Saturday 18 December 2021

WARNA-WARNI KEHIDUPAN,

Kembara di dalam benua kehidupan dunia ini seringkali dilanda dengan suka duka yang tidak bertepi oleh setiap orang di dunia ini. Setiap kita tentunya mempunyai pengalaman yang dilalui disepanjang kehidupan hingga kini. Menerusi pengalaman suka dan duka itulah yang membentuk kita pada hari ini, bukan? Sama ada kita sedar atau tidak setiap perkara di dalam hidup ini yang telah kita lalui itu menjadi 'guru' paling berguna untuk kita bawa mengharungi cabaran dan dugaan dalam perjalanan hidup ini.

Bagi aku, kitaran kehidupan ini semakin lama semakin 'sunyi' apabila sebahagian antara mereka yang pernah hadir dalam hidup ini telah hilang, tiada lagi bahkan ada yang telah pergi buat selamanya dari alam fana ini. Umpamanya, kawan-kawan ketika dibangku sekolah rendah dan menengah dahulu kebanyakannya telah membawa haluan masing-masing di dalam kerjaya yang berbeza dan juga berkeluarga. Jika dahulunya, apabila selepas SPM, ramai kawan-kawan yang akan memenuhi halaman rumah aku. Banyak perkara dan aktiviti yang kami lakukan ketika zaman remaja. Melepak dan bergurau senda setiap malam kini tiada lagi apabila meningkat usia dan masing-masing telah berpindah dan menetap di tempat yang lain bersama keluarga mereka. Dunia mereka dan aku hanya banyak berkisar tentang membangunkan keluarga masing-masing. Mungkin bersua hanya di media sosial sahaja. Ada kawan baik aku sebelum ini juga sudah lama tidak bertemu dan bersembang kerana kekangan waktu dan faktor jarak. Dia kini berada nun di selatan tanah air sementara aku masih di Perak. Sebenarnya walau jauh di mata, tetapi sangat dekat di hati. 

Sahabat ini macam bintang, walau jauh nun diangkasa tapi tetap ada. Bukan seperti bayang yang hanya datang ketika terang tapi menghilang diwaktu gelap. Tambah sunyi lagi apabila ada dikalangan ibu bapa kawan-kawan aku yang juga telah meninggal dunia atau berpindah dari rumah mereka untuk menetap di KL maka kawan-kawan sebelum ini tidak lagi pulang ke kampung walaupun ada waktu cuti. Seperkara lagi apabila saat kesedihan dalam hidup apabila perginya arwah abang sulung aku ketika umurnya 10 tahun dan aku berumur 7 tahun masa tu. Setahun kemudian, arwah tok aku pula pergi menemui Illahi. Allahuakbar, sedihnya bukan kepalang. Ketika aku mula mendapat kerja dalam sektor awam, arwah ayah pula kembali kerahmatullah. Jika ikutkan hati memanglah sedih yang teramat, tetapi selaku seorang muslim, mati itu pasti dan perlu banyakkan bersabar. Semua ini mengajar aku tentang ketabahan mengharungi cabaran. Hakikat ini perlu diterima oleh kebanyakan kita. Bagi aku, ini merupakan suatu permulaan untuk mempelajari tentang erti kehidupan ini iaitu untuk belajar melepaskan sesuatu yang kita sayangi. Apa tidaknya, apabila kita meningkat usia, kudrat yang ada semakin lemah dan perlu dilepaskan bukannya untuk digenggam. Demikian juga dengan dunia ini yang bakal ditinggalkan untuk selamanya sebelum melangkah ke negeri akhirat yang kekal di sana.

Dulu ketika aku belum faham tentang semua ini, aku selalu merasa gusar dan susah hati bahkan kadang-kadang memberontak di dalam jiwa tentang kesunyian yang dilalui. Seolah-olah aku telah kehilangan 'dunia' aku sebelum ini. Aku sentiasa merasakan bahawa semua yang disekeliling aku dulu akan kekal selamanya. Tapi aku lupa bahawa semua itu hanya sementara cuma. Begitulah kehidupan kita di dunia ini yang penuh dengan warna warni. Ada kalanya kita gembira, menangis, suka, duka, sedih, ketawa, hiba dan sebagainya merupakan resam kehidupan.

Justeru, sementara dikurnia Allah kepada aku dan kita semua menumpang di bumiNYA ini, ayuh perbanyakkan untuk melakukan dan menyebar kebaikan untuk bekal kita di sana nanti. Gembirakan kedua orang tua kita dan orang tersayang selagi mana mereka masih ada sebelum menyesal dikemudian hari. Moga kita semua mendapat rahmat Allah swt dan kasih sayangNYA insya Allah.

2 comments:

  1. kalau di pejabat ni saya memang duduk bilik sendiri, jadi dah terbiasa makan atau borak sendiri. Kawan-kawan ada tapi di pejabat ja, di luar waktu kerja cuma ada keluarga je jadi kawan baik... Dulu pernah ada kawan baik, baik sangat sampai ke mana berdua tapi sekali dikhianati jadi serik. Itu lebih suka sendiri...

    Kawan di pejabat selalu silih berganti, lagila bila ada yang bertukar , kadang rasa sunyi tapi kehidupan perlu diteruskan

    ReplyDelete