isu kenaikan harga barang keperluan ini dapat
ditangani segera dan kembali stabil untuk memastikan kelangsungan hidup buat
sebahagian besar masyarakat di negara ini yang sangat terkesan buat masa ini
menerusi penangan covid-19 sebelum ini dapat diredakan dengan
inisitaif-inisatif yang berkesan oleh pihak kerajaan dan dalam masa pembabitan
aktif komuniti itu sendiri dalam membantu menangani permasalahan yang dihadapi
buat masa ini. Penyelesaian bukan sekadar bersifat jangka pendek semata-mata
tetapi memerlukan penyelesaian jangka panjang yang mensejahterakan kehidupan
rakyat yang berbilang dan pelbagai latar belakang. Bukan bermakna, apabila menyentuh peranan komuniti ini maka kita hendak menafikan peranan kerajaan. Bukan. Sebaliknya aspek dan peranan komuniti yang juga rakyat negara ini yang juga pengguna boleh memainkan peranan kita untuk turut serta dalam menyumbang kepada pergelutan ini. Setidak-tidaknya, bukan sahaja kita dapat bercucuk tanam, sebaliknya mengeratkan ukhuwah sesama kita jiran tetangga. Mungkin juga sumbangan kecil ini tidak mampu mengubah landskap isu negara, tetapi sekurang-kurangnya inisiatif komuniti setempat dapat menyelamatkan banyak keluarga yang sedang menderita di sekeliling kita. Sikap lebih cakna ini juga dianjurkan agama supaya peribahasa 'hati nyamuk sama dicicah, hati gajah sama dilapah' diterjemah melalui tindakan kita dalam komuniti setempat supaya lebih berkesan dan menghargai diri dan jiran. Mudah-mudahan usaha kecil kita diganjarkan pahala dan kebaikan oleh Allah swt, Insya Allah.
tidak boleh tidak...
ReplyDeletewajib juga cari duit yang banyak untuk menampung kenaikan kos hidup yang kian mendesak
wahhh rasa macam baca esei tingkatan 5 hehehhe.... ya sekarang semuanya dah naik harga, kita yang golongan M40 tapi kadang dah rasa macam B40 pulak, kami dahla selalu tak layak dapat bantuan pastu kene usaha lebih juga untuk tambah pendapatan...
ReplyDelete