Monday, 13 February 2012

Penulis Buku : angan-angan atau cita-cita?

Sebaik sahaja terbaca di akhbar berita minggu semalam mengenai penghasilan buku negara semakin merosot akibat daripada tidak ramai penulis-penulis yang menghasilkan karya mereka dalam aktiviti penulisan amat mendukacitakan. Difahamkan oleh Presiden Yayasan Pembangunan Buku Negara, jumlah buku yang dihasilkan tahun lepas adalah sebanyak 18,000 naskah sahaja berbanding tahun sebelumnya iaitu 17,000 naskah. Ini pun menurut yayasan berkenaan telah termasuk penghasilan buku-buku teks sekolah dan diulang cetak.

Keadaan ini sungguh menyedihkan. Justeru, diseru agar lebih ramai penulis yang menulis buku untuk memastikan survival industri ini terus berkembang dan mampan. Artikel berkenaan juga turut memetik bahawa antara kaedah yang mungkin relevan ialah menggalakkan para siswazah yang baru tamat pengajian masing-masing untuk terlibat dalam penghasilan buku ini. Ini merupakan satu cadangan atau lontaran idea yang baik memenadangkan disamping mereka tidak hanya menjadi penggangur tetapi boleh menyumbang sesuatu buat negara dan diri sendiri.

Lanjutan itu, saya juga mula terfikir apakah saya juga boleh menyumbang sesuatu kepada pembangunan buku negara? Apakah saya punya keupayaan untuk menjadi seorang penulis? Sedangkan saya sendiri tidak pernah mengikuti atau menghadiri bengkel atau seminar untuk menjadi seorang penulis sepertimana yang pernah salah seorang rakan saya hadiri dan kini beliau menjadi seorang penulis buku dan novel walaupun dalam masa sama beliau adalah seorang pendidik! Apakah ini cita-cita atau hanya sekadar angan-angan?

Apapun, jika ditanyakan minat untuk menulis buku, jawapan saya,, ya! tetpai suka saya nyatakan di sini, tetapi bukan dalam penulisan untuk novel,, kerana saya tidak punya imaginasi yang kuat untuk menghasilkan sebuah karya seumpama itu. Namun., berbalik ekpad apenulisan buku tadi, saya juga berminat jika diberi peluang dan sedikit bimbingan daripada mereka yang pakar dalam bidang ini. Ingin sekali buku yang dihasilkan itu bermanfaat buat para pembacanya dan berbentuk ilmiah.

Persoalannya kini, apakah itu semua cita-cita atau angan-angan? Walau apapun, biarlah saya simpan minat itu dengan membiarkan takdir dan waktu yang menentukan segalanya.

Tuesday, 31 January 2012

DUNIA MAHASISWA :Semester Baru Di UPM

Tanggal 28.01.12 merupakan tarikh yang mana saya sekali lagi melangkah masuk ke universiti untuk pertemuan kali 1/2012 dengan pensyarah-pensyarah untuk memulakan semester baru setelah lama bercuti. Alhamdulillah ianya berjalan lancar. Syukur juga dipanjatkan kepada tuhan semester alam yang mengurniakan limpah rahmatnya dan kasihnya kepada saya apabila keputusan sem lepas tidak menunjukkan keperluan untuk saya mengulang mana-mana subjek dan ditunjukkan juga bahawa saya telah lulus semua subjek. Syukur.

Bagi memulakan sem baru ini, adalah penting juga buat saya untuk terus memfokuskan tujuan dan muhasabah diri ini supaya tumpuan dapat diberi kepada tugas dan juga dalam menuntut ilmu. Sefaham saya, menuntut ilmu ini juga dikategorikan sebagai ibadat dan jihad!Saya sentiasa berdoa agar, saya istiqamah dalam perjuangan ini untuk menimba ilmu disampign tidak mengabaikan tanggungjawab sebagai pekerja.

Tidak dinafikan akan betapa beratnya tanggungjawab ini apabila perlu melaksanakan dua tugas dalam satu masa.Bertindak selaku pelajar dan dalam masa sama selaku pekerja.Pengalaman di semester lepas, telah cukup menguji diri ini terutama apabila jadual harian sangat kelam kabut. Masa tidur yang 'berkualiti' juga sangat terganggu. Tuntutan ini sangat mencabar apabila terpaksa bersengkang mata sehinga 3 atau 4 pagi bagi menyiapkan assignment ataupun mentelaah mata pelajaran bagi menghadapi peperiksaan. Namunpun begitu, bersyukurlah kepada tuhan kerana diri ini ditetapkan untuk terus mengharungi cabaran. Begitulah jua diharapkan untuk semester kali ini agar dikuatkan diri ini untuk terus bertahan dan berjaya untuk mengharunginya sehinggalah ke penamatnya, Insya Allah.

