Sunday, 12 January 2025

TAHUN MELAWAT MALAYSIA 2026

 


Baru-baru ini, kerajaan menerusi Kementerian Pelancongan, Seni & Budaya (MOTAC) telah meluncurkan program Tahun Melawat Malaysia tahun 2026 (Visit Malaysia 2026 – truly Asia) yang dirasmikan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar bin Ibrahim. Perasmian ini menandakan bermulanya kempen kepada umum tentang mempromosikan Malaysia di mata dunia untuk menarik para pelancong di seluruh pelosok dunia untuk datang melancong dan berkunjung ke Malaysia. Promosi bermula dari sekarang untuk para pelancong datang ke mana-mana destinasi menarik yang ada di negara tercinta ini.

Sesungguhnya Malaysia merupakan negara yang menarik untuk dikunjungi memandangkan pelbagai produk pelancongan disediakan selain tempat-tempat sesuai pelancong. Kekayaan alam semula jadi seperti gunung, gua, sungai, lautan, pulau, makanan tradisi, kebudayaan dan kesenian yang unik serta pelbagai yang berbeza di setiap negeri dalam Malaysia menjadikannya sangat unik. Walaupun penduduknya berbeza dari segi bangsa, budaya, agama namun ianya merupakan kekuatan yang menyatukan sesama kita yang sukar diperoleh di tempat-tempat lain. Monumen-monumen bersejarah membuatkan penggemarnya boleh datang untuk menjejaki warisan sejarah yang amat berharga.

Disebalik tempat-tempat popular sedia ada, diyakini bahawa terdapat lebih banyak tempat dan produk yang belum diketengahkan dan berpotensi untuk diangkat untuk dijadikan produk pelancongan yang tinggi nilainya. Sebagai contoh, lata atau air terjun yang menarik boleh diketengahkan selain buah-buahan tempatan, permainan tradisional, kedai-kedai buku yang ada di dalam negara yang terpilih dan sebagainya. Disamping itu juga, inisiatif MOTAC dalam mengetengahkan maskot VisitMalaysia2026 ini haiwan tempatan iaitu beruang matahari amat bertepatan dengan ciri dan mencerminkan Malaysia. Maskot yang dikenali dengan nama Wira dan Manja itu menarik serta logo VisitMalaysia kalini dilihat cantik lagi mempersona.

Semoga inisiatif untuk menarik pelancong dari seluruh dunia berkunjung ke Malaysia pada tahun depan dapat direalisasikan dengan usaha gigih MOTAC akan berjaya. Kepada seluruh warga Malaysia, janganlah hanya letakkan beban ini hanya kepada kerajaan semata-mata sebaliknya kita selaku rakyat negara ini boleh memainkan peranan masing-masing untuk membantu mempromosikan Malaysia yang kita cintai ini di mata dunia. Lakukanlah dengan sedaya mampu dalam ruang lingkup kita sebaiknya. Rakyat Malaysia yang amat terkenal dengan sikap peramah, kesantunan dan mesranya serta kepelbagaian bangsa, agama dan budayanya boleh dimainkan dengan sebaiknya akan dapat menterjemahkan Malaysia truly asia!


No comments:

Post a Comment