Sunday 8 January 2012

Tahun 2012 : Memeta seribu harapan

Sebaik sahaja melangkah ke tahun 2012, seperti tahun-tahun sebelumnya, banyak juga azam dan perancangan yang telah dipasang siap untuk dilaksanakan. Fikir saya, ramai juga di luar sana untuk melakukan apa yang mereka azamkan. Bagi saya 2012, sangat signifikan memandangkan inilah tahun terakhir jika mahu dipadankan dengan bulan-bulan dalam kalendar masihi. Pastinya tahun ini juga ramai yang akan memilih untuk menamatkan zaman-zaman bujang mereka dan tidak kurang juga yang mahu memilih tarikh cantik untuk melangsungkan perkahwinan. Contohnya, 12.12.12 , 10.11.12, 20.02.12 dan sebagainya.

Apapun, perkiraan itu, bagi saya perjalanan dan perjuangan ini mesti diteruskan. Tahun 2012 merupakan tahun yang penuh cabaran memandangkan ianya jika dilihat dari aspek organisasi,diri, keluarga dan sebagainya. Dalam pada kita sedang menuju ke tahun 2020 yang pada perkiraan teori selama 8 tahun lagi, tahun-tahun ini merupakan tahun genting untuk mendapatkan sesuatu yang dihajati dan dirancang. Tentu sekali buat saya yang kini sedang mengikuti pengajian di salah sebuah universiti tempatan pastinya mahu menamatkan pengajian ini dengan jayanya. Saya cukup sedar ujian getir ini yang mana memerlukan saya memberi komitmen yang jitu buat beberapa perkara dalam masa yang sama. Sebagai seorang pekerja buat organisasi,sebagai mahasiswa dan juga anak kepada ibubapa saya dan masa untuk keluarga perlu dibahagiakan sebaiknya supaya ianya tidak menjejaskan antara satu dengan yang lain.

Saudara, sebenarnya situasi ini telah dilalui pada tahun lepas. Saya cukup sibuk dan kadang-kadang masa 24jam sangat tisak mencukupi untuk diuruskan kepada 3 mahupun 4 bahagian dalam satu masa. Turun naik ke Kuala LUmpur untuk mengikuti kelas dan pada minggu-minggu kuliah yang terpaksa saya luangkan atau korbankan masa cuti saya untuk menimba ilmu, merupakan perkara yang perlu saya tempuhi. Apa yang saya harapkan agar, saya diberikan kekuatan oleh Allah s.w.t untuk terus kuat dan istiqamah dalam perjuangan ini. Tahun ini juga akan menyaksikan lagi beberapa rakan saya akan menamatkan zaman bujang masing-masing. Tahniah buat mereka. Demi mengejar cita-cita saya perlu menumpukan kepada aspek kerjaya dan juga pengajian saya.

Di awal tahun 2012 ini, saya termenung seketika dan mula membuat kajian semula mengenai apakah pencapaian yang telah saya capai dan apakah perkara yang perlu dibuat untuk memastikan hidup ini diwarnai dengan kepuasan dan dalam masa sama mengimbangi kehendak duniawi dan akhirat. Perubahan zaman akan memutarkan 360 darjah akan putaran kehendak dan keperluan dunia. Justeru jika kita terlambat maka kita akan tertinggal.Insaf akan soal itu, maka percaturan cepat dan tepat perlu dilakukan untuk memeta diri ini ke arah kebaikan dan kebahagiaan.

Beberapa perkara perlu diselesaikan sebelum umur ini mencecah 30 tahun. 2012 telah menunjukkan umur saya mencecah 27 tahun. Ini bermakna saya punyai masa kira-kira 3 tahun lagi untuk menyelesaikan perkara-perkara yang perlu diselesaikan. Sama ada tercapai atau tidak, saya sendiri tidak pasti. Apa yang saya tahu ialah saya perlu mencuba sehabis baik untuk memastikan ianya benar-benar direalisasikan. Kemudiannya, saya menjangkakan satu master plan untuk 10 tahun lagi perlu dibuat untuk disasarkan. Buat anda yang diluar sana, saya juga memohon agar anda dapat mendoakan kebaikan buat saya agar segala yang dirancang akan dapat dicapai dengan jayanya.Insya Allah.

*Buat masa ini, saya amat merindui rakan-rakan semasa zaman sekolah rendah saya suatu ketika dahulu. Rindunya saya pada saat-saat di zaman persekolahan pada ketika itu dan ianya merupakan kenangan yang sangat manis. Dan, saya tidak pasti apakah mereka juga punyai kerinduan yang sama seperti ini. Wasalam.

No comments:

Post a Comment