UPM merupakan salah sebuah universiti penyelidikan dan terbaru jika mengikut pengumuman daripada YB Menteri KPT, ianya telah diberi kuasa autonomi bersama-sama dengan UTM, UM, UKM dan USM jika tidak silap saya. Memasuki ke kampus UPM ini telah membuatkan hati ini tenang dan segar dek kerna pemandangan yang indah ditambah pula dengan suasana yang tertarik. Adalah sangat memotivasikan apabila memasuki kuliah pertama dengan Prof Dr. Azimi mengenai andragogi. Penerangan dan lecturenya sahaja membuatkan hati ini semakin kuat untuk menuntut ilmu. Disamping itu juga ianya turut memberi pendedahan kepada semua mengenai bagaimana sebenarnya pembelajaran itu berlaku terutama bagi peringkat dewasa. Benarlah sepertimana tuntutan agama yang menekankan terhadap kepentingan menuntut ilmu hingga ke liang lahad.

Dikesempatan itu juga, berpeluanglah juga bertemu dengan ramai kawan-kawan baru yang datangnya dari pelbagai pelosok negeri yang juga berkhidmat dengan pelbagai jabatan dan agensi. Peluang untuk beramah mesra dan juga bertegur sapa juga digunakan sebaiknya. Dalam perjuangan menuntut ilmu, kenalan yang ramai adalah baik kerana untuk saling memotivasikan diantara satu dengan yang lain disamping bertukar-tukar input dalam pembelajaran.

Semoga, perjuangan ini akan sampai ke akhirnya dengan jayanya insya allah. Mohon doa dan sokongan kawan-kawan dan anda di luar sana untuk yang terbaik buat saya. t.ksih.

Sunday, 8 January 2012

Tahun 2012 : Memeta seribu harapan

Sebaik sahaja melangkah ke tahun 2012, seperti tahun-tahun sebelumnya, banyak juga azam dan perancangan yang telah dipasang siap untuk dilaksanakan. Fikir saya, ramai juga di luar sana untuk melakukan apa yang mereka azamkan. Bagi saya 2012, sangat signifikan memandangkan inilah tahun terakhir jika mahu dipadankan dengan bulan-bulan dalam kalendar masihi. Pastinya tahun ini juga ramai yang akan memilih untuk menamatkan zaman-zaman bujang mereka dan tidak kurang juga yang mahu memilih tarikh cantik untuk melangsungkan perkahwinan. Contohnya, 12.12.12 , 10.11.12, 20.02.12 dan sebagainya.

Apapun, perkiraan itu, bagi saya perjalanan dan perjuangan ini mesti diteruskan. Tahun 2012 merupakan tahun yang penuh cabaran memandangkan ianya jika dilihat dari aspek organisasi,diri, keluarga dan sebagainya. Dalam pada kita sedang menuju ke tahun 2020 yang pada perkiraan teori selama 8 tahun lagi, tahun-tahun ini merupakan tahun genting untuk mendapatkan sesuatu yang dihajati dan dirancang. Tentu sekali buat saya yang kini sedang mengikuti pengajian di salah sebuah universiti tempatan pastinya mahu menamatkan pengajian ini dengan jayanya. Saya cukup sedar ujian getir ini yang mana memerlukan saya memberi komitmen yang jitu buat beberapa perkara dalam masa yang sama. Sebagai seorang pekerja buat organisasi,sebagai mahasiswa dan juga anak kepada ibubapa saya dan masa untuk keluarga perlu dibahagiakan sebaiknya supaya ianya tidak menjejaskan antara satu dengan yang lain.

