Saturday 18 December 2021

SARAWAK MEMILIH

Hari ini para pengundi di Sarawak telah melaksanakan tanggungjawab mereka untuk memilih pemimpin masing-masing dari parti-parti yang bertanding untuk memimpin negeri bumi kenyalang bagi tempoh 5 tahun mendatang. Pilihan raya Negeri yang diadakan ini merupakan pilihan raya yang penting buat rakyat dan pengundi negeri Sarawak memandangkan rakyat di sana bakal menentukan sendiri masa depan dan hala tuju negeri berkenaan sebaik sahaja keputusan pilihan raya diumumkan hari ini.

Parti pemerintah sebelum ini adalah parti Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang diketuai oleh Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg selaku Ketua Menteri Sarawak yang menggantikan Allahyarham Tan Sri Adenan Satem yang telah kembali kerahmatullah pada tahun 2017 yang lalu. Pilihan raya kali ini juga menyaksikan parti-parti lain yang turut bertanding dan menawarkan perkhidmatan masing-masing seperti PKR, DAP, AMANAH, PSB dan tidak ketinggalan iaitu calon-calon Bebas.

Sarawak merupakan negeri yang besar dan mempunyai potensi yang cukup besar khususnya untuk memacu ekonomi dan juga pembangunan di bumi kenyalang berkenaan. Ditambah pula negeri Sarawak merupakan negeri yang mempunyai pelbagai suku kaum dan bangsa yang menghuni bumi bertuah berkenaan. Namun, negeri berkenaan buat masa ini kelihatan masih ketinggalan dari segi kemajuan dan juga aspek pembangunan fizikal. Disebalik perkara berkenaan ada kebaikannya khususnya bukan bermakna negeri Sarawak perlu dibangunkan dengan banyaknya bangunan pencakar langit. Bukan. Tetapi, dengan kayanya sumber asli dan juga sumber alam yang menghijau boleh melonjakkan negeri Sarawak sebagai salah satu negeri hijau yang baik untuk eko-pelancongan dan juga menekankan tentang ciri kebudayaan yang tinggi berkaitan masyarakat yang berbilang suku kaum yang unik.

Pesan kepada parti yang bakal diumumkan sebagai pemenang untuk memerintah negeri Sarawak kelak, laksanakanlah tanggungjawab dan amanah berkenaan sebaiknya. Jangan khianati mandat dan kepercayaan rakyat Sarawak. Berkhidmatlah dengan jujur dan penuh dedikasi untuk kebaikan dan kemajuan negeri Sarawak sebaiknya.

Wallahua'lam

No comments:

Post a Comment