Sundang tergolong dalam keluarga keris yang digunakan oleh bangsa melayu di Nusantara sejak berabad lamanya. Sundang mempunyai bentuk seakan keris namun ianya lebih panjang dan merupakan simbol kepada orang melayu itu sendiri yang membawa maknanya yang tersendiri. Dalam bahasa mudah, sundang merupakan pedang bagi orang melayu. Alat ini digunakan di sekitar kepulauan Sulu, selatan Filipina, Semenanjung tanah melayu dan juga Indonesia. Selain daripada digunakan sebagai alat persenjataan bagi mempertahankan diri, sundang juga bertindak sebagai simbol seseorang dalam masyarakat. Misalnya laksamana, ulama, pemerintah atau juga ketua sesuatu komuniti.
Baru-baru ini, berkesempatan untuk melawat pameran sundang di Muzium Taiping yang telah berlangsung selama 6 bulan hingga 31 Disember 2024. Di sana dipamerkan lebih 200 bilah sundang yang didedahkan kepada masyarakat umum tentang kesenian, persenjataan, perlambangan dan kepentingan sundang yang digunakan suatu masa dahulu untuk dikenali dan mendapat info selain mampu membantu masyarakat ini untuk lebih mendekati warisan bangsa. 4 jenis sundang yang digunakan bagi menentukan seseorang dalam lapisan masyarakat. Sundang Waad Darjat digunakan oleh Sultan dan juga kerabat di istana, Waad Laksamana pula digunakan oleh pahlawan bagi menentang dan menghapuskan musuh, Waad Ulama pula akan dikurniakan kepada ulama dan agamawan dan Waad Adat pula akan digunakan oleh orang biasa yang mengetuai sesebuah komuniti. Misalnya ketua kampung dan sebagainya. Apa yang menarik tentang sundang ini adalah bukan sahaja ciri dan bentuknya tentang senjata semata-mata tetapi juga disebalik itu juga terpancar akan kesenian, kebudayaan dan juga bagaimana masyarakat melayu terdahulu telah menerokai tentang teknologi dalam penghasilan senjata seperti keris dan sundang menerusi tempaan besi yang digunakan.
Pameran seumpama ini merupakan satu inisiatif yang baik dilakukan oleh pihak Jabatan Muzium Perak, Taiping. Menerusi pameran ini telah berjaya menarik ramai pengunjung dari pelbagai bangsa, lokasi, negeri dan peringkat umur untuk melihat sendiri sundang. Bagi aku, pendedahan bukan sahaja pada anak aku tapi juga pada aku tentang senjata warisan bangsa ini. Diharapkan agar pameran-pameran seumpama ini akan dapat dibuat lagi pada masa depan untuk tujuan pendedahan dan pendidikan kepada umum tentang tinggalan silam.
Wallahu’alam.
No comments:
Post a Comment