Saudara, sebenarnya situasi ini telah dilalui pada tahun lepas. Saya cukup sibuk dan kadang-kadang masa 24jam sangat tisak mencukupi untuk diuruskan kepada 3 mahupun 4 bahagian dalam satu masa. Turun naik ke Kuala LUmpur untuk mengikuti kelas dan pada minggu-minggu kuliah yang terpaksa saya luangkan atau korbankan masa cuti saya untuk menimba ilmu, merupakan perkara yang perlu saya tempuhi. Apa yang saya harapkan agar, saya diberikan kekuatan oleh Allah s.w.t untuk terus kuat dan istiqamah dalam perjuangan ini. Tahun ini juga akan menyaksikan lagi beberapa rakan saya akan menamatkan zaman bujang masing-masing. Tahniah buat mereka. Demi mengejar cita-cita saya perlu menumpukan kepada aspek kerjaya dan juga pengajian saya.

Di awal tahun 2012 ini, saya termenung seketika dan mula membuat kajian semula mengenai apakah pencapaian yang telah saya capai dan apakah perkara yang perlu dibuat untuk memastikan hidup ini diwarnai dengan kepuasan dan dalam masa sama mengimbangi kehendak duniawi dan akhirat. Perubahan zaman akan memutarkan 360 darjah akan putaran kehendak dan keperluan dunia. Justeru jika kita terlambat maka kita akan tertinggal.Insaf akan soal itu, maka percaturan cepat dan tepat perlu dilakukan untuk memeta diri ini ke arah kebaikan dan kebahagiaan.

Beberapa perkara perlu diselesaikan sebelum umur ini mencecah 30 tahun. 2012 telah menunjukkan umur saya mencecah 27 tahun. Ini bermakna saya punyai masa kira-kira 3 tahun lagi untuk menyelesaikan perkara-perkara yang perlu diselesaikan. Sama ada tercapai atau tidak, saya sendiri tidak pasti. Apa yang saya tahu ialah saya perlu mencuba sehabis baik untuk memastikan ianya benar-benar direalisasikan. Kemudiannya, saya menjangkakan satu master plan untuk 10 tahun lagi perlu dibuat untuk disasarkan. Buat anda yang diluar sana, saya juga memohon agar anda dapat mendoakan kebaikan buat saya agar segala yang dirancang akan dapat dicapai dengan jayanya.Insya Allah.

*Buat masa ini, saya amat merindui rakan-rakan semasa zaman sekolah rendah saya suatu ketika dahulu. Rindunya saya pada saat-saat di zaman persekolahan pada ketika itu dan ianya merupakan kenangan yang sangat manis. Dan, saya tidak pasti apakah mereka juga punyai kerinduan yang sama seperti ini. Wasalam.

Friday, 16 December 2011

Diuji lagi

Mengenangkan kembali perkara-perkara yang sedang berlaku sejak kebelakangan ini, menginsagkan saya. Semua ini saya anggap sebagai proses mematangkan diri untuk menempuh kehidupan yang saya sendiri tidak tahu bilakah masa untuk saya menemui Pencipta saya yang telah ditetapkan olehNYA untuk saya menemui Dia.

Namunpun begitu, melihatkan perkembangan ini setiap perkara yang berlaku yang di luar kawalan saya selaku insan lemah, adalah cukup menguji saya selaku hambaNYA. Sedarlah saya akan kerdilnya diri ini jika dibandingkan dengan ujian yang sekecil cuma bagi menguji diri ini. Bermula dengan beberapa rentetan peristiwa yang tak perlu dinyatakan di sini, sehinggalah minggu lepas, ujian itu datang bertimpa-timpa. Saya sentiasa berfikiran positif bahawa semua yang berlaku ini mempunyai hikmahnya yang tersendiri yang saya sendiri tidak ketahui.

Ujian yang terpaksa dilalui untuk minggu lepas adalah kejadian pecah masuk pejabat yang menyebabkan beberapa peralatan hilang termasuk hard disk milik peribadi. Ya Allah... sesungguhnya ku bermohon padaMu bahawa aku insan yang lemah dan tak mampu untuk aku menghadapi semua ini. Ku bermohon agar janganlah diri ini diuji lagi dengan ujian-ujianMu. Sesungguhnya, aku tidak mampu menghadapinya.

Walaupun, hati dan diri ini sedang diuji.. syukur tidak terhingga buat tuhan yang maha pencipta dan lagi mengasihi. Hati ini sedikit terubat apabila keputusan peperiksaan final sem pengajian saya di universiti telah keluar. Dan hasil keputusan berkenaan memuaskan hati saya. Alhamdulillah. Berbekalkan itu jua, ianya mengingatkan saya agar tidak leka untuk menghadapinya untuk masa mendatang. Saya sentiasa percaya bahawa Allah sentiasa ada bersama saya.

