Sunday 27 February 2011

Kaulah kandil hati ibu..

Dunia kanak-kanak sememangnya amat menyeronokkan. Fikir mereka hanyalah seronok,seronok,seronok dan seronok saja. Bangun pagi-pagi dah pikir untuk nak main dah,,sampailah ke petang. Aktiviti seperti tengok tv,cerita kartun,komik,mengayuh basikal dan bermacam-macam lagi aktiviti yang dibuat oleh kanak-kanak.

Sama ada sedar atau tidak, setiap anak-anak kecil itu sebenarnya sedang membawa obor tanggungjawab dan amanah besar untuk dibawa ke masa depan. Tanggungjawab itu adalah untuk memastikan mereka menjadi orang yang berguna suatu hari nanti atau lebih lagi iaitu untuk menjayakan cita-cita mereka yang sejak kecil lagi diidamkan. Maka tugas dan tanggungjawab untuk menjayakan misi anak-anak in i mestilah dibantu dengan penuh yakin dan merangsangkan daripada ibubapa,guru-guru dan rakan-rakan sekeliling.

Bagi ibubapa pula, harapan yang tinggi menggunung pada permata mereka untuk melihat pewaris mereka mengecapi kejayaan yang sempurna adalah menjadi cita-cita setiap ibubapa didunia ini. Kasih sayang yang tidak terhingga ibubapa buat anak kesayangan tak dapat digambarkan dengan kata-kata. Boleh dikatakan hampir kesemua kemahuan si anak akan sedaya upaya dipenuhi oleh ibu dan bapa masing-masing.Buat mereka yang tidak punya keistimewaan seperti yang saya sebutkan tadi, itu juga sebenarnya tidak melambangkan bahawa ayah dan ibu anda tidak menyayangi anda. Boleh jadi kasih sayang serta perhatian itu diberi dalam sudut yang berbeza buat anda ketika kecil. jadi janganlah berkecil hati serta bersangka buruk pada mereka.

Sejak dari kecil lagi kita diasuh serta dididik untuk menghormati orang tua serta menjaga akhlak serta tingkahlaku untuk memastikan anak-anak mereka menjadi seorang manusia yang tinggi pekertinya. Kita dididik untuk dengan ajaran agama islam yang sempurna serta melatih untuk mendirikan solat,belajar untuk berpuasa serta serba sedikit ilmu fardhu kifayah. Saya juga turut melalui persekitaran yang sama ketika di zaman kanak-kanak dulu. Waktu malam selepas solat maghrib, kena baca quran. Kalau salah kena rotan. punyalah takot kalau-kalau tersalah baca. Selepas pada itu, ketika umur meningkat naik, saya juga dihantar ke sebuah rumah tok guru mengaji quran untuk mendalami bacaan quran itu. Malam-malam berkayuhlah basikal saya dan abang untuk ke rumah tok guru ngaji quran. Ketika itu, semasa diminta untuk mengikuti pengajian quran di rumah tok guru, tiada satu soalan pon yang diajukan pada ibu dan bapa saya tentang mengapa,bagaimana,apa dan lain-lain soalan. Semuanya dituruti dengan penuh patuh.

Di zaman kanak-kanak, sama seperti anak-anak lain, kita akan dihantar ke sekolah bagi menimba ilmu pengetahuan dan yang mana sekolah adalah gedung ilmu untuk ditimba oleh seseorang untuk berjaya. Dimarahi jika melakukan kesilapan. Bahkan akan dipukul jika melakukan perkara-perkara yang tidak menyenangi hati mereka. Jika ada jiran-jiran atau cikgu sekolah melaporkan tentang perilaku kita di luar pengetahuan mereka, maka siaplah balik nanti.huhu.. Tapi semua itu adalah untuk kebaikan si anak. Tidak ada tujuan lain selain itu.

Ibu adalah merupakan insan yang dianugerah tuhan kepada manusia yang tidak tidak ternilai besarnya anugerah berkenaan. Naluri seorang ibu ini biasanya akan memastikan yang terbaik untuk anaknya. Ini tidak bermakna kaum adam tidak mengasihi anak-anak mereka tetapi naluri ibu melebihi itu. Ibu sanggup menahan lapar demi untuk memastikan anaknya cukup makan serta kelengkapan yang lain terdaya mampu olehnya untuk dipenuhi. Jika anaknya meminta tentang sesuatu akan cuba dipenuhi sedaya upayanya. begitulah kasihnya ibu kepada si anak. Memberi ilmu pengetahuan kepada anak melalui penghantaran ke sekolah dan sebagainya, demi meastikan anaknya akan menjadi orang yang berguna suatu hari nanti dan bakal membela keluarga pula. Sanggup berhabis duit untuk menghantar anak masuk universiti serta melupakan keinginan untuk membeli baju baru dan sebagainya demi menghantar wang saku pada anak yang sedang menuntut di pusat pengajian tinggi. Walhal, si anak tadi sedang asyik leka berfoya-foya dan tidak menumpukan pelajaran semasa di pusat-pusat pengajian.