Wednesday, 9 November 2011

November 2011

Seperti tahun-tahun lalu, 2011 akan melabuhkan tirainya tidak lama lagi. Memandangkan kini sudah hampir ke penghujung tahun iaitu kita kini berada dalam bulan November, bermakna kurang lebih 1 bulan dari sekarang kita akan melangkah masuk ke tahun baru. Biasanya, pada bulan November ini, bagi syarikat-syarikat korporat mereka sibuk dengan proses penyediaan laporan tahunan dan juga termasuk semakan prestasi dan penilaian bagi menentukan berapakah jumlah bonus kepada pekerja patut diberikan pada tahun berkenaan atau sebaliknya. semakkan semula prestasi syarikat dan melihatkan akan sejauhmana pencapaian yang diperolehi.

Begitulah juga kita yang menjalankan tanggungjawab bekerja di dalam organisasi, pengukuran itu seharusnya dilaksanakan bagi menjamin bahawa menjelang disember, maka segala pengukuran telah selesai dan menantikan akan pengumuman yang mengejutkan. Bulan November merupakan bulan untuk kita bermuhasabah akan prestasi kerja kita. Apakah yang telah kita capai selama hampir 1 tahun ini. Berapa peratuskah pencapaian yang telah dicapai mengenai KPI yang telah digariskan. Bagaimana kualiti kerja kita selama tempoh 1 tahun ini? Apakah ianya meningkat lebih baik dari tahun lepas atau sebaliknya. Begitulah persoalan-persoalan yang boleh ditanya pada diri masing-masing supaya kita sentiasa sedar akan prestasi masing-masing sebelum ianya diukur oleh bos kita sendiri.

Seharusnya, jika kita merasakan perlunya penambahbaikan kepada prestasi tugas kita supaya kita sentiasa berusaha memperbaiki prestasi ini ke arah yang lebih sempurna. Dari konteks inovatif dan penghasilan idea kreatif pula, idea-idea kreatif dan inovatif ini terbentuk apabila kita sering bertanyakan akan sesuatu mengenai 'mengapa' dan 'kenapa'. Hasilnya, apabila soalan diajukan, maka satu jawapan akan dikeluarkan maka seterusnya, ianya akan menjana satu idea yang sangat menarik untuk diterokai dan juga dikupas. Demikianlah teknik yang dilakukan oleh para inovator di dunia.

Jika kita sedar sepanjang tempoh 1 tahun ini, bidang-bidang kelemahan kita sepanjang tempoh bertugas, maka ini adalah masa untuk kita mencari ramuan untuk memperbaikinya untuk tempoh 1 tahun akan datang. Itu sebaiknya dan dituntut. Tetapi malangnya, majoriti diantara kita sedar akan perkara ini tetapi mengabaikannya dan maish mengulangi kesilapan lama dan membiarkan kesalahan berkenaan berulang tanpa ada rasa untuk kita mengambil langkah membetulkannya ke arah positif. Saya cukup yakin dan percaya, jika kita mampu mengubah pendekatan kita, sikap kita, budaya kita dan amalan kita, kita akan unggul dihadapan dan menjadikan kita sebagai seorang yang mempunyai nilai dan kelasnya yang tersendiri. Tetapi jika kita asyik menunding jari menyalahkan orang lain dan juga mengambil sikap untuk tidak mahu berubah dengan menunjukkan tanda 'protes' kepada majikan kita kerana tidak berpuas hati dengan markah dan penilaian yang diberi, itu merupakan satu petanda yang merugikan diri kita sendiri.

Saya menyeru kepada anda, marilah bersama kita menghayati semangat korban yang baru sahaja kita merayakannya dengan penuh tawadduk dan penuh insaf akan erti korban yang menuntut kita supaya bersedia untuk berkorban ke arah kecemerlangan dan kemenangan yang membawa makna yang lebih luas pengertiannya dan mulia disisi Allah s.w.t. Insya Allah.

Wednesday, 26 October 2011

Laluan yang mencabar

Salams sejahtera buat saudara/i di luar sana dan terima kasih kepada yang sudi membaca ruangan blog saya ini. Terutama sekali suka dinyatakan untuk entri kali ini adalah ingin berkongsi bersama anda adalah mengenai laluan yang memerlukan komitmen yang tinggi berserta ketahanan fizikal dan mental yang kuat untuk mengharungunya. Tentu sekali untuk mendapatkan kekuatan itu, ianya bertunjangkan kepada teras keimanan yang kukuh serta melalui islam yang syumul.

Setiap pemimpin itu pasti diuji. Sepertimana tujuan asal diutuskan manusia ke muka bumi ini adalah untuk menjadi khalifah di muka bumi Allah ini. Demikianlah halnya apabila kita menelusuri sejarah dan sirah para nabi dan anbia, kita akan dapati bagaimana setiap kaum itu dipimpin oleh seorang ketua dan terpaksa melalui ranjau berduri untuk mengajak ke arah kebaikan. Namun, sejarah juga membuktikan bahawa pemimpin yang angkuh dan sombong akan dihina dengan sehina-hinanya. Sebagai contoh terdekat, bagaimana kuasa rakyat yang dahulunya menjulang mereka-mereka itu, tetapi harini menggelarkan pemimpin mereka petualang. Bagaimana kebangkitan asia timur yang kini semakin memuncak semangat itu sehinggakan membuka mata dunia untuk mengambil iktibar dan melihatnya dari pelbagai sudut pandang yang berbeza.

Saudara/i, untuk menjadi pemimpin bukanlah sesuatu tugas yang mudah. Tak kiralah pemimpin apa sekalipun, asal ianya memimpin sebuah organisasi, badan, kumpulan,persatuan,negeri mahupun negara maka pastinya akan menerima tanggungjawab besar dan amanah untuk digalas dengan sebaiknya. Saya ingin mengajak anda di luar sana untuk berfikir sejenak supaya ianya dapat menjadi cerminan buat diri masing-maisng agar ianya terpahat dalam hatu kita terutama anak muda untuk memikirkan sesuatu yang 'ajaib' mungkin untuk memastikan kelangsungan perkara ini.

Dalam memimpin sebuah organisasi, anda perlu bersiap sedia dari pelbagai sudut dan juga berpemikiran terbuka untuk menghadapinya. Dari mula saat anda melangkah masuk ke sesebuah organisasi sebagai ketua, semua mata telah tertumpu kepada anda. Setiap langkah anda diperhatikan dan orang yang dipimpin juga ingin mendengar dan melihat apakah ada sesuatu perubahan yang akan dibawa oleh anda selaku ketua. Dan dalam masa sama juga, perubahan itu juga akan dinilai sama ada apakah perubahan itu ke arah kebaikan atau lebih kepada keburukan yang akhirnya akan memandu kepada tindakan orang yang dipimpin ke atas kepimpinan anda itu sendiri.

Tetapi selaku pemimpin, cubalah sedaya upaya anda untuk berlaku adil dan mematuhi garis panduan undang-undang dan peraturan yang ditetapkan. Berhubung lemparan fitnah dan tuduhan serta anasir-anasir yang cuba menjatuhkan saudara/i adalah merupakan perkara biasa apabila saudara/i berada di puncak. Namun, perlulah ditanganinya dengan penuh hikmah dan bermunajatlah kepada Allah s.w.t supaya diberi pertolonganNYA untuk permudahkan urusan harian. Sentiasa ingat bahawa Allah sentiasa bersama-sama dengan orang-orang yang benar. Sesungguhnya, saya amat bersyukur kepada Allah s.w.t atas pertolongaNYA kepada saya selama ini, dan saya juga sentiasa berdoa agar dugaan dan ujian seumpama itu malah lebih dahsyat lagi supaya dijauhkan daripada diuji kepada diri ini. Ini adalah kerana diri ini hanya merupakan insan biasa dan tidak sekuat mana untuk menanggung ujianMU ya Allah. Sepanjang melalui kerjaya ini, saya juga tidak terlepas daripada diuji dengan beberapa dugaan yang mendatang. Alhamdulillah sehingga saat ini, saya masih bertahan untuk mengharunginya dan sesungguhnya saya percaya kekuatan ini datang juga melalui keizinan dan kudrat yang dipinjamkan oleh Pencipta yang maha luas pengetahuaNYA daripada segalanya.

Saudara/i, marilah bersama-sama untuk kita bermuhasabah diri dan meningkatkan keimanan kepada Allah s.w.t yang maha pengasih lagi maha penyayang.Insya Allah.

Sunday, 25 September 2011

Persimpangan Kabut

Penulisan ini mula ditulis setelah sekian lama menyepi dari dunia penulisan di sini memandangkan masa dan himpitan tugas harian semakin sibuk dan diuji setiap hari dengan perkara-perkara baru yang belum pernah ditempuhi dalam kehidupan sebelum ini. Namun, inilah yang dinamakan pengalaman.