Apakah perasaan si ibu apabila dimaklumkan yang anak mereka tadi didapati tidak lulus pengajiannya?bertapa kecewanya hati ibu ketika itu.hancurnya harapan si ayah. Bagi yang berjaya tahniah diucapkan. Apakah sanggup pula anak yang berjaya ini untuk tidak membalas jasa dan pengorbanan kedua orang tuanya? Sejak-sejak bekerja dengan menjawat jawatan tinggi di kota, sudah tidak ada masa langsung untuk ibu dan ayah di kampung. Sejak punyai kekasih atau isteri yang tinggal di kota, sudah tidak mahu lagi pulang ke kampung dengan alasan sibuk, sedangkan malu untuk diketahui bakal isteri atau isteri yang jauh lebih moden dari kampung tempat asalnya. Masih lagi kedengaran berita-berita didada-dada akhbar mengenai anak mengusir ibunya, memukul orang tua mereka serta tidak mengaku yang orang tua itu ibu dan ayah mereka. Dimanakah nilai seorang muslim yang diasuh serta dididik dengan nilai-nilai murni yang tinggi selama ini?

Inikah balasan dari seorang anak setelah ditumpahkan kasih sayang yang tinggi menggunung oleh ibu dan ayah selama ini? Inikah harga yang perlu dibayar oleh ayah dan ibu setelah membesarkan anak ini dengan penuh kecintaan serta tidak membenarkan seekor nyamuk pun menggigit tatkala kecil? Tidak sehari pon dibiarkan anak ini kelaparan kerana tiada makanan? Jika inilah pembalasan yang diterima setelah pengorbanan yang dicurahkan, layaklah anak ini disamakan dengan si tanggang lagenda lama yang penuh pengajaran bermakna. Bayangkan bertapa hancurnya hati si ibu yang menganggap selama ini anaknya itulah kandil hatinya yang bakal memberi cahaya harapan kegemilangan, namun ia berlaku sebaliknya.

Baru-baru ini saya sempat berkunjung ke rumah seorang teman,dari segi cara dan gaya layanan yang diberi serta adab sopan ketika melayan tetamu, telah jelas memberi gambaran kepada saya akan bertapa berjayanya ibu dan bapa teman ini mendidik anaknya untuk ke arah kesempurnaan hidup. Dari situ juga, saya dapat simpulkan bahawa pastinya ibu dan ayahnya juga seorang yang baik serta mengamalkan cara ketimuran. Alhamdulillah.

Kita sedar bahawa bagi membalas jasa kedua ibubapa tidak dapat dibalas dengan wang ringgit. Caranya adalah dengan memenangi hati dan perasaan mereka. Menggembirakan hati mereka merupakan sesuatu yang perlu dilakukan selaku seorang anak. Hari ini tenaga mereka sudah tidak segagah dulu. Boleh jadi esok,lusa atau bila-bila masa sahaja mereka akan pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya. Jadi sementara mereka masih ada, hargailah mereka dan manfaatkanlah kesempatan ini untuk meluangkan masa buat mereka. Melapangkan masa untuk menjenggah mereka di kampung adalah suatu amalan yang sepatutnya dilakukan. Mengambil cuti serta membawa mereka bercuti adalah sesuatu yang baik. mendoakan kesejahteraan mereka adalah suatu langkah seorang anak soleh dan solehah!

Buat mereka yang tidak sempat untuk itu kerana ibu dan ayah ayahnya telah dulu menghadap illahi, iringkanlah doa serta banyakkanlah jariah dan sedekahkan buat mereka untuk bekalan di hari akhirat kelak. Buatlah apa yang patut dan termampu demi kebaikan, kerana kaulah kandil hati ibu yang bakal menerangi segala kegelapan ibu dan ayah selama ini dengan kejayaan dan kecemerlangan kau di dunia dan akhirat. Saya berdoa dengan penuh harapan agar saya dan anda akan sentiasa menjadi anak yang baik kepada kedua ibubapa serta direstui dan berada dalam kasih sayang serta rahmatNYA.

No comments:

Post a Comment