Ketika saya mula menulis di sini, ingin saya tegaskan bahawa penulisan ini bukanlah untuk melukai hati sesiapa khususnya anda yang sedang membaca penulisan ini. Namun ini adalah pendangan kecil saya yang datangnya dari hati saya selaku insan biasa. Jarang sekali untuk saya mengungkapkan ayat-ayat puitis memandangkan saya bukanlah ahli dalam bidang ini.

Saya cukup sedar, selaku seorang islam, berbakti kepada kedua ibubapa adalah merupakan suatu perkara yang dituntut dan tinggi ganjarannya di sisi Allah s.w.t. Selaku seorang anak, adalah menjadi kewajipan untuk membantu orang tuanya apabila berada dalam kesusahan. Gembirakan hati mereka sementara mereka masih ada di dunia ini. Benarlah kata bijak pandai, 'hanya jahari mengenal manikam'.

Persoalannya di sini, sebelum untuk mula berbakti, cuba kita renung dan fahami sejenak, dengan menggunakan akal fikiran dan pinjaman kecerdikan yang Allah beri seketika cuma buat kita supaya memikirkan tentang keutamaan dan juga perlakuan sekeling dengan penuh hikmah, dan bandingkan ia dengan kedudukan dan kemampuan kita. Benar, jumlah keperluan adalah sesuatu yang dipinta, namun fikir saya pastinya tanggunggan ini bukan untuk kita seorang menggalasnya bukan? Ya, saya mungkin boleh bersetuju jika diberi alasan bahawa orang lain telah banyak komitmennya, orang lain tidak berkemampuan dan sebagainya. Namaun, apakah kita tidak punya komitmen?apakah kita cukup mampu untuk itu dan sanggup membakar diri kerana untuk menerangi orang lain?

Kita sepatutnya boleh berfikir dengan kewarasan fikiran dan kewajaran menempatkan seseuatu yang hak. Benar, kita sedang membantu kedua ibubapa, namun bukanlah menjadi kelebihan buat yang lain untuk mencuci tangan dan memindahkan perhatian itu kepada kita. Sepatutnya, untuk buat sesuatu itu diukur dengan kemapuan sedia ada, bukan dengan memuaskan hati orang makanya kita perlu menyatakan kesanggupan yang secara relatifnya perit untuk ditanggung. Islam sendiri menyarankan pada umatnya supaya berwasatiah!

Jika ditanya kepada saya sendiri, jika saya sedang berada dalam situasi begini, saya akan menyatakan bahawa kita akan terusnkan niat kita tetapi bukanlah terpaksa saya perlu saya seorang menanggungnya. Kita buat ikut kemampuan yang ada pada kita. Insya Allah kalau ada rezeki tahun depan dan seterusnya kita besarkan lagi. Memandangkan saya baru bekerja, pastinya perlu banyak perkara saya harus lakukan untuk stabilkan kehidupan sebelum sya mampu membantu! Hal ini adalah berpaksikan kepada prinsip "orang yg hendak membantu, mestilah sudah stabil dan berkeupayaan untuk menghulurkan bantuan". Saya sendiri punya cita-cita, dan pastinya sy juga ingin bahagiakan kedua ibubapa saya, namun dalam masa sama sy berharap semua keluarga saya juga turut merasai perasaan yang sama dengan saya iaitu untuk membahagiakan kedua ibubapa kita!

Banyak lagi huraian yang perlu dibuat sebenarnya, namun fikir saya ianya sukar untuk mengungkapkan melalui kata-kata dan penulisan. Kerana pandangan orang, jika terus menyatakannya di sini, akan dikatakan bahawa sesuatu anasir cuba untuk menhalang mereka daripad aberbakti kepada kedua ibubapa. Tetapi percayalah, bukanlah niat sy untuk menghalang anda daripada terus berbakti kepada kedua ibubapa. Hasrat itu murni,suci, tetapi jujur saya katakan bahawa tindakan perlaksanaannya kurang kena caranya. Saya cukup yakin dan percaya, setiap apa yang dikatakan dan pandangan kecil ini tak mungkin mengubah apa-apa, kerana saya yakin keputusan telahpun dibuat dan saya hanya orang luar yang memberi pandangan peribadi.

Ikutlah rasa hati anda...